Oleh : Prof. Madya. Dr. Mohd Bakri Bin Adam
INSPEM & Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia
Kupasan kali ini adalah melihat kepentingan statistik dalam arena politik. Kegunaan statistik adalah bergantung kepada fasa politik yang boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa sebelum pilihan raya, fasa semasa pilihan raya dan fasa selepas pilihan raya dengan mengambil kira pilihan raya diadakan setiap lima tahun sekali. Kaedah, tatacara dan nilai statistik menjadi penentu penting terhadap jatuh bangun sesebuah parti yang bakal bertanding dan memerintah di dalam kawasan yang telah disempadankan, sama ada di peringkat negeri atau negara.
Fasa semasa pilihan raya merupakan waktu yang paling kritikal terutama dalam melihat peranan statistik yang semakin terserlah, menjadi penentu kemenangan seseorang calon dan juga kritikal kepada para pengundi kerana jumlah undi menjadi penentu siapakah yang bakal mewakili mereka dalam kerajaan. Dari perspektif calon pula, beliau perlu mendapatkan undi terbanyak sebelum beliau boleh diumumkan sebagai pemenang yang bakal mewakili pengundi di kawasan pertandingan tersebut. Barang diingat bahawa beliau tidak boleh bergantung kepada ahli partinya sendiri kerana ianya tidak masih tidak mencukupi untuk memenangkan beliau. Undi yang tertinggi walaupun sekadar mempunyai hanya satu undi diperlukan oleh pemenang untuk mengatasi calon lain. Bagi pihak pengundi pula, mereka terpaksa membuat pilihan, dengan menggunakan hak sebanyak satu undi tersebut, semakin banyak calon yang bertanding sudah tentu semakin sukar untuk mereka memilih. Tambahan pula sekiranya peluang setiap calon untuk berkempen tidak diberikan pendedahan yang saksama. Sekiranya calon perlu diberikan peluang sama rata untuk menyampaikan kempen mereka, dengan pengundi yang lebih berfikiran terbuka, sudah tentu calon yang terbaik dan berkaliber akan terpilih.
Hakikat yang sebenar, ahli parti yang mendaftar di dalam sesuatu kawasan pilihan raya adalah tidak ramai. Setakat 5 Disember 2019 keahlian parti terbesar negara iaitu UMNO, adalah cuma 3,292,667 orang iaitu lebih kurang 10 peratus daripada penduduk Malaysia. Manakala setakat 9 Mei 2019, parti PKR dilaporkan pula baharu sahaja mencecah 1 juta keahlian iaitu lebih 3 peratus daripada penduduk Malaysia. Parti PAS juga setakat 14 September 2020, terdapat lebih kurang 1 juta ahli yang samada aktif atau tidak aktif yang berdaftar, ini juga melebihi 3 peratus daripada penduduk Malaysia. Parti parti lain yang wujud keahliannya adalah kurang dan terdapat kesukaran untuk mendapatkan maklumat tepat. Berdasarkan analisis di atas, realitinya ramai penduduk Malaysia tidak menganggotai mana-mana parti pun sama ada secara pasif atau akif, boleh dianggarkan secara kasar, hanya dalam 20 peratus sahaja yang boleh dikaitkan dengan kepartian manakala 80 peratus pengundi adalah bebas, dan mereka ini bebas untuk mengundi sesiapa sahaja calon termasuklah calon bebas. Logiknya setiap ahli parti sudah tentu memilih calon parti masing-masing tetapi masih perlu mengharapkan undi daripada pengundi “atas pagar” atau yang tidak berparti ini. Kempen oleh setiap calon perlu diadakan bagi menarik pengundi yang terbuka seperti ini untuk memilih calon yang mereka letakkan dalam sesuatu pilihan raya. Pada fikiran akal yang waras, pemerintahan negara pasti sentiasa boleh berubah keputusannya kerana pengundi atas pagar ini lebih ramai jumlahnya.
Sekiranya dilihat kebelakang, tidak pernah dalam rekod pilihan raya, pengundi yang keluar mengundi adalah dalam jumlah 100 peratus. Pasti ada yang tidak hadir dan juga masih terdapat undi yang rosak. Kebiasaannya adalah dalam lingkungan 60 – 80 peratus sahaja yang keluar mengundi dan ini adalah fakta. Ini bermakna semasa pengundian berlaku dalam sesuatu pilihan raya ianya cuma melibatkan sampel pengundi, bukan populasi pengundi. Bergantung kepada jumlah sampel yang keluar mengundi, kemenangan calon ditentukan. Masih tidak diketahui dengan jelas mengapa ada pengundi yang tidak keluar mengundi, kajian terperinci tidak dapat dilakukan kerana datanya adalah kepunyaan pengendali undian, juga undian adalah rahsia. Sekiranya data dapat diperolehi sudah tentu penambahbaikan dan peningkatan kesedaran tentang kepentingan undi adalah sangat penting dalam memilih pemimpin yang akan memimpin negara pada masa hadapan.
Masa berkempen kebiasaan diberikan selang masa yang bersesuaian bergantung kepada kehendak Suruhanjaya Pilihan raya. Selang ini adalah julat masa di dalam hari yang diberikan untuk setiap calon berkempen untuk menarik undi pengundi seterusnya menimbulkan ketetapan kepada pengundi, siapakah yang bakal mereka pangkah di dalam kertas undi. Kibaran bendera, ceramah politik, kunjungan dari rumah ke rumah, penggunaan media elektronik dan sebagainya sebagai pancing untuk menarik sokongan kerana disedari pada hakikatnya lebih ramai pengundi adalah bukan ahli kepada parti calon yang bertanding.
Pada hari pengundian, pengundi-pengundi akan beratur di tempat pengundian undi. Mereka akan beratur panjang menunggu giliran untuk memangkah di atas kertas undi. Terdapat beberapa laluan undian yang dibuat di tempat mengundi mengikut usia pengundi. Kebiasaannya golongan yang berusia di dipermudahkan untuk mengundi. Proses beratur sehingga memangkah di atas kertas undi adalah mengikut taburan Poisson kerana hanya satu pengundi sahaja dibenarkan mengundi dalam satu satu masa. Seharusnya tempat pengundi adalah sesuai untuk dilalui dan sampai oleh semua golongan, termasuklah yang berkerusi roda, tua bertongkat, gemuk, kurus dan sebagainya. Masa menunggu yang singkat adalah keinginan semua pengundi. Manakala masa yang tercepat proses pengiraan undi boleh dilakukan dengan tepat dan mendapatkan keputusan yang sahih adalah keinginan Suruhanjaya Pilihan raya. Dalam masa yang sama memaksimumkan perlindungan kepada peti-peti undi sehinggalah ianya berjaya sampai ke tempat pengiraan undi dengan selamat. Selain daripada itu, kerajaan boleh meminimumkan juga perbelanjaan untuk setiap proses pengundian juga perlu diambil kira. Mungkin untuk proses penjimatan, kibaran bendera parti dan kain rentang mungkin boleh dimansuhkan seperti yang dilakukan di luar negara, diganti dengan iklan dan penampilan calon di dalam media elektronik dan media sosial yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat yang lebih mesra alam. Perdebatan di televisyen mungkin perlu diperkenalkan di antara calon-calon yang membolehkan pengundi menonton dan mempertimbangkan kredibiliti dan wawasan setiap calon.
Pada hari pengiraan undi diadakan, calon yang dipilih melalui pengiraan jumlah undi tertinggi atau undi yang paling maksima akan diisytiharkan sebagai pemenang dan bakal menjadi wakil rakyat kepada kawasan tersebut. Nilai statistik terpenting yang diguna pakai ialah nilai maksima. Oleh itu kiraan undi perlu dibuat seteliti mungkin oleh pengira undi dengan disaksikan oleh wakil-wakil setiap calon agar prosesnya adalah telus dan boleh dipercayai bagi mendapat nilai dianggap keramat iaitu jumlah undi maksima melalui perbandingan nilai jumlah undi yang diperoleh oleh setiap calon. Mungkin berlaku pengulangan pengiraan dilakukan sehinggalah nilai keramat yang boleh dimuktamadkan diperoleh.
Setelah keputusan undian dimuktamadkan untuk semua kerusi, nilai statistik seterusnya yang amat penting adalah jumlah minima kerusi yang perlu dimenangi oleh parti atau gabungan parti bagi membentuk kerajaan yang bakal memerintah. Kalau di Malaysia ketika kini, keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan adalah berjumlah 222 kerusi keseluruhannya. Jumlah kerusi yang paling minima yang memungkin penubuhan kerajaan baharu ialah 112. Kerajaan yang ditubuhkan adalah kurang stabil kerana sekiranya ada ahli parlimen kerajaan meninggal dunia atau “MELOMPAT PARTI“, jumlah minima ini tidak tercapai atau akan berubah. Kerajaan yang stabil dan kuat ialah pihak yang mendapat majoriti 2/3 iaitu minima 148 kerusi. Untuk mengurangkan kemungkinan perubahan pemerintahan ini mungkin cadangan yang baik, sekiranya berlaku pelompatan parti atau kematian, jumlah kerusi yang dimenangi di dalam pilihan raya utama masih dikekalkan tetapi dengan pengantian calon lain bagi menggantikan calon yang melompat parti dan meninggal dunia, pilihan raya baru tidak diadakan sehinggalah pilihan raya utama diadakan. Perlaksanaan cadangan ini walaubagaimanapun hanya boleh direalisasikan hanya sekiranya usul ini mendapat undian 2/3 di dalam Dewan Rakyat.
Selepas pilihan raya, sepatutnya setiap parti perlu meningkatkan keahlian masing-masing semaksimum mungkin dengan harapan agar pada pilihan raya yang akan datang, mereka tidak perlu mengharapkan undi daripada pengundi atas pagar. Sepanjang tempoh lima tahun yang akan datang wakil rakyat atau wakil bakal calon hendak sentiasa kerap mengambil tahu kemaslahatan kawasan masing-masing. Semakin kerap mereka menziarahi kawasan yang mereka wakili, serta semakin mereka bertanggungjawab kepada pengundi di kawasan sudah tentu wakil rakyat ini dapat mengambil hati pengundi dan seterusnya memenangi pilihan raya yang akan datang.
Untuk mengukuhkan maklumat sokongan terhadap mereka, wakil rakyat ini boleh membuat tinjauan dan pensampelan dari masa ke semasa, sokongan rakyat di kawasan mereka. Selain daripada itu, wakil rakyat ini perlu peka dengan jumlah pengundi baharu, dan juga jumlah pengundi yang tiada lagi yang kembali kepada penciptanya. Sentiasa peka dengan jumlah pengundi di kawasan mereka, memudahkan mereka merangka strategi untuk mengekalkan kerusi di masa hadapan. Mereka juga perlu tahu bilangan pengundi yang berada di luar daerah, dan perlu tahu adakah pengundi ini akan balik untuk mengundi pada pilihan raya yang akan datang.
Wakil yang dipilih juga boleh cuba mendapatkan senarai pengundi yang tidak keluar mengundi yang jumlahnya adalah sehingga 30 peratus. Perlu diketahui punca sebenar mengapa mereka tidak keluar mengundi dan bagaimana cara mengatasinya. Mungkin kajian secara kualitatif seperti menemu ramah atau kunjungan tidak rasmi, atau secara tidak formal melalui perbualan dan percakapan di gerai makan, balai raya atau masjid dapat dilakukan. Mengunjungi rakyat semasa kematian, kenduri kendara juga sebarang perjumpaan di pasar dan di taman permainan juga dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat yang diperlukan bagi merangka strategi politik yang berkesan. Calon yang sesuai adalah calon yang diterima secara majoriti oleh pengundi setempat. Corak pemilihan pengundi masa kini bukan lagi terhad setakat simbol parti politik yang bertanding tetapi juga minda mereka adalah lebih telah terbuka serta lebih luas pemikiran kerana pengundi masa kini berupaya melihat kewibawaan calon dan menilai rekod lampau calon sekiranya ada.
Sekiranya kita melihat secara lebih menyeluruh, sebenarnya statistik telah digunakan samada secara langsung atau tidak langsung dalam arena politik negara. Statistik tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ada sahaja pasangan proses dalam pilihan raya yang melibatkan pengetahuan statistik. Memisahkan statistik dengan politik adalah suatu perkara yang mustahil. Penentuan kemenangan calon pilihan raya ditentukan oleh nilai statistik ringkas yang dinamakan nilai undian tertinggi, sehinggalah terbentuknya satu kerajaan yang sah. Statistik dan politik adalah dua sejoli, sepasang dan kedua-duanya tidak boleh perpisah selama-lamanya bagi membolehkan sistem demokrasi mekar subur di negara kita yang aman dan tercinta ini, di bumi bertuah yang bernama Malaysia.
Kredit Foto : wikipedia