Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia
Kali terakhir penulis menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah ialah hampir sedekad yang lalu. Baru-baru ini, emak dan ayah penulis berkesempatan mengerjakan Umrah. Berdasarkan persiapan yang mereka lakukan beberapa minggu sebelum berangkat dan pengalaman sepanjang beribadah di Tanah Suci yang mereka ceritakan, penulis dapat melihat perbezaan dari pelbagai aspek mengerjakan Umrah mutakhir ini berbanding dasawarsa yang lalu. Selain menghadiri kursus Umrah yang telah disusun jadualnya oleh agen pengurusan Umrah yang terlibat, penulis melihat terdapat beberapa perkara dari aspek persiapan dan perjalanan berdasarkan penceritaan pengalaman emak dan ayah sepanjang berada di Tanah Suci yang boleh penulis manifestasikan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dalam bidang Sains, nasib tidak menyebelahi ayah seminggu sebelum berangkat apabila doktor meminta ayah mengambil ubat darah tinggi sehingga untuk suatu tempoh masa yang ditetapkan. Barangkali ayah keletihan disebabkan seminggu sebelum berangkat, kami sekeluarga mengadakan Majlis Doa Selamat sempena keberangkatan mereka. Tambahan pula, ayah mengalami demam seminggu sebelum itu. Ditambah pula apabila doktor mengetahui bahawa ayah akan menaiki pesawat dan mengerjakan Umrah, doktor menyarankan ayah untuk mengambil ubat darah tinggi. Menurut kajian, golongan lelaki yang sihat tanpa penyakit jantung berisiko mengalami peningkatan tekanan darah sebanyak enam peratus ketika menaiki pesawat. Tekanan dan kecemasan ketika berada di ketinggian berpotensi meningkatkan tekanan darah. Ketika pesawat terbang, perubahan tekanan udara secara signifikan akan berlaku, sementelahan jika pesawat terbang pada altitud yang sangat tinggi. Hal ini akan memberikan kesan terhadap keadaan tekanan darah. Pada beberapa bulan yang lalu, satu kejadian berlaku terhadap warga wanita emas dari Turkiye yang tiba-tiba pengsan akibat tekanan darah tinggi semasa berada dalam pesawat. Pesawat Turkish Airlines tersebut sedang dalam perjalanan dari Istanbul ke Kuala Lumpur. Nasib menyebelahi warga Tukiye tersebut apabila seorang doktor perubatan warga Malaysia menyelamatkan beliau. Menurut pakar perubatan, individu yang mengalami tekanan darah tinggi sememangnya tidak boleh sembarangan menaiki pesawat kerana terdapat risiko tinggi pembuluh darah pecah apabila pesawat mencapai ketinggian tertentu. Walau bagaimanapun, tekanan darah ayah penulis stabil dan tidak terlalu tinggi, namun keadaan akan menjadi lebih terkawal apabila ayah mengambil ubat yang disarankan oleh doktor.
Ibadah Umrah memerlukan jemaah untuk mempunyai daya fizikal yang tinggi kecuali mereka yang mempunyai kekurangan seperti tidak berkemampuan untuk berjalan yang mana perkhidmatan pembantu untuk menolak kerusi roda disediakan. Tawaf dan Saie merupakan antara rukun dalam ibadah Umrah. Tawaf terdiri dari tujuh pusingan dan jemaah disunatkan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama dan berjalan seperti biasa pada setiap pusingan yang lain. Saie pula melibatkan perjalanan ulang- alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan syarat-syaratnya. Ayah mungkin tidak menghadapi masalah secara fizikal memandangkan ayah menoreh getah di kebun setiap pagi. Emak pula semakin kerap mengerjakan kebun sayurnya di belakang rumah beberapa minggu sebelum berangkat. Dengan latihan sedemikian, ia dapat membantu mereka cergas untuk bergerak semasa mengerjakan Umrah terutamanya semasa Tawaf dan Saie. Emak dan ayah juga membeli kasut yang sesuai untuk berjalan dalam jangka masa yang panjang di kawasan yang panas dan padat. Kasut berjalan dengan stokin yang selesa penting untuk bergerak di kawasan dengan kepadatan manusia. Emak dan ayah juga bercerita bahawa mereka hanya makan dengan makanan yang disediakan di hotel penginapan. Mereka tidak membeli makanan sembarangan kerana dikhuatiri tidak disediakan dengan sebaiknya atau bahan yang digunakan tidak serasi dengan badan mereka. Mereka juga hanya minum air Zam-Zam yang sudah terbukti bersih dan suci untuk diminum. Penulis berasa lucu apabila emak memaklumkan bahawa beliau tidak banyak minum air kerana khuatir kerap membuang air kecil sementelahan kedudukan tandas yang agak jauh. Apabila seseorang minum terlalu banyak air secara kerap, ia boleh menyebakan ginjal tidak sempat untuk memproses dan membuang daripada badan sekaligus menyebabkan air itu berkumpul dalam sistem badan. Hal ini menyebabkan individu tersebut akan kerap terasa ingin membuang air kecil. Emak turut memaklumkan bahawa terdapat rakan-rakan jemaah wanita yang muda mengambil pil tertentu atas saranan doktor untuk melambatkan kedatangan haid. Pil yang mengandungi estrogen dan progesteron akan diambil untuk menghalang ovulasi dan menstabilkan dinding rahim. Walau bagaimanapun, pil yang diambil perlu mengikut saranan dan penerangan doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Ayah penulis sememangnya seorang yang tidak sukakan bilik yang dipasang dengan penghawa dingin. Namun, disebabkan beliau berkongsi bilik dengan jemaah Umrah yang lain, beliau tiada pilihan. Semasa penulis mengambil emak dan ayah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, ayah baru sahaja sembuh dari demam dan kelihatan beliau masih mengalami sedikit batuk-batuk. Walaupun barangkali bukan sepenuhnya disebabkan oleh penghawa dingin, namun perubahan drastik antara suhu di dalam dan di luar bilik boleh mengejutkan badan dan melemahkan sistem imunisasi. Walaupun ini tidak menyebabkan demam secara langsung, ia mungkin membuat badan lebih rentan terhadap jangkitan. Selain dari itu, kesesakan jemaah yang datang dari pelbagai negara seantero dunia turut menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit seperti demam. Sehubungan itu, penulis sering mengingatkan emak dan ayah melalui mesej aplikasi Whatsapp untuk kerap mencuci tangan, elak berkongsi tuala, peralatan makan dan minum dan elak bersesak-sesak. Kerap juga penulis ingatkan mereka untuk pastikan keadaan reda dan terkawal sebelum bergerak ke mana-mana.
Dalam bidang Teknologi, sewaktu penulis bercuti di hujung minggu di kampung, penulis melihat emak dan ayah sedang melakukan sesuatu menggunakan telefon pintar masing-masing. Menurut mereka, jemaah yang hendak masuk ke kawasan Raudhah perlu menggunakan aplikasi yang dipanggil sebagai Nusuk. Berbeza dengan pengalaman penulis suatu ketika dahulu, semasa berada di Madinah Al Munawwarah, jemaah boleh sahaja mengunjungi Raudhah sekiranya keadaan mengizinkan pada bila-bila masa. Namun, marcapada, aplikasi Nusuk perlu dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing bagi membolehkan jemaah memilih tarikh dan masa yang dirancang untuk memasuki Raudhah. Tarikh dan masa bergantung kepada agen pengurusan masing-masing. Petugas yang menjalankan pemeriksaan di luar masjid hanya akan membenarkan jemaah yang mempunyai permit masuk. Jemaah hanya perlu menunjukkan paparan permit kepada petugas di masjid sebelum mereka dibenarkan memasuki Raudhah. Suatu ketika dahulu, aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna juga digunakan untuk memudahkan urusan ibadah di semua tempat di Tanah Suci. Penduduk Arab Saudi telah menggunakan kedua-dua aplikasi tersebut yang mana proses seperti pendaftaran hotel dan memasuki permis perniagaan dimudahkan melalui aplikasi ini. Untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kastam dan imigresen ketika tiba di Arab Saudi, aplikasi Saudi Visa Bio juga perlu dimuat naik pada telefon pintar setiap jemaah Umrah. Bagi keluarga dan sanak-saudara yang berada di tanahair, walaupun terdapat sekatan panggilan video mahupun video melalui Whatsapp, mereka masih boleh menghantar mesej melalui aplikasi tersebut untuk bertanya khabar. Selain itu, bagi golongan muda, mereka juga boleh memuat turun aplikasi Visit Saudi, yang membolehkan pengunjung meneroka destinasi pelancongan tersohor yang terdapat di Arab Saudi. Pengguna aplikasi ini juga dapat mendapatkan maklumat mengenai syarat-syarat visa, tempahan pakej pelancongan, serta melihat aktiviti dan acara terkini yang dianjurkan oleh kerajaan Arab Saudi. Selain itu, pernah juga semasa menunaikan Saie, emak dan ayah turut menempah skuter untuk memudahkan pergerakan mereka.
Dalam bidang Kejuruteraan, terdapat agen pengurusan Umrah yang menawarkan pakej Umrah yang sedikit berbeza dengan pakej yang lain. Hal ini merujuk kepada pengangkutan dari Madinah ke Mekah, atau sebaliknya. Umum mengetahui bahawa kerajaan Arab Saudi sudah melancarkan Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang dikenali sebagai Haramain High-Speed Railway. Haramain High-Speed Railway menghubungkan kota suci Madinah dan Mekah dengan kereta api berkelajuan tinggi. Ini merupakan cara pengangkutan yang baharu dan efisyen, menyediakan perjalanan yang selesa antara dua kota suci ini. Stesen kereta api di kedua-dua bandar dilengkapi dengan kemudahan untuk jemaah Umrah. Ia adalah rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan kota di Arab Saudi sepanjang 453 kilometer. Kereta api ini boleh membawa jemaah dari Jeddah ke Makkah dalam masa kira-kira 43 minit, dan perjalanan dari Mekah ke Madinah dan sebaliknya, mengambil masa selama dua jam. Namun, pakej Umrah yang diambil oleh emak dan ayah melibatkan pengangkutan bas bagi menghubungkan Madinah ke Mekah. Sewaktu berada dalam pesawat, ayah turut semangat bercerita tentang pengumuman oleh kapten kapal terbang tentang masuknya waktu-waktu solat tertentu. Hal ini demikian kerana pesawat moden lazimnya dilengkapi dengan avionik dan perisian canggih yang menyediakan maklumat masa nyata, termasuk masa dan lokasi semasa pesawat. Sesetengah sistem juga mempunyai ciri yang mengira waktu solat berdasarkan kedudukan pesawat.Teknologi Sistem Pengesanan Global (GPS) juga membolehkan juruterbang menentukan lokasi pesawat yang tepat. Terdapat aplikasi dan peranti yang boleh mengira waktu solat berdasarkan koordinat GPS, dan hal ini membantu juruterbang mengetahui jadual solat sebelum membuat pengumuman.
Akhir sekali, dalam bidang Matematik, ia sememangnya tidak lari dari digunakan oleh manusia sehari-hari mereka. Dalam konteks Umrah ini, seawal sebelum berangkat lagi, emak dan ayah berkira-kira untuk menukar wang Ringgit Malaysia ke Riyal Arab Saudi. Penulis menasihati emak dan ayah untuk tidak menukar terlalu banyak sementelahan bagasi yang dibawa tidaklah sebesar mana. Begitu juga dengan kelengkapan dan keperluan seperti pakaian yang secukupnya, kain ihram dan sebagainya yang perlu diambil kira untuk timbangan bagasi semasa ingin mendaftar masuk di lapangan terbang kelak. Emak dan ayah berlepas bersama jemaah Umrah yang lain kira-kira jam tiga petang waktu Malaysia. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Madinah dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengambil masa lebih kurang sembilan jam. Emak dan ayah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah kira-kira jam tujuh malam waktu Madinah. Walhal kalau diikutkan waktu di Malaysia, ia sudah melangkaui tengah malam kerana perbezaan waktu Malaysia dan Madinah ialah lima jam iaitu waktu di Malaysia berada di hadapan waktu Arab Saudi lebih kurang lima jam. Perkara tersebut sering penulis ingatkan kepada emak dan ayah. Begitu juga waktu solat di Arab Saudi yang mana waktu solat tidak sama dengan Malaysia. Waktu solat dihitung berdasarkan konsep zon waktu solat. Ia dicapai melalui pengiraan matematik dan astronomi. Dalam menentukan waktu solat yang sah dan sesuai dengan ajaran Islam, pendapat ulama dan pakar ilmu falak juga diambil kira. Selain itu, rumus matematik dan rumus pengiraan untuk menentukan waktu solat digunakan berdasarkan pergerakan matahari dan kedudukannya di langit. Begitu juga dengan bilangan pergerakan keliling kaabah untuk Tawaf dan bilangan pergerakan ulang-alik untuk Saie. Selain itu, menurut ayah, mutawwif juga sering mengingatkan jemaah mengenai dam. Jemaah haji atau umrah perlu membayar dam sebagai denda sekiranya meninggalkan perkara yang diperlukan untuk Umrah dan melakukan perkara yang dilarang semasa menjalankan ibadah, sama ada secara sedar atau tidak sedar, atau kerana tidak tahu. Terdapat empat jenis dam dan setiap jenis mempunyai kadar dam yang telah ditentukan oleh syarak.
Natijahnya, kisah pengembaraan Umrah oleh emak dan ayah penulis yang bernaratifkan STEM ini hanyalah satu daripada banyak kisah lain yang lebih menarik terjadi kepada kehidupan rakyat Malaysia. Naratif ini membuktikan bahawa STEM tidak boleh lari dari diaplikasikan dalam kehidupan manusia seharian sama ada mereka sedar atau tidak. STEM ini hanyalah satu akronim yang usahlah disensasikan dan dirumitkan, walhal ia sememangnya diaplikasikan dalam hidup manusia. Barangkali STEM dianggap menggerunkan sementelahan kepada murid sekolah dan terus dijadikan polemik dalam kalangan masyarakat. Penulis secara peribadi menyokong agar inisiatif STEM diteruskan dalam sistem pendidikan negara. Konsep ini penting diperkenalkan kepada generasi murid pada hari ini dan akan datang tanpa mengira peringkat perkembangan mereka. Usah dirumitkan konsep berkenaan, usah dikusutkan murid dengan contoh-contoh yang terlalu abstrak untuk mereka visualkan, sedangkan aplikasi konsep STEM digunakan dalam kehidupan sehari-hari mereka.