Oleh: Prof. Madya P.Geol. Dr. Mohd Hariri Arifin
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat)
Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Presiden Persatuan Geologi Malaysia 2023/2024
Ahad minggu pertama dalam bulan April setiap tahun merupakan hari yang penting kepada komuniti geosains. Ini kerana ahli geologi seluruh dunia menyambutnya sebagai hari khas untuk ahli geologi. Pemerkasaan ilmu geosains sangat penting untuk melahirkan sebuah masyarakat madani. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai pelbagai sumber kepakaran dan program geologi merupakan salah satu program yang terdapat di Fakulti Sains dan Teknologi di bawah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar. Menyahut seruan pemimpin negara, UKM bertekad untuk turut sama dalam membentuk masyarakat Malaysia Madani.
Di Malaysia, saban tahun kita berhadapan dengan cabaran musim kering. Apabila musim ini datang, banyak aktiviti pertanian terjejas sekaligus mempengaruhi keselamatan bekalan makanan negara. Sebagai contoh, kawasan sawah padi menjadi kering lantas menjejaskan aktiviti penanaman tersebut. Jika ahli geologi boleh membantu negara dalam mengenalpasti kawasan air bawah tanah yang boleh digunakan untuk mengairi kawasan bendang, pastinya ini suatu berita yang baik. Sama juga dengan masalah kebakaran tanah gambut. Isunya adalah di mana sumber air untuk dipadamkan bara api di dalam tanah gambut yang kekal berasap seterusnya menjejaskan kualiti udara di negara kita. Jalinan kerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat digerakkan secara sederap bersama untuk mengawal merebaknya api pembakaran. Ahli geologi di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah membuktikan kerjasama tersebut telah banyak membuahkan hasil terutamanya dalam isu kebakaran gambut di Johan Setia, Klang.
Manakala ketika musim hujan pula, kita kerap kali mendengar masalah tanah runtuh terutama di kawasan tanah tinggi dan kawasan pembangunan yang berisiko dengan isu kejuruteraan seperti kolam bekas lombong, perbukitan serta pelbagai isu kejuruteraan lain yang perlu diterapkan bersama dengan ilmu geosains. Kawasan pembangunan di tempat yang pernah berlaku tanah runtuh seolah-olah kurang input geologi sebelum pembangunan diluluskan untuk sebarang aktiviti. Adakah parut lama telah diaktifkan kembali untuk ’berdarah’ melalui terjemahan sebagai kegagalan cerun atau bencana alam lain seperti aliran puing dan sebagainya. Adakah air berlebihan juga memberi masalah kepada kita? Penglibatan buah fikiran ahli geologi dalam Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia serta pelbagai agensi lain (kerajaan mahupun swasta) semestinya memberikan kesan positif dalam pembangunan negara Malaysia.
Geosains merupakan bidang sains yang mengkaji perihal bumi dan isi alam yang lain. Biasanya ahli geologi memberi tumpuan kepada bahan bumi seperti tanah, batu dan air. Banyak aplikasi ilmu geosains boleh diterap dalam melahirkan sebuah negara yang madani. Pernah satu kes lubang benam atau sinkhole di Lebuhraya Karak dilaporkan berlaku dan dikaitkan dengan aktiviti pembinaan rel keretapi. Ini adalah salah satu contoh kepada perlunya penglibatan ilmu geosains dalam membantu kelancaran sesebuah projek pembinaan jajaran keretapi. Input geologi sering diperlukan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) untuk hal-hal berkaitan geoteknik. Kita juga pernah dihidangkan dengan berita kejadian pelombong emas maut ditimpa jatuhan batuan di Kuala Lipis, Pahang. Sektor perlombongan juga memerlukan input ahli geologi untuk mengetahui sumber mineral dan aspek keselamatan di kawasan lombong atau kuari. Adakah kita mahu perkara seperti runtuhan tebing kuari di Simpang Pulai berulang? Sebagai ahli geologi, kami terasa terpanggil untuk terus mendidik komuniti melalui pelbagai program khidmat masyarakat rentas jabatan kerajaan atau swasta mahupun antara sekolah – univesiti – pusat pengajian.
Atas topi Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), pelbagai program telah dan akan dilaksanakan. Kerjasama baik dengan pihak industri seperti Etiqa Takaful General Berhad dan Takaful IKHLAS Berhad telah membuahkan hasil dalam pembinaan sistem telaga tiub di beberapa lokasi yang mempunyai masalah bekalan air. Tenaga kepakaran yang ada di UKM dijalinkan bersama secara rentas disiplin kepakaran yang tidak terhad kepada geologi, geofizik malah kepakaran dalam bidang kualiti air, penjanaan sumber pendapatan baru melalui perniagaan sumber air bersih dan pencegahan isu pengaratan telah berjaya dilaksanakan.
Sebagai presiden Persatuan Geologi Malaysia, ahli majlis sentiasa memberi kerjasama yang padu dalam menggerakkan pelbagai aktiviti bidang geosains melalui ceramah, bengkel serta persidangan. Penerbitan artikel secara berkala dalam Buletin Persatuan Geologi dan Warta Geologi juga menjadi wadah untuk ahli geologi di Malaysia khasnya dalam berkongsi ilmu dan pengetahuan kepada orang ramai.
Timbul pelbagai persoalan juga buat warga ahli geologi. Adakah kita leka menyambut hari ahli geologi saban tahun? Apakah peranan sebenar kita? Adakah kejadian lepas tidak dapat memberi kita satu pengajaran yang berguna untuk menghadapi masa sekarang dan masa hadapan? Jika kini sudah masuk April, beberapa bulan lagi akan datang musim hujan yang saban tahun kita berhadapan dengan ’lebihan air’. Macam mana untuk kita memanfaatkan sumber ini dikala kita seolah-olah mempunyai lebihan sumber? Apa peranan ahli geologi di kawasan bandar? Adakah banjir kilat tidak boleh kita menyumbang sesuatu buah fikiran? Bagaimanakah untuk kita tampil lebih bersedia?
Sumber mineral seperti sumber nadir bunyi atau disebut REE sering juga didendangkan. Bagaimana ahli geologi dapat terlibat dalam memastikan eksplorasi sumber ini dapat ditentukan rizabnya dengan angka yang lebih tepat? Malah perkara yang lebih menakutkan masyarakat adalah tahap keselamatan terhadap sumber air bawah tanah dan hal-hal berkaitan apabila mineral ini dilombong. Sekali lagi, ini adalah tugas kita sebagai ahli geologi yang perlu memacu ekonomi negara dan memastikan alam sekitar terjaga dengan baik untuk bekalan anak cucu pada masa hadapan.
Ahli geologi juga terlibat dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Sebanyak 17 sasaran yang perlu digerakan bersama-sama. Contoh tidak asing adalah dalam SDG 7 iaitu bekalan tenaga bersih. Ahli geologi bekerja kuat dalam memastikan sumber tenaga boleh baharu dapat membantu negara dalam mengurangkan pembebasan karbon. Sebagai contoh, tenaga geoterma adalah sangat berpotensi untuk dimajukan seperti di Ulu Slim, Perak dan Apas Kiri, Sabah. Perkembangan teknologi dan kepakaran yang ada boleh dimanfaakan bagi melihat pelbagai peluang lain seperti tenaga angin dan solar yang ahli geologi boleh turut sama terlibat dan menjayakan inisiatif kerajaan Malaysia serta masyarakat global.
Pemerkasaan ilmu geosains dalam pelbagai peringkat seharusnya memberikan manfaat kepada banyak pihak. Besar harapan untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai aspek. Berbekalkan azam dan iltizam, kita cuba lahirkan sebuah masyarakat tinggi ilmunya, mutunya dan budinya.
Selamat menyambut hari ahli geologi 2024.
Foto- Persatuan Geologi Malaysia