Sebagai ahli akademik dan penyelidik, menjadi impian untuk menerbitkan hasil kajian mereka di dalam jurnal terkemuka. Dalam bidang sains, NATURE adalah antara jurnal yang mempunyai ranking paling atas dalam kategori jurnal berimpak tinggi (High Impact Jurnal) di dunia sains teknologi. Seorang pensyarah muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Rahimi Yusop yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di dalam bidang kimia di University of Edinburgh United Kingdom, baru-baru ini telah mencatat sejarah apabila berjaya menerbitkan hasil kajian beliau yang bertajuk ”Palladium-mediated Intracellular Chemistry” di dalam NATURE CHEMISTRY bersama-sama dengan penyelia beliau, Profesor Mark Bradley. Kajian tersebut telah berjaya membuktikan (proof of concept) aplikasi Palladium (Pd) sebagai katalis di dalam sel hidup (living cells), sesuatu yang pernah dianggap mustahil disebabkan sifat toksiknya (cytotoxicity). Pihak MajalahSains.Com berjaya menghubungi beliau untuk ditemuramah bagi mengetahui lebih lanjut rahsia dan pengalaman menembusi penerbitan terunggul yang menjadi impian semua ahli akademik.
MajalahSains: Tahniah diucapkan kerana berjaya menempa nama di dalam jurnal paling berprestij dalam dunia penyelidikan dan sekaligus menaikkan nama UKM. Apakah jawatan terkini saudara dan ceritakan sedikit latar belakang pendidikan ?
MRY: Alhamdulillah dan terima kasih kepada MajalahSains.Com kerana sudi memberikan ruang kepada saya untuk berkongsi sedikit pengalaman. Sebelum saya menjawab soalan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada UKM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta University of Edinburgh kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Saya merupakan seorang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan (PPSKTM) di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kimia di University of Edinburgh. Latar belakang pendidikan saya bermula di sekolah Kebangsaan Jalan Baharu dan peringkat menengah di sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak Parit Buntar Perak, Selepas tamat SPM, saya ditawarkan untuk mengikuti Matrikulasi di Kolej Mara Seremban sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Oleokimia dan Sarjana Kimia yang dibiayai oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Kedua-duanya diperolehi dari UKM.
MajalahSains: Ceritakan serba ringkas bidang penyelidikan yang sedang dijalankan ?
MRY: Secara ringkasnya kajian saya adalah di dalam bidang chemical biology. Bidang ini merupakan bidang yang menawarkan penyelesaian kepada banyak masalah di dalam biologi melalui pendekatan kimia.
Kajian utama saya lebih memfokus kepada aplikasi logam Palladium (Pd) terutamanya di dalam sel biologi (cell biology) di samping merekabentuk molekul kecil (small molecules) yang digunakan untuk tujuan tertentu. Selain itu juga, saya turut terlibat di dalam bidang penyelidikan sensor berasaskan fluorescein. Melalui modifikasi struktur asal fluorescein (fluorescein derivatives) yang juga menggunakan ’Palladium chemistry’, saya telah menghasilkan ’viscosity sensor’ dan ’pH sensor’ yang dinamakan Anthofluorescein. Sekarang ini saya dan beberapa orang penyelidik giat menjalankan kajian lebih lanjut berdasarkan kajian yang telah dilakukan, di antaranya merekabentuk ’ketone-based sensor’ bagi hidrogen peroksida (H2O2 ) dan mengkaji ”intracellular catalysis” bagi logam Kuprum (Cu) yang kini berada di fasa terakhir.
MajalahSains: Bagaimana bermulanya kerjaya sebagai ahli akademik dan penyelidik sekaligus menempa nama bersama-sama penyelidik tersohor di dalam jurnal NATURE yang terkenal dalam dunia akademik? Apakah rahsia di sebalik kejayaan menerbitkan jurnal di sana ?
MRY: Selepas tamat pengajian di peringkat sarjana, saya telah ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di PPSKTM. Alhamdulillah tidak lama selepas itu saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD di dalam bidang kimia di University of Edinburgh di bawah Skim Latihan Akademik Institut (SLAI).
Di sini saya diselia oleh Professor Mark Bradley yang terkenal kepakarannya di dalam bidang ’chemical biology’. Saya telah diberi kebebasan seluas-luasnya untuk memilih bidang yang diminati. Sebagai seorang pelajar yang tidak ada latar belakang kimia organik mahupun biologi, saya mendapati ianya agak sukar. Namun saya sedar inilah peluang untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.
Bradley Research Group (BRG) mempunyai seramai 20 orang ’postdoc’ dan kira-kira 15 orang pelajar PhD. Kebiasaannya, setiap pelajar mempunyai seorang mentor dikalangan ’postdoc’ yang banyak membantu memberi motivasi dan tunjuk ajar. Selain itu bahan rujukan di sini juga begitu banyak dan tidak terhad pada satu-satu masa, pendedahan dan peluang bergaul dengan penyelidik terkenal dan akses kepada fasiliti yang terbaik banyak memainkan peranan bagi memastikan kejayaan penyelidikan. Setiap minggu ada saja ’group meeting’, siri seminar dan simposium yang disampaikan oleh profesor dan pakar-pakar dari luar untuk berkongsi kepakaran dan penemuan di dalam bidang masing-masing.
Kebolehan mengenalpasti kekuatan sesuatu kajian atau penemuan merupakan sesuatu perkara yang memerlukan pengalaman yang lama. Ianya banyak bergantung kepada tahap pengetahuan dan pendedahan kepada penyelidikan terkini. Pun begitu, tidak dinafikan kriteria utama penerbitan di dalam jurnal berimpak tinggi bukan sekadar keasliannya sahaja malah ia haruslah memberi kesan keseluruhan spektrum di dalam bidang tersebut. Saya percaya jika kita dapat menguasai perkembangan terkini dan mengenalpasti kekuatan di dalam bidang masing-masing, setiap dari kita mempunyai peluang cerah untuk menerbitkannya di dalam jurnal berimpak tinggi. Sebagai contoh, kajian asal saya adalah berdasarkan sebahagian idea dan masalah yang dinyatakan di dalam Journal Angewandte Chemie Int. Ed. (Impact Factor > 10). Cuba anda bayangkan di manakah tahap penerbitan anda sekiranya berjaya menyelesaikan masalah yang dinyatakan di dalam jurnal tersebut? Tidaklah menjadi rahsia sebenarnya malah sesiapa pun boleh menulis dan menerbitkan jurnal hebat.
MajalahSains: Ceritakan sedikit pengalaman mendalami bidang penyelidikan di luar negara berbanding di dalam negara ?
MRY: Saya tidak mahu sentuh tentang pengalaman penyelidikan di dalam negara memandangkan pengalaman tersebut amat terhad semasa BSc dan MSc, tetapi saya boleh memberi pandangan mengenai pengalaman di sini.
Pada pandangan saya, perkara utama yang perlu ada bagi menghasilkan penyelidikan bermutu bermula dengan idea terbaik yang dicetuskan daripada bahan rujukan yang terbaik, ini diakui sendiri oleh penyelia saya Profesor Mark Bradley. Selain rujukan, peralatan dan bahan-bahan yang digunakan untuk proses penyelidikan juga adalah yang terbaik, tetapi tidak semestinya terkini. Salah satu perkara yang amat saya kagumi ialah sistem yang cekap dan cepat di dalam proses perolehan bahan dan peralatan yang ingin digunakan dalam kajian selain bebas dari karenah birokrasi dan seumpamanya yang tidak perlu.
Saya bersyukur kerana BRG mempunyai ramai postdoc dan pelajar dari seluruh dunia sekali gus menggalakkan proses perkongsian kepakaran dan pengalaman serta menyelesaikan masalah.
MajalahSains: Di Malaysia kita masih lagi bergelut dengan isu bahasa dalam pengajaran Sains dan Matematik ? Apa pandangan saudara tentang sistem pendidikan, terutamanya sains dan matematik yang diajar dalam Bahasa Melayu pada asalnya dan kemudian diubah ke Bahasa Inggeris? Dari pengalaman saudara sendiri, kelihatan tiada masalah untuk menguasai sains dalam bahasa asing walaupun belajar dalam bahasa ibunda sejak di zaman persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi?
MRY: Saya berpendapat isu ini agak sensitif untuk dibincangkan. Begini sahajalah, saya tidak begitu mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku di dalam negara kerana agak sibuk juga di sini. Terutamanya bila tercetusnya isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang heboh beberapa tahun yang lalu.
Secara peribadi saya berpendapat bahasa hanyalah alat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai alat ia perlulah dikuasai dan difahami samada yang mengajar mahupun yang belajar. Oleh itu bahasa tidak boleh dipersalahkan jika seseorang gagal atau lambat menguasai sains dan matematik. Seharusnya kajian terperinci wajar dilakukan bagi melihat kelemahan dari segenap sudut termasuklah menilai proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri.
Sistem pendidikan kita yang sedia ada bagi saya sudah cukup baik dan terbukti telah menghasilkan ramai sarjana tersohor pelbagai bidang. Contoh yang paling mudah dan terkini ialah Professor Dr. Zuriati Zakaria dari UKM, yang baru-baru ini dipilih sebagai ikon ’Women in Chemistry’ sempena International Year of Chemistry (IYC 2011). Menariknya beliau adalah wanita Melayu pertama dari Malaysia yang memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia..
Walaubagaimanapun sistem tersebut perlu sentiasa ada penambahbaikan secara berterusan. Ramai daripada kita termasuk saya sendiri bersekolah di sekolah Melayu, belajar sains dan matematik sehingga ke peringkat Ijazah Lanjutan dalam Bahasa Melayu dan menerima tunjuk ajar dan didikan dari pensyarah-pensyarah tempatan menggunakan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu. Apa yang paling penting ialah faham dan memahami apa yang diajar selain memiliki inisiatif sendiri yang positif tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru dan pensyarah.
Tidak dapat dinafikan penguasaan Bahasa Inggeris merupakan kelebihan kepada diri seseorang, namun kebolehan menguasainya tidak terdapat di dalam diri setiap individu. Dan bahasa Inggeris ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
MajalahSains: Boleh saudara nyatakan sifat-sifat utama yang perlu ada dalam diri sebagai seorang penyelidik merangkap ahli akademik?
MRY: Sifat utama yang mesti ada dan sentiasa dipupuk ialah keinginan untuk memajukan diri secara berterusan. Sebagai seseorang penyelidik dan ahli akademik perlulah sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa terutamanya perkara berkaitan teknologi yang kita tahu sangat cepat berubah. Sifat berani mencuba sesuatu atau bidang yang baru merupakan sesuatu keperluan pada diri seseorang penyelidik yang merupakan proses mengembangkan kepelbagaian kepakaran dan kemahiran. Sesama penyelidik haruslah memberi motivasi dan sokongan moral serta ada budaya persaingan secara sihat. Selain itu, kebolehan menggunakan sumber secara maksimum dan perkongsian kepakaran berkaitan penyelidikan merupakan kunci kepada kejayaan.
MajalahSains: Saranan dan nasihat saudara kepada bakal-bakal penyelidik yang ingin berkecimpung dalam bidang ini ?
MRY: Kepada bakal-bakal penyelidik, matlamat dan halatuju penyelidikan perlulah jelas. Jika ianya dilakukan dengan matlamat yang betul insyaAllah ia akan memberikan keseronokan. Di dalam dunia penyelidikan kadang kadang tidak selalunya menjanjikan hasil seperti yang diharapkan, adakalanya bagus, adakalanya tidak dan ia merupakan satu proses yang panjang. Seorang penyelidik perlu ada sifat sentiasa berfikir, mencari strategi baru dan survival dalam kerjaya. Kerjasama rentas disiplin (cross discipline) bidang penyelidikan perlu juga sentiasa digalakkan untuk melihat potensi-potensi baru yang boleh dikembangkan.
MajalahSains: Harapan saudara untuk Malaysia dalam dunia sains dan teknologi pada masa hadapan ?
MRY: Harapan saya ialah untuk melihat suasana penyelidikan di Malaysia subur berkembang dan dapat berada sebaris dengan kemajuan penyelidikan di barat. Saya percaya jika kita diberi peluang serta sokongan sewajarnya dan ada sifat-sifat orang berjaya kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan mereka.
Masyarakat di Malaysia juga perlu melihat sains dan teknologi sebagai suatu alat untuk mencapai kemajuan negara pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, masyarakat perlu sentiasa dididik dan dibudayakan dengan sains dan teknologi yang sentiasa bergerak pantas.
Berikan Komen Anda Di Sini