Pertandingan Esei

PENAUNG – YABhg Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali

Jemputan Menyertai Pertandingan Menulis Esei dengan tema “PEPERANGAN SUATU JENAYAH & SAINS UNTUK KEAMANAN”


MUKADIMAH

Pertandingan menulis esei ini adalah kerjasama antara MajalahSains.Com dan PERDANA GLOBAL PEACE FOUNDATION (PGPF). Ia diadakan sempena Hari Sains Sedunia UNESCO yang berlangsung pada 10 November 2018. Penganjur menjemput orang ramai menyertai pertandingan ini dengan membuka dua kategori iaitu esei dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Peperangan pada dasarnya suatu kejahatan. Mudaratnya tidak terbatas kepada negara yang terlibat sahaja bahkan mempengaruhi seluruh dunia. Oleh itu, memulakan serangan dan pencerobohan bukan sekadar jenayah antarabangsa, malah ia jenayah antarabangsa paling agung. Bezanya daripada jenayah perang lain? Kerana di dalamnya terkumpul segala kejahatan berkaitan peperangan.

– Tribunal Jenayah Perang Nuremberg 1946

Anggaran jumlah orang awam dan tentera yang cedera atau terkorban:

Perang Dunia Pertama 35 juta

Perang Dunia Kedua     60 juta

Perang Korea               1 juta

Perang Vietnam            3 juta

Konflik di Kemboja        1.7 juta

Genosid di Rwanda       1 juta

Genosid di Bosnia         100,000

Perang Iraq                   1 juta

Perang Syria                  500,000 setakat ini

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemikiran kita, dengan sistem nilai kita. Bunuh seorang manusia, ia dipanggil pembunuhan; bunuh sejuta manusia dan anda diangkat sebagai wira. Dan kita masih percaya konflik antara negara dapat diselesaikan dengan peperangan.”

Tun Dr Mahathir Mohamad, Perhimpunan Agung PBB ke-73, New York, 28 September 2018

 “Patutkah kita mengaku kita manusia bertamadun apabila kita membiarkan sahaja dan menghalalkan pembunuhan secara besar-besaran lelaki, wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang sakit sebagai penyelesaian kepada konflik antara negara?”

Tun Dr Mahathir Mohamad, Kolej Imperial, London 25 April 2008

“Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Banyak langkah yang telah diambil. Marilah bersama-sama mara ke hadapan dalam perjuangan ini demi mencapai peradaban yang sejati, dengan menjadikan peperangan satu jenayah.”

Tun Dr Mahathir Mohamad, “Dedahkan Jenayah Perang – Jenayahkan Peperangan” 5 Februari 2007

Dimanakah kedudukan kita dalam peradaban manusia apabila tetapan global semasa dibentuk dengan acuan yang dapat dilihat sebagai “yang berkuasa sentiasa betul” dan “sejarah ditulis oleh orang yang menang”? Sejak zaman dahulu, tamadun manusia menyaksikan bidang sains dan teknologi dieksploitasi untuk memulakan peperangan menentang pihak yang berkonflik, merombak peta dunia serta mewujudkan ketegangan dalam pelbagai rantau dan budaya yang berlainan.

Teknologi senjata dikomersialkan dan menjadi tumpuan utama untuk mempamerkan kekuatan sesebuah negara, sementara senjata kimia dengan mudah dapat melenyapkan populasi. Baru-baru ini, teknologi dron autonomi digunakan untuk membunuh orang awam. Sains dan teknologi tidak bersalah tetapi insan di sebalik ciptaan yang mampu melakukan perubahan; dalam hal ini sains dan teknologi digunakan untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian global.

 

KATEGORI

Kategori pertama (2,500 patah perkataan)

Johan – RM5,000
Naib johan – RM3,000
Tempat ketiga – RM1,000

Kategori ini terbuka kepada pelajar universiti dan orang ramai. PGPF beroperasi dengan mendukung salah satu objektif utama kami iaitu MENJENAYAHKAN PEPERANGAN. Sejak penubuhannya, PGPF telah mengambil pelbagai inisiatif, jadi bagaimanakah kita teruskan kehidupan dalam dunia tanpa keganasan?

Kategori kedua (1,500 perkataan)

Johan – RM 2,000
Naib johan – RM 1,500
Tempat ketiga – RM 1,000

Kategori ini dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan tema yang diberikan ialah SAINS UNTUK KEAMANAN. Esei ini perlu menjawab persoalan bagaimana sains dapat mempromosikan keamanan dan keharmonian global.

JURI (tentatif)

Dr Chandra Muzaffar (Pengerusi)                        Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (Pengerusi)

Kategori 1

Gurdial Singh Nijar

Dr Zulaiha Ismail

Kategori 2

Prof Dato’ Dr. Roslan Abd Shukor

Prof Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin

SYARAT PENYERTAAN

Kategori Pertama

Penyertaan dibuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun atau lebih sebelum tarikh tutup pertandingan. Esei tidak boleh kurang daripada 2,500 perkataan, tidak termasuk abstrak, rajah, jadual data, nota kaki, dan bibliografi atau pengisytiharan pengarang. Hanya satu penyertaan dibenarkan untuk setiap orang, sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu. Esei yang ditulis mestilah hasil penulisan penulis sendiri dan belum pernah disiarkan oleh mana-mana penerbitan.

Kategori Kedua

Penyertaan dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah di Malaysia. Esei tidak boleh kurang daripada 1,500 perkataan, tidak termasuk abstrak, rajah, jadual data, nota kaki, dan bibliografi atau pengisytiharan pengarang. Hanya satu penyertaan dibenarkan untuk setiap orang, sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu. Esei yang ditulis mestilah hasil penulisan penulis sendiri dan belum pernah disiarkan oleh mana-mana penerbitan.

KRITERIA PENILAIAN

Setiap esei akan dinilai dari sudut tahap pengetahuan dan pemahaman tema, kualiti dan kejelasan hujahan, struktur, gaya penulisan, dan daya persuasif. Keputusan juri adalah muktamad.

TARIKH PENYERAHAN

29 November 2018     –  Tarikh akhir penyerahan

20 Disember 2018      –  Makluman kepada peserta yang disenarai pendek

31 Disember 2018      –  Pengumuman pemenang

Semua penyertaan perlu dihantar melalui e-mel kepada pgpf.ms.essaycomp@gmail.com

SYARAT PENYERTAAN

  1. Setiap penyertaan perlu dihantar kepada e-mel penganjur sebagai salinan lembut dalam format .doc atau .docx.
  2. Esei perlu didahului dengan abstrak.
  3. Jenis fon: Arial, Saiz: 12, Langkau baris: 1.5, Saiz fon nota kaki: 10
  4. Dalam e-mel penyertaan, penulis perlu memberikan pernyataan aku janji bahawa esei yang dihantar tidak/ belum pernah diserahkan untuk apa-apa pertandingan atau penerbitan lain.
  5. Peserta juga perlu menyatakan nama penuh, alamat, nombor telefon, dan institusi pengajian tinggi (jika peserta adalah pelajar, kakitangan atau kakitangan akademik).

NOTA

  1. Esei pemenang (dan esei yang disenarai pendek) akan disiarkan di laman web penganjur. Penganjur berhak menggunakan keseluruhan atau sebahagian daripada esei untuk diterbitkan pada masa hadapan.
  2. Penulis esei memegang sepenuhnya hakcipta ke atas esei yang memenangi pertandingan ini manakala penganjur memegang hak untuk menerbitkan kandungannya.