Oleh: Ryia Illani Mohd Yunos (Pegawai Sains Kanan) &
Syahidatun Najwa Abu Zahid (Pegawai Penyelidik)
Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI)
Statistik kanser terkini di Malaysia
Mendengar sahaja perkataan kanser, pasti meruntun rasa gerun. Kanser telah menjadi beban penyakit yang membimbangkan di seluruh dunia. Pada tahun 2018, sebanyak 18.1 juta kes telah didiagnosis dan 9.6 juta kematian telah dilaporkan di seluruh dunia (Bray et al. 2018). Menjelang 2030, beban kanser global dijangka meningkat sehingga 21.4 juta kes dan 13.2 juta kematian (Torre et al. 2015). Memetik kenyataan dalam laporan Malaysia National Cancer Registry 2012-2016, yang diterbitkan pada tahun 2019 di Malaysia, kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi dan menyumbang kepada 16 ribu kematian pada tahun 2018 (Hashimah et al. 2019)
Sepuluh jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari. Jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan lelaki ialah kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan kelenjar prostat. Di kalangan perempuan pula, jumlah kes kanser tertinggi adalah kanser payudara diikuti oleh kanser kolorektal dan pangkal rahim. Kanser yang paling kerap dikesan di kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun ialah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun adalah limfoma (Azizah et al. 2018; Hashimah et al. 2019).
Rawatan Piawai Bagi Penyakit Kanser
Doktor akan mengesyorkan satu atau lebih cara untuk merawat penyakit kanser bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dihidapi. Rawatan konvesional untuk penyakit kanser adalah melalui pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.
1- Pembedahan
Pembedahan adalah rawatan piawai dan telah lama dipraktikkan dalam merawat pelbagai jenis kanser. Kaedah ini lebih sesuai dalam merawat kanser tahap awal berbanding dengan kanser yang sudah berada pada tahap tiga dan empat . Semasa pembedahan, pakar bedah onkologi akan mengeluarkan jisim sel kanser dan beberapa tisu berdekatan. Kadangkala, pembedahan dilakukan untuk melegakan kesan sampingan yang disebabkan oleh tumor. Pesakit juga mungkin memerlukan pembedahan untuk mengetahui sama ada mereka menghidap kanser, mengenalpasti tahap kanser dan jika ia telah merebak atau telah menjejaskan organ lain dalam badan.
2. Kaedah Radioterapi
Kaedah radioterapi digunakan dalam sekurang-kurangnya dua pertiga daripada rejimen rawatan kanser. Radioterapi merupakan rawatan pemulihan (kuratif) yang penting bagi kes kanser yang berjaya dikesan pada tahap awal. Melalui kaedah rawatan ini, kadar kelangsungan hidup pesakit kanser dapat ditingkatkan daripada kira-kira 30% dua dekad lalu kepada kira-kira 80% pada masa kini dalam beberapa jenis kanser seperti kanser kepala & leher (Chen & Kuo 2017). Adakalanya, radioterapi diberikan kepada pesakit sebelum pembedahan dilakukan bagi mengecutkan sel -sel kanser (terapi neoadjuvant). Pemberian radioterapi selepas pembedahan pula dapat menghentikan pertumbuhan mana-mana sel kanser yang masih tinggal (terapi adjuvant).
3. Kaedah Kemoterapi
Kaedah kemoterapi adalah penggunaan ubat untuk menyembuhkan kanser, yang boleh dikelaskan kepada dua pendekatan berbeza; kemoterapi adjuvant dan neoadjuvant. Ubat ini boleh diberikan kepada pesakit secara oral atau disuntik ke dalam saluran darah. Jenis ubat yang berbeza boleh diberikan sekaligus atau satu demi satu. Sebagai contoh, dalam rawatan kanser kolon, ubat kemoterapi seperti 5-Fluorouracil (5-FU) dan capecitabine digunakan sebagai rejimen rawatan. Walaubagaimanapun, rawatan kemoterapi sering dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan yang teruk, bergantung kepada individu. Terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak memberikan tindakbalas yang baik terhadap rawatan kemoterapi yang diberikan (Schirrmacher 2019).
Keberkesanan Rawatan Piawai
Pada masa ini, rawatan piawai kanser seperti radioterapi dan kemoterapi masih lagi kekal relevan terutamanya bagi pesakit kanser yang berada di tahap awal. Namun begitu, data menunjukkan bahawa rawatan ini hanya berkesan kepada 20% daripada populasi pesakit. Lebih malang lagi, 6-8% daripada pesakit ini akan menghadapi kesan sampingan yang teruk akibat rawatan ini (Green & Guyer 2011; Jamal 2017). Apakah sebab hanya sebilangan pesakit sahaja yang memberikan tindakbalas yang baik terhadap rawatan yang diberikan? Mengapakah hanya sebilangan pesakit sahaja mengalami komplikasi setelah menerima rawatan? Menurut kajian, antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini ialah faktor perbezaan genetik di kalangan pesakit kanser (Mansoori et al. 2017).
Perubatan Jitu Dalam Rawatan Kanser
Perubatan jitu atau dalam istilah Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai “precision medicine” merupakan pendekatan penjagaan perubatan yang direka untuk memberi pilihan rawatan terbaik, termasuk jenis, dos dan masa rawatan yang sesuai, berdasarkan analisa genetik seseorang individu (Mateo & de Bono 2016). Dengan pendekatan perubatan ini, doktor boleh memilih terapi atau rejimen rawatan yang spesifik berdasarkan profil genetik pesakit. Kajian saintifik telah membuktikan bahawa pendekatan rawatan ini mampu mengurangkan kesan sampingan, meningkatkan jangka hayat serta kualiti hidup seseorang pesakit, berbanding kaedah “trial-and-error” dalam merawat pesakit kanser menggunakan rawatan piawai (Aziz et al. 2017)
Bagaimana perubatan jitu membantu dalam rawatan kanser?
Melalui pelbagai kajian yang telah dijalankan dalam memahami bagaimana mutasi DNA boleh menyebabkan kanser, perubatan jitu dan terapi bersasar (targeted therapy), telah dibangunkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pendekatan ini menggunakan ubat-ubatan yang khusus kepada mekanisma molekul atau laluan isyarat sasaran dalam sel kanser tersebut. Ubat – ubatan ini bertindak secara berbeza daripada ubat kemoterapi konvensional dan boleh digunakan sebagai rawatan apabila pesakit didapati tidak dapat memberikan tindakbalas yang baik setelah menerima rawatan kemoterapi konvensional.
Sebagai contoh, pendekatan jenis ini biasanya dicadangkan kepada pesakit kanser kolon tahap 4, di mana sel-sel kanser telah merebak ke organ sekunder seperti hati, paru-paru, peritoneum, atau nodus limfa. Bagi tujuan itu, sampel tisu kanser diambil menerusi prosedur biopsi, pembedahan atau darah/cecair badan pesakit dan dihantar ke makmal untuk mengenalpasti kewujudan mutasi pada sel kanser. Seterusnya, pakar onkologi akan berbincang dengan pesakit mengenai impak mutasi genetik yang ditemui terhadap pelan rawatan dan prognosis pesakit. Pesakit kemudiannya diberi pilihan rawatan samada terapi bersasar atau kemoterapi.
Kebanyakan ubat yang digunakan dalam terapi sasaran adalah molekul biologi seperti antibodi monoklonal, perencat tyrosine kinase, dan protein rekombinan. Bevacizumab, Cetuximab, Panitumumab, Regorafenib dan Aflibercep adalah antara molekul biologi yang diluluskan oleh badan antarabangsa, Food and Drug Administration (FDA), yang digunakan dalam merawat kanser kolon metastatik (Ciombor et al. 2015). Selain itu juga, cetuximab dan panitumumab adalah dua antibodi monoklonal yang diluluskan untuk digunakan bersama dengan kemoterapi konvensional seperti 5-FU, leucovorin dan oxaliplatin untuk merawat kanser kolon tahap 4 dalam pesakit yang dikesan tidak mempunyai mutasi pada gen KRAS. Sebaliknya, jika pesakit yang mempunyai mutasi ini, pesakit tidak disyorkan menerima rawatan gabungan ini (Asgeirsson & Senagore 2009) kerana kajian telah menunjukkan bahawa kelompok pesakit ini gagal menunjukkan tindakbalas yang baik setelah menerima rejimen rawatan ini. Gabungan rawatan antibodi monoklonal dan kovensional mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser kolorektal metastatik melebihi dua kali ganda dan mencecah sehingga 30 bulan jika dibandingkan dengan kaedah rawatan pada dua puluh tahun yang lalu (Van Cutsem et al. 2016).
Pemprofilan molekul turut memainkan peranan penting dalam penentuan terapi bersasar kepada pesakit kanser. Melalui penjujukan genom pesakit kanser, kaedah terapi bersasar dapat diperhalusi untuk memanfaatkan populasi pesakit yang tepat, dan seterusnya merealisasikan perubatan jitu. Sehingga kini, kaedah pembedahan, kemoterapi atau radioterapi bagi merawat kanser masih lagi relevan. Namun tidak dapat dinafikan, kehadiran strategi perubatan jitu melalui analisa genomik telah mengubah landskap pengurusan perubatan terutamanya dalam penyakit kanser dan memberi sinar harapan kepada pesakit – pesakit kanser.
Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, dalam kenyataannya kepada media, menyeru lebih banyak kerjasama pihak selain kerajaan, khususnya penyedia perkhidmatan insurans, syarikat farmaseutikal, serta hospital swasta untuk merealisasikan perkhidmatan perubatan jitu. Justeru, Malaysia dilihat sudah mula mengorak langkah dalam perubatan jitu menerusi kerjasama yang julung – julung kali dijalinkan bersama syarikat insurans dan hospital swasta. Ini secara tidak langsung telah membuka jalan kepada pesakit kanser untuk mengakses ujian genomik dan mendapat diagnosis yang lebih tepat tentang kanser mereka berdasarkan profil genetik.
Foto kredit-techexplorist
RUJUKAN
Asgeirsson, T. & Senagore, A. J. 2009. Colon Cancer. Current Surgical Therapy, hlm. 185–188. Elsevier. doi:10.1016/B978-1-4377-0823-3.10046-3
Aziz, M. A., Yousef, Z., Saleh, A. M., Mohammad, S. & Al Knawy, B. 2017. Towards personalized medicine of colorectal cancer. Critical Reviews in Oncology/Hematology 118: 70–78. doi:10.1016/j.critrevonc.2017.08.007
Azizah, A., Hashimah, A. N., Khalijah, M., Wan, A., Norma, S., Noriklil, B., Farzaana, A., et al. 2018. Malaysian study on cancer survival (MySCan) 4: 1–72. Retrieved from https://www.mendeley.com/catalogue/08987e7e-1405-3268-afc4-3e1211d2b566/?utm_source=desktop&utm_medium=1.19.4&utm_campaign=open_catalog&userDocumentId=%7B918a6cc3-0510-4923-ae34-6adf8b002b69%7D
Bray, F., Ferlay, J., Soerjomataram, I., Siegel, R. L., Torre, L. A. & Jemal, A. 2018. Global cancer statistics 2018: GLOBOCAN estimates of incidence and mortality worldwide for 36 cancers in 185 countries. CA: A Cancer Journal for Clinicians 68(6): 394–424. doi:10.3322/caac.21492
Chen, H. H. W. & Kuo, M. T. 2017. Improving radiotherapy in cancer treatment: Promises and challenges. Oncotarget. doi:10.18632/oncotarget.18409
Ciombor, K. K., Wu, C. & Goldberg, R. M. 2015. Recent therapeutic advances in the treatment of colorectal cancer. Annual review of medicine 66(August 2014): 83–95. doi:10.1146/annurev-med-051513-102539
Green, E. D. & Guyer, M. S. 2011. Charting a course for genomic medicine from base pairs to bedside. Nature. doi:10.1038/nature09764
Hashimah, B., Nirmal, K., Nabihah, A., Sukumaran, R., Balqis, B., Rahayu, O. & O, N. A. 2019. Malaysia National Cancer Registry 2012-2016.
Jamal, R. 2017. Precision Medicine: Is Malaysia Ready? Asia-Pacific Journal of Molecular Medicine 7(1): 1.
Mansoori, B., Mohammadi, A., Davudian, S., Shirjang, S. & Baradaran, B. 2017. The different mechanisms of cancer drug resistance: A brief review. Advanced Pharmaceutical Bulletin. doi:10.15171/apb.2017.041
Mateo, J. & de Bono, J. S. 2016. Interrogating the Cancer Genome to Deliver More Precise Cancer Care. American Society of Clinical Oncology educational book / ASCO. American Society of Clinical Oncology. Meeting 35: e577-83. doi:10.14694/EDBK_156908
Schirrmacher, V. 2019. From chemotherapy to biological therapy: A review of novel concepts to reduce the side effects of systemic cancer treatment (Review). International Journal of Oncology. doi:10.3892/ijo.2018.4661
Torre, L. A., Bray, F., Siegel, R. L., Ferlay, J., Lortet-tieulent, J. & Jemal, A. 2015. Global Cancer Statistics, 2012. CA: a cancer journal of clinicians. 65(2): 87–108. doi:10.3322/caac.21262.
Van Cutsem, E., Cervantes, A., Adam, R., Sobrero, A., Van Krieken, J. H., Aderka, D., Aranda Aguilar, E., et al. 2016. ESMO consensus guidelines for the management of patients with metastatic colorectal cancer. Annals of Oncology 27(8): 1386–1422. doi:10.1093/annonc/mdw235