Penulis:
Dr. Mohd Faeiz Pauzi¹, MD, MMed Anaes,
PGDip. Pain Intervention, Fellow in Pain Management,
Pensyarah Perubatan dan Pakar Bius,
Dr. Siti Norazlina Juhari², MD, MMed Family Medicine,
Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga,
Nurul Alina Muhamad Suhaini³, Pelajar Pascasiswazah,
Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia (The International Association for the Study of Pain (IASP)) mentakrifkan kesakitan sebagai satu pengalaman deria dan emosi yang tidak selesa akibat kerosakan tisu yang sama ada sudah berlaku atau berpotensi untuk berlaku atau seperti diterangkan apabila kerosakan berlaku. Kesakitan boleh diklasifikasikan mengikut tempoh masa seperti akut atau kronik, jenis kesakitan sama ada nociceptive (disebabkan oleh kerosakan kepada tisu badan) atau neuropathic (disebabkan oleh system saraf), dan juga sama ada disebabkan oleh kanser atau bukan kanser. Perawatan untuk kesakitan pula boleh dibahagikan kepada perawatan menggunakan ubatan (pharmacological) dan bukan ubatan (non-pharmacological).
Kita sudah biasa membeli ubat tahan sakit yang ada dipasaran farmasi seperti paracetomol atau lebih dikenali dengan nama pasaran seperti Panadol (dilesenkan di bawah GlaxoSmithKline (GSK)), atau pelbagai jenis ubatan di bawah kategori ubat antiradang bukan steroid atau Non-Steroidal Anti Inflammatory Drug (NSAIDs) seperti contoh diclofenac, mefenamic acid, dan ibuprofen. Selain itu, jika kesakitan tidak terkawal dengan ubatan tersebut atau untuk kesakitan kronik, pesakit mungkin akan diberikan ubatan jenis opiat, iaitu sekumpulan dadah yang bertindak balas terhadap reseptor opiat (tapak penerima kesan tindakan hormon) di dalam tubuh badan terutamanya system saraf dan saluran pencernaan. Contoh opiat yang biasa kita dengar adalah morfin (morphine). Opiat ini juga pada asalnya merupakan ubatan tradisional daripada pokok popi.
Namun perawatan kesakitan terutamanya kesakitan kronik agak kompleks, dan tiada satu ubat yang terbaik, melainkan kita perlu menggabungkan kepelbagaian dalam perawatan kita baik secara ubatan konvensional yang ada mahu pun bukan secara ubatan konvensional termasuk penggunaan perubatan komplementari dan alternatif (complementary and alternative medicine (CAM)). Ini selaras dengan pendekatan multimodal dalam perawatan kesakitan, dan ini dapat mengurangkan kesan sampingan daripada dos yang terlalu tinggi daripada satu ubatan. Namun begitu masih banyak lagi rawatan tradisional, komplementari dan alternatif yang masih belum disandarkan kepada bukti santifik yang kukuh (evidence-based medicine).
Potensi Lebah Kelulut
Lebah menghasilkan pelbagai produk yang telah digunakan turun temurun sejak zaman dahulu hingga sekarang yang mempunyai khasiat yang banyak terutamanya dari aspek kesihatan. Antaranya ialah lebah kelulut. Lebah kelulut antara lebah yang tidak mempunyai sengat, namun ianya dapat menghasilkan propolis untuk mempertahankan diri. Propolis ialah campuran yang bersifat melekit yang dihasilkan oleh lebah kelulut untuk menutup lubang pada sarangnya. Propolis ialah bahan campuran serbuk yang kompleks dan terdiri daripada bahan resin semulajadi seperti tunas bunga, daun, dan kulit pokok yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber tumbuhan, dan kemudiannya dicampurkan dengan lilin dan enzim air liur yang dirembeskan oleh lebah kelulut. Madu pula adalah produk yang dihasilkan setelah serbuk sari dan nektar bunga bercampur dengan enzim pencernaan lebah. Bee pollen pula adalah produk sebelum lebah menghasilkan madunya iaitu serbuk sari dan nectar yang dikumpulkan oleh lebah daripada tanaman yang mereka jumpai, dan dibawa ke sarang mereka. Berbeza pula dengan royal jelly, iaitu cairan seperti susu yang dihasilkan oleh lebah madu pekerja, dan cairan berwarna putih kental ini sebenarnya adalah makanan utama ratu lebah. Setiap produk yang dihasilkan oleh lebah ini memiliki kelebihan masing-masing dan ada diterangkan dalam penerbitan berjudul Honey, Propolis, and Royal Jelly: A Comprehensive Review of Their Biological Actions and Health Benefits.
Kandungan sebatian
Secara asasnya, propolis terdiri daripada resin (50%), lilin (30%), minyak pati (10%), sebatian kimia (10%), debunga (5%), dan vitamin mineral (5%). Setiap jenis propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut adalah berlainan mengikut faktor geografi kawasan dan sumber tumbuhan yang dikumpulkan oleh lebah kelulut. Antara jenis propolis yang popular ialah propolis jenis hijau, merah, coklat, kuning, poplar, dan Mediterranean. Contohnya jenis propolis hijau boleh didapati di Brazil dan Taiwan, jenis merah dan coklat coklat di Brazil dan Cuba, jenis poplar di Eurasian, jenis Mediterranean di Algeria, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Greece, Malta, Morocco, dan Turki. Perbezaan warna propolis ini berpunca daripada sumber dan umur tumbuhan yang berhampiran dengan lokasi propolis dihasilkan. Propolis yang terdapat di hemisfera utara terdedah kepada perubahan iklim musim panas, musim bunga, dan luruh, manakala hemisfera selatan pula tidak mengalami perubahan musim yang ketara dan lebah dapat menghasilkan propolis sepanjang tahun.
Propolis biasanya mempunyai bahan sebatian flavonoid dan fenolik yang boleh dikaitkan dengan aktiviti antioksidan, antimikrob dan antiradang. Bahan aktif lain seperti asid malik yang dikaitkan dengan aktivit antimikrob, dan krisin yang dikaitkan dengan antikaser, adalah antara kandungan sebatian dalam propolis yang mempunyai khasiat dari segi perubatan dan kesihatan. Ia juga membantu untuk penyembuhan luka, dan kerana khasiat antioksdanya, ia digunakan secara meluas dalam bidang kosmetik untuk membantu mencegah kerosakan dan penuaan kulit.
Dewasa ini, pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengkaji sebatian kimia yang terdapat di dalam pelbagai jenis propolis di seluruh dunia. Para penyelidik dan saintis telah mengenal pasti beberapa jenis propolis berdasarkan komposisi kimia dan asal tumbuhan. Setiap sebatian kimia di dalam propolis perlu diekstrak dengan teliti dan dianalisis untuk memastikan jenis propolis yang digunakan sesuai, selamat dan berkesan untuk digunakan dalam setiap jenis perawatan.
Dengan khasiat propolis yang begitu banyak, kami para penyelidik di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang terdiri daripada kumpulan pakar perubatan dan saintis, mempunyai perspektif yang amat positif dengan potensi propolis untuk digunakan sebagai salah satu perawatan tradisional dan alternatif untuk melegakan kesakitan. Kesakitan merupakan antara simptom paling banyak pesakit datang ke klinik penjagaan primer (primary care clinic). Kajian ini dijalankan ke atas tikus eksperimen sebelum ianya dapat dijalankan kepada manusia. Fasa permulaan kajian ialah menentukan kehadiran fenolik (phenolic acid) daripada species kelulut yang terdapat di kawasan kami iaitu G. Thoracica, dan dianalisa menggunakan kaedah high-performance liquid chromatography (HPLC). Kemudian tahap dos selamat dan tahap ketoksikan dijalankan ke atas tikus terbabit sebelum dijalankan kajian in vivo untuk melihat kesan propolis tersebut dalam membantu perawatan kesakitan. Kajian ini juga melibatkan eksperimen untuk melihat sama ada receptor opiate turut terlibat atau tidak di dalam modulasi mengawal kesakitan ini. Diharapkan kajian ini dapat menjadi titik permulaan untuk penggunaan propolis diterjemahkan sebagai salah satu modaliti untuk membantu dalam perawatan kesakitan.
Pengakuan: Kajian ini telah mendapat pembiayaan Skim Geran Penyelidikan Fundamental/ Fundamental Research Grant Scheme (FRGS), (FRGS/1/2019/WAB11/UNISZA/02/1) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Kredit Foto- Science News