Oleh : Dr Nor Shahirul Umirah binti Idris
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan
PROGRAM SUNGAI ANGKAT SK SUNGAI RUAL, JELI, KELANTAN KE ARAH MELESTARIKAN SUNGAI
Sungai memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Namun begitu, masih ramai antara kita yang melupakan akan kepentingan sungai dan ini telah menyebabkan kemusnahan yang serius. Di Malaysia, sebanyak 5 % daripada lembangan sungai telah dikategorikan sebagai tercemar teruk, manakala 42 % adalah sungai tercemar dan hanya 53 % sahaja yang dikelaskan sebagai sungai bersih. Ini berikutan masih kurangnya pendidikan dan kesedaran orang ramai tentang kelestarian sungai dan bagaimana menguruskan sungai bagi memastikan kualiti air sungai adalah terjamin.
Dana Penjagaan Sungai Kebangsaan merupakan inisiatif yang ditubuhkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Global Environment Centre (GEC) berperanan menyokong organisasi tempatan dan pertubuhan tidak berkepentingan untuk meneruskan aktiviti / projek mereka bagi memastikan sungai terus terpelihara. GEC percaya inisiatif yang mereka wujudkan ini dapat memberikan motivasi kepada komuniti supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin disamping menyediakan platform kerjasama di antara kerajaan, korporat dan orang ramai.
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli telah terpilih dalam menjayakan inisiatif yang diwujudkan oleh GEC ini. Program Sungai Angkat melibatkan penyertaan dari pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli, Kelantan di mana 100 % pelajar di sekolah ini adalah terdiri daripada orang asli. Pelbagai aktiviti telah dirancang dan direncanakan dengan tujuan utama mendidik para pelajar mengenai pentingnya memulihara sungai daripada tercemar. Sungai yang terpilih dalam program ini adalah Sungai Rual, iaitu sungai utama dan menjadi sumber air bagi penduduk di sekitarnya.
Setiap aktiviti yang dirancang adalah mengikut tahap penerimaan pelajar di SK Sungai Rual, ini adalah kerana pelajar di sekolah ini adalah merupakan komuniti orang asli yang tingal berdekatan. Oleh yang demikian, aktiviti yang disusun adalah lebih santai dan berkonsepkan permainan. Antara aktiviti yang telah dijalankan dengan jayanya adalah “Hari Pendidikan Alam Sekitar”, penubuhan pusat pembelajaran berkonsepkan cintai sungai kita dan gotong royong membersihkan sungai yang melibatkan penyertaan dari pelajar SK Sungai Rual dan komuniti orang asli di perkampungan Sungai Rual.
Hari Pendidikan Alam Sekitar adalah merupakan aktiviti pertama yang dijalankan di bawah program Sungai Angkat. Aktiviti ini adalah merupakan kerjasama antara Kelab Sinergi Lestari, Fakulti Sains Bumi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Kepujian (Seni Halus), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan serta “Sustainable Initiative Unit”, Fakulti Sains Bumi, UMK. Objektif utama aktiviti ini adalah mendidik pelajar SK Sungai Rual mencintai sungai secara santai dan lebih bersifat mudah difahami. Terlebih dahulu pelajar sasaran didedahkan mengenai punca-punca yang menyebabkan sungai tercemar dan langkah yang perlu diambil bagi memulihara sungai daripada tercemar. Pendekatan yang digunakan bukanlah pelajar diberikan syarahan ataupun ceramah, sebaliknya aktiviti permainan yang lebih berkesan dan pelajar sasaran lebih cepat memahami apa yang cuba disampaikan.
Melalui program Sungai Angkat ini juga, pusat pembelajaran berkonsepkan cintai sungai kita telah ditubuhkan di SK Sungai Rual. Selain buku ilmiah, pusat pembelajaran ini juga dilengkapi dengan buku serta permainan berkonsepkan alam sekitar. Program ini berlangsung selama 7 bulan bermula Oktober 2019 sehingga April 2020, serentak dengan pemantauan Sungai Rual secara berkala bagi melihat keberkesanan aktiviti yang dijalankan. Seramai 15 orang pelajar telah terpilih untuk turut serta semasa proses pemantauan sungai. Pemantauan sungai adalah secara in-situ, iaitu menggunakan YSI Multiparameter untuk merekod bacaan parameter fizikal dan kimia kualiti air. Sewaktu sesi pemantauan kualiti air dilakukan di Sungai Rual, pelajar sasaran diberikan pendedahan mengenai bacaan-bacaan parameter kualiti air yang boleh dikategorikan sebagai tidak selamat.
Program Sungai Angkat diakhiri dengan aktiviti gotong royong membersihkan Sungai Rual secara besar-besaran melibatkan pelajar sasaran bersama komuniti orang asli di perkampungan Sungai Rual. Dianggarkan kira-kira 100 orang komuniti orang asli turut serta melakukan gotong royong membersihkan sungai tersebut. Diharapkan penganjuran aktiviti seperti ini dapat mendidik masyarakat tentang pentingnya memulihara sungai daripada tercemar. Program Sungai Angkat dianggap telah berjaya dan objektif program telah tercapai berikutan penglibatan komuniti orang asli bersama-sama membersihkan sungai. Walaupun Sungai Rual dikategorikan sebagai sungai yang tidak tercemar berdasarkan keputusan analisis kualiti air, diharapkan program ini dapat mendidik masyarakat setempat kepentingan memelihara dan memulihara sungai untuk generasi akan datang.
Gambar-gambar di bawah menunjukkan antara aktiviti Program Sungai Angkat.