Oleh: Yasmin Yusuf
Malaysia adalah antara salah sebuah dari 12 negara yang mempunyai mega-diversiti atau kepelbagaian bio. Biodiversiti merupakan kepelbagaian antara organisma hidup yang merangkumi kesemua aspek kehidupan seperti kehidupan daratan, sistem akuatik, dan kompleks ekologi dan termasuklah diversiti antara spesis dan ekosistem. Kekayaan diversiti yang terdapat di Malaysia dianggarkan antara 60% hingga 70% daripada jumlah biodiversiti dunia. Kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di negara kita pada hari ini. Didapati lebih kurang 12, 500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga dan lebih daripada 1,100 spesies paku pakis yang masih lagi menghuni hutan negara kita. Manakala bagi spesies fauna, negara kita mempunyai kira-kira 1,500 haiwan vertebrata dan 150, 000 haiwan invertebrata. Biodiversiti sangat penting untuk dikekalkan kerana setiap spesis berintaksi dalam satu sistem rantaian yang bergantung antara satu sama lain. Namun, sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar banyak binatang di negara kita diancam oleh kepupusan walaupun pelbagai kempen telah giat dijalankan namun isu ini seolah-olah tidak pernah berkesudahan. Menurut The World Conversation Union, (IUCN), terdapat lebih kurang 14% haiwan mamalia di Malaysia telah diancam oleh kepupusan.
Antara binatang yang sedang diancam kepupusan tahap kritikal di Malaysia ada harimau Malaya, badak Sumatera, tenggiling, penyu, orang utan, gajah borneo, dan tapir. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perlihitan) pada tahun 2018, kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 7,451 pada tahun 2017, berbanding 6,767 pada tahun 2016 dan 6,258 pada tahun 2015. Baru-baru ini Malaysia telah kehilangan Badak Sumatera yang bernama Tam dan hanya tinggal badak Sumatera betina yang bernama Iman menjadikannya satu-satunya badak Sumatera yang masih wujud di negara kita.
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)
Kehilangan Habitat
Sikap manusia yang rakus dan tidak bertimbang rasa menjadi salah satu punca utama berlakunya kepupusan hidupan liar. Antaranya ialah pembukaan tanah secara besar-besaran untuk tujuan pertanian, perdagangan dan pembangunan industri. Banyak kawasan hutan di negara kita telah dibuka untuk tujuan penanaman seperti minyak kelapa sawit yang merupakan salah satu sumber ekonomi Malaysia yang utama. Malaysia merupakan pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia setelah Indonesia dengan mempunyai kakitangan pekerja seramai 491 000. Selain itu, pembangunan yang tidak terancang dan aktiviti pembalakan haram seperti menebang pokok yang mempunyai nilai yang tinggi di pasaran contohnya pokok jati dan pokok cengal di hutan hujan tropika menyebabkan banyak haiwan kehilangan habitat. Apabila haiwan kehilangan habitat, mereka akan kehilangan sumber makanan dan perlindungan yang menjadi faktor utama kelangsungan hidup. Tambahan pula, aktiviti pembakaran yang sering melanda Sumatera turut menjadi faktor banyak haiwan yang terancam. Keadaan semakin meruncing apabila spesis binatang hutan seakan namanya sudah menjadi asing seperti rusa sambar, harimau belang, seladang dan beruang matahari lambat membiak dan melahirkan anak dengan jumlah yang terlalu sedikit dalam masa setahun turut kesan terhadap perkembangan populasi binatang berkenaan sehingga benar-benar sudah mengalami kepupusan. Walaupun banyak usaha telah dijalankan seperti pemeliharaan hutan simpan namun isu ini seolah-olah tidak menemui jalan nokhtah.
Pemburuan Haram
Pemburuan secara haram yang berleluasa di hutan turut menjadi faktor berlakukan kemusnahan spesis binatang. Kebanyakan pemburu haram mengambil peluang mengeksplotasi dengan memburu binatang yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan apabila dijual di pasaran gelap. Banyak binatang telah diburu dan dibunuh seperti badak Sumatera kerana tanduknya. Selain mempunyai nilai estetika, tanduk badak Sumatera dijual dengan harga yang sangat tinggi di pasaran dunia kerana mempunyai kelebihan yang pelbagai seperti keupayaan merawat penyakit kanser dan sebagainya. Manakala telur penyu giat dieksplotasi sejak berdekad lamanya sehingga populasi penyu di Malaysia kini telah mencapai tahap kritikal. Penyu mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hingga 50 tahun sebelum ia menjadi matang dan berkeupayaan untuk membiak. Kerakusan manusia yang suka memakan telur penyu, sering dicuri dan dijual dengan harga yang tinggi, ia juga sering diburu kerana daging dan cengkerangnya. Kesukaran penyu untuk bertelur kerana kemusnahan kawasan tempat bertelur akibat pembangunan di sekitar pantai seperti menambak laut menyumbang terhadap populasinya yang semakin susut dari tahun ke tahun. Seterusnya, gading gajah turut menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab. Gading gajah sering menjadi pilihan kerana strukturnya yang tahan lama, mudah diukir dan tidak mudah patah. Gading gajah banyak digunakan untuk membuat alatan seperti gigi palsu dan sekian lama digunakan untuk membuat piano keys. Kajian juga mendapati gading gajah telah digunakan semenjak zaman mesir purba beribu tahun dahulu apabila banyak arca dan ukiran yang dijumpai oleh Ahli Arkeologi diperbuat daripada gading gajah. Penemuan ini telah dibuktikan apabila mereka menjumpai alatan seperti butang, chopstick, tombak, panah, sikat mendiami kawasan sekitar tempat tinggal penduduk.
Kehilangan Variasi Genetik
Apabila sesuatu populasi mengalami kekurangan variasi gen, mereka akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan alam. Variasi genetik penting bagi sesuatu spesis untuk mengekalkan keupayaan mereka berinteraksi dalam pelbagai keadaan. Aktiviti kemanusiaan seperti memburu dan menangkap hidupan darat dan marin memberi kesan pada keseimbangan populasi spesis dengan menjadikan jumlah populasi semakin berkurang. Kekurangan populasi membawa maksud semakin kurang pasangan yang berpotensi untuk membiak dan melahirkan offspring. Oleh itu, apabila sesuatu populasi spesis semakin berkurang, maka variasi generik juga semakin berkurang. Sebagai contoh, spesis seperti cheetah mempunyai kekurangan variasi genetik menjadikan haiwan ini mengalami kesukaran apabila berlaku cabaran seperti aktiviti pemburuan atau kehilangan habitat sehingga mudah terdedah pada penyakit kerana gen negatif yang dirembes melebihi gen positif.
Pencemaran Alam
Keadaan pencemaran yang tidak terkawal juga menyebabkan kepupusan kehidupan akuatik seperti ikan lumba-lumba semakin pupus disebabkan oleh pencemaran air seperti tumpahan minyak di laut dan kegiatan manusia yang tidak bertanggungjawab mengotorkan air laut dengan membuang sampah sehingga menyebabkan kematian. Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut. Mengikut Program Alam Sekitar PBB, (UNEP), 50 peratus plastik digunakan hanya sekali sahaja dan plastik adalah 10 peratus daripada sisa yang dihasilkan. Pada 2016, 480 bilion botol minuman dijual seluruh dunia diperbuat daripada plastik dan 17 juta tong minyak digunakan untuk menghasilkan botol plastik setahun dan apa yang membimbangkan adalah sekurang-kurangnya 13 juta tan plastik akan dibuang ke laut pada setiap tahun! Tahukah anda tapak longgokan sampah yang terbesar di dunia bukan terletak di daratan tetapi ia terletak di lautan Pasifik Utara Tengah yang dikenali sebagai “Lingkaran Sampah Pasifik”. Plastik yang dibuang sering memberikan false signal pada haiwan seperti penyu dan ikan paus yang mengganggap plastik adalah makanannya menjadikan faktor utama haiwan ini pupus akibat kematian kerana menghadapi kesulitan proses penghadaman apabila memakan hasil buangan sisa pepejal. Mengikut kajian yang dijalan oleh Universiti Plymouth, pencemaran plastik mengancam sekurang-kurangnya 700 jenis spesis hidupan marin manakala sekurang-kurangnya 100 milion mamalia laut terbunuh setiap tahun akibat pencemaran laut.
Rujukan:
https://www.bharian.com.my/node/142899
http://www.ikim.gov.my/index.php/2007/09/14/biodiversiti-dan-peranannya-terhadap-keseimbangan-alam-sekitar/
http://www.wwf.org.my/about_wwf/what_we_do/species_main/
https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/endangered-species/
https://www.onegreenplanet.org/animalsandnature/marine-animals-are-dying-because-of-our-plastic-trash/