Oleh: Dr. Fatin Izzati Minhat
Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu
Proses pembentukan planet Bumi merupakan satu proses yang amat panjang. Kini, Bumi merupakan satu-satunya planet di sistem suria yang sesuai didiami oleh manusia. Namun begitu, keadaan di bumi dahulu tidak sama seperti yang kita lihat sekarang semasa pembentukannya 4.6 billion tahun dahulu. Bukti-bukti saintifik menunjukkan bahawa di usia awal pembentukan planet ini, bumi tidak sesuai didiami oleh mana-mana kehidupan.
Jika kita mampu membina mesin masa dan kembali ke zaman awal pembentukan Bumi, kita mungkin tidak dapat bertahan walau seminit. Hal ini kerana, di awal pembentukannya, bumi adalah seperti padang jarak padang tekukur. Keadaan yang amat panas menyebabkan batuan di bumi sentiasa mengalir seperti lahar gunung berapi. Bumi purba ketika itu tidak mempunyai walau satu lautan. Manakala, ruang udara bumi purba ketika itu tidak mempunyai gas oksigen tetapi didominasi oleh gas-gas seperti metana, karbon monoksida dan karbon dioksida. Jadi bagaimana Bumi purba ini boleh berubah kepada keadaan yang kita lihat sekarang? Mari kita lihat perubahan dan proses-proses yang menjadikan Bumi lebih sesuai kepada hidupan dan manusia.
Pelanggaran
Kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu, Bumi purba (proto-Earth) berada di dalam fasa terakhir pembentukan planet. Berhampiran dengan planet Bumi di orbit yang sama ketika itu adalah sebuah planet lain yang jauh lebih kecil. Planet kecil ini, yang diberi nama Theia, juga berada di dalam fasa terakhir pembentukannya. Hukum astrofizik menyatakan bahawa, planet-planet tidak boleh berkongsi orbit yang sama kerana tarikan graviti akan menyebabkan planet bertembung atau berlanggar. Jika pelanggaran berlaku, planet yang lebih besar sentiasa menang manakala planet lebih kecil akan menerima nasib yang kurang baik.
Satu pelanggaran yang dahsyat telah terjadi antara planet bumi dan planet Theia, 4.5 bilion tahun dahulu. Pelanggaran dahsyat yang berlaku telah memusnahkan sebahagian besar planet Theia dan permukaan bumi purba. Simulasi komputer menunjukkan bahawa pelanggaran tersebut telah menyebabkan sebahagian besar batuan dari planet Theia bergabung dengan Bumi purba membentuk Bumi yang lebih besar. Manakala, sebahagian lagi telah hangus terbakar dan tercampak ke ruang angkasa lepas. Impak pelanggaran telah menyebabkan bumi kelihatan seperti bebola api di kelilingi batuan kecil untuk beberapa ratus tahun. Batuan ini kemudiannya berkumpul semula hasil daripada daya tarikan graviti dan mula membentuk bulan. Kesan pelanggaran turut dirasai oleh planet kita. Impak daripada pelanggaran dahsyat ini menyebabkan paksi bumi condong ke kedudukannya sekarang dan permukaan bumi menjadi amat panas selama berjuta-juta tahun. Saintis mengambarkan bahawa bumi pada ketika itu kelihatan hitam dan merah jika dilihat dari angkasa lepas.
Teori pertembungan dua planet ini dan pembentukan bulan kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu mungkin kedengaran seperti cereka fiksyen yang direka-reka. Akan tetapi, simulasi komputer dan teori ini sebenarnya adalah berdasarkan bukti geologi yang di bawa pulang oleh angkasawan semasa misi pendaratan di bulan lima dekad dahulu. Hasil kajian sampel batuan yang diambil dari bulan telah menunjukkan bahawa komposisi kimia dalam batuan tersebut adalah sama dengan batuan yang dijumpai di permukaan bumi. Namun begitu, saintis mendapati bahawa batuan dari bulan ini jauh lebih kering dan tiada unsur mudah meruap (volatiles). Seolah-olah batuan dari bulan ini telah dibakar pada suhu yang tinggi pada jangkamasa yang lama. Oleh yang demikian, hasil penemuan ini menyokong teori pelanggaran dalam proses pembentukan Bumi dan bulan.
Selepas pelanggaran dahsyat yang membentuk bulan, keadaan di bumi tidak banyak berubah untuk beberapa juta tahun. Namun setelah peristiwa dahsyat itu berakhir, bulan mula kelihatan memenuhi langit bumi. Teori menyatakan bahawa jarak antara bulan dengan bumi dahulu adalah lebih dekat. Teori ini dibuktikan selepas misi ke bulan dilancarkan pada tahun 1970-an . Semasa misi angkasa tersebut, angkasawan telah meninggalkan cermin di permukaan bulan untuk membolehkan jarak antara bumi dan bulan diukur menggunakan cahaya laser dari bumi. Ukuran yang dibuat semenjak misi tersebut mengesahkan bahawa saban tahun, bulan akan bergerak menjauhi bumi. Maka jika dibuat pengiraan, semasa 4 billion tahun dahulu jarak bumi dan bulan adalah 16 kali lebih dekat berbanding jarak sekarang. Oleh itu, jika kita dapat bayangkan langit malam di bumi ketika itu, sudah tentu kita akan terpesona dengan kecantikan bulan.
Pembentukan laut
Haba yang terhasil akibat pelanggaran antara bumi dengan planet Theia dibebaskan ke ruang angkasa lepas dengan sangat perlahan. Namun pada kira-kira 3.8 bilion tahun dahulu, suhu bumi mula menjadi lebih sejuk. Keadaan ini membenarkan wap air mula terkondensasi untuk membentuk membentuk awan. Teori menyatakan wap air ini mula terperangkap di dalam kawasan atmosfera bumi dan hujan mula turun membasahi permukaan yang tandus. Bayangkan jumlah hujan yang banyak dan fenomena hujan ini berlarutan untuk berkurun lamanya. Akhirnya, air yang terkumpul dikawasan rendah atau lembangan mula membentuk lautan pertama di bumi pada 3.8 billion tahun dahulu. Bumi yang dahulunya hitam kini mula kelihatan kebiru-biruan.
Lautan ungu
Pembentukan lautan merupakan salah satu peristiwa penting yang menjadikan bumi tempat yang sesuai didiami oleh organisma. Namun begitu, lautan purba yang tebentuk ini tidak mempunyai sebarang hidupan di dalamnya sehingga lebih kurang 3.5 bilion tahun dahulu. Setelah lembah-lembah dan kawasan rendah di bumi purba ditenggelami air dan membentuk lautan yang luas, hidupan mula muncul di kedalaman lautan tersebut. Bakteria merupakan hidupan awal yang terbentuk di dalam laut kira-kira 3.5 bilion tahun dahulu. Walaupun proses penyejukkan bumi masih sedang berlaku, kebanyakan batuan masih mengalirkan seperti lahar akibat pemindahan haba dari pusat bumi ke permukaannya. Oleh yang demikian, medium air merupakan ekosistem yang lebih sesuai untuk bakteria mula hidup dan berkembang. Bakteria purba ini merupakan kumpulan bakteria yang mampu hidup dan menyesuaikan diri di kawasan panas dan tidak mengandungi oksigen. Pada hari ni, bakteria daripada kumpulan Arkea (Archea) ini dilihat hidup dikawasan kolam air panas dan laut mati. Oleh yang demikian, saintis berpendapat bahawa semasa 3.5 juta tahun dahulu, semasa bumi dipenuhi gas rumah hijau tanpa oksigen, kumpulan bakteria ini telah berupaya beradaptasi di bumi dengan menjalankan proses kimosintesis (Chemosynthesis). Kimosintesis adalah proses penghasilan makanan sendiri atau tenaga daripada bahan kimia seperti sulfur. Kebolehan untuk hidup di kawasan tanpa oksigen, panas dan menghasilkan makanan sendiri telah membuatkan organisma seni ini satu-satunya jenis organisma yang berjaya hidup di bumi kira-kira 3.5 bilion tahun dahulu. Koloni bakteria ini akhirnya mendominasi lautan di bumi selama beberapa juta tahun dan menyebabkan lautan kelihatan ungu dari angkasa lepas. Tiada lautan maka tiadalah hidupan di muka bumi ini. Sayangilah bumi dan lautan kita. Selamat hari bumi, 22 April 2021.
Nota: Penulis merupakan pensyarah Program Sarjana Muda Sains (Geologi Marin) di Universiti Malaysia Terengganu yang terlibat aktif dengan Institut Oseanografi dan Sekitaran dalam pelayaran di Laut China Selatan dan Selat Melaka bagi projek pembinaan semula peta permukaan lautan dan suhu persekitaran semasa Zaman Holosen (bermula 10 ribu tahun dahulu). Penulis boleh dihubungi melalui fatinminhat@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua