Artikel ke-9 kerjasama Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah naungan Akademi Sains Malaysia (ASM)
_____________________________
Oleh: Prof. Madya Dr. Zumi Zuhanis Has-Yun Hashim, Ahli YSN-ASM
Jabatan Kejuruteraan Bioteknologi, Kulliyyah Kejuruteraan
dan Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (INHART)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Halalan toyyiban; bukan sekadar istilah
Istilah halal bukanlah suatu istilah yang asing dalam masyarakat majmuk seperti di negara kita Malaysia. Namun begitu, sebahagian daripada kita mungkin menganggap halal cumalah merujuk kepada makanan. Hakikatnya definisi halal meliputi segenap aspek kehidupan; merujuk kepada sebarang perkara, objek, kegiatan dan benda yang diizinkan atau dibolehkan dalam Islam. Halal datang berpasangan dengan toyyiban, yang membawa maksud bersih, suci, baik, selamat dan sihat-berkhasiat. Apabila bergandingan, jelas sekali halalan toyyiban adalah bersifat holistik dan bertujuan menjaga kemaslahatan sejagat.
Halal juga bukanlah sesuatu yang baru kerana ia datang bersama-sama dengan ajaran Islam, lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, sejak mutakhir ini sektor halal melalui suatu fasa kebangkitan melalui konsep ‘Gaya Hidup Halal’ (Halal Lifestyle). Konsep ‘Gaya Hidup Halal’ ini merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah perundangan dan pensijilan halal, produk dan pemprosesan makanan, kosmetik, barangan penjagaan diri, ubatan dan farmaseutikal, pelancongan dan hospitaliti, perbankan dan kewangan serta banyak lagi cabang ilmu berkaitan halal.
Sains dan saintis industri halal
Sains menurut Kamus Dewan bermaksud ilmu pengetahuan yang teratur dan dapat dibuktikan kebenarannya; seringkali melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (Research and Development; R&D). Secara amnya, kelompok sumber manusia (bakat) yang menjalankan aktiviti R&D ini dikenali sebagai saintis. Seperti juga bidang-bidang lain, aktiviti R&D merupakan tunjang di sebalik pertumbuhan sesuatu sektor. Maka, di sebalik pembangunan pesat sektor halal, ada golongan yang berperanan menjalankan R&D dalam pelbagai disiplin ilmu berkaitan halal. Mereka ini digelar saintis industri halal.
Walaupun istilah ‘saintis’ dan ‘sains’ itu sendiri sering berkonotasi dengan sains dan teknologi atau sains tulen, namun hakikatnya bidang sains itu sangat luas dan meliputi juga bidang sains sosial. Saintis industri halal ini mungkin bekerja dan menyumbang khidmat bakti di mana-mana bidang dalam spektrum sains berkaitan industri halal.
Keperluan kepada penyelidikan di dalam bidang sains industri halal pada awalnya berkisar dalam aspek analisis bahan ramuan dan perisa tambahan (additive) terutama untuk mengenal pasti produk makanan dan minuman yang bebas daripada bahan-bahan yang jelas haram seperti khinzir dan alkohol (khamr). Usaha ini masih berterusan dan kini penyelidik juga turut melihat kepada aspek keselamatan dan kesihatan sesuatu produk sesuai dengan konsep halalan toyibban. Produk yang dikaji juga kini merentasi produk berasaskan makanan, misalnya ubatan dan farmaseutikal dan barang penjagaan diri.
Antara penyelidikan dan aktiviti berkaitan halal yang dijalankan oleh saintis industri halal dan pelaksana halal di Malaysia termasuklah:
- Gelatin daripada sumber hasilan laut (seperti ikan tilapia dan rumpai laut) sebagai alternatif kepada gelatin daripada khinzir dan haiwan yang tidak disembelih menurut shariah
- Pembangunan teknik-teknik identifikasi bahan-bahan daripada sumber haram dalam produk makanan dan bukan makanan menggunakan pelbagai kaedah, seperti:
- Instrumen makmal berteknologi tinggi seperti Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS), Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) dan Liquid Chromatography Mass Spectrometry (LCMS) dan lain-lain lagi
- Teknik biologi termasuk biologi molekul berasaskan DNA dan protein
- Pembangunan rating tool dalam industri pelancongan dan hospitaliti bagi membantu pengguna memilih hotel/inap desa/tempat penginapan yang mesra-muslim (muslim-friendly) dan patuh shariah
- Pembangunan dan pewujudan piawaian untuk industri halal seperti
- MS 1500:2009: Makanan Halal
- MS ISO 1900:2005: Sistem Pengurusan Kualiti – Keperluan daripada Perspektif Islam
- MS2424:2012: Farmaseutikal Halal – Garis Panduan Umum
- MS2200-1:2008: Barang Gunaan Islam – Bahagian 1 dan MS 2200-2:2013 – Barang Gunaan Islam – Bahagian 2
- Kempen kesedaran halal di kalangan masyarakat termasuk komuniti orang Asli
Usaha untuk membangunkan sumber manusia dalam sektor halal ini telah giat dijalankan di negara kita melalui penubuhan entiti seperti institusi berikut:
- Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (INHART) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) di Universiti Putra Malaysia
- Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) di Universiti Sains Islam Malaysia
- Institut Penyelidikan Halal, Universiti Malaya (IHRUM)
- Institut Pengurusan dan Latihan Halal UNITI (IFLAH).
Setiap entiti di atas mempunyai fokus bidang keutamaan yang berbeza tetapi saling melengkapi. Aktiviti entiti-entiti ini tidak terbatas kepada program tempatan sahaja malah bersifat antarabangsa. Misalnya, INHART menjalin kerjasama dengan Chonbuk National University dan Sejong University, Korea Selatan.
Sebagai contoh, program-program pengajian berkaitan halal yang ditawarkan di institusi tempatan adalah seperti berikut
- Master of Art in Halal Industry Management (MAHIM) dan Master of Science in Halal Industry Science (MSHIS) – INHART
- Sarjana Sains Produk Halal, Sarjana Sains Pembangunan Produk Halal, Sarjana Pengurusan Produk Halal, dan Sarjana Shariah dan Undang-undang Halal – IPPH
- Diploma Pengurusan Halal – Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM
- Diploma in Halal Industry Management dan Diploma in Muamalat Management – Kolej UNITI
- Diploma Pengurusan Industri Halal dan Diploma Pengajian Muamalat – Institut Profesional Baitulmal
Program pasca siswazah peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan halal juga turut ditawarkan di institusi pengajian seperti INHART dan IPPH.
Kini, usaha pembangunan sumber manusia ini telah menampakkan hasil dengan pewujudan peluang pekerjaan baru dalam sektor halal seperti Auditor Halal, Konsultan (pakar runding) Halal/Shariah dan Eksekutif Halal selain daripada saintis industri halal yang bekerja dalam bidang R&D. Penjenamaan halal juga dilihat telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan permintaan dan jualan produk dan servis berkaitan halal. Manakala pensijilan Halal JAKIM telah mencapai satu piawaian yang sangat baik, tersohor dan menjadi tanda aras bagi negara-negara lain.
Seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian (tulisan Irwan Shafrizan Ismail); pada 1 Jun 2017, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Malaysia Bil 2/2017 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Menurut beliau, lima agenda penting bagi merancakkan ekosistem halal negara sedang digerakkan kerajaan bagi tempoh 2018 hingga 2020. Ini termasuklah penubuhan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa (IHAB), Akademi Kajian Halal Antarabangsa (HIRA), Institut Akademi Halal Malaysia (MIHA), Pusat Teknologi dan Inovasi Halal (HITeC). Majlis Halal Malaysia turut memutuskan supaya Malaysia menganggotai Lembaga Pengarah dalam Institut Standards dan Metrologi untuk Negara-Negara Islam (SMIIC) mulai tahun ini. Semua langkah ini bertujuan antara lain untuk melahirkan lebih ramai profesional dan teknokrat dalam industri halal.
Jadi, di manakah sains halal dalam sains arus perdana? Adakah seiring, sebaris dan setanding?
Pada ketika ini, sains halal mungkin belum setanding sains arus perdana. Senario ini mungkin berkait rapat dengan kesedaran yang masih pada tahap yang rendah di kalangan saintis amnya terhadap bidang sains halal. Komuniti saintis industri halal juga masih tidak begitu besar menyebabkan kurangnya impak sains halal pada ketika ini. Namun, melihat kepada pertumbuhan pesat sektor halal yang bernadikan sains halal, pasti sains halal bukanlah melukut di tepi gantang. Persoalan seterusnya, ke mana pula hala tuju sains halal? Jawapannya, senada dengan bidang sains yang lain juga; yakni sebagai asas dan wadah untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Nota: Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Prof. Hamzah Mohd Salleh, Dekan, Institut Penyelidikan Halal dan Latihan Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atas pandangan dan perkongsian maklumat untuk artikel ini.