Oleh:Mohd Hasnul Bin Mohd Sani
Sains sebagai satu bidang ilmu yang sentiasa berkembang sentiasa mewujudkan teori-teori yang pelbagai. Sejak zaman keagungan sains Islam sehinggalah zaman sains moden,sains sentiasa mengalami perubahan dan perkembangan yang sentiasa mengubah-mengubah landskap dalam pemikiran manusia untuk memahami alam dan kejadian manusia.
Jika ada orang yang mengatakan bahawa bumi adalah mendatar pada zaman ini (masih ada lagi yang percaya),kita akan lantas mengecop orang tersebut adalah gila ataupun ketinggalan zaman, tetapi teori yang bumi mendatar bukan asing lagi pada zaman Greek (Yunani) dan diterima secara meluas. Malahan semasa Christopher Columbus mahu merintis jalan ke Timur (Asia) melalui lautan Atlantik (laluan Barat), ramai pihak yang skeptikal kerana masih lagi berpegang dengan kepercayaan yang bumi adalah mendatar.
Walaupun Christopher Columbus gagal dalam menemui jalan ke Timur,beliau secara tidak sengaja telah menjumpai benua Amerika dan menjadi antara pelayaran yang gagal tetapi penemuan penting kepada dunia.
Pertembungan Sains Dan Agama
Sepanjang sejarah kehidupan manusia, sains dan agama sentiasa bertembung dan pertembungan ini kadang-kadang menyebabkan kematian di satu pihak. Antara pertembungan hebat antara sains dan agama adalah antara Pope Urban dan Galileo. Ini adalah kerana Galileo berpendapat bahawa matahari adalah pusat alam semesta (heliocentric) dan bumi beserta planet lain mengelilingi matahari.
Pendapat ini adalah bercanggah dengan pendapat gereja yang mengatakan bumi adalah pusat alam semesta. Galileo dihukum tahanan rumah oleh pihak gereja lantaran pendapat ini. Hanya pada tahun 1992 iaitu hampir 350 tahun selepas dihukum barulah pihak gereja meminta maaf kerana penghakiman salah terhadap Galileo kerana pembuktian sains moden telah membuktikan yang Galileo adalah benar.
[Baca – Jurang Sains & Teknologi Negara-negara Islam]
Teori Darwin juga telah mencetuskan perbalahan hebat antara sains dan agama. Teori Darwin yang mengatakan evolusi menerusi pemilihan semulajadi telah menjadi kontroversi terutama di kalangan agamawan dari agama Kristian dan Islam. Justifikasi yang diberikan oleh agamawan adalah kenyataan Darwin adalah bercanggah dengan Kitab Suci agama masing-masing.
Jikalau dahulu Teori Darwin tidak diajar di Amerika, dengan perkembangan semasa teori ini mula berkembang dan dengan penemuan-penemuan mutakhir yang menyokong teori ini seperti anggaran usia bumi dan penemuan-penemuan fosil manusia zaman awal, makin ramai yang mula berpegang dengan teori ini sehingga dibuktikan sebaliknya.
Reputasi Dan Kepintaran
Reputasi ahli sains sentiasa memainkan peranan samaada teorinya diterima atau tidak.Pada zaman awal revolusi sains,kebanyakan saintis adalah amatur dan mempelajari sains kerana hobi atau minat.Inilah sebabnya wujud ramai polymath yang menguasai pelbagai bidang.
Lord Kelvin pada zamannya adalah antara saintis agung. Malahan unit SI Kelvin yang digunakan untuk mengukur suhu adalah bersempena namanya. Lord Kelvin menganggarkan bahawa usia bumi adalah diantara 100 juta tahun tetapi dengan teori ini, maka teori Darwin tidak boleh digunapakai kerana organisma memerlukan lebih banyak masa untuk berkembang dari organisma satu sel menjadi organisma komplek.Tetapi kerana reputasi Lord Kelvin yang hebat,satu kesalahannya tidak pernah menjadikan namanya pudar atau dilupakan.
Zaman sekarang jika anda tidak mempunyai kelayakan dalam bidang yang ingin anda kemukakan, pandangan anda akan dipandang secara sebelah mata. Inilah pentingnya kelayakan formal dalam penyelidikan sains. Tetapi jika mahu membina reputasi juga perlukan masa dan tenaga dan walaupun dilahirkan sebagai seorang genius sekalipun, tanpa usaha semua kepintaran adalah sia-sia.
Berapa ramai manusia yang mempunyai IQ yang tinggi tetapi tidak berjaya dalam kehidupan kerana tidak mempergunakan kepintaran ke arah yang betul. Einstein yang digelar ahli fizik terhebat sepanjang zaman dianggarkan mempunyai IQ diantara 160 hingga 190 tetapi kerja kerasnya yang menjadikan beliau antara terbaik di dunia.
Begitu juga Stephen Hawking yang walaupun lumpuh seluruh badan disebabkan motor neurone disease .Malahan teori terhebat beliau banyak dihasilkan dalam keadaan lumpuh berbanding semasa beliau masih sihat. Thomas Edison pernah berkata yang “Genius adalah 99% kerja keras dan 1% ilham.”
Perubahan Iklim:Konspirasi atau Kebenaran
Menurut buku Global Climate Change: Book of Essential Knowledge,secara globalnya tahun 2005,1998,2002,2003 dan 2006 adalah 5 tahun yang paling panas pernah direkodkan sejak 100 tahun lalu.Perubahan iklim adalah antara perbalahan terbaru dan skalanya bersifat global.
Pada Disember 2015,satu perjanjian(COP21) telah ditandatangani di Paris yang melibatkan hampir 200 negara telah sepakat untuk memastikan kenaikan suhu global bawah 2°C. Perjanjian ini penting untuk memastikan kesemua negara yang terlibat mengehadkan penghasilan gas rumah hijau yang sejak Revolusi Industri bermula, penghasilan telah meningkat berkali ganda.
Dalam kebimbangan mengenai perubahan iklim, menurut kajian 96% saintis percaya yang perubahan iklim sedang berlaku dan bakinya adalah golongan yang skpetikal yang perubahan iklim adalah satu fenomena yang terjadi bukan disebabkan oleh manusia. Saintis 4% ini berpendapat yang aktiviti manusia tidak mungkin akan menyebabkan perubahan iklim sambil memberi dalil-dalil dan teori konspirasi.
Walaupun begitu,saintis 4% ini tidak pernah mengemukakan kajian dan hanya memberi dalil yang bersifat spekulatif(boleh rujuk www.globalclimatescam.com). Dan perkembangan terbaru menurut sebuah kajian yang diterbitkan di Nature.com, pemanasan global yang dihasilkan manusia mungkin menyebabkan Zaman Ais tertunda lebih 50,000 tahun.
Teori konspirasi bukanlah asing dan sudah berlegar-legar sejak zaman dahulu hingga zaman moden.Antara teori konspirasi yang hangat diperkatakan adalah pendaratan manusia di bulan, pembunuhan John F. Kennedy dan pengeboman World Trade Centre.
Di Malaysia juga teori konspirasi juga berkembang subur dari teori RAHMAN dan baru-baru ini dengan teori MH370 dan MH17. Rakyat Malaysia dengan pantas menjadi pakar penerbangan dan pakar hubungan strategic ketenteraan apabila sesuatu isu timbul.
Inilah masalah apabila terlalu bergantung pada persepsi dan tidak menyelidik maklumat terlebih dahulu sebelum meletakkan kepercayaan. Imam Syafie pernah berkata, “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”
Penutup
Perbalahan dan pertembungan pendapat dalam sains sentiasa berlaku dan saintis perlulah mengemukakan fakta yang jelas dan kuat untuk membuktikan pendapat dan teorinya adalah benar dan tepat. Mungkin ada teori yang pada mulanya tidak diterima dan ditolak tetapi dengan masa dan perkembangan teknologi semuanya tidak mustahil untuk dibuktikan.
Saintis sebagai golongan terpelajar haruslah berlapang dada,berani dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan untuk menghadapi cabaran yang mendatang jika merasakan dirinya adalah di pihak yang benar. Albert Enstein pernah berkata “Kenapa perlukan seratus orang jika hanya seorang sahaja yang diperlukan untuk membuktikan teorinya salah.”
Rujukan Buku
1)Hall Hellman.(2007).Perbalahan Hebat Dalam Sains. Kuala Lumpur.ITNM
2)Ernest Zebrowski.(2011).Global Climate Change,Massaschusetts:Imagine Publishing
Rujukan Web
1)http://www.nytimes.com/1992/10/31/world/after-350-years-vatican-says-galileo-was-right-it-moves.html
2)http://www.therichest.com/rich-list/the-biggest/the-10-highest-iqs-in-histoy/?view=all
3)http://climate.nasa.gov/blog/938
4) http://www.globalclimatescam.com/opinion/top-ten-reasons-climate-change-is-a-hoax/
5) http://weeklysciencequiz.blogspot.my/2013/01/a-hundred-authors-against-einstein.html
6) https://www.pik-potsdam.de/news/press-releases/human-made-climate-change-suppresses-the-next-ice-age
Nota Editor –
Penulis merupakan graduan Sarjana Muda Sains, (Kimia Analisis dan Persekitaran)