Mengabdikan diri selama 29 tahun dalam bilik makmal menjalankan pelbagai kajian bidang bioteknologi dan makanan membuatkan saintis wanita di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ini cukup puas apabila banyak produk penyelidikannya mendapat hak cipta (IP) di dalam dan luar negara.
Sehingga kini, Timbalan Pengarah Program Bio-Pemprosesan dan Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Gred Khas (VK7), MARDI, Dr Kamariah Long,54, sudah mengetuai 14 projek termasuk penyelidikan pra-pengkomersilan dan pembangunan MARDI yang semuanya berjumlah hampir RM13.6 juta.
[Baca – Profesor Sekam Padi, Prof Halimaton Hamdan]
Beliau juga menjadi kolaborator kepada tujuh projek lain yang didaftarkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan tiga daripadanya projek kontrak syarikat swasta berjumlah RM7.73 juta.
Antara anugerah penyelidikan yang paling manis diterimanya adalah berkaitan minyak kelapa dara yang mempunyai nilai tambah (EVCO) sekali gus mendapat pengiktirafan IP di Malaysia, Jepun dan Indonesia.
Sepanjang tempoh itu, banyak anugerah kecemerlangan diraih sehingga produk hasil kajiannya mendapat permintaan di dalam dan luar negara, selain dinobatkan sebagai pakar saintis terhebat oleh Akademi Sains Malaysia, tahun lalu.
Ketika ini, Dr Kamariah sedang giat menjalankan penyelidikan mengenai tempe kacang hijau dan yogurt bukan tenusu yang dihasilkan daripada produk sampingan kelapa.
“Itulah dunia saya. Bagaimanapun kerjaya sebagai saintis bukan bermakna ‘menghambakan’ diri semata-mata untuk menghasilkan produk terbaru dan hanya terperap dalam makmal, apa yang lebih penting kajian itu dapat direalisasikan.
“Hasil penyelidikan pertama saya yang berjaya dikomersilkan ialah minyak kelapa dara bernilai tambah tinggi dikenali sebagai EVCO dengan geran bernilai RM4.5 juta daripada MOSTI,” katanya ditemui FAMILI, baru-baru ini.
Beliau berkata, setiap saintis akan berhadapan dengan pelbagai persoalan dalam usaha menghuraikan setiap permasalahan dalam setiap kajiannya, namun ia menjadikan minda berkembang.
Bercinta dengan kajian
Sebagai saintis seolah-olah ‘bercinta’ dengan bahan kajian sehingga berjaya menghasilkan sesuatu ciptaannya.
“Bila idea datang tidak kira ketika sedang makan, bangun tidur, memasak, menonton televisyen dan sebagainya kerana otak akan sentiasa berfikir walaupun secara zahirnya orang melihat kita sedang melakukan pekerjaan lain.
[Baca – Prof Basyaruddin – Pakar Kimia Pemangkinan]
“Lebih banyak masalah dan cabaran ketika menjalankan kajian. Perlu banyak membaca dan mencuba. Paling penting saya tidak berhadapan dengan tekanan tetapi keluarga sangat memahami,” jelasnya.
Baginya, dulu setiap penyelidikan dilakukan tidak difikirkan untuk dikomersilkan sebaliknya tumpuannya adalah untuk menghasilkan ciptaan saja.
“Dulu saya minta geran lakukan projek dan dapatkan keputusannya. Bagaimanapun projek tidak ke mana-mana kerana kebanyakan saintis tidak dilatih untuk mengkomersilkan hasil kajian. Ketika di universiti pensyarah melatih untuk menghasilkan penyelidikan dan bukannya tujuan komersil.
“Lebih kurang 15 tahun melakukan perkara yang sama dalam erti kata ‘syok sendiri’. Bagaimanapun keadaan berubah apabila saya sedar kerajaan memberikan geran yang banyak dan minta produk dikomersilkan, tetapi analisis dibuat mendapati proses tidak berdaya maju kerana membabitkan kos penghasilan yang tinggi,” katanya.
Ciri-ciri saintis
Justeru, beliau tidak hairan jika ramai yang memandang rendah saintis tempatan kerana tidak mampu memberi pulangan ekonomi kepada kerajaan daripada kajian yang dilakukan itu.
“Tetapi sekarang, kerajaan sudah mengenakan syarat ketat kepada penerima geran penyelidikan terutama penyelidikan gunaan mesti ada produk dihasilkan. Jika saintis inginkan kejayaan berganda mereka perlu mempunyai pemikiran seperti usahawan dengan memastikan hasil kajian harus mengambil kira nilai dan pulangan kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau menegaskan saintis perlu ada impian untuk melihat produk kajiannya dikomersilkan dan dikenali ramai.
“Mereka perlu menjadi juara dalam proses mengkomersilkan produknya barulah berupaya menjadikan penyelidikan sebagai sumber menjana pendapatan negara.
Semangat ini harus dipupuk di peringkat awal supaya mereka lebih peka dengan keperluan dan masalah industri. Oleh itu, beri peluang kepada generasi muda termasuk memberi pendedahan, pengalaman dan mereka belajar secukupnya dalam bidang ini.
Beliau berharap pihak universiti memainkan peranan penting untuk melahirkan pelajar lebih berdaya saing, kreatif, proaktif dan mempunyai minda lebih terbuka.
Komited kerja
Mengimbas pembabitan awal dalam kerjaya ini, Dr Kamariah berkata beliau sering tidur lewat pagi, iaitu jam 2 hingga 3 pagi di dalam makmal sehingga kerana ia berkaitan benda hidup yang tidak boleh ditinggalkan begitu saja.
Bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang itu, beliau juga melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah, selama setahun, di Westminster University London, United Kingdom.
“Bagi saya, saintis perlu membahagikan masanya dengan bijak. Jika di rumah, dahulukan keluarga dan jika di pejabat lakukan kerja pejabat kecuali ketika kecemasan.
“Prinsip saya mudah. Wanita tidak akan berjaya jika mempunyai keluarga yang huru-hara. Jika anda pulang dalam keadaan rumah yang bersepah, anak tidak terurus ia seakan menambahkan masalah. Oleh itu, pada saya walau apa sekali pun yang terjadi, keluarga harus diutamakan dulu,” katanya.
Malah beliau juga pernah menghabiskan masa hujung minggunya selama dua tahun semata-mata untuk memastikan anak bongsunya lulus Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) memandangkan anaknya mempunyai masalah disleksia.
“Walau apa pun jawatan yang anda pegang, dahulukan keluarga. Alhamdulillah anak saya semuanya berjaya di mana yang sulung kini menjadi jurutera, kedua graduan animasi, ketiga mahasiswa bidang farmasi dan bongsu mengambil kursus seni kulinari di Amerika Syarikat,” katanya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
INFO
Nama: Kamariah Long
Jawatan: Timbalan Pengarah Program Bio-Pemprosesan dan Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Gred Khas di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI.
Mula bertugas di MARDI: 1984
Asal: Johor Bahru
Umur: 54 tahun
Antara Anugerah:
- Pencipta Wanita oleh Pertubuhan Pencipta Persekutuan Antarabangsa (2006)
- Anugerah Saintis Cemerlang MARDI (2006)
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARDI ( 1992; 2003; 2006)
- Saintis Penyelidikan Terbaik oleh Akademi Sains Malaysia (2012)
Antara produk penyelidikan yang dihasilkan dan didaftarkan untuk mendapatkan hak cipta (IP)
- Minyak kepala dara tambah nilai – Mendapat hak cipta di Malaysia, Jepun dan Indonesia
- Minyak olein tiada keladak pada suhu rendah – mendapat hak cipta di Malaysia
- Minyak berkalori rendah berasaskan minyak sawit
- Tempe kacang hijau yang mempunyai pelbagai fungsi kesihatan
- Yogurt bukan tenusu berasaskan bahan sampingan kelapaSumber/Foto : Berita Harian