Oleh : Amryl Malek
Pada hari Ahad (10/11/2013), sebuah satelit seberat satu tan milik Agensi Angkasa Eropah (ESA) telah terjerumus jatuh ke bumi. Berpuluh serpihan yang hangus, ada yang seberat 200 paun, berkemungkinan besar telah jatuh ke dalam Lautan Atlantic di sekitar Kepulauan Falkland. Seorang penduduk kepulauan tersebut sempat menangkap gambar satelit yang hangus terbakar itu sedang terhumban ke bumi.
Menurut laporan The New York Times, pada awalnya agensi tersebut tidak mengetahui bila secara tepatnya satelit itu akan jatuh ke bumi. Kedudukan satelit itu akan jatuh juga tidak dapat diketahui. Namun begitu masalah sebegini adalah normal bagi kebanyakan satelit. Semenjak manusia melancarkan misi menjelajah angkasa lepas, dijangka sebanyak 15,000 tan serpihan telah jatuh semula ke bumi. Setakat ini, tiada lagi kejadian serpihan-serpihan yang telah mengakibatkan kecederaan, walaupun adanya kemungkinan kecil ia berlaku.
[Baca – Sampah-sarap Angkasa]
Satelit Gravity Field and Steady-State Ocean Circulation Explorer (GOCE), telah menamatkan misi memetakan medan graviti Bumi pada tahun 2011. Data dari satelit tersebut telah membantu para saintis memahami topografi dasar laut, peredaran air lautan, dan kenaikkan paras air laut.. Sejurus sebelum menamatkan misi, GOCE telah dapat merakam gelombang bunyi dari gempa bumi yang melanda Jepun pada bulan Mac 2011.
GOCE telah direkabentuk untuk terjerumus ke bumi tanpa kawalan bila ianya kehabisan bahan dorongan (propellant), tetapi bahan dorongan yang telah digunakan adalah lebih sedikit dari yang dijangka dan ini telah menyebabkan satelit tersebut berada di orbit lebih lama dari yang dirancang. Bahan api akhirnya habis digunakan pada 21 Oktober. Pada 6 November, The New York Times melaporkan bahawa jurutera-jurutera GOCE menjangkakan satelit itu akan jatuh pada 10 November atau pagi 11 November.
Sumber – PopScience