Nota editor;
Tulisan ini asalnya adalah posting Dr. Mohamed Awang Lah (Bapa Internet Malaysia) di laman Facebook beliau. Kami mengambil inisiatif untuk memuatkan kembali sejarah penting kemunculan internet di dalam negara yang bermula sejak tahun 1984, dengan keizinan beliau.
Biodata:
“Dr. Mohamed Bin Awang Lah merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif JARING (Joint Advanced Research Integrated NetworkinG) Malaysia merangkap Timbalan Presiden MIMOS Berhad yang bertanggungjawab menguruskan aktiviti harian JARING dan operasi R&D di MIMOS. Beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera di Lembaga Letrik Negara (LLN) pada tahun 1976. Kemudian beliau memasuki dunia akademik sebagai tutor di Universiti Malaya di Fakulti Kejuruteraan dan berkhidmat sebagai Timbalan Dekan pada tahun 1983.
Dr. Mohamed Awang Lah menyertai MIMOS pada tahun 1984 sebagai Pengarah di bahagian Computer System Division. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda (1st Class Honours) dari King College, University of London pada tahun 1976. Beliau menamatkan PhD dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 1980 di universiti yang sama.”
Rujukan – Bloomberg
Posting asal,
1. Proses penjualan aset JARING sedang berlangsung. Kita masih belum tahu bagaimana pengakhirannya, atau mungkinkah JARING diberi nafas baharu?
2. Saya mula ‘terserempak’ dengan perkataan “Internet” pada tahun 1983 semasa mengajar di Universiti Malaya. Dari situlah minat saya timbul untuk mencuba melaksanakan Internet. Tiada siapa yang ambil kesah. Percubaan saya hanya dibilik komputer dan berseorangan sahaja. Tidak disangka ia menjadi landasan kerjaya saya sepanjang hayat.
3. Bila berpindah ke MIMOS pada hujung tahun 1984, saya mempunyai lebih kelengkapan dan keupayaan untuk melaksanakan sambungan Internet secara jarak jauh – antara beberapa universiti dan institusi penyelidikan tempatan, dengan dibantu oleh beberapa orang penyelidik. Tujuannya ialah untuk menarik minat pihak lain untuk bekerjasama membina Internet di Malaysia. Kelajuan litar suwa (leased line) hanya sekitar 1,200 bps (bit sesaat), 2,400 bps yang kemudiannya meningkat kepada 9,600 bps. Sambungan secara dialup kemudiannya meningkat sehingga 56,000 bps.
4. Sambungan secara ‘dial-up’ juga dibuat ke Amerika Syarikat, Australia dan Korea Selatan (sebagai gateway) untuk berkomunikasi dengan dunia luar. Tiada talian tetap dipasang untuk sambungan antarabangsa sehingga bulan November 1992 apabila sambungan melalui satelit dipasang ke Stockton, USA dengan kelajuan 64kbps berharga lebih kurang RM300,000 setahun! Talian itu bertahan selama dua tahun bila terpaksa dipertingkatkan kepada 1.5Mbps.
5. Pada tahun 1987, saya diberi amanah oleh IANA (Internet Assigned Numbers Authority) untuk menguruskan domain MY bagi pihak Malaysia. Pengurusannya diserahkan kepada MYNIC Berhad lebih kurang 10 tahun lalu.
6. Pada pertengahan tahun 90’an, dengan adanya teknologi web, kelajuan talian antarabangsa terpaksa dipertingkatkan setiap tahun. Pada tahun 1997 kita berlumba-lumba dengan Singapura untuk menjadi negara pertama mempunyai talian berkelajuan 45 Mbps di rantau ini. Kita berjaya pasang dan guna dahulu, tetapi Singapura buat pengumuman yang dia buat dulu.
7. Pada tahun 1999, kita berjaya melaksanakan teknologi IP-over-Fibre yang terpanjang di dunia pada masa itu dari Johor Bahru ke Pulau Pinang dengan kelajuan 2.5 Gbps. Perkhidmatan Internet kita berada di hadapan berbanding negara lain di rantau ini. Banyak teknologi terbaharu diketengahkan seperti MPLS, IT Telephony, dan sebagainya.
8. Malangnya JARING tidak berupaya melangkah kehadapan kerana terpaksa bergantung kepada pembekal prasarana lain yang juga pesaing (competitor) ketat. Kita tiada dasar perkongsian prasarana yang saksama untuk kepentingan negara. Selepas itu, perjalanan JARING terpaksa menurun bukit.
9. Mungkin ramai pembaca tidak tahu bagaimana nama JARING dijelmakan – selain makna literalnya iaitu “NET”. Sebenarnya, ia adalah singkatan kepada “Joint Advanced Research Integrated NetworkinG” project. Saya mengambil masa dua minggu untuk memikirkan satu nama bagi menggantikan nama lama iaitu RangKoM (Rangkaian Komputer Malaysia). Misinya ialah untuk membawa Malaysia ke hadapan dengan meningkatkan perkongsian sumber dan prasarana – dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan. Misi ini gagal kerana kepentingan komersial jangka pendek oleh beberapa pihak tertentu.
10. Pada hari ini JARING kecundang dan Malaysia ketinggalan. Lihat graf terlampir sebagai contoh (yang saya pernah kongsi sebelum ini). Ia mungkin kurang tepat tetapi dunia melihatnya demikian.
11. Bolehkah kita berlari kembali? Saya rasa boleh – dengan beberapa pembaharuan. Kalau ada masa saya mungkin menulis lagi untuk melihat ke hadapan.