SHARE

Artikel ke-16 kerjasama antara MajalahSains dan Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM).

____________________________________

Oleh: Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena, Ahli Bersekutu YSN-ASM
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Laporan dari 18 ahli saintis terkemuka di dunia melaporkan kerugian pada perbelanjaan kos kesihatan hingga mencecah GBP 157 billion disebabkan oleh kesan pendedahan sebatian pengganggu endokrin (Endocrine Disrupting Compound) ke atas manusia di benua Eropah (Trasande et al., 2015). Laporan tersebut juga melaporkan kesan kesihatan akibat daripada pendedahan sebatian pengganggu endokrin walaupun peratusan ini mungkin berkurang kerana kesukaran dalam mengukur pendedahan sebatian pengganggu endokrin ke atas janin. Sebatian pengganggu endokrin adalah bahan kimia yang berupaya untuk mengganggu sistem endokrin badan (Rajah 1) dan memberikan kesan buruk kesihatan manusia dan juga hidupan liar. Sistem endokrin terdiri daripada organ-organ yang berfungsi menghasilkan hormon untuk mengurus keseluruhan organ-organ lain di dalam tubuh manusia.

Rajah 1: Sistem Endokrin Manusia (Sumber: http://www.pojokilmu.com/macam-macam-sistem-endokrin-pada-manusia/)

Di kalangan benua Asia, negara Jepun merupakan salah satu negara yang bergiat aktif dalam penyelidikan melibatkan sebatian pengganggu endokrin semenjak 1998. Pada tahun 2000, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar (Jepun) telah menyenaraikan sebanyak 65 senarai bahan pencemar sebatian pengganggu endokrin yang mampu memberikan kesan merbahaya kepada kesihatan manusia. Pada tahun 2010, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar (Jepun) telah memulakan program baru yang dinamakan EXTEND (Extended Tasks on Endocrine Disruption) yang bertujuan untuk membangunkan metodologi penilaian risiko alam sekitar dan manusia akibat pendedahan berterusan sebatian pengganggu endokrin. Di Malaysia, kajian mengenai pendedahan sebatian pengganggu endokrin ke atas kesihatan manusia adalah amat baru dan semakin berkembang semenjak 1999 oleh kebanyakan penyelidik dari universiti tempatan dengan melibatkan kolaborasi bersama negara Jepun (Ali, 2000; Trasande et al., 2015). Oleh yang demikian, ramai di antara kalangan kita yang masih tidak begitu mengetahui secara ringkas mengenai bahan pencemar sebatian pengganggu endokrin serta kesannya ke atas kesihatan manusia.

Antara bahan pencemar yang dikategorikan dalam sebatian pengganggu endokrin adalah seperti bahan plastik seperti phthalates (pemangkin asid plastik), logam berat seperti kadmium, dioksin, bahan kimia dari industri farmasi, polychlorinated biphenyls (PCB) untuk tujuan fabrikasi komponen elektrik, kompaun kristal kimia dikenali sebagai DDT (Dichlorodiphenyltrichloroethane), racun perosak dan Bisphenol A (BPA) yang banyak digunakan di dalam alat simpanan plastik. Bahan pencemar boleh didapati dalam pelbagai produk harian kita seperti barangan plastik, tin makanan logam, bahan pencuci, bahan rencat api, lapisan perfluorinated di dalam barangan memasak, barang mainan plastik, kosmetik dan racun perosak.

Walaupun agak sukar untuk melihat pendedahan dan kesan sebatian pengganggu endokrin kepada manusia di dalam kitaran hidup lengkap, namun kajian-kajian terdahulu ke atas haiwan makmal menunjukkan pendedahan berterusan sebatian pengganggu endokrin boleh menyebabkan kecenderungan terhadap pelbagai kesan sampingan, seperti dibincang terdahulu. Dengan perkembangan teknologi di dalam bidang sains dan teknologi, perubahan ekspresi gen di dalam tisu juga telah mampu menerangkan kesan sebatian pengganggu endokrin serta kecenderungan terhadap pelbagai kesan sampingan. Pelbagai kajian telah dijalankan melaporkan hubungan serta potensi sebatian pengganggu endokrin dalam memberikan kesan terhadap perkembangan individu terutamanya kanak-kanak, ketidakseimbangan hormon, neurologi (sistem saraf), gangguan sistem pembiakan dan imunisasi terhadap manusia dan haiwan. Dengan peningkatan senarai bahan pencemar sebagai sebatian pengganggu endokrin, kesan terhadap kesihatan manusia dan haiwan sentiasa menjadi keutamaan penyelidikan tempatan dan global.

Mekanisma ringkas tindak balas bahan pencemar di dalam Rajah 2 membantu dalam memahami impak pendedahan sebatian pengganggu endokrin kepada kesihatan manusia dan haiwan. Sebahagian daripada sebatian pengganggu endokrin berupaya meniru atau mimik hormon di dalam tubuh seperti hormon tiroid, estrogen dan androgen (hormon seks wanita & lelaki). Kemudian, ia bertindak balas dengan sel badan dan menghapuskan hormon semulajadi yang patut bertindak balas dengan sel tersebut. Mekanisma ini mengakibatkan isyarat normal gagal dipancar, lantas menyebabkan badan tidak mampu untuk bertindak balas secara normal. Dengan pendedahan berterusan sebatian pengganggu endokrin, fungsi hormon semulajadi akan terjejas dan mengganggu keseluruhan fungsi organ di dalam tubuh manusia. Akibat dari gangguan ini, kesannya boleh dilihat dari segi gangguan pembesaran kanak-kanak, ketidakstabilan hormon, gangguan sistem pembiakan dan sebagainya.

Rajah 2: Mekanisma sebatian pengganggu endokrin di dalam badan (Sumber: https://www.ck12.org)

Kajian sebatian penganggu endokrin di Malaysia mula giat dijalankan sejak tahun 1999 melibatkan pelbagai sampel alam sekitar. Kajian sebatian penganggu endokrin begitu terbatas di Malaysia disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kekurangan pada fasiliti kemudahan analisis sampel, persampelan dan lain-lain. Namun demikian, melalui penekanan yang mula diberikan oleh pihak kerajaan dan pelbagai projek gandingan di peringkat antarabangsa, hasil kajian melibatkan sebatian penganggu endokrin telah mula dijalankan dan diterbitkan oleh  penyelidik-penyelidik tempatan daripada Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia melibatkan pelbagai sampel alam sekitar seperti air sungai (Veerasingam dan Mohd, 2013; Praveena et al., 2016; Wee et al., 2016). Hasil kajian dari para penyeldik tempatan mendapati kehadiran sebatian penganggu endokrin di dalam air sungai dan tanah sungai yang mampu memberikan kesan kepada kesihatan manusia serta juga kepada ekosistem air sungai.

Walaupun kajian mengenai kesan sebatian pengganggu endokrin terhadap kesihatan manusia agak terhad di Malaysia, namun kajian epidemiologi dari luar negara telah mampu membuktikan kesannya terhadap kualiti kesihatan manusia. Sebagai contoh, kajian oleh (Wang et al., 2016) menunjukkan kualiti sperma yang semakin berkurang di kalangan penderma bank sperma dalam tempoh 7 tahun (2008-2014) di negara China. Pengurangan kualiti sperma ini dikaitkan dengan pelbagai gaya hidup harian yang terdedah dengan pelbagai sebatian penganggu endokrin yang memberi kesan kepada sistem pembiakan manusia. Kajian epidemiologi oleh (Hatch et al., 2010) di negara Amerika Syarikat juga telah mendapati hubungan positif di antara pendedahan phthalates dan kegemukan di kalangan responden lelaki dan perempuan. Kajian kohort melibatkan 753 responden di negara Amerika Syarikat juga mendapati bahawa pendedahan kepada sebatian pengganggu endokrin seperti phthalates semasa kehamilan berupaya menjejaskan perkembangan sistem pembiakan anak lelaki yang mengakibatkan perubahan saluran sistem pembiakan, lantas menyebabkan kualiti sistem pembiakan yang semakin merosot pada masa akan datang (Swan et al., 2015).

Tidak dinafikan perlunya kajian epidemiologi seperti ini dijalankan di Malaysia oleh para saintis tempatan bagi mengetahui sejauh mana pendedahan dan pengaruh sebatian pengganggu endokrin terhadap kesihatan manusia, terutamanya berkaitan dengan persekitaran di Malaysia dan gaya hidup semasa penduduk. Namun, sehingga kajian-kajian tersebut dijalankan dan dapat mendedahkan sejauh mana kesan sebatian pengganggu endokrin terhadap kesihatan manusia di Malaysia, langkah-langkah untuk mengurangkan pendedahan sebatian pengganggu endokrin di dalam kehidupan harian boleh dimulakan. Antara langkah-langkah berjaga yang boleh diambil ialah mengurangkan pengunaan bahan plastik yang mengandungi campuran phthalates, pengunaan alat kosmetik serta penjagaan diri yang mengandungi bahan kimia merbahaya terutamanya semasa hamil, pemilihan makanan yang bebas atau kurang pengunaan racun perosak, meminimakan penggunaan bahan kosmetik, pengunaan pewangi yang selamat dan bebas dari campuran pelbagai bahan campuran merbahaya, pembersihan kerap ruang dalaman rumah untuk mengurangkan pendedahan melalui habuk yang mengandungi sebatian pengganggu endokrin.

Rujukan:

  1. Ali, M. 2000. Endocrine Disruptors Research in Malaysia. (Pautan pdf)
  2. Hatch, E.E., J.W. Nelson, R.W. Stahlhut, and T.F. Webster. 2010. Association of endocrine disruptors and obesity: Perspectives from epidemiological studies. p. 324–331. In  International Journal of Andrology.
  3. Praveena, S.M., T.S. Lui, N.A. Hamin, S.Q.N.A. Razak, and A.Z. Aris. 2016. Occurrence of selected estrogenic compounds and estrogenic activity in surface water and sediment of Langat River (Malaysia). Environ. Monit. Assess. 188(7). Boleh dicapai melalui http://dx.doi.org/10.1007/s10661-016-5438-5.
  4. Swan, S.H., S. Sathyanarayana, E.S. Barrett, S. Janssen, F. Liu, R.H.N. Nguyen, and J.B. Redmon. 2015. First trimester phthalate exposure and anogenital distance in newborns. Hum. Reprod. 30(4): 963–972.
  5. Trasande, L., R.T. Zoeller, U. Hass, A. Kortenkamp, P. Grandjean, J.P. Myers, J. Digangi, M. Bellanger, R. Hauser, J. Legler, N.E. Skakkebaek, and J.J. Heindel. 2015. Estimating burden and disease costs of exposure to endocrine-disrupting chemicals in the European Union. J. Clin. Endocrinol. Metab. 100(4): 1245–1255.
  6. Veerasingam, S.A., and M.A. Mohd. 2013. Assessment of endocrine disruptors – DDTs and DEHP (plasticizer) in source water: A case study from Selangor, Malaysia. J. Water Health 11(2): 311–323.
  7. Wang, L., L. Zhang, X.-H. Song, H.-B. Zhang, C.-Y. Xu, and Z.-J. Chen. 2016. Decline of semen quality among Chinese sperm bank donors within 7 years (2008-2014). Asian J. Androl. 0(0). Pautan: http://www.ajandrology.com/preprintarticle.asp?id=179533.
  8. Wee, S.Y., T.F.T. Omar, A.Z. Aris, and Y. Lee. 2016. Surface Water Organophosphorus Pesticides Concentration and Distribution in the Langat River, Selangor, Malaysia. Expo. Heal. 8(4): 497–511.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge