Oleh; Faizul Zubairi
Kebelakangan ini, pemain industri minyak sawit negara berdepan kritikan apabila aktiviti industri itu dikaitkan dengan isu alam sekitar. Terpalit sekali ialah reputasi Malaysia di mata dunia. Selain aktiviti pembukaan ladang secara besar-besaran, pengurusan sisa pemprosesan minyak sawit antara faktor kelapa sawit dikritik sebagai industri yang tidak lestari. Umumnya dalam pemprosesan minyak sawit, perkara yang tidak dapat dielak ialah penghasilan sisa industri itu dalam pelbagai bentuk dan elemen meliputi pepejal, cecair dan gas. Contoh paling ketara ialah efluen kilang sawit atau POME. POME merujuk pada cecair likat keperang-perangan yang mengandungi jumlah pepejal tinggi, minyak dan gris. Dalam pengurusan POME, situasi diburukkan lagi dengan pelepasan gas metana dan karbon tinggi apabila penggunaan kaedah konvensional sedia ada dipakai pemain industri sebelum ini masih dikekalkan. Dalam keadaan negara ketika ini bergelut dengan beberapa isu alam sekitar yang lain, ianya boleh diburukkan lagi dengan pengabaian pihak industri sawit dalam menangani sisa industri di kilang mereka. Justeru, melihat pada isu berkenaan, sifar sisa sawit adalah pendekatan terbaik dalam menangani kemelut industri sawit negara. Sifar sisa adalah satu konsep untuk mengurangkan sampah atau sisa yang bakal dibuang ke tempat pelupusan. Dalam bentuk penjelasan yang lebih tepat konsep sifar sisa merupakan satu matlamat yang pragmatik dan berwawasan untuk mengajak manusia mencontohi kitaran semulajadi di mana semua bahan buangan adalah sumber untuk kegunaan lain. Pelaksanaan konsep ini bermakna kita akan mengurangkan pembuangan sisa ke alam semulajadi. Secara mudah konsep ini menganjurkan kita supaya memaksimakan kitar semula; meminimakan sisa lebihan; mengurangkan penggunaan dan memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan. Apa yang boleh difahami orang awam mengenai konsep sifar sisa ini ialah tiada sebarang sisa bahan buangan daripada pemprosesan minyak sawit akan dilepaskan ke udara, tanah dan air. Konsep sifar sisa adalah model terbaik dalam urus tadbir sisa pemprosesan minyak kelapa sawit. Ini adalah kerana setiap elemen daripada sisa pemprosesan sawit mempunyai potensi untuk kegunaan lain seperti dalam pertanian dan sebagai sumber tenaga baharu. Ini bermaksud, semua sisa ini akan dikitar semula untuk menjadi produk yang dapat dimanfaatkan pihak lain. Contohnya ialah isirong atau hampas sawit digunakan dalam sektor pertanian sebagai baja organik dan lain-lain produk. Selain itu, penyelesaian masalah pencemaran daripada industri sawit telah dikenal pasti membabitkan pengeluaran biohidrogen dan biogas, penukaran biomas, pembentukan biometana ke hidrogen, pembersihan biohidrogen, penyimpanan dan penjanaan kuasa, mengubah biomas sawit ke baja organik, menangkap karbon dan air kitar semula.
Kilang atau pihak industri biasanya menguruskan sisa efluen atau POME dengan cara dibuang di kolam pelupusan. Keadaan ini biasanya memberi kesan iaitu bahan kimia dalam cecair itu mencemar sumber air yang ada dan meresap ke dalam tanah. Proses penguraian juga berlaku yang mana tindak balas bahan itu akan melepaskan gas metana atau karbon dioksida ke atmosfera. Dengan konsep sifar sisa ini, sisa bahan buangan sawit diproses menjadi baja organik, makanan haiwan dan banyak lagi. Hidrogen dikumpul dan disalurkan ke loji tenaga, manakala karbon dioksida tidak lagi dilepaskan ke udara, sebaliknya, ia diperangkap dan diserap oleh penapis alga. Manakala, kumbahan dihasilkan kilang minyak kelapa sawit akan diproses menjadi air bersih untuk diguna semula oleh loji itu sendiri, Mikroalga turut digunakan sebagai satu kaedah rawatan air di samping turut menjerap karbon dioksida yang dihasilkan. Kaedah ini dapat membantu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang merupakan salah satu gas rumah hijau. Beberapa spesies mikroalga tempatan berjaya dikenal pasti yang dapat membantu proses ini. Konsep sifar sisa akan mengubah cara industri kelapa sawit mengendalikan sisa bahan buangan dengan lebih cekap dan mampan. Sebelum ini, sisa lain daIam pemprosesan minyak kelapa sawit ialah sisa biojisim terhasil seperti serat atau tandan buah sawit kosong (EFB), pelepah sawit (OPF), batang sawit (OPT), serat mesocarp dan juga tempurung kelapa sawit hanya dibuang begitu sahaja oleh kebanyakan pemain industri. Namun, terdapat juga usaha sesetengah pemain industri yang memproses sisa bahan buangan tersebut untuk dijadikan baja.
Memandangkan industri sawit merupakan salah satu industri utama negara, lambakan sisa bahan buangan akan sernakin meningkat saban hari. 10 peratus minyak dihasilkan daripada satu pokok sawit, manakala lebihan ialah sisa biojisim terhasil. Setiap tahun Malaysia menghasilkan kira-kira 168 juta tan biojisim. Daripada jumlah ini, lebih daripada 80 juta tan dihasilkan oleh industri sawit. Jika semua sisa ini tidak diuruskan dengan baik, ia bakal mengundang masalah pelupusan yang lebih kronik seterusnya menjurus kepada pencemaran alam sekitar tidak terkawal. Sebenarnya, sisa biojisim ini mampu menawarkan pulangan ekonomi menarik melalui penghasilan produk nilai tambah yang memberi manfaat sejagat, secara tidak langsung mengatasi masalah membabitkan pencemaran alam sekitar. Keupayaannya dalam menghasilkan produk nilai tambah mula dilihat sebagai sumber utama yang mampu melestarikan ekonomi negara. Komponen biojisim sawit mempunyai potensi penggunaan yang berbeza seperti bahan bakar untuk penjanaan elektrik, produk biokimia, baja dan bahan api bio. Beberapa penyelidikan dijalankan menggunakan sisa biojisim sawit sebagai bahan mentah atau penggantian separa dalam pelbagai aplikasi seperti pengitaran semula nutrien, makanan haiwan, pulpa dan kertas, papan serat, komposit biodegradasi, gula fermentasi dan bioetanol menampakkan hasil yang positif. Sebilangan besar projek biojisim sawit yang dilaksanakan tertumpu pada pengeluaran pelet, karbon aktif, papan gantian, makanan haiwan dan kompos organik. Kemampuannya sebagai sumber biotenaga boleh diperbaharui untuk menghasilkan pelbagai produk nilai tambah disebabkan sifat fizikokimia biojisim sawit yang baik dan kaya dengan kandungan nutrien. Malah, cecair legam terhasil selepas proses prarawatan ke atas biojisim ini turut boleh dikitar semula. Malaysia telah berkembang menjadi salah satu destinasi paling menarik untuk pelaburan berasaskan biojisim di seluruh rantaian nilai biojisim daripada huluan ke hiliran, pengeluar hingga peniaga dan ekosistem sokongan. Melalui konsep sifar sisa, isu bahan sisa yang mencemarkan alam sekitar dari kilang-kilang kelapa sawit dapat diatasi dan dikitar semula bagi memperoleh produk-produk yang mempunyai nilai tambah. Penggunaan bahan sisa sawit secara lebih efisien mampu mendatangkan keuntungan melalui penghasilan produk nilai tambah. Selain itu, pengamalan sistem sisa bahan buangan yang lebih lestari di semua kilang sawit juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, cekap dan mampan.
Diharapkan konsep sifar sisa ini menjadi panduan bagi kilang-kilang kelapa sawit sedia ada supaya membuat perubahan ke arah teknologi hijau dan neutral. Impaknya, inovasi ini dapat mempertingkatkan hasil daripada industri sawit dan memastikan kemampanan masa depan industri terbabit. Melalui pelbagai penyelidikan konsep sifar sisa yang dijalankan pihak berkaitan dan berwajib, sudah tentu dapat mengetengahkan pelan strategik dalam menghapuskan kemungkinan pencemaran yang berpunca daripada kilang minyak sawit termasuk penggunaan teknologi hijau, memanfaatkan kelebihan lain sisa, menggunakan semula dan mengitar semula produk sampingan pepejal serta cecair sisa sawit. Penyelidikan berterusan dalam konsep sifar sisa mampu mentransformasikan kilang minyak sawit lebih lestari dan mesra alam dengan mengambil kira kesan jangka panjang pada masa akan datang. Dengan itu, tiada lagi longgokan sisa kilang sawit yang boleh memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar kerana bahan buangan tersebut akhirnya diproses dan dirawat menjadi sumber semula jadi yang baharu. Penglibatan pihak industri secara langsung dalam pembangunan lestari konsep sisa sifar amat penting bagi memastikan ia terus relevan dan memenuhi keperluan masa kini. Mana tidaknya, segala sisa pembuangan ini berjaya ditransformasikan kepada sumber boleh diperbaharui yang boleh digunakan pada kemudian hari. Industri sawit kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan tohmahan negatif sehingga mendesak industri untuk menghentikan pengeluaran minyak sawit dengan prosesnya tidak lestari dan mesra alam. Perkara ini dapat disangkal dengan pengamalan konsep sifar sisa ini yang mampu menjadikan industri sawit di negara kita mesra alam. Konsep sifar sisa diharapkan dapat melenyapkan tanggapan negatif negara lain khususnya negara Eropah dan Amerika Syarikat terhadap industri sawit Malaysia seterusnya memperkukuhkan lagi kelestarian dan kemampanan industri ini.