Dr. Noor Hasyierah Mohd Salleh
Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia, Universiti Malaysia Perlis
Siput ini terkenal di Malaysia disebabkan oleh serangannya terhadap anak padi yang menyebabkan kemusnahan yang besar kepada pesawah khususnya dan kepada pengeluaran padi untuk negara amnya. (Gambar 1). Anak padi yang berumur kurang dari 40 hari adalah terdedah kepada serangan siput dimana 1 ekor siput/m3 akan menyebabkan kerosakan sawah padi 20% manakala 5 ekor siput/m3 akan menyebabkan kerosakan sawah padi 90%.
Terdapat beberapa keistimewaan yang siput gondang emas miliki yang menyumbang kepada hal ini. Antaranya adalah persekitaran dan cuaca, selera makan yang pelbagai, kadar pembiakan dan penetasan yang tinggi, dapat menyesuaikan diri semasa musim kemarau yang panjang dan mempunyai sistem pernafasan yang unik.
Persekitaran dan cuaca
Siput gondang emas dapat menyesuaikan diri di pesekitaran air tawar yang baru dengan cepat. Contoh persekitaran bagi siput adalah seperti sungai, tali air, sawah padi, kawasan beraiar seperti paya dan tasik. Ia dapat membiak dengan cepat terutamanya di dalam air yang bergerak. Selain itu, ia juga kurang musuh dan saingan di dalam persekitaran petak sawah padi, membolehkan ia bebas bergerak dan makan anak pokok padi. Siput aktif semasa cuaca sejuk iaitu awal pagi dan senja. Kita akan dapat melihat banyak kesan telur yang masih segar yang baru dikeluarkan oleh siput pada awal pagi di batang-batang rumput, di batang konkrit dan pada permukaan keras yang terapung di atas air. Selain daripada bertelur, tanda sesuatu kawasan itu aktif dengan populasi siput gondang emas adalah dengan melihat banyak siput yang terapung dipermukaan air mencari makanan selain daripada mengawan.
Selera makan yang pelbagai
Mempunyai selera makan yang pelbagai (bangkai ikan, anak padi, kangkong, teratai, keladi bunting, bayam, lobak merah, kobis, makanan ikan, siput, alga, udang)
Kadar pembiakan dan penetasan yang tinggi
Poses mengawan siput gondang emas mengambil masa antara 10-18 jam di mana siput betina akan berada diatas siput jantan. Ia akan bertelur atas permukaan air, terutama pada permukaan yang keras dan bewarna merah terang. Hal ini memberi kelebihan pada siput untuk mengelakkan telurnya dari di makan oleh pemangsa seperti ikan dan warnanya yang terang seperti memberi amaran kepada pemangsa lain dari menghampiri telur tersebut. Siput gondang emas mampu bertelur sehingga 8,000 biji telur setahun dan mempunyai kadar penetasan yang tinggi dimana 90% daripada satu gugusan telur akan menetas dan membesar. Selain daripada itu, telur siput hanya mengambil masa yang singkat untuk menetas iaitu 7-15 hari dan 2 bulan untuk matang dan mula betelur semula selepas itu. Kitaran ini akan berterusan sehingga jangka hayatnya selama lebih dari 3 tahun.
Penyesuaian diri semasa musim kemarau
Semasa musim kemarau, ianya menyorok di dalam tanah untuk berhibernasi dan mampu bertahan sehingga 10 bulan dan akan keluar apabila air ada.
Sistem pernafasan yang unik
Siput gondang emas mempunyai 2 sistem pernafasan iaitu paru-paru dan insang. Paru-paru digunakan semasa ia berada di darat manakala insang digunakan semasa ia berada di dalam air. Selain daripada itu, ia juga mempunyai ‘siphon’ yang berbentuk seperti belalai. Ia akan mengeluarkan ‘siphon’ untuk bernafas di udara apabila keterlarutan oksigen di dalam air rendah.
KEUNIKAN TELUR SIPUT GONDANG EMAS
Telur siput gondang emas berbentuk gugusan seperti anggur dan tersusun rapi diantara satu sama lain (Gambar 2). Ianya keluar daripada siput secara melawan graviti. Pada awalnya, ianya bewarna merah jambu terang, di baluti dengan sedikit lendir, mengandungi cecair amniotik bewarna merah jambu, dan lembut apabila disentuh. Selang beberapa jam, telur tersebut mula mengeras, bagi melindungi embrio siput didalamnya dan lapisan nipis kutikel akan jelas kelihatan (Gambar 3). Apabila hampir menetas, warna merah terang bertukar ke warna merah pudar dan akhirnya ke warna putih dan lapisan kutikel akan semakin menipis. Lapisan kutikel adalah berfungsi untuk melindungi embrio daripada keadaan persekitaran, jangkitan mikroorganisma, mengawal pengudaraan dan lembapan untuk keperluan embrio membesar. Lapisan kutikel ini terdapat pada telur lain juga termasuk ayam, burung, penyu dan lain-lain. Kajian mendapati gangguan terhadap kutikel akan merencatkan perkembangan embrio dan mengganggu penetasan (Gambar 4). Telur yang telah dirawat dengan cecair urea akan bercampur warna antara merah dan putih. Telur yang bewarna merah menandakan tiada pembentukan embrio berlaku, dan ia dipenuhi dengan cecair amniotik yang bewarna pink manakala telur yang bewarna putih dan kelihatan cengkerang embrio (anak panah), menandakan terdapat proses tumbesaran embrio namun tumbesaran tersebut telah terjejas dan telur tersebut tidak menetas.
MENGAWAL POPULASI SIPUT GONDANG EMAS BERMULA DARIPADA TELUR
Kawalan populasi siput gondang emas bermula daripada telur lebih mudah daripada mengawal siput kerana telur lebih sensitif dan lembut (‘fragile’) berbanding dengan siput. Selain itu, telur siput bewarna merah terang dan tidak bergerak, jadi lebih mudah untuk dikenalpasti dan dimusnahkan. Hampir 90% daripada gugusan telur yang matang akan menetas, jadi kaedah kawalan bermula dari telur adalah lebih efektif berbanding dengan kawalan siput secara mengutip (‘hand picking’) kerana kita dapat musnahkan kuantiti embrio yang banyak (‘mass killing’) berbanding dengan kita mengutip siput seekor demi seekor. Disebabkan oleh besarnya peranan yang dimainkan oleh lapisan kutikel dalam memelihara embrio sepanjang proses pengeraman, sebarang gangguan terhadap lapisan ini akan menyebabkan telur tidak menetas.
Pesawah boleh mengambil beberapa tindakan dalam mengawal populasi siput seawal kitaran siput bermula daripada telur dengan cara yang mudah. Antara beberapa tindakan yang boleh diambil oleh pesawah untuk merosakkan lapisan kutikel ini adalah dengan merendam telur di atas pancang kayu, di atas rumut, daun-daun, kayu di dalam air, menyembur urea, larutan molas yang telah dicairkan atau larutan garam ke atas telur. Gangguan keatas kutikel akan menyebabkan proses penetasan terencat.
Disebabkan oleh lapisan kutikel bersifat tidak telap air, semburan ketika telur masih baru dihasilkan dimana ketika ini cengkerang masih lembut dan lapisan kutikel masih belum terbentuk memberi kesan yang padu. Bagi telur yang sudah matang (dapat dilihat daripada warna yang terang berubah menjadi merah pudar apabila menghampiri masa menetas), larutan tersebut perlu disiram atau telur perlu direndam dengan agak lama supaya dapat menembusi lapisan kutikel.
SERANGAN SIPUT BERKAIT RAPAT DENGAN KAEDAH PENANAMAN PADI
Penyebaran siput gondang emas akan lebih cepat ke dalam sawah padi beradasarkan kepada cara anak benih padi di tanam. Pesawah biasanya menggunakan tiga kaedah untuk menanam anak benih padi iaitu kaedah tabur biji benih padi di dalam air, tabur biji benih padi secara kering dan menanam anak pokok padi.
Tabur anak benih padi di dalam air
Pesawah menyediakan tanah sawah, memasukkan air ke dalam petak sawah lebih kurang 10cm dari permukaan tanah dan menabur biji padi yang telah bertunas. Teknik ini dapat mengurangkan penyebaran rumput liar dan membolehkan anak padi hidup lebih subur. Walau bagaimanapun, peratusan pokok padi yang hidup adalah rendah kerana benih padi terdedah pada serangan siput sekiranya tidak dikawal dengan baik. Keadaan petak sawah yang beraiar akan mengundang kehadiran siput gondang emas dan ianya akan memakan anak benih padi. Kesannya, pesawah perlu menabur semula kawasan petak sawah yang terkena serangan siput dan ini akan meningkatkan kos operasi penanaman padi terutamanya kos upah pekerja dan kos membeli anak benih yang baru. Namun begitu, sekiranya tapak sawah padi diuruskan dengan baik, kaedah ini merupakan kaedah yang murah dan menjadi pilihan para pesawah.
Tabur anak benih padi secara kering
Bagi kaedah ini, tanah sawah dibekalkan dengan air yang minimum dimana tanah sawah hanya berada dalam keadaan lembap dan pesawah menabur biji padi yang telah bertunas diatasnya. Kelebihan kaedah ini adalah peratusan anak benih padi yang hidup adalah tinggi dan disebabkan oleh keadaan sawah padi yang kurang air, ianya mengurangkan aktiviti siput terhadap biji benih padi. Namun begitu anak padi masih terdedah dengan serangan siput selepas air mula dibekalkan ke petak sawah apabila padi mencapai saiz dalam 10 cm. Kaedah ini menggalakkan pertumbuhan rumput liar.
Menanam anak pokok padi
Bagi kaedah ini, petak sawah akan dibekalkan dengan air dimana aras air lebih kurang 10 cm dari permukaan tanah dan anak padi yang berusia lebih kurang 20 hari akan ditanam. Kelebihan kaedah ini adalah ianya mengurangkan penyebaran rumput liar dan peratusan pokok padi yang hidup adalah tinggi memandangkan usia anak pokok padi yang agak tua (20 hari) dan tidak menjadi pilihan makanan untuk siput disebabkan ianya agak liat berbanding kaedah tabur di dalam air atau tabur kering yang menggunakan anak benih yang muda dan masih rapuh untuk siput. Jadi, disebabkan oleh serangan siput yang amat minima, kaedah ini dapat mengurangkan kos operasi untuk menanam semula. Walaupun begitu, kaedah ini agak mahal kerana pesawah terpaksa mengupah pekerja untuk menanam anak pokok padi tersebut.
KAEDAH KAWALAN SIPUT GONDANG EMAS
Pelbagai kawalan siput gondang diperkenalkan untuk mengurangkan populasi dan membantu mengurangkan serangan siput gondang terhadap anak pokok padi. Kawalan yang dijalankan adalah kawalan secara kimia, biologi, fizikal, mekanikal dan pengurusan budaya ( Salleh, N.H.M, et al., 2012)
Kawalan Secara Kimia
Kawalan menggunakan racun kimia adalah yang paling terkenal dan paling banyak digunakan oleh para petani. Walaupun kaedah ini berkesan dan cepat dalam mengawal populasi siput gondang, namun begitu kaedah ini adalah kurang selamat kepada petani, organisma yang berada di kawassan sawah padi dan persekitaran disebabkan oleh bahan kimia tersebut toksik dan merbahaya.
Kebanyakan pesawah yang terdedah dalam mengendalikan racun kimia tersebut akan menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti sakit kepala, pening, loya dan gatal-gatal kulit. Selain daripada itu, anak-anak ikan, katak, dan hidupan lain semuanya akan terjejas akibat bahan kimia tersebut. Sumber air juga turut terjejas bilamana air sawah yang tercemar dengan bahan kimia tersebut dilepaskan ke anak sungai dan ianya mengalir ke sungai utama dan menuju ke laut. Oleh itu, hanya bahan kimia tertentu bersama dengan dos yang disyorkan sahaja dibenarkan digunapakai untuk keselamatan semua. Walaubagaimanapun terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab masih menjual racun yang disenarai hitam kepada pesawah dan mereka pula meggunakan racun tersebut tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.
Selain daripada racun kimia tersebut, tedapat beberapa ekstrak tumbuhan yang kaya dengan bahan aktif saponin turut juga digunakan bagi membunuh siput. Antaranya adalah ekstrak daun semambu, Azadirachta indica (Latip, S.N.H.M. et al., 2013), daun betik, Carica papaya dan daun Jemerlang Laut, Peltophorum pterocarpum (Rosli, R. et al., 2021)
Kawalan Secara Biologi
Kaedah kawalan ini menggunakan haiwan pemangsa seperti itik, ayam dan ikan yang akan memakan anak-anak siput. Kaedah ini telah di adaptasi di beberapa kawasan sawah padi antaranya di Pahang, Kedah dan Sarawak. Kaedah ini sesuai digunakan untuk kawasan sawah padi yang berdekatan dengan rumah selain daripada dapat menjadi pendapatan sampingan kepada pesawah hasil daripada jualan telur ayam dan itik. Namun begitu teknik ini tidak sesuai untuk mengawal telur siput yang melekat di batas-batas padi, ban tali air, tiang kayu dan lain-lain tempat.
Kawalan Secara Fizikal
Kawalan ini dijalankan dengan meletakkan agen penarik seperti kulit buah nangka, daun kelapa, daun ubi kayu, daun betik dan lain-lain dimana siput akan tertarik dengan bau yang dihasilkan dan akan berkumpul disitu (Amzah, B. 2014). Ini memudahkan pesawah untuk mengutip siput dan memusnahkannya. Selain itu, pancang kayu dan jaring besi juga boleh dipasang di mana ianya menjadi tempat untuk siput bertelur dan mudah untuk pesawah memusnahkan telur tersebut. Jaring besi juga boleh dipasang di alur masuk air ke petak sawah bagi mengawal siput dari sungai untuk masuk ke petak sawah. Teknik ini menggunakan kos yang rendah namun kurang berkesan dan mengambil masa serta tenaga.
Kawalan Secara Mekanikal Dan Pengurusan Budaya
Kawalan secara mekanikal ini adalah dengan menggunakan jentera pembajak. Semasa proses memutar tanah, siput akan dimusnahkan. Jentera perlu dibersihkan sebelum masuk ke petak sawah yang lain bagi mengelakkan penyebaran siput ke petak sawah yang lain. Bagi pengurusan budaya, sebelum padi mula ditanam, petak sawah perlu diratakan terlebih dahulu untuk mengelakkan serangan siput di kawasan sawah padi yang bertanah rendah disebabkan air bertakung di situ. Selain itu, penanaman padi secara tabur kering dan penanaman padi secara anak benih dapat mengurangkan serangan siput. Pengurusan air adalah amat penting disebabkan keadaan petak sawah yang beraiar akan menjemput siput untuk datang (Liang, K., 2014).
CADANGAN PENYEDIAAN TAPAK SAWAH PADI BAGI KAWALAN SIPUT GONDANG EMAS
Bagi mengurangkan serangan siput gondang emas ke atas anak benih padi, penyediaan tapak sawah sebelum mula menanam pokok padi adalah penting. Semasa penyediaan tapak sawah, tanah perlu diratakan terlebih dahulu untuk mengelakkan kawasan rendah bertakung dengan air. Sebelum mula menabur benih padi atau menanam anak padi, petak sawah dibiarkan penuh dengan air bagi menggalakkan siput keluar dan menjadi aktif. Pada Ketika ini, pasang jaring pada alur air masuk/keluar petak sawah untuk mengelakkan siput dari aliran sungai/batas ban masuk ke petak sawah. Pesawah boleh menggunakan agen penarik sebagai umpan bagi siput untuk datang supaya mudah untuk mengutip siput dan juga boleh menggunakan itik sebagai agen kawalan biologi pada ketika ini. Selepas petak sawah dipenuhi dengan air selama 1-2 hari, sembur racun kimia yang dibenarkan dan biar 1-2 hari untuk melihat kesan terhadap siput. Selepas itu, bajak tapak sawah padi menggunakan jentera untuk membunuh populasi siput yang masih ada.
SIPUT DAN KEGUNAANNYA
Selain daripada menjadi pemusnah anak padi, siput gondang emas mempunyai beberapa kelebihan iaitu ianya dapat digunakan dalam bidang kecantikan, sebagai bahan kompos dan juga sebagai makanan haiwan ternakan. Bagi bidang kecantikan, banyak produk kecantikan di pasaran sekarang menggunakan lendir siput sebagai ramuan dalam bahan kosmetik. Lendir siput gondang emas kaya dengan allantoin, kolagen, elastin, asid glikolik, vitamin A dan C (Lacanilao, D.A. et al., 2019). Selain itu ia juga kaya dengan antioksida dan berkemampuan untuk menstimulatkan peghasilan kolagen dan dapat membantu mempercepatkan luka pada kulit.
Bagi bidang kompos, siput gondang emas yang telah mati boleh dijadikan kompos memandangkan cengkerangnya yang kaya sebagai sumber kalsium dalam sistem pengkomposan. Sisa cengkerang dicampur bersama dengan sisa dapur atau sisa tanaman boleh dijadikan kompos.
Selain daripada itu, siput gondang emas juga boleh mengurangkan kebergantungan penternak itik dan ayam terhadap bijirin sebagai sumber makanan. Siput kaya sebagai sumber protein dan sesuai untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.
ARTIKEL BERKAITAN – Siput Gondang Emas (Penyerang Hendap Tanaman Padi)
ARTIKEL BERKAITAN – Penyakit Bawaan Siput Gondang Emas
Rujukan
Amzah, B. dan Yahya, M.H. (2014). Kawalan siput gondang di sawah menggunakan umpan penarik, Jurnal Teknologi, 70 (6).
Lacanilao, D.A., Pineda, E.L., Nombre M., Nombs, M., Roldan, H.J., Yee A.J. (2019). Thesis of Wound healing property of Pomacea canaliculata mucin on sprague-dawley rats.
Latip, S.N.H.M., Mamat, M., Keni, M.F. (2013). Azadirachta indica extract as biopesticide for controlling golden apple snail, Pomacea canaliculata, Advance Scence Letters, 19(10), 2992-2994
Liang, K., Zhang, J., Song, C., Luo, M., Zhao, B. Quan, G., An, M. (2014). Integrated management to control Golden Apple Snail (Pomacea canaliculata) in direct seeding rice fields: an approach combining water management and rice-duck farming, Agroecology and Sustainable Food Systems, 38 (3.
Rosli, R., Latip, S.N.H.M., Othman, A.S.N., Mohd Nawi, F.W. (2021). Potential control of Pomacea canliculata using botanical extracts in paddy field. International Transaction Journal of Engineering, Management & Applied Sciences &Technologies, 12 (9), 1-11.
Salleh, N.H.M. Arbain, D., Daud, M.Z.M., Pilus, N., Nawi, R. (2012). Distribution and management of Pomacea canaliculata in the northern region of Malaysia: Mini review, APCBEE Procedia, 129-134.