Oleh Khairunnisa Sulaiman
Sejak bencana banjir teruk melanda Kelantan baru-baru ini hampir ke semua loji rawatan air rosak akibat banjir lumpur dan perlu diperbaiki segera.
Selain itu paip di bawah tanah yang lama banyak yang pecah dan patah akibat aliran air banjir yang deras dan memerlukan masa untuk Syarikat Air Kelantan (SAK) memperbaiki sepenuhnya.
Malah pengguna yang menggunakan air daripada telaga tiub juga menghadapi masalah bekalan air bersih kerana semuanya rosak akibat banjir.
Bagi mengatasi masalah bekalan air yang meruncing di Kelantan, Universiti Malaya (UM) meletakkan penapis Ultrafitration (UF) untuk menukar sumber air mentah sama ada air banjir, air sungai, telaga atau tasik kepada air bersih yang setanding dengan air paip yang dibekalkan oleh SAK.
Kajian yang dijalankan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan, UM Prof Ir. Dr.Mohd Azlan Hussain bersama-sama Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah UM, Prof Dr, Mohamed Kheireddine Aroua dengan sokongan Dekan Fakulti Kejuruteraan Prof Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman adalah sebahagian daripada projek pelajar Ijazah Kedoktoran dalam penyelidikan antara Pusat Sains dan Teknologi Pemisahan (CSST) di Jabatan Kejuruteraan Kimia UM dan TechKem Sdn Bhd yang ditandatangani pada tahun 2013.
Prof Azlan berkata, UF adalah satu proses yang memisahkan bakteria dan virus daripada sampel air bagi menghasilkan air yang selamat diminum bagi kegunaan manusia dan teknologi ini telah lama digunakan untuk menghasilkan air minum dalam skala besar di beberapa buah negara selama beberapa tahun.
“Sebenarnya kajian UF sebelum ini adalah untuk mengitar semula air yang dibuang oleh industri supaya boleh diguna semula sekaligus dapat menjimatkan kos operasi industri berkenaan,” katanya semasa ditemui Kampung Sungai Durian, Kuala Krai Kelantan.
Buat masa ini UM telah meletakkan sistem UF di Kampung Sungai Durian sejak 5 Januari lalu bagi membekalkan air bersih kepada penduduk sekitar termasuk KemTentera Sungai Durian yang menjadi pusat pemindahan banjir.
Sebelum ini pada 29 hingga 31 Disember UM telah membawa sistem yang sama ke kawasan banjir di Taman Awam, Kubang Gajah, Temerloh di mana air bersih dihasilkan terus daripada air banjir dan boleh terus digunakan untuk memasak manakala untuk minum disarankan dimasak atau diletak klorin terlebih dahulu.
Prof Dr, Mohamed Kheireddine berkata, sistem UF adalah mudah alih yang boleh dibawa ke lapangan dalam masa yang singkat dan boleh memproses antara 600 hingga 700 liter air sejam.
“Bagi air banjir, air sungai, air tasik dan telaga, sistem ini boleh memproses sehingga 700 liter sejam. Bagi air yang sangat tercemar seperti industri, proses UF boleh menghasilkan air kitar semula untuk digunakan semula oleh industri,” katanya.
Unit yang dibina tujuh bulan lalu telah diuji di loji rawatan air bagi menghasilkan air minuman selama empat bulan, di loji rawatan air buangan di Lembah Klang selama dua bulan, di kawasan banjir di Temerloh dan kini diletakan berhampiran Kem Tentera Sungai Durian, Kuala Krai bagi menukar air sungai kepada air bersih bagi kegunaan penduduk sejak 5 Januari lalu.
“Di Kelantan, pihak UM mengenalpasti kawasan Kampung Sungai Durian di Kuala Krai sebagai tapak untuk meletakkan sistem UF memandangkan lokasi yang berhampiran dengan kem tentera yang menjadi pusat pemindahan banjir.
“Sistem berkenaan dibawa ke lokasi dan diletakkan berhampiran sungai sebagai sumber air dan dalam masa beberapa minit selepas dipasang penduduk boleh mendapatkan air bersih. Secara purata sistem ini mengeluarkan sehingga 5,000 liter air sehari dalam masa lapan jam operasi,” katanya.
Prof Azuan berkata, sistem UF didatangkan dengan makmal bergerak di mana, air yang dihasilkan boleh diuji dengan 15 parameter yang biasa digunakan untuk piawaian air minuman termasuk pH, kejernihan, logam berat, bakteria, racun serangga dan lain-lain.
“Ini membolehkan penduduk sekitar mendapatkan air bersih setiap masa. Di sebabkan air yang dihasilkan tidak ditambah klorin dan penduduk menggunakan bekas sendiri untuk mengambil air, mereka disarankan untuk memasak air sebelum diminum sama seperti air paip,” katanya.
Pada 2 Februari lalu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengesyorkan setiap kampung yang terjejas banjir di seluruh negara dipasang kemudahan bekalan air bersih bertapis yang dikeluarkan Universiti Malaya (UM) kerana bermutu tinggi.
Apa yang lebih menarik, jelas Prof Azuan, sistem ini lebih murah dan mudah diselenggara berbanding sistem yang menggunakan sistem osmosis berbalik (RO), ultra ungu (uv) dan nanofiltration. Malah membran yang digunakan hanya ditukar dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Mengenai penyelenggaraan pula, hanya perlu sistem balikan yang terdapat di panel kawalan.
Jika terdapat syarikat korporat atau NGO yang berminat untuk menaja sistem UF di kawasan pascabanjir boleh menghubungi Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof Azuan di 03-7967 5200 atau emel: azuan@um.edu.my
Ciri sistem UF:
* satu unit boleh membekalkan air kepada 250 hingga 300 penduduk sehari
* dimensi: 0.75 m x 0.75 m x 1.2 m.
* berat: kurang 50 kg (boleh diangkat oleh dua orang).
* pembungkusan: Unit UF boleh diletakkan di dalam kabinet.
* unit mudah dibesarkan atau dikecilkan untuk kegunaan.
* boleh dinaiktaraf kepada unit Plug and play, boleh disambung kepada sumber air dan tangki simpanan dan operasi melalui panel kawalan.
* konsep air minuman on-the-go
* boleh dimuatkan dan diangkut menggunakan lori saiz sederhana dan dihantar dengan mudah ke kawasan terpencil.
* menggunakan kuasa elektrik, generator, solar atau sistem fotovoltaik.
* menggunakan sumber air tawar seperti air mata air, perigi, sungai, kolam malah air banjir
* menghasilkan air bersih dengan cepat di kawasan bencana seperti banjir
* menghasilkan air bersih dalam masa beberapa minit sebaik saja selepas dipasang
* menggunakan tekanan rendah dibandingkan nanofiltration dan osmosis berbalik (OS) bermakna penggunaan tenaga yang rendah dan operasi lebih selamat
* mudah diguna dan diselenggara
* menggunakan modul membran dari Eropah
* menggunakan kepakaran tempatan
* berguna bagi kem tentera, NGO, hospital, sekolah, industri dan kawasan pedalaman
* sangat berguna semasa bencana alam
Sumber – Utusan Malaysia