Dr Fatimah Binti Salim
Pensyarah Kanan
Institut Atta-ur-Rahman UITM
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr Fatimah Binti Salim. Beliau merupakan Pensyarah Kanan daripada Pusat Asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Dengkil, Selangor.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Latar belakang penyelidikan saya sekarang tertumpu kepada pelbagai bidang (multi-disciplinary) yang menonjolkan kepentingan kimia sebagai asas di dalam setiap bidang kajian sains. Antara penyelidikan yang kini berjalan bergantung kepada projek pelajar pasca-siswazah seliaan utama saya adalah:
- Bidang Sebatian Semulajadi dari tumbuhan (Fitokimia). Fokus saya ialah kepada memencilkan (isolation) sebatian kimia semulajadi dari tumbuhan perubatan Malaysia iaitu Eleusine indica (Rumput Sambau), dan Erythrina fusca (Changkring). Selain daripada merasionalisasi kegunaan tradisional tumbuhan tersebut dengan komposisi fitokimianya, saya juga berminat dengan struktur kimia sebatian semulajadi mereka kerana sifat chiral (memiliki tatastruktur ruang yang berbeza – different spatial molecular arrangement) yang dimiliki. Sifat chiral ini sangat penting kerana perubahan di dalam struktur kimia sebatian ini akan mengubah sifat biologinya, sama ada akan menjadi tonik atau toksik. Berlanjutan dengan minat ini, juga kelebihan memiliki peralatan spektroskopi berkenaan di tempat berkhidmat sekarang, saya mengembangkan minat kepada bidang chemo-informatics (menggunakan aplikasi perisian komputer untuk mensimulasikan ciri-ciri fizikal dan kimia molekul) untuk membantu di dalam menentukan konfigurasi mutlak (absolute configuration) molekul chiral. Perisian komputer spesifik yang kami gunakan untuk tujuan simulasi data ini ialah Spartan14 dan Gaussian09.
- Konformasi stabil untuk cadangan struktur (struktur kimia tentuan berdasarkan prinsip) chiral molekul ini akan di perolehi mengunakan program molecular mechanics force field (MMFF) di dalam perisian Spartan14, dan data spektroskopi untuk setiap konformasi molekul akan disimulasi menggunakan program khas density functional theory (DFT) dan time dependent density functional theory (TDDFT) di dalam perisian Gaussian09. Data spektroskopi untuk setiap konformasi stabil akan dileraikan secara purata berdasarkan populasi Boltzmann (weighted-Boltzmann) untuk mendapatkan gambaran keseluruhan konformasi kinetik molekul semasa analisis dijalankan di makmal. Data simulasi ini akan di analisa dan dibandingkan (dari segi kejituan) dengan data ujikaji makmal yang telah terperoleh melalui peralatan spektroskopi yang berkenaan seperti electronic circular dichroism (ECD), vibrational circular dichroism (VCD), dan nuclear magnetic resonance (NMR) untuk molekul chiral tadi. Darjah kejituan (accuracy) antara data ujikaji makmal dan data simulasi akan menentukan konfigurasi mutlak untuk molekul chiral ini. Namun, darjah kejituan data ujikaji makmal dan simulasi ini memerlukan tahap teori tertentu untuk setiap jenis struktur sebatian kimia chiral ini.
- Membangunkan model kajian membalikkan kerintangan badan terhadap hormon insulin yang diakibatkan oleh protein Galektin-3 untuk merawat penyakit kencing manis. Pada masa kini, rawatan untuk mengawal kencing manis (diabetes) melibatkan preskripsi yang melibatkan lebih dari satu jenis ubat untuk mengawal simtom dan komplikasi penyakit. Amalan polifarmasi (lebih dari satu ubat) ini mengakibatkan kurangnya kepatuhan pesakit terhadap rawatan. Maka, kajian semasa adalah dalam usaha untuk menggabungkan mekanisma farmakologi kepada sebatian perpotensi menyeluruh seperti kumpulan berfungsi benzimidazole untuk mengawal gula dalam darah selepas pengambilan makanan menggunakan model kajian membalikkan kerintangan badan terhadap hormon insulin yang diakibatkan oleh protein Galektin-3 tadi.
- Merasionalisasi aktiviti biologi sebatian kimia semulajadi menggunakan simulasi interaksi (ikatan hidrogen) dengan reseptor protein yang bertanggungjawab melalui docking study (menggunakan perisian DOCK, FlexX, GOLD, and AutoDock). Teknik ini penting untuk memilih struktur kimia yang mempunyai aktiviti biologi yang bertepatan sahaja agar projek ‘drug discovery’ menjadi lebih bersasar, perprinsip dan teratur.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Untuk kajian fitokimia, manfaat kepada masyarakat ialah dapat memberikan input tentang cara pengunaan tumbuhan ubatan yang betul dengan mengambil kira kewujudan dan kestabilan bahan kimia aktif dalam tumbuhan tersebut. Selain daripada memberi identiti fitokimia kepada tumbuhan ini, struktur sebatian kimia yang baru dipencilkan juga boleh menambah nilai kepada bilangan sebatian semulajadi yang telah diketahui setakat kini.
Untuk kajian chemo-informatics, tahap teori yang ditemui boleh diaplikasikan oleh industri farmaseutikal untuk menentukan dengan cepat konfigurasi mutlak struktur kimia chiral drug yang dihasilkan. Disamping itu, vibrational circular dichroism (VCD) spektroskopi boleh digunakan oleh industri untuk menentukan tahap ketulinan drug yang dijual memandangkan 56% drug yang digunakan adalah chiral, dan 88% daripada jumlah ini dalam bentuk rasem (racemic, equimolar).
Model kajian untuk membalikkan kerintangan badan terhadap hormon insulin yang diakibatkan oleh protein Galektin-3 untuk merawat penyakit kencing manis boleh digunakan sebagai “screening method” untuk sebatian kimia atau sintetik yang ada potensi dibangunkan sebagai ubat kencing manis.
Selain daripada ini, tugasan saya sebagai penyelia juga melahirkan model insan iaitu pelajar pasca-siswazah yang faham akan asas sains, terutamanya kimia, akan menjadi aset kepada komuniti professional negara di dalam meneruskan kesinambungan dalam menarik minat golongan muda untuk meminati sanis.
Di mana tempat bertugas sekarang?
Setelah menamatkan pengajian di peringkat PhD pada tahun 2012, kerjaya saya bermula dengan lantikan kontrak (2013 – 2105) sebagai felo pascadoktoral di salah sebuah pusat kecemerlangan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Alam, iaitu Atta-ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns). Setelah tamat kontrak, saya ditawarkan jawatan sebagai pensyarah kanan di UiTM dan ditempatkan di Pusat Asasi, Cawangan Dengkil, pada tahun 2015 sehingga kini. Oleh kerana sumbangan cemerlang kepada AuRIns semasa lantikan postdoctoral, UiTM telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi felo penyelidik di AuRIns pada tahun 2016 sehingga kini. Mengajar subjek asas kimia di Pusat Asasi menjadi kelebihan kepada saya untuk mengaplikasikan kimia di dalam penyelidikan rentas bidang yang memerlukan kefahaman asas kimia yang tinggi.
Selain daripada tanggungjawab akademik dan penyelidikan, saya juga merupakan ahli aktif di dalam persatuan Malaysian Natural Product Society (MNPS), ahli Institut Kimia Malaysia (IKM) dan dilantik menjadi ahli bersekutu Young Scientists Network Academy of Science Malaysia (YSN-ASM 2018-2021).
Demi berbakti kepada negeri asal kelahiran iaitu Sabah, saya juga berkolaborasi dengan Sabah Biodiversity, Museum Sabah dan Universiti Teknologi MARA Sabah untuk membangunkan nilai saintifik tumbuhan ubatan dari Sabah.
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Setelah tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada tahun 2007, saya bekerja dengan syarikat yang menjual peralatan makmal spectrophotometers. Di sini, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan spesifikasi peralatan ini apabila syarikat mendapat tender bekalan. Penyediaan spesifikasi peralatan memerlukan pengetahuan tentang penggunaan yang betul serta bukti-bukti keberkesanan peralatan tersebut yang diterbitkan di dalam jurnal berimpak. Membaca dan memahami kandungan jurnal yang kebanyakkannya melibatkan sebatian kimia telah mendorong minat saya untuk menyambung pengajian ke peringkat master dalam bidang kajian kimia tumbuhan. Saya kemudiannya mendaftar sebagai pelajar pasca-siswazah UiTM dalam bidang fitokimia dari tumbuhan Uncaria longiflora var. pteropoda pada tahun 2009 di bawah seliaan Prof Datin Dr Rohaya Ahmad. Disebabkan oleh prestasi cemerlang dalam hasil penyelidikan sepanjang tahun pertama dan reputasi sebagai pelajar ijazah kepujian kelas pertama, telah melayakkan saya untuk mengikuti program pertukaran pengajian terus dari peringkat master ke PhD. Peluang ini saya tidak sia-siakan dengan menyusun masa untuk kerja kajian, penerbitan, pembentangan serta melibatkan diri dengan aktiviti berpersatuan (bendahari kepada persatuan pasca-siswazah fakulti sains gunaan). Melalui aktiviti-aktiviti ini telah membolehkan saya berkenalan dengan ramai orang termasuk penyelidik dari pelbagai bidang sosial, sains dan teknologi yang mengajar saya berfikir di luar kotak pemikiran sedia ada. Saya menamatkan PhD pada Disember 2012 ketika baru habis pantang anak pertama.
Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Tidak ada tokoh saintis spesifik yang saya jadikan idola. Kebanyakkan saintis yang saya kenal dan jumpa sememangnya hebat dan mempunyai kekuatan masing-masing. Namun, saintis yang menyentuh hati saya dari segi ilmu, pengalaman, peribadi, komitmen dan keikhlasan ialah Professor Emeritus Dr Geoffrey A. Cordell. Beliau merupakan seorang penyelidik sebatian kimia semulajadi tersohor dunia (terutamanya jenis sebatian berfungsi alkaloids) yang menjadi rujukan sehingga kini, dan untungnya beliau menjadi pemeriksa luar thesis PhD saya.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Pengalaman yang paling mencabar dalam bidang penyelidikan ialah untuk mencari bidang focus (niche area) kajian. Apabila saya tamat kontrak sebagai felo pascadoktoral di AuRIns, walaupun minat, saya tidak mampu untuk meneruskan kesinambungan penyelidikan PhD saya kerana kekangan dalaman. Oleh itu, saya terpaksa mencari alternatif yang baru iaitu cuba memberi fokus kepada kekuatan amalan tradisi nenek saya di Sabah yang sememangnya bergantung kepada sumber alam tumbuhan ubatan untuk dikaji secara saintifik. Memandangkan Sabah mempunyai banyak peraturan dari segi hasil bumi dan saya pula bekerja di Semenanjung, maka saya membuat kolaborasi dengan Muzium Sabah dan Sabah Biodiversity. Namun kolaborasi ini ‘tergantung’ disebabkan perubahan pentadbiran dan halatuju Jabatan berkaitan. Pun, saya tidak akan berputus asa demi kemajuan saintifik negeri kelahiran saya iaitu, Sabah, saya akan menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan kolaborasi ini, insyaAllah.
Disamping kekecewaan ini, saya bernasib baik kerana mendapat pelajar pasca-siswazah yang minat dalam bidang mekanik kuantum, yang mana juga merupakan sebahagian daripada kajian PhD saya dulu. Maka fokus saya beralih pula ke bidang chemo-informatics dan kini telah berkembang kepada beberapa cabang yang lain. Menyedari kekuatan saya dari segi asas kimia kini, sedikit asas biologi (semasa mengambil diploma sains dulu), dan melihat jurang antara banyak bidang sains, saya memberanikan diri melebarkan sayap ke dalam kajian rentas disiplin dengan fokus menjadi penyambung (bridging) menggunakan asas iaitu kimia. Alhamdulillah setakat ini saya mampu bekerja, memahami, merangka projek dan menyelia pelajar pasca-siswazah dari pelbagai bidang sains berkaitan dengan kimia. Setakat ini saya sedang menyelia 8 pelajar pasca-siswazah di mana 5 ialah pelajar master dan 3 lagi pelajar PhD.
Selain daripada itu, cabaran paling berat juga ialah dalam mendapatkan geran penyelidikan dan menerbitkan jurnal berindex tinggi (Q1). Alhamdulillah semasa pengajian PhD, saya berjaya menerbitkan jurnal bertaraf Q1, Q2 dan Q3. Untuk penyelidikan yang sedang berjalan ini juga saya meletakkan sasaran yang tinggi iaitu Q1. Walaupun saya tahu ianya tidak mudah, namun berkat strategi yang betul, kerja keras dan keyakinan yang tinggi, saya yakin kami boleh! InsyaAllah.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Jika kita mengikuti garis panduan yang betul, amanah tugas sebagai pensyarah itu sangatlah berat yang mana merangkumi pengajaran, penyelidikan dan aktiviti kemasyarakatan. Seperti saya, pemberat tugasan ialah lebih kepada penyelidikan (membuat kajian) yang mana melibatkan penyeliaan pelajar pasca-siswazah, menulis kertas kerja permohonan geran dan menerbitkan jurnal berimpak tinggi, disamping juga mengajar subjek kimia asas dan tugasan-tugasan yang berkaitan dengan silibus course. Boleh dikatakan banyak tugasan yang perlu dibuat serentak dan pengurusan masa haruslah sangat cekap. Tambahan pula kedudukan geografi rumah dengan tempat mengajar (UiTM Dengkil) dan membuat penyelidikan (AuRIns, UiTM Puncak Alam) yang jauh sememangnya mencabar tahap keupayaan saya sebagai seorang ibu berkerjaya. Akan tetapi, minat yang sangat mendalam dengan kajian, sokongan daripada keluarga dan rasa sayang kepada UiTM menjadikan saya cekal dan mengumpul semangat setiap hari untuk bergerak ke destinasi ini. Selain daripada itu, sumber kekuatan saya untuk bertahan sehingga kini ialah dengan adanya pelajar pasca-siswazah yang baik, cerdik, penyayang dan menunjukkan komitmen sangat tinggi membuatkan saya lebih bersemangat untuk maju bersama dengan mereka dan menghasilkan penyelidikan saintifik yang berkualiti.
Pengalaman paling menarik?
Banyak pengalaman menarik yang telah saya tempuhi sejak bergelar pensyarah dan penyelidik ini. Antaranya ialah:
– Mendapat peluang mengikuti program pertukaran pengajian terus dari peringkat master ke PhD dan berjaya menyiapkan tesis dalam tempoh 3 tahun setengah.
– Mendapat peluang dibiaya sepenuhnya oleh Dana Kecemerlangan UiTM ke luar negara untuk sangkutan penyelidikan di University of Surrey, London (21/4/2012 – 31/5/2012).
– Dapat menerbitkan 10 journal berwasit, menyertai dan membentangkan hasil kerja di beberapa persidangan tempatan dan luar negara serta memenangi beberapa anugerah sepanjang pengajian PhD.
– Berpeluang membuat lawatan sambil belajar ke Padjadjaran University dan Institut Teknologi Bandung, Indonesia, bersama dengan persatuan pelajar pasca-siswazah Fakulti Sains Gunaan semasa memegang jawatan sebagai bendahari persatuan pada tahun 2010.
– Dapat menerbitkan bab di dalam buku bersama penerbit berprestij oleh Elsevier yang bertajuk: Oxindole Alkaloids of Uncaria (Rubiaceae, subfamily Cinchonoideae): A review on its structure, properties and bioactivities. EBook Studies in Natural Products Chemistry, Volume 45-Chapter 12 in International Reference Book Elsevier- p486-525.
– Diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga YSN-ASM yang mengenalkan saya kepada ramai saintis muda hebat seluruh Malaysia yang terdiri dari pelbagai bidang sosial, sains dan teknologi.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Sains adalah bidang yang mencabar, penuh dengan teori dan hipothesis. Namun jika kita mempunyai minat yang mendalam, bertuah mendapat guru yang pandai memahamkan asas teori dengan cara yang sangat mudah dan praktikal, maka ianya akan menjadi menarik untuk diterokai. Sains sebenarnya sangat selari dengan jiwa remaja yang kuat berimiginasi kerana tidak ada satu benda zahir pun di dunia ini yang tidak mampu diterangkan oleh sains. Tanggapan bahawa sains hanya berkisar tentang makmal dan tabung uji haruslah dikikis dari minda para remaja kerana sains adalah lebih daripada itu. Tanpa kita sedar, banyak benda yang berlaku di dalam kehidupan seharian kita melibatkan sains. Maka, remaja perlu jelas dengan minat mereka menjurus kearah bidang sains yang mana, dan tujuan mereka ingin mendalami bidang tersebut kerana setiap bidang pengkhususan mempunyai kekuatan dan aplikasi yang tersendiri.
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Rutin harian saya sama seperti wanita atau ibu-ibu berkerjaya yang lain, iaitu menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak yang sedang aktif membesar. Saya sangat suka memasak, menjahit dan segala aktiviti di rumah. Saya juga suka melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti berenang, mendaki gunung, merakit dan meneroka alam semulajadi. Selain daripada ini, saya juga minat berkongsi tulisan mengenai kimia di dalam kehidupan seharian dan menjawab isu-isu viral di media sosial yang melibatkan kimia di laman sosial Facebook. Saya sengaja memilih untuk menulis dalam Bahasa Malaysia kerana sasaran pembaca saya ialah memberi kefahaman secara terperinci tentang kimia kepada orang kebanyakkan yang aktif menggunakan media sosial dan mudah terdedah kepada isu-isu viral. Kepada yang berminat tulisan sebegini, boleh ikuti laman sosial saya melalui FB: Fatimah Salim. Saya juga ada menyumbangkan sebahagian daripada penulisan saya ke Majalah Sains.