Dr Noraishah Othman
Pegawai Penyelidik Kanan
Agensi Nuklear Malaysia
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr Noraishah Othman. Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Kanan Kumpulan Pentaksiran Loji (PAT), Bahagian Teknologi Industri (BTI), Agensi Kebangsaan Malaysia.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Saya merupakan graduan Kejuruteraan Kimia dan Proses daripada peringkat Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah. Walau bagaimanapun pengkhususan sekarang adalah dalam bidang teknologi penyurih dalam industri atau industrial radiotracer technology (IRT). IRT merupakan satu bidang penting yang diguna pakai oleh industri minyak dan gas, mineral dan galian serta loji rawatan air untuk pengoptimuman hasil produk, penentuan masalah dalam loji , pencirian proses serta kebolehan untuk menentukan kebocoran paip dalam tanah dan heat exchanger dalam keadaan loji tidak ditutup atau shut down yang mana ini merupakan beauty of radiotracer technology. Ini memandangkan kos yang akan ditanggung oleh pihak industri adalah tinggi sekiranya loji ditutup. Oleh itu, on-line diagnostic menggunakan radiotracer akan memastikan loji akan terus beroperasi walaupun pemantauan proses loji dilakukan. Teknologi penyurih adalah teknologi yang mana bahan radioaktif dalam bentuk pepejal, gas atau cecair disuntik ke dalam sistem atau reaktor sesebuah loji untuk pemantauan proses secara on-line. Selain itu, saya juga menjadi konsultan untuk perkhidmatan simulasi Computational Fluid Dynamics (CFD) untuk syarikat dan juga untuk melaksanakan penyelidikan. Integrasi dilakukan di antara teknologi penyurih dan CFD untuk kerja –kerja penyelidikan bagi memastikan penyelidikan dan perkhidmatan yang dilakukan oleh Nuklear Malaysia selari dengan hasrat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) di mana simulasi pengkomputeran termaju yang dilakukan dapat mempercepatkan sesuatu proses penyelidikan yang konvensional.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Industri terutamanya akan dapat meningkatkan hasil proses serta pengoptimuman parameter dapat dilakukan dengan tepat. Ketika proses kimia dilakukan dalam reactor, pihak industri tidak dapat melihat atau mengetahui dengan jelas apakah yang berlaku dalam reactor memandangkan unit operasi iaitu reaktor, vessel, sistem perpaipan menggunakan high pressure vessel (HPV). Oleh itu, pihak industri hanya dapat melihat hasil daripada output sahaja untuk mengetahui sama ada sesebuah unit operasi seperti reactor berada dalam keadaan baik atau sebaliknya. Oleh itu, teknologi penyurih diperkenalkan bagi memastikan proses di dalam reactor berada dalam kedaan optimum di mana masalah loji seperti kewujudan dead zone, stagnant zone, channeling, short-circuit dapat dikenalpasti yang akan mempengaruhi hasil proses di mana kerugian yang akan ditanggung oleh syarikat disebabkan masalah-masalah ini adalah tinggi. Selain itu, teknologi penyurih juga digunakan untuk menentukan kadar alir sesuatu cecair dalam jumlah yang besar seperti yang diperlukan oleh Loji Janakuasa Elektrik (power plant) bagi mengetahui jumlah air laut yang tepat untuk proses penyejukan loji memandangkan syarikat perlu membayar kepada kerajaan negeri untuk setiap isipadu pengambilan air laut. Kos yang perlu ditanggung oleh pihak industi juga dapat dijimatkan seandainya kebocoran cecair atau gas dapat dikenal pasti. Oleh itu, teknologi penyurih juga digunakan untuk pengenalpastian kebocoran pada heat exchanger, yang merupakan unit operasi utama untuk pertukaran haba dan juga kebocoran bawah tanah.

Di mana tempat bertugas sekarang?
Saya merupakan Penyelidik Kanan di Kumpulan Pentaksiran Loji (PAT), Bahagian Teknologi Industri (BTI), Agensi Nuklear Malaysia,Bangi, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). Saya mengetuai projek penyelidikan (R&D) berkaitan teknologi penyurih, serta mengetuai promosi perkhidmatan dan menyediakan perkhidmatan teknikal teknologi penyurih kepada industri minyak dan gas, mineral dan pemprosesan serta industri tenaga. Saya juga merupakan konsultan yang menawarkan perkhidmatan simulasi CFD kepada syarikat. Sehingga kini kami mempunyai kolaborasi antarabangsa bersama pihak International Atomic Energy Agency (IAEA), UiTM, UTP dan pihak industri.


Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Selepas sempurna ijazah dalam Bidang Kejuruteraan Kimia saya bercadang untuk menjadi jurutera kimia di syarikat minyak multinasional. Walau bagaimanapun, langit tidak selalu cerah oleh itu apabila mendapat peluang untuk menjadi Pegawai Penyelidik di Nuklear Malaysia saya bersetuju memandangkan peluang menjadi jurutera kimia masih ada apabila saya ditindikkan di Kumpulan Pentaksiran Loji (PAT), Bahagian Teknologi Industri (BTI). Pengurus PAT pada ketika itu Dr Jaafar Abdullah memberi kebebasan kepada setiap penyelidik untuk melakukan penyelidikan berkaitan industri. Oleh itu, untuk peringkat Sarjana yang dilakukan di UKM, saya telah membuat penyelidikan pertama saya berkaitan pirolisis-pembakaran yang bertajuk Production of carbon dioxide using novel integrated pyrolysis-combustion from Aquilariella Malaccensis or Karas woods under argon atmosphere. Penyelidikan pertama ini merupakan titik tolak kepada saya untuk mempelajari sesuatu bahawa setiap penyelidik perlu berfikiran kreatif dan kritikal untuk menangani sesuatu permasalahan serta banyak membaca journal terkini untuk penyelidikan yang baik. Usai selesai pembelajaran di peringkat Sarjana saya mula terfikir untuk mempelajari teknologi baru agar lebih relevan dengan kehendak industri. Oleh itu, saya telah mula meminta geran penyelidikan MOSTI yang pertama iaitu Sciencefund. Geran ini berkaitan integrasi teknologi penyurih – simulasi penkomputeran CFD dalam industri. Selepas berjaya mengetuai dana ini saya telah memohon untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dengan pengkhususan teknologi penyurih dalam industri di UKM. Ketika Cuti Belajar inilah saya telah mempelajari simulasi pengkomputeran termaju iaitu Computational Fluid Dynamics (CFD). Sekembalinya saya daripada menyempurnakan PhD, saya telah mendapat beberapa geran antarabangsa dan kebangsaan yang melibatkan integrasi teknologi penyurih dan juga simulasi CFD.


Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Prof. Ir. Dr. Siti Kartom Kamarudin merupakan penyelia saya ketika melakukan Sarjana dan PhD. Bagi saya, beliau merupakan Saintis Malaysia yang perlu menjadi rujukan penyelidik tempatan memandangkan beliau juga merupakan penerima anugerah ‘Top Research Scientist Malaysia 2018’ dan ’The World’s Most Influential Scientific Minds 2015’. Beliau merupakan penyelia yang banyak memberi galakkan untuk penulisan kertas kerja saintifik di dalam jurnal antarabangsa quartile pertama (Q1).

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Mempromosikan penggunaan teknologi penyurih kepada industri di Malaysia merupakan tugas mudah, tetapi penerimaan daripada pihak industri untuk penggunaan teknologi penyurih di tempat mereka adalah amat sukar. Stigma industri dan juga masyarakat awam berkaiatan teknologi nuclear telah menjarakkan penerimaan teknologi penyurih ini untuk diimplementasikan di industri. Walau bagaimanapun, Nuklear Malaysia telah mempunyai kolaborasi dengan UiTM dan UTP. Oleh itu kerja-kerja penyelidikan berkaiatan teknologi penyurih telah mula diterima pakai untuk aplikasi Enhanced oil Recovery (EOR).

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Penyelidikan saintifik merupakan proses yang berterusan dan perlu mengikut peredaran semasa. Memandangakan dunia telah mempromosikan revolusi industri 4.0 (IR 4.0), penyelidikan seharusnya sejajar dengan aspirasi IR4.0. R&D di Malaysia sewajarnya berada setaraf dengan kehendak dunia dan tidak konvensional. Research empowerment atau penambahbaikan dalam melaksanakan penyelidikan adalah sangat relevan pada masa sekarang. Ini adalah kerana penyelidikan secara konvensional melibatkan eksperimen yang labour-intensive dan kebanyakannya sangat mengambil masa dan membosankan, memerlukan pelbagai sumber yang banyak dan memerlukan kos yang tinggi. Penggunaan pengkomputeran termaju seperti simulasi CFD merupakah satu kaedah bagi memastikan penyelidikan lebih berdaya maju, kompetitif dan relevan dengan penyelidikan di peringkat global.

Pengalaman paling menarik?
Pengalaman yang paling menarik apabila menjadi penyelidik ialah apabila permohonan mendapatkan Geran diluluskan pihak-pihak penaja. Geran ini adalah perlu bagi memastikan projek penyelidikan yang hendak dijalankan dapat dilaksanakan dengan baik dan seperti dalam perancangan. Selain itu, penyertaan dalam inovasi juga merupakan pengalaman yang menarik di mana dengan menyertai pertandingan inovasi di peringkat nasional atau antarabangsa akan membuat kita lebih memahami penyelidikan yang dijalankan. Saya juga merupakan ketua projek bagi beberapa inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di mana saya dan kumpulan penyelidik dari Nuklear Malaysia telah berjaya menghasilkan beberapa produk dan proses baru seperti Pyrolysis-Combustion Reactor (2009), Radiotracer Industrial Injector: Industrial application (RIIA:RA)(2011); Hybrid Impeller (2015); Smart Radiotracer Data Analysis (SRDA)(2017); dan juga Low Co$t Core Flood Rig (LCCF:RT)(2018).

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Terokai apa sahaja ilmu sains kerana Sains itu sendiri ada di sekeliling kita. Ikutlah peredaran zaman dan jadilah seorang remaja yang berdaya saing dan berilmu pengetahuan tinggi. Jangan cepat mengaku kalah dan sentiasalah berfikir secara kritis serta luar dari kotak untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.|
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Setelah mempunyai keluarga sendiri, saya lebih suka untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Tiada aktiviti spesifik yang dilakukan tetapi apa-apa sahaja aktiviti yang dilakukan bersama keluarga merupakan masa kualiti saya selain berkerja.