Dr Siti Zaharah Binti Haji Sakimin
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Tanaman UPM
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr Siti Zaharah Sakimin. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Bidang tumpuan penyelidikan adalah berkaitan tentang meningkatkan hasil dan kualiti tanaman buah-buahan melalui pengubahsuaian persekitaran, applikasi hormon kepada tanaman, pemberian pelbagai kadar pembajaan dan pengairan serta mengenalpasti bahan aktif semulajadi pada tanaman dan kesannya bagi mengurangkan serangan penyakit pada tanaman yang boleh menyebabkan kerosakan dan pengurangan hasil tanaman. Penyelidikan pada kebiasaannya dijalankan samada di lapangan terbuka atau di rumah lindungan hujan.
Kajian penyelidikan terkini adalah melibatkan pertumbuhan dan hasil tanaman tomato ceri yang yang di tanam di dalam rumah lindungan hujan. Rumah lindungan hujan ini dilengkapi dengan tenaga solar bagi membekalkan sumber tenaga elektrik untuk kegunaan alat-alat elektrik yang dipasang di dalam rumah lindungan tersebut bagi tujuan penjimatan elektrik dan melalui penggunaan sumber tenaga semulajadi. Projek ini juga melibatkan peningkatan kadar CO2 di dalamnya bagi mengkaji kesan peningkatan pemanasan bumi terhadap pertumbuhan dan hasil tanaman tomato ceri. Projek ini bernaung di bawah geran penyelidikan antarabangsa iaitu International Foundation for Science dan geran industri di antara Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad Research (TNBR).

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
- Menghasilkan tanaman berkualiti tinggi dan bebas dari serangan serangga dan perosak sekaligus dalam membantu meningkatkan pendapatan mereka.
- Menggalakkan aktiviti pertanian dijalankan bagi menjamin keselamatan makanan penduduk walaupun tanah tidak subur melalui kaedah penanaman tanpa media dan menggunakan sistem fertigasi dan penanaman di rumah lindungan hujan.
- Memanfaatkan sumber tenaga semulajadi (tenaga suria) untuk mengurangkan kos penggunaan elektrik
- Memberi kesedaran kepada masyarakat kesan pemanasan bumi juga peningkatan kadar CO2 di persekitaran terhadap pertumbuhan tanaman dan hasilnya.
- Mewujudkan sumber baru yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dalam penghasilan produk makanan segar.
- Mengkaji manfaat yang boleh diperolehi melalui produk hiliran yang dihasilkan (gas CO2) oleh TNBR dari pencawang elektrik





Di mana tempat bertugas sekarang?
Berada di Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia sebagai pensyarah dan di Institut Pertanian Tropika dan Keselamatan Makanan (Institute of Tropical Agriculture and Food Security – ITAFoS) sebagai felo penyelidik.
Mempunyai jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan bersama penyelidik dari Universiti Teknologi Mara, Tenaga National Berhad Research, Vietnam, Syatrikat AgroFresh dan Syarikat Agrotain sebuah syarikat baja antarabangsa. Juga terlibat dengan projek komuniti bersama Jabatan Penjara Malaysia di Melaka dan memberikan khidmat latihan kepada kakitangan Agrobank.


Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Mula dilantik sebagai tutor selepas tamat pengajian ijazah pertama di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2003. Melanjutkan pengajian Master Sains di UPM pada tahun 2003 dan PhD di Curtin University of Technology di Australia pada tahun 2007. Tamat pengajian PhD pada tahun 2012. Telah menyelia seramai 21 pelajar Master Sains dan 2 pelajar PhD sebagai penyelia utama. Telah berkecimpung menyelia dan menjalankan penyelidikan selama 6 tahun selepas tamat pengajian PhD.


Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Tokoh idola saya merupakan penyelia PhD saya sendiri iaitu Prof. Dr. Zora Singh. Beliau merupakan seorang yang memberikan inspirasi dalam bidang penyelidikan Produksi dan Physiologi Lepastuai Tanaman Hortikultur Segar dan sangat rajin dalam menerbitkan hasil penyelidikannya. Sentiasa memudahkan urusan pelajar dan memberi bimbingan kepada pelajar bagaimana hendak menyusun gerak kerja penyelidikan yang baik.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Pengalaman paling mencabar adalah apabila menjalankan penyelidikan di dalam geran penyelidikan kolaborasi antabangsa (International Collaboration Research Grant) yang teah diterima pada tahun 2017 dan akan berakhir pada 2019. Penyelidikan ini melibatkan ketua penyelidikan dari tiga institusi kebangsaan dan antarabangsa di mana hasil penyelidikan antara setiap ketua penyelidik akan digunakan dalam kumpulan penyelidik yang lain. Kerjasama antara satu sama lain adalah sangat penting bagi memastikan setiap kumpulan dapat mencapai objektif masing-masing dalam tempoh masa penyelidikan yang telah ditetapkan.
Pengalaman dalam menyampaikan pengajaran adalah semuanya manis bagi saya. Keupayaan dalam mengendalikan kumpulan pelajar yang sangat besar adalah sangat penting. Pelajar perlu dikoordinasikan dengan baik disamping selalu menyelitkan kata-kata perangsang dan semangat juga tunjuk ajar bagi membolehkan pelajar melalui saat-saat getir sewaktu menempuhi zaman belajar mereka di universiti. Melihat semua pelajar dapat sampai ke garisan penamat dan dapat menerima segenggam ijazah mereka adalah satu kepuasan yang tidak terhingga. Kemahiran dalam menggunakan pelbagai teknik pengajaran sesuai dengan usia pelajar dan peringkat pembelajaran mereka adalah amat penting.








Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Pepatah ada menyatakan, ‘penyelidikan adalah sumber ilmu baru dalam dunia ilmu…’. Minat yang mendalam dan kekretifan dalam menjalankan penyelidikan adalah sangat penting. Walaupun penyelidikan yang dijalankan berskala kecil, namun hasilnya dapat memberi kesejahteraan kepada masyarakat di dunia. Perkongsian hasil penyelidikan juga perlu menyeluruh samada melalui penerbitan jurnal, kertas-kertas saintifik yang diterbitkan, perjumpaan bersama komuniti dan orang awam juga penyampaian latihan kepada agensi tertentu melalui undangan dan jemputan khas. Sesi perkongsian ilmu bersama pakar lain juga adalah sangat penting. Kerana dari situlah permasalahan yang timbul pada sesuatu tanaman di sesetengah kawasan dapat dikongsikan dan bidnag baru kajian boleh diwujudkan bagi mengatasi masalah yang timbul. Disamping itu kerjasama antara sesebuah agensi dapat diwujudkan.

Pengalaman paling menarik?
Banyak pengalaman menarik sewaktu zaman belajar, penyelidikan dan kolaborasi. Setiap cabaran yang dihadapi di pelbagai peringkat berikut mematangkan diri kita untuk membuat keputusan sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
Sebagai contoh sewaktu tahun pertama saya menjalankan pengajian PhD juga adalah merupakan tahun di mana saya melahirkan anak yang pertama. Kekuatan fizikal dan mental pada waktu ini adalah sangat penting kerana berjauhan dengan keluarga dan perlu menguruskan masa dengan baik antara antara masa untuk belajar dan menguruskan anak kecil juga keluarga.
Pengalaman menjalankan penyelidikan adalah berjaya mendapatkan geran antarabangsa di mana memerlukan komitmen penyelidik dalam dan luar universiti. Projek ini berjaya menarik ramai pelawat yang ingin mendalami ilmu pengetahuan tentang kesan penanaman di dalam rumah lindungan hujan terhadap pertumbuhan dan hasil serta perkara lain yang perlu dipertimbangkan sebelum ianya dibina. Secara tidak langsung projek penyelidikan tidak terbatas kepada penghasilan data melalui peyelidikan tetapi perkongsian ilmu dari pemerhatian dan pengalaman dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang ini. Selain dari perkongsian ilmu, saya juga dapat mewujudkan kawan baru yang meminati bidang yang sama dan membuka pelbagai peluang lain seperti bagaimana hendak mendapatkan dana dalam bidang pertanian dan sebagainya.

Pengalaman menarik lain dalam bidang kolaborasi adalah apabila berjaya mendapatkan sejumlah geran konsultansi antabangsa yang memerlukan persefahaman yang tinggi bagi memenuhi kehendak dan keperluan syarikat antarabangsa tersebut. Projek ini dijalankan di peringkat ladang terbuka dimana pencapaian penyelidikan adalah kadang kala bergantung sepenuhnya kepada faktor tidak terkawal seperti hujan, kerosakan jentera dan sebagainya. Disinilah strategi penyelidikan sangat penting bagi memastikan projek dapat dijalankan dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
‘Science is a way of life’. Sains bukan sahaja tertakluk kepada formula dan tindak balas kimia yang sukar untuk difahami. Keupayaan komunikasi dalam bidang sains merupakan satu bidang baru yang perlu dikuasai oleh ahli penyelidikan dalam bidang sains. Hasil penyelidikan dalam bidang sains perlu diterjemahkan dalam bahasa yang paling mudah untuk difahami oleh orang awam (layman languages) atau komuniti dan industri secara keseluruhan dalam memberikam impak yang tinggi kepada umum.
‘Science is fun and full of exploration’. Dalam bidang sains kita perlu berinteraksi antara satu sama lain. Penggabungan pelbagai bidang dengan penglibatan pelbagai pakar yang mahir dalam bidang tertentu akan membuka kepada ruang penyelidikan dan kolaborasi baru. Perkongsian ilmu melalui konferen, bengkel dan perhimpunan seterusnya membawa kepada pembentukan polisi baru yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat diperingkat kebangsaan dan antarabangsa adalah merupakan sumbangan besar ahli-ahli sains yang menjalankan penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing.



Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Antara aktiviti yang paling saya gemari adalah bermain bowling dan larian padang. Latihan bermain bowling diadakan pada setiap bulan bagi meningkatkan kemahiran. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan sesama warga kerja fakulti disamping riadah setelah penat bekerja. Perlawanan persahabatan juga dirancang diadakan di akhir tahun dan penyertaan adalah samada diperingkat jabatan, fakulti atau universiti. Penglibatan dalam aktiviti bersukan ini adalah penting bagi mengekalkan stamina dan tahap kesihatan disamping sebagai salah satu strategi pengurusan tekanan setelah penat bekerja.

