Dr Wan Mohd Afiq Wan Mohd Khalik
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Sains Marin & sekitaran
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr Wan Mohd Afiq Wan Mohd Khalik. Beliau merupakan Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Kuala Nerus, Terengganu.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Bidang penyelidikan yang saya terokai adalah bidang kimia analisis, ia merupakan salah satu cabang utama di dalam bidang kimia. Pengkhususan penyelidikan yang sedang saya terokai adalah pembangunan kaedah analisis surih bagi bahan pencemar baru seperti sisa aktif sebatian farmaseutikal dan marin debris iaitu mikroplastik. Tunjang utama penyelidikan saya memberi tumpuan kepada pengesanan bahan pencemar ini di dalam ekosistem akuatik terutamanya sumber air. Bagi mencapai tujuan pembangunan kaedah analisis, konsep kimia hijau dan miniatur pengekstrakan -mikro dan -nano sentiasa menjadi keutamaan. Kajian berkaitan sisa aktif sebatian farmaseutikal dan mikroplastik masih baru di Malaysia dan adalah diharap terokaan ini dapat memberi manfaat kepada banyak pihak.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Isu-isu alam sekitar berkait rapat dengan keperluan dan keselamatan manusia. Hal ini amat penting memandangkan dunia kini mengalami masalah dalam bekalan sumber air yang bersih. Keperluan air bersih tidak terhadap kepada sumber air minum, tetapi ia juga penting kepada aktiviti-aktiviti lain di dalam kehidupan kita. Pengetahuan tentang kajian kualiti air juga perlu dikongsi kepada masyarakat awam. Minda masyarakat perlu di didik bahawa tahap kebersihan air tidak hanya bergantung kepada estatika kejernihan air semata-mata, tetapi juga sebatian yang terkandung didalamnya akan memberi kesan langung kepada kesihatan manusia. Pencemaran akuatik yang kian mendapat perhatian banyak pihak perlu ditangani segera. Jika sebelumnya kita sering mendengar tentang pencemaran logam, racun mahkluk perosak dan masalah kekeruhan air, maka pencemaran baru seperti sisa aktif sebatian farmaseutikal dan mikroplastik adalah dimensi pencemar baru yang sedang mengancam kelestarian sumber akuatik di negara kita. Ia juga selaras dengan usaha kerajaan yang secara berterusan memastikan sumber air kepada rakyat berada pada tahap yang terbaik di bawah agenda utama keberhasilan negara.
Di mana tempat bertugas sekarang?
Saya bertugas di Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu sebagai pensyarah kanan. Saya juga secara aktif menjalankan kerja-kerja penyelidikan bersama kumpulan penyelidikan mikroplastik (Microplastic Research Interest Group) di Universiti Malaysia Terengganu dan ahli bersekutu Pusat Penyelidikan Air dan Analisis (ALIR) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Di samping itu, saya berkhidmat sebagai editor eksekutif bagi Malaysian Journal of Analytical Sciences
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Saya mula mengenali dunia penyelidikan secara serius sewaktu melanjutkan pelajaran peringkat sarjana (kimia) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009. Penyelidikan pada peringkat sarjana menjuruskan kepada penilaian kualiti air tawar iaitu di Tasik Temenggor, Perak. Pada tahun 2011, saya berpeluang melanjutkan sangkutan penyelidikan di Gwangju Institute Science and Technology dibawah seliaan Prof Han Seunghee. Projek penyelidikan yang dijalankan adalah berkaitan analisis surih merkuri dari sampel air marin dan memahami kitaran geokimia bagi spesies merkuri. Pada tahun 2017, saya telah menamatkan pengajian peringkat ijazah doktor falsasah (kimia) di UKM. Penyelidikan pada peringkat PhD memberi tumpuan kepada pembangunan kaedah analisis spesies merkuri bagi pengesanan di dalam air marin. Hasil kajian telah berjaya diterbitkan di dalam jurnal antarabangsa seperti Asian Journal of Chemistry and Marine Pollution Bulletin. Disamping itu, saya menjalankan kerja-kerja penyelidikan berkaitan pengesanan sisa farmaseutikal, racun makhluk perosak dan pemantauan kualiti air dibawah tunjuk ajar Prof Dr. Md Pauzi Abdullah, salah seorang pakar kajian air di Malaysia.
Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Tokoh yang saya kagumi di dalam bidang kimia analisis ialah Professor Damià Barceló dari institut penyelidikan air Catalan (ICRA). Beliau merupakan saintis moden yang banyak meneroka dan berkongsi ilmu berkaitan bidang kimia analisis. Hasil kajian yang termaju telah menjadi rujukan dunia. Beliau juga merupakan editor journal terkemuka dunia iaitu Science of the Total Environment. Meskipun belum berpeluang menemui beliau secara peribadi, membaca artikel-artikel penulisannya sudah cukup membuat saya kagum dengan kehebatan penyelidikannya. Bagi saintis wanita pula, saya mengagumi bekas penyelia saya, Prof Han Seunghee di atas komitmen di dalam dunia penyelidikan. Nasihat dan budaya kerja yang telah beliau tunjukkan sepanjang tempoh perkenalan telah menjadi aspirasi untuk saya terus berusaha dengan lebih gigih di dalam dunia penyelidikan.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Pengalaman paling mencabar bagi saya adalah aspek pengurusan masa. Pegalaman ini telah saya rasai sendiri sewaktu mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah. Disamping menjalankan aktiviti penyelidikan, saya juga berperanan sebagai pembantu editor jurnal. Menguruskan masa menjadi kritikal dan gerak kerja harian perlu dilakukan secara efisien. Kejayaan seseorang penyelidik bukan hanya terletak di atas hebatnya sesuatu projek yang dijalankan. Tetapi sejauhnya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada ilmu awam agar boleh dimanfaat pelbagai pihak. Bagi saintis muda, proses memperkukuhkan bidang kajian yang kita minati adalah sesuatu perkara yang boleh dianggap kritikal. Untuk kekal relevan, seorang saintis perlu rajin membaca dan melakukan diskusi ilmiah. Saya juga berpegang teguh kepada prinsip penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada disiplin tunggal, dalam dunia penyelidikan moden ia harus merangkumi pelbagai bidang.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Minat yang berterusan untuk menghasilkan karya-karya ilmiah antara dorongan besar saya untuk bertahan di dalam dunia penyelidikan saintifik. Alhamdulillah, meskipun baru berkecimpung dalam dunia akademik, sehingga kini saya telah menghasilkan 34 makalah penerbitan hasil kolaborasi dengan pelbagai pihak. Kejayaan dalam penerbitan berimpak tinggi Q1 adalah antara pencapaian yang membanggakan bagi seorang saintis.
Pengalaman paling menarik?
Pengalaman menjalankan penyelidikan seperti aktiviti pensampelan saya anggap sesuatu yang unik dan menarik. Hasil kajian di makmal kemudian terus diuji mengunakan sampel alam sekitar menjadikan bidang penyelidikan saya merangkumi dua bidang iaitu kimia dan alam sekitar. Ia sedikit berbeza dengan rutin kebiasaan bagi ahli kimia lain. Di samping itu menyertai pertandingan penyelidikan antara pengalaman berharga bagi seorang penyelidik. Berjaya memperolehi pingat perak di dalam Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2018 adalah kejayaan peribadi yang telah saya capai.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Minat perlu ditanam dalam diri secara berterusan. Remaja yang ingin meneroka dunia sains dan teknologi perlu rajin membaca dan menguasai ilmu asas sains. Berani menerima cabaran dan bersedia menerima kegagalan adalah ramuan asas dalam bidang penyelidikan.
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Menyertai acara larian adalah aktiviti yang dilakukan untuk hubungan sosial. Disamping dapat menyihatkan tubuh badan, aktiviti seperti ini dapat merehatkan minda seketika dari kesibukan dunia akademik dan penyelidikan.