Prof Madya Dr Siti Fairus Mohd Yusoff
Ketua Program Kimia
Pusat Pengajian Kimia dan Teknologi Kimia
Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Prof Madya Dr Siti Fairus Mohd Yusoff. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Tumpuan penyelidikan saya sekarang adalah bertumpu kepada penghasilan bahan polimer baru berasaskan getah asli cecair. Terlebih dahulu saya ingin menerangkan apakah perbezaan antara getah asli (NR) dan getah asli cecair atau Liquid Natural Rubber (LNR). Secara fizikalnya, getah asli berbentuk pepejal manakala LNR adalah dalam bentuk cecair. Getah asli mempunyai berat molekul asal sebanyak 1 – 2 juta g/mol, apabila ditukarkan menjadi LNR melalui proses degradasi, berat molekulnya adalah dalam julat 30 000 g/mol hingga 100 000 g/mol. LNR dengan rantaian lebih pendek berbanding NR membolehkan beberapa tindak balas dijalankan seperti pengoksidaan, penghidrogenan, dan taut silang yang menyumbang kepada penghasilan produk baru yang lebih berfungsi. Pada masa hadapan, tidak mustahil LNR termodifikasi akan menjadi pilihan utama para penyelidik berbanding getah asli disebabkan ciri-ciri fizikal dan kimia yang telah ditambah baik berbanding getah asli.
Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Hevea brasiliensis merupakan sejenis pokok getah yang mudah ditemui di Malaysia Kebolehpasarannya di Malaysia adalah meluas seperti dalam bidang pertanian, pengangkutan dan industri perekat. Getah asli boleh diperolehi hasil daripada torehan kulit pokoknya yang dinamakan sebagai lateks. Walaupun getah asli ini mempunyai sifat istimewa seperti mempunyai keanjalan dan kekenyalan yang tinggi. Penggunaanya tidak dapat diperluaskan oleh kerana beberapa kelemahan seperti tidak tahan kepada suhu melampau. Oleh sebab itu, getah sintetik lebih gemar menjadi pilihan para penyelidik mahupun industri untuk diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Banyak kajian penyelidikan dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran dan penggunaan getah asli ini secara meluas seiring dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Modifikasi kimia getah asli melalui pendepolimeran telah menghasilkan getah asli cecair dengan sifat yang sama seperti getah asli dengan berat molekul yang lebih kecil sekaligus membantu dalam langkah pengubahsuaian yang seterusnya.
Di mana tempat bertugas sekarang?
Kerjaya saya bermula pada tahun 2007 sebagai tutor di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. Setelah tamat pengajian PhD pada tahun 2011, saya dilantik sebagai Pensyarah Kanan di insititusi yang sama dan dinaikkan pangkat ke Professor Madya pada tahun 2018. Sekarang saya memegang jawatan pentadbiran sebagai Ketua Program Kimia di FST.
Kumpulan Penyelidikan: The Fairus Group UKM
Website: www.fairusgroup.com
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Ketika pengajian sarjanamuda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saya merupakan salah seorang pelajar yang terpilih untuk mengikuti Program Saintis Cemerlang (PSC) dibawah Institut Ibnu Sina (IIS). Program Saintis Cemerlang diwujudkan pada tahun 1999 untuk pelajar Fakulti Sains, UTM bermatlamat melatih pelajar cemerlang Bumiputera khususnya Melayu sehingga menjadi saintis terkemuka negara. Program ini asalnya dikenali sebagai Program Pendidikan Nobel Laurette memilih tidak lebih daripada 30 orang pelajar setiap tahun yang benar-benar berminat dalam bidang sains. Pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini adalah kalangan mereka yang mendapat Purata Nilai Gred Terkumpul (CGPA) 3.5 ke atas dalam peperiksaan tahun pertama serta telah menduduki ujian menguji tahap Kecerdasan Intelektual (IQ) dan Kecerdasan Emosi (EQ). Menerusi program ini, para pelajar akan disemai dengan sikap yang positif terhadap masa depan kerjaya di bidang sains. Rutin belajar kami seperti biasa iaitu menyertai kuliah dan tutorial seperti pelajar lain. Tetapi yang membezakan kami dengan program lain ialah penyertaan beberapa aktiviti khas untuk meningkatkan keupayaan kami dalam bidang sains seperti menyertai seminar dan pendedahan tentang dunia penyelidikan.
Bermula daripada detik itu, tersemai cita-cita saya untuk menjadi seorang saintis membuatkan saya berusaha untuk bergraduasi dengan kepujian kelas pertama. Dengan keputusan tersebut, saya memohon tutor di UKM dan mendapat biasiswa SLAB/SLAI untuk menyambung PhD di University of Bristol, United Kingdom. Saya berjaya menamatkan PhD pada September 2011 ketika berumur 25 tahun 7 bulan.
Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Dalam kurikulum PSC, ada satu subjek istimewa iaitu Pengenalan Hadiah Nobel. Hadiah Nobel adalah hadiah yang dimulakan oleh wasiat Alfred Nobel, dan dianugerahkan kepada individu (dan juga pertubuhan dalam kategori hadiah Keamanan Nobel) yang telah melakukan penyelidikan yang ulung, mencipta teknik atau radas yang luar biasa, atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat. Dalam subjek tersebut, saya dan rakan-rakan masing-masing diminta untuk membuat pembentangan tentang seorang penerima Hadiah Nobel Kimia. Saya telah memilih untuk membuat pembentangan tentang Sir Harold Kroto. Beliau telah memenangi hadiah nobel pada tahun 1996 bersama-sama dengan Robert Curl, Richard Smalley dimana mereka menemukan hasil kajian tentang bentuk baru carbon yang wujud dalam bentuk struktur 60 atom carbon seperti bola berongga dinamakan ‘buckminsterfullerene atau bucky balls’. Hasil penemuan dan anugerah yang diterima oleh beliau sangat mengagumkan saya pada ketika itu sehinggakan saya pernah menghubungi (emel) dan mengatakan minat untuk menyambung PhD dibawah seliaan beliau. Oleh kerana biasiswa SLAB/SLAI yang ditawarkan kepada saya hanya untuk menyambung pengajian di UK, maka, tidak kesampaian hasrat untuk bekerjasama dengan Sir Harold Kroto yang ketika itu berada di Florida State University, US.
Tokoh Saintis kedua adalah penyelia PhD saya sendiri iaitu Prof. Dr. Ian Manners (gambar). Kepakaran dan kecekapan beliau menguruskan kumpulan penyelidikan yang besar masih mengagumkan saya sehingga kini. Ketika membuat penyelidikan PhD dibawah seliaan beliau (2008-2011), beliau mempunyai hampir 30 orang pelajar seliaan di University of Bristol dan juga luar UK. Beliau begitu effisen menguruskan pelajar dan sangat menjaga hubungan kolaborasi dengan pelbagai negara (US, Canada, Germany, Netherland etc). Sedikit sebanyak saya mendapat sedikit tempias hubungan kolaborasi tersebut dimana salah satu projek penyelidikan PhD saya adalah bersama-sama dengan University of Twente, Netherland. Baru-baru ini Ian Manners telah menerima anugerah yang berprestij iaitu Canada 150 Research Chair in Materials Science dimana beliau mendapat geran penyelidikan sebanyak $1,000,000/ setahun selama 7 tahun untuk mengembangkan penyelidikan beliau dalam pendekatan bahan nano untuk aplikasi elektronik dan bioperubatan. Satu pencapaian yang sangat mengagumkan. Pengalaman penyeliaan dan komitmen seorang penyelidikan yang ditunjukkan oleh Ian Manners memberikan semangat yang luar biasa untuk saya menubuhkan kumpulan penyelidikan saya sendiri. Tips penyeliaan yang saya dapat daripada beliau telah saya praktikkan bersama kumpulan penyelidikan saya yang membuatkan hubungan penyelia-pelajar berjalan lancar dan memudahkan kedua-dua urusan penyeliaan dan penyelidikan.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Pengalaman yang paling mencabar dalam penyelidikan adalah untuk memantapkan fokus bidang kajian sendiri. Apabila saya menamatkan PhD dan baru mula bertapak di UKM, saya mencari-cari tumpuan dan haluan penyelidikan. Saya tidak dapat meneruskan kesinambungan penyelidikan PhD saya kerana terdapat banyak kekangan dari segi prasarana. Oleh itu, saya terpaksa mencari bidang alternatif yang baru. Saya bersyukur dipertemukan dengan ‘Rubber Man UKM’ iaitu Prof. Dr. Ibrahim Abdullah yang memperkenalkan saya tentang kajian tentang getah asli. Walaupun sudah banyak kajian getah dijalan sejak lama dahulu tapi saya tidak putus asa mencari ruang untuk menghasilkan penemuan/kaedah baru yang boleh menyumbang kepada bidang ilmu. Selain itu, apabila menubuhkan kumpulan penyelidikan sendiri, saya merasakan cabaran terbesar adalah untuk menerbitkan hasil kajian dalam jurnal yang berimpak tinggi. Pencapaian tertinggi saya adalah hanyalah dalam jurnal Q2. Namun, saya tidak akan berputus asa untuk menghasilkan hasil penyelidikan yang lebih berkualiti supaya dapat menembusi jurnal bertaraf Q1.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Kerjaya seorang pensyarah bukan sahaja perlu mengajar dan menyelia tetapi perlu membuat kajian (saintis) dan juga menyumbang tenaga kepada universiti, komuniti dan negara. Boleh dikatakan banyak tugasan yang perlu dibuat dalam satu pekerjaaan. Akan tetapi, minat yang ada dalam diri saya dari hari pertama saya bergelar pensyarah masih kekal bahkan semakin berkembang dari hari ke hari. Salah sumber kekuatan saya untuk bertahan sehingga kini adalah dengan adanya pelajar yang menunjukkan komitmen yang sangat tinggi membuatkan saya lebih bersemangat untuk maju bersama dan menghasilkan penyelidikan saintifik yang berkualiti.
Pengalaman paling menarik?
Setiap orang mempunyai banyak pengalaman yang paling menarik termasuk diri saya. Antara pengalaman yang saya tidak boleh lupa adalah:
- Mendapat peluang meneruskan pengajian ijazah pertama di UTM dengan menggunakan keputusan SPM iaitu saya tidak perlu memasuki kolej matrikulasi.
- Saya juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat PhD secara trek pantas dengan menggunakan keputusan ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama).
- Saya juga berjaya menerbitkan 5 makalah yang berimpak tinggi (Q1) daripada hasil penyelidikan PhD bersama Ian Manners.
Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Sains adalah bidang yang mencabar namun ianya sangat menarik untuk diterokai. Remaja perlu sedar bahawa kemajuan dalam bidang sains tidak dapat dinafikan lagi. Kemajuan ini sudah pasti memberi kesan kepada perubahan dalam kehidupan. Dengan itu sains mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam pembangunan masyarakat sejagat. Dengan itu, remaja perlu perluaskan lagi pengetahuan tentang sains. Dimana sains bukan sahaja berkisar tentang kerja makmal tetapi ianya lebih besar daripada kehidupan makmal. Kajian penyelidikan boleh juga berlaku di luar makmal malahan di angkasa lepas.
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Rutin harian saya sama seperti wanita atau ibu-ibu yang lain iaitu menghabiskan masa berkualiti bersama-sama keluarga selepas waktu bekerja. Selain itu, saya tidak akan lupa untuk meluangkan sedikit masa untuk diri saya sendiri (‘me time’). Waktu untuk diri saya sendiri adalah ketika saya bersenam. Aktiviti senaman yang saya gemar adalah aktiviti larian yang akhirnya menjadi hobi. Saya akan mencari masa luang sebelum atau selepas waktu bekerja untuk bersenam. Pada hujung minggu saya akan menyertai acara larian jarak jauh (5km, 10km dan 21km) dan mengumpul pingat hasil larian tersebut. Tujuan saya adalah untuk menjadi seorang wanita, isteri dan ibu yang bukan sahaja bekerjaya tetapi juga sihat dan cergas.