Oleh: Zafirah Zapri
Apabila menyebut tentang span, apakah yang terbayang di fikiran anda?
Adakah ini?
Atau ini?
Pernahkah anda menonton siri kartun SpongeBob SquarePants? Jika pernah, watak spongebob dengan telatahnya yang riang ria mungkin tidak asing lagi bagi anda. Tahukah anda bahawa watak spongebob ini diilhamkan dari sejenis haiwan yang hidup di dasar lautan yang berada di sekitar kawasan terumbu karang. Makhluk ini merupakan sejenis haiwan yang dikenali sebagai span laut.
Span adalah haiwan marin yang badannya berliang-liang dan dapat menyerap air dengan mudah. Mereka bersifat sama seperti haiwan lain iaitu bercirikan heterotrof (mendapatkan makanan daripada sebatian organik), mempunyai banyak sel dan menghasilkan sperma. Walau bagaimanapun, span tidak mempunyai sistem pencernaan, sistem saraf dan sistem peredaran. Span laut juga adalah haiwan yang sesil, tidak boleh bergerak dengan bebas dan berenang dengan sesuka hati. Oleh itu, mereka mendapatkan makanan seperti plankton, bakteria dan oksigen dengan menapis air yang masuk atau dipam ke dalam badan mereka.
Span laut juga berjasa dalam kehidupan kita. Selain menjadi inspirasi kepada pembuatan span cuci pinggan sintetik seperti yang kita lihat pada hari ini, span laut turut menyeimbangkan ekosistem marin dan ‘membersihkan’ kawasan persekitaran laut. Selain itu, span laut juga digunakan dalam sektor penyelidikan terutama bidang bioteknologi marin untuk dijadikan penawar kepada pelbagai penyakit.
Haiwan tertua di dunia
Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. David Gold daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) telah menemui bukti genetik dan paleontologi bahawa span laut adalah haiwan tertua di muka bumi. Hasil penelitian tersebut telah diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences.
Mengikut perkongsian daripada laman portal Independent, nenek moyang span laut ini dipercayai telah wujud semenjak 640 juta tahun yang lalu. Pasukan saintis dari MIT ini telah membuat penemuan tersebut dengan menganalisis molekul fosil yang didapati dalam batuan purba yang dipercayai berusia 640 juta tahun.
Para saintis telah memfokuskan molekul 24-Isopropylcholesterol (24-ipc) iaitu sterol yang terkandung di dalam batuan purba tersebut. Mereka telah meneliti sebanyak 30 genome organisma yang berbeza termasuk tumbuh-tumbuhan, kulat, alga dan span laut yang ‘disyaki’ mempunyai gene berkaitan dengan sterol 24-ipc serta membuat perbandingan genome tersebut. Hasil penelitian mendapati span laut turut memiliki molekul yang sama seperti batuan purba itu sekali gus disimpulkan sebagai haiwan tertua di muka bumi.
Dalam sebuah temu bual dengan MIT News, Dr Gold telah menyatakan bahawa penemuan ini telah membuka banyak persoalan baru seperti ‘macam mana rupa organisma ini pada zaman purba?’ ‘Bagaimana persekitarannya?’ ‘Dan mengapa terdapat jurang yang begitu besar dalam rekod fosil?’.
Ujarnya lagi, banyak perkara mengenai haiwan purba yang masih tidak diketahui, berapa banyak penemuan yang ‘tertinggal’ dan betapa bergunanya molekular fosil untuk mengisi jurang dan persoalan ini.
Sehingga kini, para saintis sedang gigih berusaha untuk mencari bukti awal penciptaan flora dan fauna di bumi serta mencuba membongkar rahsia jutaan tahun dahulu.
Rujukan & Untuk bacaan lebih lanjut:
[1] Gold, D. A., Grabenstatter, J., de Mendoza, A., Riesgo, A., Ruiz-Trillo, I., & Summons, R. E. (2016). Sterol and genomic analyses validate the sponge biomarker hypothesis. Proceedings of the National Academy of Sciences, 113(10), 2684-2689.
[2] Doug Bolton. Sea sponges were the first animals on Earth, scientists discover. (2016). Dicapai http://www.independent.co.uk/news/science/sea-sponge-oldest-animal-on-earth-a6891511.html
[3] Jennifer Chu. (2016). Title for ‘Earth’s first animal’ likely goes to simple sea creature. Dicapai http://news.mit.edu/2016/earth-first-animal-simple-sea-sponge-0222
[4] SCINEWS. (2016). Study: Simple Sea Sponges Were Earth’s First Animals. Dicapai http://www.sci-news.com/paleontology/sea-sponges-earths-first-animals-03659.html
[5] Wikipedia. (2017). Span. Dicapai https://ms.wikipedia.org/wiki/Span
[6] J. S. Rayl. (1999). The Scientist. Oceans: Medicine Chests of the Future? . Dicapai http://www.the-scientist.com/?articles.view/articleNo/19566/title/Oceans–Medicine-Chests-of-the-Future-/