SHARE

 

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Penghargaan kepada Nazmi Lao daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan. Artikel asal diterbitkan oleh The Sun di dalam kolum My View pada 26hb September, 2017.

Sementara dunia sedang menumpukan perhatian kepada Revolusi Perindustrian Keempat, apa kata kita mengamati apa itu Revolusi Perindustrian Kedua.

Revolusi Perindustrian Kedua bermula kira-kira 150 tahun dahulu. Penemuan tenaga elektrik membolehkan aktiviti pengeluaran dilakukan pada skala besar. Dengan adanya barisan pemasangan, banyak kilang mampu menghasilkan pelbagai produk untuk pengguna pada kadar yang cepat dengan kos yang lebih rendah.

Revolusi tersebut turut menggalakkan pembahagian tugas yang memastikan pengeluaran produk dapat dijalankan dengan cekap dan seterusnya meningkat produktiviti. Revolusi ini membawa kebaikan kepada masyarakat, namun tidak semua lapisan masyarakat yang mendapat keuntungan daripadanya. Terutamanya di zaman sekarang di mana jurang ketaksamaan yang semakin luas, khususnya di peringkat negara mahu antarabangsa sekalipun.

Tidak semua yang akan mengaut keuntungan daripada penemuan teknologi baru dan mungkin juga keuntungan tersebut tidak diperoleh tepat pada masanya. Sebagai contoh, masih wujud masyarakat luar bandar yang tidak mendapat capaian kepada alatan elektrik asas, walaupun teknologi tersebut telah wujud selama seabad lamanya.

Usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyalurkan RM70 juta untuk membekalkan tenaga elektrik kepada masyarakat luar bandar adalah usaha yang murni. Namun begitu, usaha ini bukan sahaja belum mencapai keperluan dan kehendak Revolusi Perindustrian Kedua, malah masih jauh daripada Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Ini bermaksud bahawa usaha kita dah terlewat selama lebih daripada 100 tahun, walaupun masa yang diperlukan untuk menguasai teknologi tersebut hanyalah kira-kira setengah abad.

Tidak dinafikan bahawa menyalurkan RM70 juta dalam usaha untuk memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati 4IR adalah usaha yang dialu-alukan, namun sekiranya tidak dikendalikan dengan baik, usaha ini mungkin akan mengakibatkan jurang ketaksamaan menjadi semakin luas. Walaupun 4IR boleh membawa manfaat kepada orang ramai, namun lebih ramai lagi yang akan terperangkap oleh paradigma yang wujud sejak revolusi-revolusi perindustrian yang lepas.

Dalam mengejar 4IR, pihak-pihak berkuasa telah lupa pada tanggungjawab mereka untuk memantapkan pelaksanaan revolusi-revolusi perindustrian yang lalu. Tanpa bekalan elektrik yang konsisten, 4IR tidak akan membuahkan hasil yang lumayan. Kesimpulannya, melaksanakan 4IR akan menyebabkan jurang ketaksamaan semakin luas sekiranya Revolusi Kedua dan Ketiga tidak dilaksanakan dengan sempurna. Andai kata objektif sebenar adalah untuk menyempurnakan pelaksanaan Revolusi Kedua dan Ketiga, RM70 juta ternyata tidak mencukupi; melainkan pihak berkuasa hanya berniat untuk menegakkan tiang eletrik sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini. Sekiranya Revolusi Kedua dan Ketiga tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, sebahagian besar rakyat tidak akan menikmati hasil daripada 4IR. Bukan sahaja lampu jalanraya, komputer dan peranti pintar juga memerlukan bekalan elektrik yang mencukupi untuk berfungsi dengan sempurna.

Dalam keterujaan mengejar kemajuan teknologi yang seterusnya, penggubal dasar dan peminat tegar 4IR seolah-olah lupa akan jurang ketaksamaan yang kian meluas disebabkan oleh ketibaan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things; IoT) yang berasaskan pengkomputeran. Mungkin mereka lupa bahawa kemajuan teknologi takkan wujud tanpa bekalan elektrik. Malah isu bekalan elektrik masih membelenggu seantero dunia terutamanya negara membangun. Misalnya, India kerugian RM42 bilion setiap tahun disebabkan insiden pencurian bekalan elektrik oleh penduduk kawasan setinggan.

Negara maju berpusu-pusu melaksanakan 4IR kerana kapasiti teknologi sedia ada makin tepu dan keperluan sosial penduduk mereka yang semakin bertambah. 4IR ialah buah fikiran negara Jerman, yang merupakan sebuah negara berteknologi canggih yang mampu menghubungkan setiap penduduknya. Penggubal dasar di Jerman telah mengetengahkan 4IR sebagi cara mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang disebabkan oleh anjakan demografik yang dialami negara tersebut.

Ini berbeza dengan negara yang masih membangun, di mana negara-negara tersebut masih mengalami masalah kekurangan peluang pekerjaan. Sekiranya penduduk negara membangun gagal membuat persediaan mental dan gagal memantapkan penguasaan teknologi, 4IR berpotensi menimbulkan pergolakan dan keadaan kucar-kacir.

Oleh itu, sebelum kita mengorak langkah untuk melaksanakan 4IR, pihak berkuasa wajib memastikan bahawa tenaga elektrik yang mencukupi dapat dibekalkan ke seluruh negara, terutamanya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Malaysia perlu menyempurnakan pelaksanaan Revolusi Kedua dan juga Ketiga terlebih dahulu sebelum memulakan 4IR. Menyumbangkan komputer kepada sekolah-sekolah dan masyarakat umum tidak berguna sekiranya tiada bekalan elektrik yang mencukupi. Kita sering membaca berita atau artikel tentang usaha yang dianggap “sambil lewa” yang juga merupakan pembaziran tenaga dan wang.

Dengan adanya keupayaan bakat dalam negara ini, menyempurnakan pelaksanaan Revolusi Kedua dan Ketiga tidak mustahil malah amat mudah dilaksanakan. Dengan niat yang betul dan peruntukan yang mencukupi, pelaksanaan Revolusi Industri Kedua dan Revolusi Industri Ketiga boleh dijalankan dengan jayanya. Revolusi Industri Kedua yang muncul sekitar 1870-1914 merujuk kepada kemajuan industri yang digerakkan oleh kuasa elektrik, manakala Revolusi Industri Ketiga pula menyusul berasaskan teknologi maklumat dan komputer‎ sebagai tonggaknya. Dengan adanya kuasa eletrik, penggunaan komputer merebak dengan pesat dan membentuk satu lagi gaya hidup baru.

Jangan biarkan 4IR yang patut menjadi realiti saintifik dan hak sosial, hanya tinggal retorik politik. Oleh itu, kita perlu berhenti sejenak dan cuba memahami 4IR dengan lebih mendalam. Ini bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian untuk isu-isu yang masih membelenggu kita. Lebih baik kita tidak memperbesar masalah yang sedia ada dan jangan pula menimbulkan masalah yang baru.

Semua bentuk revolusi membawa risiko dan manfaat tersendiri. Manfaat yang dibawa mungkin hanya menguntungkan sesetengah pihak, tetapi risiko yang dialami akan memberi impak pada semua pihak. Revolusi Industri Ketiga menyebabkan kemusnahan ekosistem dan 4IR mungkin membawa ancaman terhadap kemanusiaan.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge