Oleh: Muhammad Musoddiq Jaafar
Assalamualaikum Adi Putra, saya harap Adi Putra dalam keadaan sihat sejahtera. Terlebih dulu izinkan saya memanggil Adi Putra sebagai Adi. Saya sebenarnya salah sorang peminat Adi. Namun bukanlah meminati Adi kerana pintar matematik dalam usia yang muda, tetapi saya lebih meminati potensi Adi kepada dunia akademik dan masa depan. Saya percaya potensi yang dimiliki Adi, Adi mampu mengubah dunia.
Genius yang tidak bertauliah
Adi pernah beberapa kali merungut yang Adi tidak dihargai. Bagi saya, untuk rungutan kes genius yang tidak bertauliah, Adi tak perlu terlalu bimbang. Kerana ramai genius dan inovator yang mengubah dunia juga tidak menghabiskan pelajaran formal, tetapi mereka tersenarai antara individu yang mengubah dunia. Adi sebenarnya perlu fikir lagi jauh. Adi dikurniakan bakat yang hanya beratus orang saja menerimanya dalam 100 tahun.
Saya sentiasa berdoa agar Adi tidak jadi seperti anak angkat Prof Diraja Ungku Aziz yang genius dan pernah menggemparkan negara satu masa dahulu. Tetapi sejarah hidupnya berubah apabila meningkat dewasa. Saya juga berdoa agar sekiranya Adi jadi orang ternama dan penting, Adi masih merendah diri seperti Adi yang rakyat Malaysia kenal.
Sewaktu Adi popular dulu dan bakal mengikuti pelajaran ke Unisel, ibu saya berkata:
“Adi sepatutnya dilayan seperti kanak-kanak yang lain, biarkan Adi untuk berjumpa kawan-kawan, bermain, dan berbagai lagi kenangan yang sepatutnya dialami kanak-kanan yang sedang membesar.”
Tidak sangka rupanya kata-kata ibu saya terbukti kebenarannya apabila Adi mengatakan yang “Adi agak sedih sebab Adi hilang zaman kanak-kanak” di akhbar MStar.
Tetapi Adi mengambil langkah positif daripada peristiwa itu dan menyatakan semua itu berbaloi kerana membantu keluarga. Ya, saya amat mengagumi perihal itu. Sejak kecil juga saya selalu berangan-angan untuk membantu ibu saya supaya ibu saya tidak perlu bekerja lagi untuk menyara kami.
Baca – Perkembangan Terbaru Adi Putra yang dikatakan ‘Genius Matematik’
Jika Adi selusuri sejarah Bill Gates, Pak Sako, Mark Zuckerberg, Colonel Sanders, Einstein. Mereka juga tidak diiktiraf secara formal kerana ‘drop out’ dan ditidakkan peluang pada awalnya. Namun persamaan antara mereka dalam menempa nama dalam dunia ini adalah mereka tidak berputus asa. Saya yakin, Adi boleh menjadi seperti mereka sekiranya tidak berputus asa. Kata kuncinya, ‘jangan berputus asa’.
Genius yang berimpak tinggi
Namun Adi, mintak maaf kerana saya terpaksa jujur dengan Adi. Formula matematik Adi hanya berlegar-berlegar pada penemuan matematik beratus-ratus tahun lalu. Adi menyediakan formula/algoritma alternatif. Ada beberapa algoritma Adi dipermudahkan dan sesuai untuk perisian matematik yang lebih pantas. Tetapi terdapat juga algoritma Adi yang memerlukan pemboleh ubah yang lebih daripada algoritma konvensional dan tidak berapa sesuai untuk semua kes dan situasi. Saya puji yang Adi benar-benar memahami rumus matematik tersebut dan kerana itulah Adi mampu mencipta jalan penyelesaian alternatif yang lebih mudah. Namun pada peringkat global dan masalah matematik tinggi, tiada orang memandangnya.
Bagi orang yang berkemahiran dalam bidang matematik seperti Adi, Adi sepatutnya pergi lagi jauh dan mendalam dari apa yang Adi lakukan sekarang ini. Adi sepatutnya belajar dan dilatih untuk memajukan matematik tinggi seperti quantum mechanics, mathematical method for physics/engineering. Hasilnya Adi akan mampu menyelesaikan masalah matematik yang rumit untuk fizik gunaan seperti astronomi, astrofizik, fizik zarah dan radiasi, aeronautik, dan lain-lain lagi.
Hasil penemuan tersebut boleh diaplikasikan di dalam engineering dan seterusnya bakal mengubah dunia. Adi juga boleh membangunkan rumus yang penting dalam string theory, rumus untuk theory of everything, dan berbagai lagi yang akan memberi impak tinggi dan merapatkan jurang pengetahuan. Kesemua ahli sains terkemuka termasuk Stephen Hawking sendiri sedang berusaha sedaya upaya untuk mendalami rumus tersebut.
Ramai saintis hendak mengetahui rahsia alam. Mereka mahu mengetahui apa yang terjadi kepada permulaan masa, mereka mahu mengetahui bolehkah wormhole yang membolehkan manusia merentasi ruang dan masa dibina? Sekarang ini, saintis berjaya memerhati bagaimana memori terbina di otak. Malah yang terbaru, saintis berjaya menjumpai cara memadamkan memori yang terbina di otak.
Tahun lepas saintis berjaya menghasilkan jantung tikus tiruan yang berdegup dengan sendiri dengan menggunakan stem sel. MIT hampir membina komputer optik yang 100 kali lagi laju daripada komputer berasaskan elektron yang ada di pasaran. Malah saintis sedang berusaha untuk mencipta Komputer Kuantum yang bakal merevolusikan industri komputer. Banyak lagi sebenarnya penemuan yang merapatkan pengetahuan, teknologi, dan kesihatan ditemui dan sedang dikaji. Saya percaya yang Adi boleh memberi impak yang besar dalam masyarakat dan dunia. Adi mampu mengubah dunia. Adi mampu merevolusikan dunia.
Genius yang mengubah dunia
Saya dengar daripada sumber yang dipercayai, Permata dan beberapa pelatih International Mathematic Olympiad (IMO) juga memberi perhatian untuk menggilap bakat Adi. Tetapi mereka tidak dapat meneruskan dan Adi lebih tahu sebabnya, malah Adi juga lebih tertumpu untuk memenuhi jemputan pengajaran dan sebagainya. Saya tidak mahu salahkan sesiapa, cuma saya agak terkilan ramai anak genius Malaysia yang jadi membazir. Rasanya Nur Amalina Che Bakri saja yang betul-betul tersusun dan bakal mengubah dunia jika penyelidikannya berjaya.
Tetapi tidak apa, Adi baru 16. Adi ada banyak masa untuk sesuatu yang boleh mengubah dunia. Sekiranya Adi masih berlegar legar dengan penemuan beratus-ratus tahun lalu, saya bimbang Adi adalah prodigy matematik yang tidak dapat menyerlah untuk mengubah dunia. Umur 21, Newton berjaya mencipta kalkulus hasil inspirasi kerja ahli matematik yang terdahulu dan berjaya menjelaskan fenomena komet Haley. Hasil daripada itu juga Newton berjaya menerangkan hukum graviti dan menjelaskan kenapa bulan tidak jatuh ke bumi seperti epal yang jatuh ke atas kepalanya. Hasil tersebut merevolusi fizik moden dan impaknya, revolusi industri di Eropah berlaku.
Adi boleh ambil iktibar dengan kisah si genius daripada kecil lagi yang bernama Elon Musk. Pada umur 12 tahun, dia menjual video game yang dipanggil blaster dengan harga AS$500 pada 1983. Dia bersama-sama dengan yang lain membangunkan syarikat ZIP2 pada umur 24 dan menjualnya dengan harga AS$22 juta pada usia 28 tahun. Dia juga mengasaskan PayPal yang diguna pakai hampir seluruh warga Internet sekarang ini. Dia juga mengasaskan syarikat yang merealisasikan masa depan seperti Tesla Motors, Hyperloops, Solar City dan SpaceX. Dia adalah genius yang mengubah dunia. Hasil kereta masa depan yang diilhamkan olehnya iaitu kereta berkuasa elektrik dan boleh memandu sendiri menyebabkan syarikat gergasi kereta yang lain berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta konsep sama. Menjelang 2020, semua syarikat gergasi menjangkakan kereta yang boleh memandu sendiri akan dipasarkan.
Insya-Allah, saya doakan satu hari nanti Adi bakal sebaris dengan nama-nama hebat seperti Michio Kaku, Lawrence Krauss, Neil Degrasse Tyson, Richard Feynman, De Broglie, Einstein, Elon Mask, Bill Gates, Mark Zukerberg dan ahli sains dan inovator terkenal. Masih tidak terlambat untuk Adi Putra mengikuti pelajaran secara formal dan berjaya seperti orang lain. Jika ibu bapanya yang membaca tulisan ini, saya mohon untuk letakkan Adi ke dalam perancangan yang lebih besar untuk mengubah dunia. Duit boleh datang kemudian.
Sumber -MalaysianInsider
Nota: Penulis merupakan pelajar Sarjana Fizik Universiti Malaya.
Artikel lain oleh penulis di MajalahSains.Com
–Aplikasi Grafin-Hasilkan Elektrik dari Tumbuhan
–Ulasan Buku – Physics of the Impossible
–Falsafah Dualiti Gelombang-Zarah