Penulis: Siti Munirah Mohd, PhD
Pensyarah Kanan, Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia
Yogyakarta – Satu lawatan akademik dibawah delegasi Universiti Sains Islam Malaysia, USIM yang diketuai oleh Dr. Siti Munirah Mohd, Pensyarah Kolej PERMATA Insan bersama pelajar PhD, Amirul Asyraf Zhahir di bawah program Fakulti Sains dan Teknologi, FST telah diadakan di Universitas Atma Jaya Yogyakarta, (UAJY), Indonesia pada 6-7 Mei 2024.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk meningkatkan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi dan memperluaskan pemahaman dalam bidang sains dan teknologi khususnya dalam pengkomputeran kuantum. Ini merupakan langkah yang penting dalam memperkukuhkan hubungan antara USIM dan UAJY serta membuka pintu kepada lebih banyak peluang kolaborasi di masa depan.
Tujuan utama lawatan ini perkongsian ilmu berkaitan bidang pengkomputeran kuantum di kalangan ahli akademik dan pelajar UAJY. Bidang pengkomputeran kuantum ialah satu bidang yang mencakupi tiga bidang utama iaitu Matematik, Fizik dan Komputer Sains yang menggunakan prinsip mekanik kuantum. Lawatan ini turut menyediakan platform untuk pendedahan kepada pelajar dan pensyarah mengenai kajian yang sedang dijalankan di beberapa universiti di Malaysia.
Ini memberikan peluang kepada ahli akademik dan pelajar untuk mengetahui secara umum kepentingan bidang pengkomputeran kuantum dan potensi aplikasinya dalam konteks sebenar seperti dalam bidang kriptografi, bidang data raya dan bidang keselamatan siber.
Melalui dialog strategik yang dijalankan semasa lawatan, ahli akademik dari kedua universiti telah mengenalpasti bidang penting yang berkaitan dengan bidang pengkomputeran kuantum yang mempunyai potensi untuk memberi impak yang signifikan kecemerlangan akademik. Perbincangan dua hala ini tidak hanya menekankan komitmen kedua-dua institusi untuk memajukan ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi juga menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam memperkukuhkan kemampuan penyelidikan dan pembangunan teknologi di peringkat global. Diharapkan, kerjasama ini akan membawa kepada penciptaan pengetahuan baru, penemuan-penemuan penting, dan aplikasi praktikal yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat secara meluas.