Zukhaimira Zolkapli merupakan pelajar PhD dalam bidang fizik zarah di Pusat Fizik Zarah Kebangsaan (NCPP), Universiti Malaya. Beliau kini berada di CERN-Geneva untuk melakukan kerja-kerja eksperimen penyelidikannya di sana.
Ceritakan secara ringkas, bagaimana saudari boleh menjalankan penyelidikan di CERN? Kenapa fizik zarah (particle physics) menjadi pilihan?
Selepas tamat Ijazah Pertama dalam bidang fizik di UPM beberapa tahun yang lalu, saya berhasrat untuk menyambung pengajian di UM, jadi saya mencari maklumat di website Jabatan Fizik UM, pergi ke homepage setiap pensyarah di jabatan fizik, dan berkenan dengan dua orang pensyarah:
1) Prof Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah (sebab tengok penyelidikan beliau tentang partikel/zarah)
2)Prof Dr Yusoff Mohd Amin ( sebab saya suka nuclear/radiation/medical physics dan berhasrat untuk buat master dalam salah satu bidang ini).
Di sebabkan Prof Yusoff bercuti waktu saya datang ke UM dan saya tidak boleh cuti hari lain (waktu ini saya RA di UPM), jadi saya berjumpa dengan Prof Wan dan dia terus mempelawa untuk buat fizik zarah, eksperimen ZEUS (Pengesan zarah) di DESY (Deutsches Elektronen-Synchrotron), Hamburg Germany.
Sebenarnya saya pernah terbaca di akhbar satu artikel tentang eksperimen fizik zarah tenaga tinggi yang dijalankan di CERN, waktu tu dikatakan perlanggaran zarah yang berlaku di LHC boleh menghasilkan ‘Big Bang berskala kecil’! WOW! Saya sangat teruja sewaktu baca artikel tersebut. Jadi bila Prof bercerita tentang HERA collider(Hadron Elektron Ring Anlage) di DESY yang sama macam LHC (Large Hadron Collider)di CERN, saya pun rasa teruja dan terus berminat menyertai kumpulan penyelidikan Fizik Zarah UM.
Sewaktu semester pertama, Prof Wan cadangkan saya dan seorang lagi rakan penyelidik Zulidza Zulkifli (Pelajar master yang buat fizik zarah) untuk mohon CERN Summer Student Programme-2010. Kami mohon tapi permohonan kami tak berjaya sebab waktu itu pertama kali calon dari Universiti di Malaysia memohon dan Malaysia berada di bawah kriteria keanggotaan CERN-Non Member State (NMS) . Jadi persaingan agak sengit dari negara-negara CERN-NMS dan tiada tempat untuk kami.
Dijadikan cerita tidak lama selepas permohonan kami ditolak, Prof Albert de Roeck, CMS deputy spokesperson 2010-2011 datang ke UM untuk CMS outreach program peringkat Asia Tenggara. Beliau membuat lawatan ke negara-negara Asia Tenggara, menerangkan tentang eksperimen dan penyelidikan CERN, LHC dan CMS (Compact Muon Solenoid) , dan menjemput menyertai CMS.
Sewaktu lawatan tersebut, kami memaklumkan kepada beliau permohonan CERN summer student programme kami ditolak. Jadi beliau meminta resume kami, dan tak lama lepas tu kami dapat email dari CMS, yang permohonan kami berdua diterima tapi CERN hanya boleh menanggung(kos tempat tinggal dan makan sahaja, tiket kapal terbang perlu ditanggung UM) seorang peserta sahaja manakala seorang lagi pelu ditanggung UM sepenuhnya.
Disebabkan sewaktu itu kumpulan fizik zarah kekurangan dana, jadi hanya saya seorang yang pergi. Bermulalah pembabitan saya dengan CERN (walaupun masa tu saya sedang buat penyelidikan bawah eksperimen ZEUS)
Ringkaskan penyelidikan yang dijalankan yang boleh dikongsikan bersama masyarakat dan pelajar di luar sana?
Large Hadron Collider (LHC) adalah eksperimen fizik zarah tenaga tinggi yang terbesar di dunia, berukur lilitan 27 kilometer dan dibina 100 meter bawah tanah merentasi dua negara, Switzerland dan Perancis.
LHC dibina di dalam CERN dan terdiri daripada empat pengesan (detector) utama : ATLAS, CMS, ALICE dan LHCb . LHC menghentam zarah proton dengan zarah proton untuk menghasilkan zarah-zarah baru bagi mengkaji keadaan alam semesta tepat selepas berlakunya ‘Big Bang‘. Saintis percaya dengan eksperimen ini kita boleh mengetahui macam mana dan dari elemen apa alam semesta terbentuk/tercipta!
Pengalaman pahit manis berada di sana dari segi pergaulan, budaya penyelidikan dan cabaran?
Menjejakkan kaki ke CERN pertama kalinya pada 2010 memberi pengalaman yang sangat manis buat saya. Itulah pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang dan ke luar negara. 😉 Saya berasa sangat teruja! Berjumpa, berinteraksi dan bekerja dengan saintis dari serata dunia membuka mata dan minda saya. Saya dapat belajar budaya penyelidikan di sini di mana semua orang bekerja keras dan mempunyai semangat kerjasama yang sangat tinggi dalam memastikan eksperimen berjaya dan berjalan lancar.
Tahun 2015 saya kembali semula ke CERN untuk kali yang ketiga, kerana saya perlu menjalankan servis satu tahun di bawah CMS eksperimen. Kolaborasi di antara NCPP (National Centre for Particle Physics) University Malaya dan CMS memerlukan pelajar PhD dari NCPP untuk berada di CERN selama setahun, menjalankan penyelidikan di sana.
Lawatan kali ini agak sukar bagi saya kerana perlu meninggalkan keluarga untuk tempoh masa yang agak lama dan paling menyedihkan, terpaksa berjauhan sementara dengan suami! (Kami ketika itu baru 5 bulan melansungkan perkahwinan).Tetapi perjuangan harus diteruskan. Selain keluarga dan rakan-rakan, suami adalah pendorong dan pemberi semangat utama kepada. Alhamdulillah setelah hampir satu tahun di sini, saya bersyukur kerana diberi kesempatan melalui suka-duka pahit manis pengalaman terlibat secara langsung dalam operasi LHC Run-II, untuk memastikan pengesan CMS Drift Tube(DT) beroperasi dengan baik.
Bersama suami berlatarbelakang mercutanda CERN
Cabaran
Di awal pembabitan saya dalam bidang ini amatlah sukar bagi saya. Selain penyelidkan yang sangat fundamental serta banyak terma-terma baru dan pelik yang perlu diketahui dan tidak terjangkau oleh akal fikiran, saya juga perlu belajar dan tahu tentang pengaturcaraan komputer (subjek paling lemah dan paling saya tak suka ketika itu).
Kekurangan pakar di Malaysia pada waktu itu menyukarkan lagi penyelidikan saya kerana saya berhubung jarak jauh (remotely) dengan pakar di Jerman menyebabkan penyelidikan mengambil masa yang lebih lama.
Impian dan harapan dalam penyelidikan fizik zarah di masa hadapan di tanahair?
Saya berharap dengan tertubuhnya Pusat Fizik Zarah Kebangsaan / National Centre for Particle Physics (NCPP) di UM pada hujung tahun 2013 boleh menjadi platform untuk berkembangnya penyelidikan fizik zarah tenaga tinggi di Malaysia.
Saya berharap NCPP dapat menjadi pusat latihan untuk melahirkan ramai rakyat Malaysia yang pakar dalam bidang fizik zarah tenaga tinggi supaya kita tidak perlu lagi bergantung kepada tenaga pakar dari luar.
Sedikit nasihat atau saranan kepada bakal penyelidik di luar sana?
Jika anda ingin berkecimpung dalam bidang ini, anda perlu mendapatkan pendedahan tentang system pengendalian Sistem Operasi Linux, bahasa pengaturcaraan Python dan C++ kerana analisis fizik zarah tenaga tinggi dilakukan menggunakan ROOT (Object Oriented framewok and library developed by CERN) dan memerlukan anda menguasai aturcara komputer. Pada pendapat saya, ini merupakan cabaran utama dalam bidang fizik zarah tenaga tinggi ini kerana mengaturcara memerlukan pendedahan & pengalaman kaedah cuba jaya sendiri.
Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan dan langkah pertama semestinya agak sukar! Semoga kita semua akan terus sabar dalam prosess menuntut ilmu. Rasa paling ‘bodoh’ bila dikelilingi pakar itu memang sangat pahit, tetapi semua orang bermula dari bawah. Semoga rasa itu menjadi motivasi untuk kita terus berusaha dan mungkin satu hari nanti kita akan berada di tahap mereka! Jangan lupa untuk selalu betulkan niat bekerja dan mencari ilmu demi mendapat redha ALLAH. In shaa Allah!
Trivia
Apa itu NCPP?
- Pusat fizik zarah kebangsaan ditubuhkan dibawah kerjasama di antara Universiti Malaya dan Akademi Sains Malaysia.
- NCPP menjadi pusat bagi penyelidikan fizik zarah tenaga tinggi di Malaysia untuk eksperimen-eksperimen fizik zarah dari serata dunia seperti eksperimen Belle-II di KEK Jepun, eksperimen ZEUS di DESY Jerman, eksperimen COMET di Universiti Osaka Jepun, selain eksperimen CMS di CERN Switzerland.
- NCPP hantar pelajar PhD ke CERN selama setahun untuk servis (saya sekarang, sebelum ini ada dua orang dah pulang ke Malaysia) manakala master student 3 bulan attachement untuk menjalankan penyelidikan di CERN. Attachement dibayar sepenuhnya oleh UM. Terima kasih UM!
Kenapa menyertai NCPP?
- Memberi peluang untuk mengembara ke serata dunia kerana eksperimen-eksperimen di luar negara (saya sendiri pernah ke KEK di Jepun, DESY di Jerman, Indonesia dan India) dan kebanyakan bengkel dan persidangan diadakan di luar Malaysia.
- Berpeluang hands-on on the detector operation melalui Detector On-Call (DOC) shift, Prompt Offline Analysis shift, Data Quality Monitoring and Software, Data certification dan Release validation (kerja-kerja sepanjang attachments saya di sini. Saya juga berpeluang terlibat dalam mengoperasi CMS Drift Tube (DT) di Point 5 sebagai DOC shifter pada hari pertama LHC Run-II beroperasi semula selepas long shutdown 1 sejak awal tahun 2013! )
- Selain Fizik, CERN juga menjanjikan peluang kerjaya dalam bidang computing.
Di sini saya mewakili pihak NCPP menjemput mereka yang sukakan cabaran untuk sertai kami, sama-sama ke arah membina a great team in high energy physics from Malaysia !
NCPP welcome you!
CERN – European Organization for Nuclear Research
CMS – Compact Muon Solenoid
LHC – Large Hadron Collider
ZEUS – Particle detector
KREDIT FOTO– CMS Facebook
Catatan Editor – Gambar-gambar CERN boleh dilihat di picasa MajalahSains.Com