Oleh Mohd Faizal Aziz
Tenaga sangat penting dalam kehidupan. Hakikat ini diakui kerana tenaga bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran dan pergerakan malah ia meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuk aplikasi sistem yang canggih, perindustrian, pengangkutan, pertanian, pencahayaan dan sebagainya.
Sukar dibayangkan sekiranya kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu tempat tanpa kenderaan. Surirumah atau pengusaha restoran mungkin tidak dapat menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalanraya juga mungkin kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi juga tentu kepenatan menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi akibat ketiadaan elektrik. Tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan di dunia kini.
Umumnya, sumber tenaga berpunca daripada empat sumber asas; tenaga suria,geoterma, tenaga ombak dan tenaga nuklear. Sumber utama ialah tenaga suria daripada sinaran cahaya matahari. Geoterma dihasilkan oleh aktiviti magma dalam perut bumi. Tenaga ombak pula terhasil daripada peredaran bumi yang menghasilkan air pasang surut. Manakala tenaga nuklear dihasilkan daripada pembelahan nukleus unsur-unsur tidak stabil bahan radioaktif. Ada ura-ura mengatakan bahawa Malaysia juga berhasrat untuk memajukan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik Sehingga kini ia masih di peringkat perbincangan dan keputusannya belum diumumkan lagi oleh kementerian yang terbabit. Banyak isu-isu keselamatan dan pandangan pakar perlu diambil kira sebelum memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik. Namun begitu teknologi sinaran nuklear telah banyak dimajukan untuk kegunaan dalam bidang perubatan dan pertanian yang sedang giat dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.
Tenaga suria digunakan dalam tiga bentuk; sinaran suria terus, tenaga yang tersimpan dalam bentuk hidrokarbon dan tenaga tidak terus yang menghasilkan tenaga angin, tenaga hidro dan juga tenaga terma laut. Sinaran suria dapat digunakan secara terus dengan menukarkannya kepada tenaga elektrik menggunakan sel fotovoltaik atau digunakan sebagai tenaga haba dalam sistem air panas suria dan juga pengeringan. Tenaga suria tersimpan dalam dua bentuk; pertama dalam bentuk mineral yang disimpan dalam perut bumi seperti arang batu, petroleum dan gas. Ketiga-tiga sumber ini merupakan tenaga yang amat terkenal penggunaanya pada masa sekarang. Malah kenaikan harga bahan api utama petrol dan diesel baru-baru ini menyebabkan ramai orang mula memandang serius tentang tenaga keterbaharuan. Selain itu tenaga suria hidrokarbon yang boleh diperbaharui disimpan dalam bentuk biojisim dan juga biogas.
Biojisim yang terdapat dalam tumbuhan dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana tumbuhan dapat ditanam berulangkali. Biogas pula terhasil daripada bahan organik yang ditindakbalaskan oleh mikroorganisma tanpa kehadiran oksigen atau udara yang menghasilkan gas metana dan karbon dioksida. Gas metana merupakan bahan bakar paling baik dan tidak mencemarkan alam, tetapi sekiranya dilepaskan ke udara boleh mengakibatkan kesan rumah hijau.
Tenaga sangat diperlukan dalam semua aktiviti manusia. Oleh yang demikian tenaga diperlukan dalam pembangunan sesebuah negara. Lebih pesat pembangunan yang dijalankan, lebih banyak tenaga yang perlu dihasilkan untuk memenuhi pembangunan tersebut.
Masa hadapan dalam menghadapi krisis tenaga kesan dari kenaikan harga minyak dan kos penggunaan tenaga elektrik yang tinggi ialah penggunaan tenaga keterbaharuan. Antara tenaga keterbaharuan yang mendapat perhatian pada masa kini ialah tenaga suria yang digunakan dengan meluas di negara-negara maju. Antara aplikasi tenaga suria ialah untuk menyerap tenaga suria dan haba dalam bentuk cecair sebelum menukarkannya dalam bentuk wap panas atau stim dengan jumlah yang banyak. Stim tersebut akan berfungsi untuk menggerakkan turbin dan generator untuk menghasilkan tenaga elektrik. Teknologi ini banyak digunakan untuk menara-menara solar, rumah kediaman dan resort yang mempunyai sinaran cahaya matahari yang panjang dan mencukupi. Malaysia berpotensi untuk memajukan sumber tenaga suria ini memandangkan iklim negara kita yang berada di garisan khatulistiwa yang menerima pancaran matahari yang banyak sepanjang tahun. Selain itu beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta sedang giat menjalankan penyelidikan tentang potensi tenaga ini.untuk dikomersilkan. Namun begitu beberapa faktor lain perlu dikenalpasti untuk melaksanakannya. Informasi mengenai taburan keamatan cahaya sangat penting sebelum menetapkan lokasi yang sesuai bagi penjanaan tenaga solar. Selain itu, luas kawasan juga perlu diambil kira bagi memastikan serapan tenaga solar boleh mencapai kuantiti yang mencukupi untuk penjanaan tenaga yang lebih cekap.
Selain tenaga solar, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kita bersyukur kerana hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dikelilingi oleh laut. Negara maju seperti Portugal telah lama memajukan tenaga ombak untuk bekalan elektrik mereka. Tenaga ombak boleh digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara.
Sebenarnya penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bukanlah perkara baharu di negara kita. Pada tahun 1992, Profesor Dr Baharuddin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya biojisim. Sebahagian besar penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Contohnya, loji biojisim yang dibangunkan oleh Felda Holding Berhad pada tahun 2006, berupaya menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 MegaWatt daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.
Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk membangunkan tenaga alternatif bagi menggantikan sumber yang sedia ada. Dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga keterbaharuan seperti tenaga angin, solar, hidro, nuklear dan juga biojisim, kita mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing. Malaysia harus bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif. Istilah yang sedang hangat dibicarakan pada masa kini ialah ‘tenaga’ selepas internet, bioteknologi dan nanoteknologi. Bak kata Geoffrey Carr, seorang kolumnis majalah The Economist “masa hadapan bergantung kepada kuasa dan tenaga”.
Catatan :// Artikel ini muncul di Estidotmy Julai 2008