Oleh: Noraniza binti Abd Kadir
Pembantu Penyelidik, Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.
Di Malaysia kini rata-rata kita dapat melihat usahawan produk makanan tambahan dan juga kosmetik tumbuh bagaikan cendawan. Pelbagai tumbuhan tradisional dikomersilkan dan diubahsuai mengikut keperluan pasaran. Namun, sejauh manakah keberkesanan produk yang dijual seperti yang diwarwarkan di media. Kandungan bahan kimia di dalam produk tidak diketahui umum dan menjadi risiko kepada pengguna. Begitu mudah mereka ini mengaut keuntungan, malah ada yang berjaya mendapat jutaan ringgit dalam masa beberapa bulan sahaja.
Kaedah pemasaran produk melalui media yang agak meyakinkan dan mencuit hati berjaya menarik perhatian masyarakat tidak kira tua atau muda. Pembungkusan produk yang menarik juga menjadi faktor tarikan masyarakat untuk mencuba produk berkenaan. Ditambah pula dengan testimoni-testimoni berbayar dan model-model menawan yang begitu meyakinkan, masyarakat sebenarnya telah tertipu dan lupa akan pentingnya laporan ujian kimia dan ujian klinikal bagi membuktikan keberkesanan produk yang dijual. Asalkan murah, menjanjikan kesan yang diingini, mudah diperolehi dan tidak perlu ke hospital, sudah cukup untuk masyarakat mengambil jalan pintas.
Usahawan produk kebiasaannya perlu menganalisis produk mereka sekiranya mereka ingin melebarkan sayap perniagaan ke negara luar. Kegusaran akan timbul apabila produk mereka diisytiharkan tidak selamat oleh makmal yang diiktiraf di negara yang berkenaan, seterusnya menyebabkan campur tangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Isunya di sini, produk itu telah pun dijual kepada pengguna di seluruh Malaysia sekian lama sebelum pengisytiharan dibuat.
Ujian kimia kebiasaannya dilakukan bagi menganalisis dan menyiasat identiti, kuantiti dan kualiti kandungan bahan kimia yang terdapat dalam sesuatu produk. Ini dapat menjamin keselamatan produk berkenaan daripada bahan kimia berbahaya. Analisis ini diperkuatkan lagi dengan ujian klinikal di dalam makmal bagi mengkaji kekuatan produk dan kesan penggunaan produk kepada pengguna. Antara ujian klinikal yang perlu dibuat adalah seperti ujian antioksida, antimikrob, dan ujikaji produk terhadap haiwan. Ini dapat membuktikan bahawa testimoni-testimoni pengguna adalah benar dan tiada sebarang penipuan.
Apakah itu makanan tambahan?
Menurut Food and Drug Administration (FDA), makanan tambahan atau dikenali sebagai supplemen ini merupakan makanan kesihatan yang mengandungi vitamin atau mineral dalam bentuk pil, cecair atau minuman herba. Makanan tambahan kebiasaannya diambil untuk melengkapkan nutrisi yang diperlukan dalam badan seseorang dari kanak-kanak hinggalah warga tua. Selain daripada itu, ia turut berfungsi untuk menyingkirkan toksik dalam badan dan memberikan tenaga tambahan kepada pengguna untuk melakukan kerja-kerja seharian.
Persoalannya di sini, seringkali kita lihat iklan-iklan makanan tambahan yang menjanjikan pengguna dengan pelangsingan badan, pemutihan kulit dalam tempoh yang singkat, pemulihan penyakit seperti diabetes, kencing manis, darah tinggi, sakit otot, menguatkan tenaga batin malah ada yang berani mengatakan bahawa produk mereka mampu untuk mengubati penyakit kanser. Begitu juga dengan supplemen untuk kanak-kanak, pengeluar sering menjanjikan keputusan peperiksaan yang bagus hasil daripada pemakanan produk mereka. Dengan testimoni-testimoni berbayar sahaja, mereka mampu meyakinkan pengguna untuk membeli dan terus melanggan produk mereka. Terdapat kesan yang serius di sini, terutama kepada warga tua. Janji-janji yang ditaburkan oleh pengeluar produk menyebabkan mereka yang kurang mendapat pendedahan terus berhenti untuk mendapatkan rawatan susulan dan pemeriksaan kesihatan di hospital.
Untuk pengetahuan umum, produk makanan tambahan yang bukan berasaskan herba tidak dipertanggungjawabkan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan(BPFK) diatas sebab produk-produk kesihatan ini dikategorikan sebagai makanan dan minuman kesihatan sahaja. Namun, adalah menjadi tanggungjawab pengeluar produk yang berkualiti untuk melakukan ujian kimia dan klinikal sebagai langkah Prosedur Pengeluaran Yang Baik (GMP) bagi memastikan produk mereka tidak mendatangkan bahaya.
Kesedaran pengguna amat penting dalam langkah berjaga-jaga dalam pemilihan makanan tambahan. Jika tidak, pengambilan produk mungkin mendatangkan kesan terhadap tubuh badan pengguna. Pengambilan secara berlebihan boleh mendatangkan implikasi yang buruk terhadap otak, buah pinggang dan hati kerana bahan kimia yang terdapat di dalam produk akan larut di dalam darah dan menjadi racun kepada tubuh dalam jangka masa panjang.
Produk kosmetik di Malaysia
Usahawan produk kosmetik di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Ada di kalangan mereka menghasilkan produk sendiri, ada juga yang menjual produk tiruan. Harga yang murah dan memberi kesan yang lebih kurang sama seperti produk yang asli, menarik perhatian pengguna terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk kelihatan cantik. Sekali lagi, kandungan bahan kimia yang digunakan di dalam produk diabaikan dan ia mendatangkan bahaya kepada pengguna.
Antara bahan kimia yang berbahaya yang sering kali terdapat di dalam bahan kosmetik ialah merkuri, hidrokuinon, logam berat seperti aluminium dan plumbum, serta pewarna tambahan yang tidak dibenarkan. Kebanyakan produk berbahaya banyak terdapat dalam krim pemutih, di mana pengeluar menjanjikan hasil yang menakjubkan dalam masa yang singkat. Ianya adalah benar, dimana kulit pengguna menjadi lebih putih dalam tempoh masa kurang daripada sebulan, namun, kesan seterusnya boleh dilihat dengan berlakunya iritasi terhadap kulit, kegatalan, alergi, pertumbuhan jerawat yang ekstrem malah boleh menyebabkan keradangan. Bahan pewarna berbahaya dan logam berat banyak di tambah di dalam produk seperti lipstik, pemerah pipi, dan pewarna mata. Bagi kulit yang sensitif, ia juga boleh mendatangkan kegatalan dan iritasi, malah kulit boleh menjadi bengkak seterusnya membawa kepada keradangan. Kesan yang lebih teruk boleh terjadi seperti kerosakan organ dan kanser kulit.
Bagaimana untuk mendapatkan produk makanan tambahan dan kosmetik yang selamat
Walaupun produk makanan tambahan tidak dipantau sepenuhnya oleh pihak BPFK, tetapi, produk yang berkualiti perlu didaftarkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). Namun, apa yang penting adalah kesedaran pengguna sendiri terhadap kepentingan produk makanan tambahan itu kepada tubuh badan mereka. Ini kerana amalan gaya hidup yang sihat dengan bersenam dan pemakanan yang seimbang sudah mencukupi untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan.
Produk kosmetik pula perlu mendapat kelulusan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) sebelum dipasarkan. Produk kosmetik akan dianalisa dan dijamin selamat oleh pihak BPFK sendiri. Semua maklumat dan formulasi penghasilan kosmetik akan disemak oleh pihak BPFK bagi memastikan produk kosmetik tersebut bebas dari bahan yang terlarang dan digunakan dalam had yang dibenarkan serta mematuhi keperluan perundangan yang telah ditetapkan.Pihak BPFK juga turut memantau produk di pasaran bagi memastikan produk sentiasa selamat untuk digunakan. @Majalahsains.Com