Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia
The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2019 merupakan pentaksiran terbaharu dalam siri pentaksiran TIMSS, yang bermula dengan pentaksiran pertama pada 1995 dan diteruskan setiap empat tahun iaitu pada tahun 1999, 2003, 2007, 2011, 2015 dan 2019. Hasil dapatan pentaksiran TIMSS digunakan untuk membolehkan sistem pendidikan negara-negara yang terlibat membuat perbandigan pencapaian pendidikan murid mereka dan belajar daripada pengalaman orang lain dalam mereka bentuk dasar pendidikan yang berkesan. Sebanyak 39 buah negara mengambil bahagian dalam TIMSS 2019 untuk matematik gred 8 (Tingkatan Dua). TIMSS dikendalikan oleh Pusat Kajian Antarabangsa TIMSS & PIRLS di Lynch School of Education di Boston College. Terdapat empat domain kognitif yang diuji iaitu Nombor, Algebra, Geometri dan Data & Kebarangkalian. Manakala terdapat tiga domain kognitif terlibat dalam TIMSS iaitu mengetahui, mengaplikasi dan menaakul. Kajian TIMSS 2019 dilaksanakan di Malaysia pada 16 Oktober hingga 1 November 2018. Sebanyak 221 buah sekolah dipilih sebagai sampel menurut strata sekolah yang ditetapkan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Seramai 8077 orang murid Tingkatan Dua menjawab ujian secara eTIMSS dan seramai 1560 menjawab ujian secara paperTIMSS. Selain ujian, pentaksiran TIMSS turut mengukur aspek lain seperti aspek kehidupan di rumah dan di sekolah, termasuk maklumat demografi, suasana di rumah, iklim pembelajaran di sekolah, persepsi kendiri dan sikap terhadap matematik. Laporan mengenai pencapaian matematik TIMSS 2019 untuk murid Malaysia telah dibincangkan dalam artikel penulis sebelum ini. Artikel kali ini akan membincangkan dapatan menarik berdasarkan data-data dalam laporan TIMSS 2019 untuk murid Tingkatan Dua di Malaysia.
Fakta Pertama
Untuk aspek ‘Sikap Murid’, ia terbahagi kepada beberapa komponen. Komponen pertama ialah ‘Murid Suka Belajar Matematik’ yang murid diminta menjawab item-item berikut; Saya suka belajar matematik, (1) saya berharap tidak perlu belajar matematik, (2) Matematik membosankan, (3) Saya belajar banyak perkara menarik dalam matematik, (4) Saya suka matematik, (5) Saya suka apa sahaja kerja sekolah yang melibatkan nombor; (6) Saya suka menyelesaikan masalah matematik, (7) Saya sentiasa teruja untuk masuk kelas matematik; dan (8) Matematik adalah salah satu subjek kegemaran saya. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat suka belajar matematik’, ‘suka belajar matematik’, dan ‘tidak suka belajar matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat suka belajar matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 1.0 berikut menunjukkan dapatan empat buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid suka belajar matematik’.
Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘suka belajar matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak suka belajar matematik’. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, menariknya, walaupun peratus murid yang ‘sangat suka belajar matematik’ iaitu sebanyak 20% meletakkan Malaysia di kedudukan 15, purata skor murid dalam kelompok ini iaitu 498 jauh lebih rendah daripada murid Korea Selatan yang ‘tidak suka belajar matematik’ iaitu 581. Korea Selatan menduduki tangga terakhir dalam komponen ini yang mana hanya 8% sahaja murid yang ‘sangat suka belajar matematik’. Pola yang sama dapat dilihat dalam kalangan negara-negara yang menghuni kelompok terbawah seperti Jepun dan Chinese Taipei iaitu walaupun sebahagian besar murid mereka ‘tidak suka belajar matematik’, namun purata skor mereka jauh lebih tinggi berbanding murid Malaysia yang ‘sangat suka belajar matematik’.
Fakta Kedua
Untuk komponen kedua iaitu ‘Murid Yakin dalam Matematik’, murid diminta menjawab item tersebut iaitu, (1) Saya selalu memperoleh pencapaian yang baik dalam matematik, (2) Matematik lebih sukar kepada saya berbanding rakan sekelas yang lain, (3) Matematik bukan merupakan salah satu kekuatan saya, (3) Saya mudah faham matematik, (4) Matematik membuat saya berdebar, (5) Saya mampu menyelesaikan masalah matematik yang sukar, (6) Guru memberitahu saya bahawa saya bagus dalam matematik, (7) Matematik lebih sukar berbanding mata pelajaran lain, dan (8) Matematik membuatkan saya keliru. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat yakin dalam matematik’, ‘yakin dalam matematik’, dan ‘tidak yakin dalam matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat yakin dalam matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 2.0 berikut menunjukkan dapatan empat buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid yakin dalam matematik’.
Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘sangat yakin dalam matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak yakin dalam matematik. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Dapatan ini menunjukkan ‘Keyakinan dalam Matematik’ mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian mereka. Walau bagaimanapun, Malaysia berada di tangga tercorot dari segi peratusan murid yang ‘sangat yakin dalam matematk’ iaitu hanya 3%. Sebanyak 64% murid Malaysia berada dalam kelompok ‘tidak yakin dalam matematik’ dan hanya memperoleh purata skor 448. Sebaliknya berlaku pada Korea Selatan dan Jepun yang masing-masing berada di tangga 36 dan 38, walaupun lebih separuh murid mereka berada dalam kelompok ‘tidak yakin dalam matematik’, purata skor mereka jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada dalam kelompok ‘yakin dalam matematik’.
Fakta Ketiga
Untuk komponen ketiga iaitu ‘Murid Menghargai Matematik’, murid diminta menjawab item berikut; (1) Saya berpendapat belajar matematik dapat membantu dalam kehidupan seharian, (2) Saya perlukan Matematik untuk belajar mata pelajaran lain, (3) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk memasuki ke universiti pilihan saya, (4) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk mendapatkan pekerjaan yang diinginkan, (5) Saya inginkan pekerjaan yang melibatkan penggunaan matematik, (6) Penting belajar matematik untuk maju, (7) Matematik memberikan lebih peluang pekerjaan kepada saya apabila dewasa, (8) ibu bapa saya berpandangan bahawa adalah penting untuk berjaya dalam matematik; dan (9) adalah penting untuk berjaya dalam matematik. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat menghargai matematik’, ‘menghargai matematik’, dan ‘tidak menghargai matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat menghargai matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 3.0 berikut menunjukkan dapatan lima buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid menghargai matematik’.
Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘sangat menghargai matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak menghargai matematik. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Menariknya, dari segi kedudukan, Malaysia berada di atas negara-negara seperti Chinese Taipei, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong yang menghuni empat tangga tercorot. Namun, murid negara-negara tersebut yang berada dalam kelompok ‘tidak menghargai matematik’ memperolehi purata skor jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada dalam kelompok ‘sangat menghargai matematik’.
Fakta Keempat
Untuk komponen ‘Tingkah Laku Yang Menganggu Dalam Kelas Matematik’, murid diminta untuk menjawab item berikut; (1) Murid tidak mendengar apa yang guru ajar, (2) Terdapat bunyi yang mengganggu, (3) Terlalu tidak teratur untuk murid bekerja dengan baik, (4) Guru saya terpaksa menunggu lama untuk murid senyap, (5) Murid mencelah guru, dan (6) Guru perlu terus meminta kami mengikut peraturan bilik darjah. TIMSS mengkategorikan kepada tiga kelompok murid iaitu, mereka yang melaporkan ‘Sedikit atau Tiada Pelajaran’, ‘Beberapa Pelajaran’ dan “Kebanyakan Pelajaran’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan “Sedikit atau Tiada Pelajaran’” yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 4.0 berikut menunjukkan dapatan lima buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘Tingkah Laku Yang Menganggu Dalam Kelas Matematik’’.
Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang melaporkan ‘sedikit atau tiada pelajaran’ mencatatkan purata skor yang lebih tinggi daripada murid yang melaporkan ‘kebanyakan pelajaran’. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, pola sebaliknya berlaku untuk Korea Selatan yang mana murid yang melaporkan ‘sedikit atau tiada pelajaran’ memperolehi purata skor lebih rendah berbanding murid yang melaporkan ‘kebanyakan pelajaran’. Isu yang ingin penulis ketengahkan di sini ialah, Malaysia menduduki tangga terbawah dari aspek murid yang melaporkan ‘sedikit atau tiada pelajaran’ yang melibatkan tingkah laku yang menganggu dalam kelas matematik, manakala sebanyak 60% murid Jepun melaporkan ‘sedikit atau tiada pelajaran’ yang melibatkan tingkah laku yang menganggu dalam kelas matematik. Hal ini membolehkan Jepun berada di tangga teratas. Sehubungan itu, kajian ini menunjukkan bahawa kelas matematik untuk murid Tingkatan Dua di Malaysia dikatakan mempunyai tingkah laku yang menganggu sebagaimama yang dinyatakan dalam item yang dijawab mereka.
Fakta Kelima
TIMSS turut mengukur hubungan kekerapan ketidakhadiran murid dengan purata skor mereka. Kategori murid dan purata skor mereka dibahagikan kepada empat kelompok iaitu ‘Tidak pernah atau Hampir Tidak Pernah’, ‘Sekali dalam Sebulan’, ‘Sekali dalam Dua Minggu’ dan ‘Sekali dalam Seminggu atau Lebih’. Berdasarkan Jadual 5.0 berikut, pola pencapaian Malaysia sama dengan negara lain iaitu murid yang ‘Tidak Pernah atau Hampir Tidak Pernah’ tidak hadir ke sekolah memperoleh pencapaian lebih tinggi berbanding murid yang tidak hadir dengan kekerapan ‘Sekali dalam Sebulan’, murid yang tidak hadir ‘Sekali dalam Dua Minggu’ dan ‘Sekali dalam Seminggu atau Lebih’.
TIMSS menyusun kedudukan negara berdasarkan peratus murid yang menjawab ‘Tidak Pernah atau Hampir Tidak Pernah’ yang paling tinggi hinggalah ke paling rendah. Walau bagaimanapun, Malaysia berada di kedudukan ke-33 dari aspek peratus murid yang menyatakan ‘Tidak Pernah atau Hampir Tidak pernah’ tidak hadir ke sekolah. Korea Selatan dan Jepun merupakan dua buah negara teratas yang mecatatkan kehadiran murid ke kelas matematik yang tinggi dalam kalangan negara yang mengambil bahagian. Daripada jadual di atas juga boleh dilihat bahawa walaupun purata skor murid Singapura yang berada dalam kelompok ‘Sekali dalam Seminggu atau Lebih’ dan purata skor murid Jepun yang berada dalam kelompok ‘Sekali dalam Dua Minggu’ jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada di kelompok ‘Tidak Pernah atau Hampir Tidak pernah’.
Fakta Keenam
TIMSS membandingkan peratus ‘Murid Hadir ke Sekolah dalam Keadaan yang Letih atau Lapar’ dengan purata skor matematik mereka. Pola menunjukkan pencapaian murid dalam matematik semakin rendah jika murid datang ke sekolah dalam keadaan letih atau lapar. Menariknya, pola sebaliknya menunjukkan murid Malaysia yang menyatakan mereka berasa letih dan lapar setiap hari atau hampir setiap hari mendapat purata skor yang paling tinggi berbanding dengan murid yang datang ke sekolah dalam keadaan tidak pernah dan kadang-kadang letih atau lapar sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 6.0.
Fakta Ketujuh
Murid-murid di Asia Timur menduduki tempat tertinggi di peringkat global dalam untuk subjek matematik dalam kajian antarabangsa TIMSS. Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong adalah antara negara tersebut. Tetapi menariknya, walaupun berpencapaian tinggi, murid-murid Asia Timur berasa kurang yakin dan mempunyai minat yang lebih rendah daripada murid-murid yang sebaya mereka dari negara-negara lain dalam mempelajari matematik. Contohnya, walaupun murid Korea Selatan, Jepun dan Taiwan mendapat skor yang agak rendah pada minat dan keyakinan, purata skor keseluruhan mereka adalah sangat positif. Begitu juga dengan Singapura yang mana hanya 22% murid gred lapan mereka mengatakan bahawa mereka ‘sangat suka belajar matematik’. Manakala hanya 8% murid sekolah menengah Korea Selatan berkata mereka ‘sangat yakin dalam matematik’.
Penekanan kepada nilai-nilai Confucian boleh menjadi faktor kejayaan muridAsia Timur. Negara-negara Asia Timur yang mendahului negara-negara lain adalah negara-negara yang dipengaruhi Budaya Warisan Confucian (BWC). Oleh itu, negara-negara seperti China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan sangat menekankan aspek pendidikan.Ibu bapa di negara-negara tersebut sanggup membelanjakan wang tambahan untuk menghantar anak mereka ke kelas tuisyen untuk memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan. Penulis telah melaksanakan kajian mengapa murid Korea Selatan amat cemerlang dalam matematik walaupun mereka mempunyai sikap negatif terhadap subjek tersebut. Rakyat Korea Selatan yang mengikuti tradisi Confucianism telah menghormati pendidikan sejak zaman awal lagi. Falsafah Confucian telah memasuki Korea Selatan dari China lebih daripada lima belas abad yang lalu. Confucianism secara tradisi menyediakan cara yang tepat untuk murid, yang melibatkan penanaman diri yang berterusan melalui pendidikan. Konfusianisme, sebagai ideologi negara dan agama amat mempengaruhi aspek politik, ekonomi, masyarakat, budaya dan pendidikan. Dengan menggunakan idea-idea Confucian, individu merit dipilih melalui peperiksaan regional dan nasional yang sangat kompetitif, yang berfungsi sebagai cara pemilihan untuk jawatan kerajaan yang berprestij. Sistem peperiksaan bertindak sebagai mekanisme pemilihan utama untuk jawatan kerajaan yang terhad dan impaknya, pendidikan formal merupakan persiapan untuk peperiksaan. Tambahan pula, Korea Selatan telah mengalami ledakan ekonomi, berikutan kejayaan pelaksanaan rancangan pembangunan ekonomi negara, dan educational fever (semangat) yang berdasarkan nilai sosial Confucian menyebabkan sistem pendidikan lebih berorientasikan kepada peperiksaan.
Selain itu, guru-guru matematik di Korea Selatan tidak mementingkan pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS. Mereka juga tidak memberikan soalan-soalan matematik mengikut format atau bentuk kedua-dua pentaksiran antarabangsa tersebut. Pencapaian murid dalam ujian dipengaruhi oleh sikap mereka terhadap ujian, dan hal ini turut melibatkan kajian perbandingan antarabangsa. Murid Korea Selatan dibesarkan dalam budaya Confucian, diajar untuk mengambil ujian dengan serius. Sikap mereka terhadap pentaksiran TIMSS mungkin telah dipengaruhi oleh sikap serius terhadap ujian dan seterusnya memberikan pencapaian yang cemerlang.
Kredit foto-R.AGE[dot]com
ARTIKEL LAIN DARI PENULIS:
[1] Peranan Ibu Bapa dalam Mengembangkan Kemahiran Matematik Kanak-kanak Satu hingga Dua Tahun
[2] Meransang Kemahiran Matematik Bayi
[3] Mengembangkan Deria Matematik Bayi Dalam Masa Enam Bulan Pertama
[4] TIMSS 2019: Bagaimana Pencapaian Matematik Malaysia Berbanding Singapura?
[5] Galakkan Pelajar Menjawab Soalan Subjektif
[6] Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan untuk Subjek Matematik
[7] COVID-19 Dan Pemikiran Statistik Pelajar
[8] Pentaksiran PISA: Di Mana Kedudukan Malaysia Untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?
[9] Pendekatan Inkuiri Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Tragedi “Budak Gua” Thailand
[10] STEM di sebalik Pandemik COVID-19