Oleh: Mohd Faudzi Umar
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Buku Rahsia Kejayaan Menulis Jurnal Berimpak Tinggi, Buku dan Tesis (RKMJBTBT) merupakan buku ilmiah keempat Profesor Dato’ Dr Roslan Abd Shukor. Penulisan buku ini berdasarkan pengalaman beliau memberi syarahan kepada pelajar pascasiswazah dan ahli akademik tentang penulisan makalah berimpak tinggi, bahkan beliau juga seorang penulis tegar dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi.
Sedikit bingkisan tentang Prof Roslan, beliau merupakan profesor di Pusat Pengajian Siswazah Fizik Gunaan (PPFG) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Disamping mengajar fizik dan menyelidik dalam bidang superkonduktor suhu tinggi, beliau juga adalah Felo di Institut Fizik, London dan Felo Pelawat di Jabatan Fizik, Universiti Princeton di Amerika Syarikat. Sementara itu di peringkat kebangsaan beliau adalah Felo di Akademi Sains Malaysia.
Setelah membaca buku RKMJBTBT, adalah wajar buku ini diulas dan diwar-warkan kepada masyarakat umumnya dan ahli akademik serta pelajar pascasiswazah sains khususnya. Oleh itu diharapkan Majalah Sains menjadi wasilah dalam menyalurkan kepentingan memiliki buku ini. Insyaallah semoga bermanfaat! Buku yang berhalaman 134 ini diterbitkan oleh Penerbit UKM dengan cetakan pertama dan kedua pada tahun 2015 dan cetakan ketiga, 2016.
Isi Kandungan
Gaya penulisan buku ini agak santai sesuai bagi pembacaan umum, baik untuk pelajar pascasiswazah. Tambahan pula buku ini boleh dibaca mengikut bab yang diperlukan tanpa perlu membaca dari awal bab, inilah yang menjadi kelebihan kepada buku ini. Buku ini mengandungi 18 bab, dibahagikan kepada empat bahagian iaitu; I. Pengenalan kepada penulisan jurnal ilmiah, II. Penulisan manuskrip untuk jurnal berimpak tinggi, III. Ilustrasi dan gaya penulisan dan IV. Penulisan buku, laporan teknik, monograf, prosiding dan tesis PhD.
Dalam Bahagian I, ia memperkenalkan tentang hal-hal berkaitan jurnal, antaranya ialah jenis-jenis penerbitan ilmiah seperti jurnal dan prosiding, kedua-duanya mempunyai nilai ilmiah yang tersendiri. Di samping itu, Scopus, Thomson Reuters dan Faktor Impak diulas dengan baik, malah faktor impak dikelaskan kepada empat kuartil. Perkara yang menarik perhatian dalam perbincangan buku tersebut ialah Indeks-h, ia adalah indeks bagi mengukur hasil kerja dan impak seseorang ahli akademik. Walau bagaimanapun dalam Bab 3, penulis (Prof Roslan) membincangkan jenis-jenis penulisan yang jarang kita dengari seperti Erratum dan Corrigendum.
Panduan menulis bahagian-bahagian dalam makalah contohnya abstrak, pendahuluan dan kesimpulan telah dibincangkan dengan begitu terperinci dalam Bahagian II, bahkan penulis juga meletakkan bab Persediaan Sebelum Menulis pada awal bahagian (Bab 4) untuk panduan awal penulis. Antara panduan yang sangat berguna dalam bahagian ini ialah gunakan makalah-makalah berimpak tinggi sebagai panduan menulis dalam sesuatu jurnal yang kita ingin terbitkan. Lihat gaya penulisannya, bagaimana setiap bahagian ditulis dan gunakan lebih daripada satu makalah sebagai contoh, hal ini akan memberikan lebih idea untuk menulis dengan lebih baik. Deraf, manuskrip, pracetak dan makalah juga telah dibezakan.
Ketika memberi tajuk kepada sesuatu makalah seeloknya diletakkan kata kunci utama supaya pembaca tahu apa yang ingin disampaikan. Kemudian antara rajah yang menarik perhatian ialah Jam Kaca dan Segi Tiga Terbalik ia adalah tentang fokus kajian dan perbincangan dalam setiap bahagian makalah. Seterusnya perbincangan buku ini diikuti dengan bab Tajuk, Abstrak dan Kata Kunci, Menulis Pendahuluan, Bahan dan Kaedah, Menulis Hasil, Perbincangan dan Kesimpulan, di mana seeloknya pembaca memiliki buku ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Gaya Bahasa
Berkenaan ilustrasi dan gaya penulisan boleh dicapai daripada Bahagian III, iaitu bagaimana rajah, jadual dan foto boleh dipaparkan dalam makalah. Begitu juga dengan unit simbol dan tatatanda baca, yang mungkin di anggap remeh juga telah dititikberatkan. Bab 13 membincangkan tentang penulisan yang baik, di mana penulis menyarankan penggunaan ayat aktif berbanding ayat pasif, apapun bergantung kepada kehendak jurnal tersebut. Poin utama dalam menulis makalah ialah menyalurkan sesuatu maklumat seringkas yang mungkin. Tak hairanlah antara peraturan yang penting dikemukakan oleh penulis, iaitu, “Ayat dengan 10 perkataan mudah difahami, ayat dengan 20 perkataan sukar difahami dan ayat dengan 30 perkataan sangat sukar difahami”. Seterusnya Bab 14, disarankan kepada pembaca untuk mendalaminya kerana ia sebuah seni bagi menjawab komen pewasit, malah ia satu kemahiran yang perlu ada bagi seorang penyelidik.
Bahagian I-III, lebih terfokus kepada penulisan makalah berimpak tinggi, manakala bahagian IV lebih membincangkan tentang penulisan buku, laporan teknik, monograf, prosiding dan tesis. Penulisan buku tidak seperti menulis makalah jurnal, ia memerlukan komitmen yang panjang dan disiplin yang tinggi. Oleh itu ketika menulis buku kita seharusnya tidak boleh mengelat waima seharipun supaya fokus dan displin tidak luntur. Biarpun kita tertinggal penulisan dalam tempoh tertentu, kita perlu mengambil masa yang lama untuk membaca teks yang tertinggal tersebut supaya maksud dan gaya penulisan itu tepat.
Antara peraturan yang penting dalam menulis buku ialah penulisan yang konsisten bab demi bab. Setelah manuskrip selesai, barulah fasa suntingan dilakukan sama ada menambah atau mengurangkan ayat bagi memastikan supaya manuskrip itu seragam gaya penulisannya. Penulis juga membahagikan jenis buku kepada Buku Penyelidikan dan Buku Teks, sudah tentulah gaya penulisan juga berbeza.
Dalam Bab 16, ia membezakan penulisan laporan teknik, monograf dan prosiding. Ketiga-tiga penulisan tersebut tidak sama kualitinya dengan makalah berwasit. Laporan teknik adalah memberi maklumat yang lengkap mengenai sesuatu hasil penyelidikan, manakala monograf pula diterbitkan secara tidak berkala. Persidangan pula menerbitkan koleksi makalah yang dibentangkan dan dikenali sebagai prosidng. Prosiding tidak semestinya data asli, walhal boleh sahaja terdiri daripada makalah ulasan, pendapat dan idea usulan, bahkan hasil kajian yang belum lengkap.
Pelajar yang sedang menyambung pengajian dalam peringkat PhD wajar menekuni Bab 17. Program PhD boleh terbahagi kepada dua iaitu penyelidikan semata-mata dan gabungan kerja kursus diikuti dengan penyelidikan. Apapun kedua-duanya diakhiri dengan penulisan tesis. Buku ini membincangkan Jadual Penulisan yang mesti dipatuhi terutamanya berhubung dengan jawatankuasa penyelia. Perlu diingatkan tesis akan dinilai oleh pakar dalam bidang yang sama dan mereka mahu mengetahui maklumat baharu tentang bidang tersebut. Penilaian oleh pemeriksa juga dititikberatkan dalam buku ini, mereka menilai sejauh mana pengetahuan pengarang dalam perbincangan literatur dan melihat sama ada objektif kajian tercapai.
Aspek penting yang kurang dibincangkan secara mendalam dan terbuka iaitu kepengarangan dan etika yang menjadikan bab terakhir dalam buku ini. Bab ini menentukan sama ada nama penyelidik itu sesuai disenaraikan sebagai pengarang ataupun dimasukkan dalam Penghargaan. Senarai pengarang mestilah memberikan sumbangan intelek kepada hasil penyelidikan yang dilaporkan dan semua pengarang mestilah berupaya mempertahankan makalah yang diterbitkan.
Ringkasnya semua penyumbang intelek dan kepakaran disenaraikan sebagai pengarang, selainnya dimaklumkan dalam bahagian Penghargaan. Malahan pemilik geran penyelidikan yang tidak memberikan sebarang sumbangan intelektual hanya perlu diletakkan dalam Penghargaan. Aspek penyusunan nama pengarang juga penting. Antara contoh yang menarik tentang kepengarangan ialah pemenang Hadiah Nobel Fizik 2011. Meskipun makalah ditulis oleh 18 orang, tetapi hanya Adam Reiss dan Brian Schmidt sahaja terpilih, kerana diteliti bahawa hanya dua orang sahaja memainkan peranan penting dalam kajian tersebut dan lebih menarik lagi nama Brian Schdmit adalah yang terakhir dalam makalah tersebut.
Kesimpulannya ialah buku ini baik untuk ahli akademik dan penyelidik kerana ia ditulis begitu terperinci daripada sebelum menulis makalah sehinggalah kepada menjawab komen pewasit dan pasca makalah diteribitkan. Di samping itu, sudah tentu buku ini sesuai sekali untuk pelajar pascasiswazah seperti pengulas buku ini (saya). Semoga ulasan ini menjadi doa buat saya yang sedang melanjutkan pengajian di INSPEM, UPM.
Buku ini boleh didapati dari Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga laman facebook MajalahSains
*******************************************************************************
Nota: Ulasan ini mendapat keizinan daripada penulis, Profesor Dato’ Dr Roslan Abd Shukor dengan beberapa penambahan. Rahsia Kejayaan Menulis Jurnal Berimpak Tinggi, Buku dan Tesis dengan ISBN 978-967-412-313-0.
Catatan: Penulis adalah seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga calon Doktor Falsafah dalam bidang fizik matematik di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia