Oleh : Nur Syakirah Baharudin1 & Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah2
Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia1
Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia2
Pengenalan
Sebahagian besar kepelbagaian mamalia di Malaysia terdiri daripada mamalia kecil, iaitu mamalia yang berat badan dewasanya kurang daripada 5 kg. Mamalia kecil adalah haiwan vertebrata yang merupakan kelas Mamalia, dan dicirikan oleh adanya kelenjar susu. Mamalia kecil dapat dikategorikan kepada dua kelompok besar iaitu mamalia darat dan mamalia terbang. Kelawar adalah satu-satunya mamalia kecil yang berkebolehan terbang sebenar. Umumnya, hutan Borneo dan Semenanjung Malaysia mempunyai satu persamaan, yang mana kedua-duanya telah didominasi oleh mamalia kecil yang terdiri daripada order Chiroptera (kelawar pemakan buah dan pemakan serangga) sebanyak 101 spesies di hutan Semenanjung Malaysia dan 92 spesies di hutan Borneo dan diikuti oleh Rodentia (55 spesies di hutan Semenanjung Malaysia, 61 spesies di hutan Borneo). Selain itu, Lagomorpha (arnab), beberapa spesies kucing, Insectivora (mamalia kecil pemakan serangga) dan Scandentia (tupai tanah bukan golongan rodentia) juga antara oder mamalia kecil yang terdapat di Malaysia. Di peringkat dunia, mamalia kecil dari Order Rodentia adalah yang paling besar dan paling banyak berbanding dengan Order yang lain dalam kelas mamalia, yang mana 1700 spesies mamalia kecil telah dikenal pasti dan dikelaskan dalam order ini.
Mamalia kecil memainkan peranan yang penting di dalam ekosistem semulajadi dan mampu bertindak sebagai agen pendebungaan, agen penyebar/pemangsa biji benih, pengawal serangga perosak serta menjadi sumber makanan kepada haiwan karnivor. Kumpulan ini juga adalah komponen yang penting di dalam ekosistem hutan melalui sumbangan kepada aliran tenaga dan kitaran nutrien.
Penggunaan umpan dalam kajian mamalia kecil tidak terbang mempengaruhi kejayaan sesuatu tangkapan. Oleh itu, penentuan jenis umpan yang akan digunakan dalam sesuatu kajian mamalia kecil adalah tindakan utama yang perlu dilakukan. Jenis umpan boleh mempengaruhi jenis dan bilangan tangkapan. Umpan biasanya digunakan untuk meninjau komuniti mamalia kecil, bukan hanya kerana umpan mampu menarik sejumlah besar haiwan ini, tetapi juga kerana umpan adalah sebagai makanan bagi individu yang terperangkap. Umpan juga akan berfungsi sebagai bahan tarikan utama bagi spesies mamalia kecil yang pemalu ‘trap shy’ untuk masuk ke dalam perangkap dan terperangkap. Di samping itu, dengan menggunakan perangkap umpan, kadar tangkapan secara keseluruhan dapat ditingkatkan dan meningkatkan kebolehpercayaan data untuk penilaian kepelbagaian spesies.
Jenis Umpan
Kepelbagaian jenis umpan telah diguna pakai untuk menilai keberkesanan setiap umpan. Pemilihan umpan oleh mamalia kecil tidak terbang ini juga sudah pasti melibatkan beberapa aspek biologi dan ekologi mamalia kecil tersebut. Penggunaan umpan berkaitan dengan tabiat pemakanan mamalia kecil perlu dititikberatkan bagi mendapatkan hasil tangkapan yang tinggi. Namun begitu, persoalan berkenaan umpan manakah yang paling berkesan terhadap mamalia kecil tertentu seringkali menjadi tanda tanya.
Pelbagai jenis umpan telah digunakan oleh ramai pengkaji dalam kajian mamalia kecil dan ekologi. Untuk menarik kumpulan mamalia kecil karnivor atau insektivor masuk ke dalam perangkap misalnya, penggunaan daging dalam tin, atau daging mentah boleh digunakan. Umpan daging juga boleh menarik kehadiran serangga seperti lipas, dengan ini mamalia kecil insektivor juga boleh tertarik untuk memasuki perangkap. Dalam kajian lain, antara jenis umpan yang digunakan adalah udang bakar, daging ayam, sisa ayam goreng dan ikan kering.
Menurut beberapa kajian lain, umpan pisang contohnya pisang emas adalah umpan yang paling digemari mamalia kecil herbivor atau omnivor, diikuti dengan ubi keledek. Hal ini demikian kerana, umpan pisang dan ubi keledek tahan lebih lama dan mengeluarkan bau yang kuat serta mampu menarik perhatian mamalia kecil. Selain itu, umpan nangka, labu dan buah kelapa sawit juga telah digunakan dalam beberapa kajian mamalia kecil. Walaubagaimanapun, setiap jenis umpan mempunyai daya tarikan tersendiri bergantung kepada diet pemakanan mamalia kecil tersebut. Keberkesanan umpan yang berlainan juga berkaitan dengan perubahan musim dalam ketersediaan sumber semula jadi, yang mungkin mendorong lebih banyak haiwan menuju perangkap umpan pada musim kekurangan makanan.
Contoh Jenis Umpan Yang Boleh Digunakan
Keberkesanan Umpan
Menurut kajian di kawasan hutan kurang terganggu, umpan ubi keledek digemari oleh kebanyakan spesies rodent sahaja seperti Maxomys whitheadi (tikus ekor pendek) dan Niviventer cremoriventer (tikus akar), manakala umpan pisang menjadi kegemaran kebanyakan spesies mamalia kecil yang lain. Hasil kajian di kawasan bandar pula menunjukkan bahawa umpan yang mengandungi sumber protein yang tinggi, seperti sisa ayam goreng adalah umpan yang paling digemari oleh mamalia kecil. Bandicota bengalensis (tikus Bandicoot) misalnya adalah spesies yang ditemui di kawasan perumahan menunjukkan kecenderungan memilih umpan sisa ayam goreng. Umpan protein tinggi juga disukai oleh mamalia kecil seperti Rattus norvegicus (tikus Norway) di kawasan komersial. Secara umumnya, dengan menggunakan umpan sisa ayam, tikus Bandicoot merupakan spesies yang paling banyak ditangkap di kawasan perumahan, manakala tikus Norway, adalah spesies yang paling banyak ditangkap di kawasan komersial. Oleh hal yang demikian, mamalia kecil telah menunjukkan kemampuan untuk membezakan umpan berdasarkan diet pemakanan dan menukar pilihan melalui pengalaman.
Selain itu, banyak aspek harus dipertimbangkan untuk memilih umpan tertentu, Faktor seperti serangan invertebrata (semut, terutamanya), keadaan cuaca, ketahanan dan ketersediaan tempatan menjadi penentu ketika memilih umpan tertentu. Penggunaan umpan mentah lain seperti daging ayam dan udang bakar perlu bersesuaian dengan keadaan cuaca terutamanya. Hal ini demikian kerana, umpan-umpan tersebut ternyata kurang berkesan dalam keadaan cuaca yang panas terutamanya di kawasan terbuka atau di kawasan kurang litupan pokok. Keadaan umpan mudah menjadi busuk dan dihurung serangga kecil. Keadaan ini boleh mengurangkan tarikan mamalia kecil untuk masuk ke dalam perangkap.
Sebanyak Mana Keperluan Umpan Dan Menukar Umpan Yang Digunakan?
Persoalan seterusnya, kuantiti umpan yang perlu digunakan juga perlu difahami sebaiknya. Memasang banyak umpan atau saiz umpan yang besar menyebabkan penambahan kepada bebanan pada cangkuk umpan, justeru menyebabkan cangkuk perangkap kurang sensitif. Selain itu, umpan yang bersaiz besar meningkatkan peluang menarik spesies bukan sasaran seperti burung, siput dan serangga.
Seterusnya, bilakah waktunya umpan perlu ditukar? Sebilangan besar mamalia kecil aktif pada waktu malam atau krepuskular, yang bermaksud mereka aktif pada waktu senja dan subuh. Kebiasaanya, pemasangan perangkap hidup yang lengkap dengan umpan tertentu akan dibiarkan selama seharian. Namun, pemeriksaan perangkap biasanya dilakukan dua kali sehari bagi mengelakkan haiwan yang tertangkap berada lama di dalam perangkap. Pemeriksaan perangkap juga amatlah penting untuk mengelakkan kematian haiwan tangkapan, dan juga mengurangkan tekanan ke atas haiwan tersebut. Justeru itu, umpan yang basah, berbau busuk, atau tidak lagi segar perlu ditukarkan pada keesokkan harinya. Umpan yang telah dimakan oleh mamalia kecil yang berjaya tertangkap akan dikeluarkan dan diganti dengan umpan yang segar, kemudian perangkap tersebut akan ditempatkan di lokasi yang sama setelah mamalia kecil tersebut dilepaskan kembali pada lokasi haiwan itu tertangkap.
Pengendalian Umpan
Mamalia kecil kebiasaanya mampu mengesan makanan dalam suatu jarak yang jauh melalui deria bau. Mamalia kecil umumnya tidak menggemari bau-bauan yang wangi, pedas atau berminyak. Oleh itu, dalam pengendalian umpan, perkara ini harus dihindari contohnya jangan mengenakan sesuatu yang wangi sebelum mengendali umpan. Untuk memastikan kejayaan tangkapan mamalia kecil, langkah yang paling penting adalah mengenal pasti spesies dan menggunakan umpan yang paling disukai kerana spesies tikus yang berbeza misalnya lebih menggemari pelbagai jenis umpan.
Kesimpulan
Adalah wajar bahawa haiwan harus lebih tertarik pada umpan yang menyerupai makanan pilihan mereka. Namun, dalam banyak kajian, masih tidak terdapat hubungan langsung yang jelas antara tabiat makan spesies dan umpan yang digunakan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa penggunaan umpan secara khusus pada satu-satu jenis, atau campuran umpan yang berbeza serta faktor persekitaran yang dititikberatkan mampu untuk menarik dan meningkatkan bilangan tangkapan mamalia kecil ini.
Rujukan
- Anwarali, K. F. A., Ahmad Tahir, N. F. D., Rahman, S. P. H., Dee, J. W., Morni, M. A., Rosli, Q. S., Tingga, R. C. T., ABD Rahman, M. R., & Azhar, I. (2017). Small Mammals from Samunsam Wildlife Sanctuary, Sarawak, Malaysia, Borneo. Borneo Journal of Resource Science and Technology, 7(2), 98-106.
- Bealin, C., and Lawton, C. (2018). Bait preference in Irish small rodents. Irish Naturalists’ Journal, 36(1): 9-13.
- Clapperton, B.K. (2006). A review of the current knowledge of rodent behaviour in relation to control devices. Wellington, Science and Technical Pub., Department of Conservation.
- Diete, R.L., Meek, P.D., Dixon, K.M., Dickman, C.R., and Leung, L.K.-P. (2016). Best bait for your buck: bait preference for camera trapping north Australian mammals. Australian Journal of Zoology 63:376-382. DOI: http://dx.doi.org/10.1071/ZO15050
- Francis, C. M., (2008). A field guide to the mammals of South-East Asia. Auckland, New Zealand. New Holland Publishers (UK) Ltd.
- Hice, C.L., and Velazco, P.M. (2013). Relative effectiveness of several bait and trap types for assessing small mammal communities in Neotropical rainforest. Occasional Papers, Museum of Texas Tech University 316: 1–15
- Hoffman, A., Decher, J., Rovero, F., Schaer, J., Voigt, C., & Wibbelt, G. (2010). Field Methods and Technique for Monitoring Mammals. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/235779376_Field_Methods_and_Techniques_for_Monitoring_Mammals
- Jayaraj, V. K., Azhar, I., & Daud, S. H. M. (2013). A New Record of Chaperone Johorensis at Mount Jerai, Kedah, Malaysia. Malayan Nature Journal, 64(4), 233-235.
- Jayaraj, V. K. (2016). Kepelbagaian Mamalia Kecil di Kelantan. Majalah Sains. Retrieved from https://www.majalahsains.com/kepelbagaian-mamalia-kecil-di-kelantan/
- Jayaraj, V. K., Nurul Farah, D. A. T., Noor Amirah, U., Noor farahin, k. B., Siti Katijah, I., & Siti Noor Azwa, Z. (2012). Species Diversity of Small Mammals at Gunung Stong State Park, Kelantan, Malaysia. Journal of Threatened Taxa, 4(6), 2617-2628.
- Lim, B. K., & Pacheco, V. (2016). Small Non-volant Mammals. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/301220115_Small_non volant_mammals
- Paull, D.J., Claridge, A.W., and Barry, S.C. (2011). There’s no accounting for taste: bait attractants and infrared digital cameras for detecting small to medium ground-dwelling mammals. Wildlife Research 38: 188–195. DOI:10.1071/WR10203
- Tingga, R. C. T., Anwarali, F. A., Mohd Ridwan, A. R., Senawi, J., & Abdullah, M. T. (2012). Small Mammals from Kuala Atok, Taman Negara Pahang, Malaysia. Sains Malaysiana, 41(6), 659-669.
- Weebers, R. C. M., & Idris, H. (2016). Decisions Made on the Development of the Hill Station of Cameron Highlands from 1884 till present day. Journal of Surveying, Construction and property (JSCP), 7(1), 1–11.
- Wilson, D.E., & Reeder, D. M. (2005). Mammal species of the world: A taxonomic and geographic references (3rd ed.). John Hopkins University Press.
Kredit Foto : Naturescot