Dikenali sebagai ‘Plasmodium falciparum sporozoite (PfSPZ)‘, vaksin itu dihasilkan Sanaria Inc, sebuah organisasi bio-teknologi dan pakar penyakit malaria yang berpejabat di Maryland, Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pegawai saintifik organisasi itu, Dr Stephen L. Hoffman berkata PfSPZ dipercayai mampu mengurangkan 90 peratus kes malaria dan bertindak sebagai vaksin paling berkesan mencegah penyakit itu.
Beliau berkata pada masa ini, PfSPZ melalui ujian klinikal di beberapa negara termasuk Afrika, Amerika, Eropah dan Jerman.
“Kami perlu mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum boleh mengedar vaksin ini ke negara lain.
“Kami berpendapat ia boleh menjadi vaksin pertama yang mampu menghapuskan penyakit malaria, sekiranya ia diberi kepada penduduk. Mungkin, ia boleh menghapuskan (penyakit) malaria,” katanya.
Menurut Dr Hoffman, kegiatan penyelidikan dan pembangunan vaksin itu bermula pada 2003 dengan dana US$110 juta (RM352 juta).
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar hari kedua Kongres ASEAN Keenam mengenai Perubatan Tropika dan Parasitologi di Kuala Lumpur, Khamis.
Bertemakan ‘Cabaran Global Penyakit Tropik: Merapatkan Jurang dan Membina Perkongsian‘, kongres itu dianjurkan Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika (MSPTM) bersempena sambutan jubli emasnya. Ia dihadiri 420 wakil dari 43 negara.
Kongres tiga hari itu, yang bermula Rabu, menampilkan pengalaman sebenar para penceramah dan rakan sekerja mereka berdasarkan cabaran semasa dihadapi Malaysia dan negara lain berikutan perubahan dinamik penularan penyakit dan epidemiologi di kawasan tropik.
Antara penyakit tropika yang dibincangkan ialah denggi dan malaria.
Dr Hoffman berharap organisasinya dapat mencapai sasaran menghasilkan vaksin PfSPZ dengan 80 peratus kecekapan sebelum 2025.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif (Pembangunan Proses dan Pembuatan) Sanaria Inc. Dr B. Kim Lee Sim berkata vaksin berkenaan dihasilkan daripada nyamuk yang disteril dan tidak memiliki sebarang mikroorganisme.
Nyamuk itu, yang dibiak dalam kelalang steril, diberi makan darah tercemar yang mengandungi plasmodium falciparum – yang telah disteril – untuk melemahkan parasit.
“Selepas itu, sampel diambil daripada kelenjar liur nyamuk yang disteril dan dirawat itu untuk melemahkan sporozoites, sebelum ditulenkan,” katanya.
Sementara itu, pengarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (Pusat Penyelidikan Malaria) Universiti Malaysia Sarawak Prof Dr Balbir Singh menyifatkan usaha Sanaria Inc itu sebagai sesuatu yang “sangat menarik” dan berharap ujian klinikal yang dijalankan dapat memastikan keberkesanannya dalam mencegah penyakit malaria.
“Ini satu pendekatan yang amat baik memandangkan manusia sudah lama berusaha untuk menghasilkan vaksin malaria,” katanya.