Penulis: Prof. Madya Dr. Edinur Hisham Atan1,2, Suresh Narayanen2, Nasha Rodziadi Khaw2
1Forensic Science Programme, School of Health Sciences, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
2Centre for Global Archaeological Research, Universiti Sains Malaysia, Gelugor,Pulau Pinang, Malaysia
Arkeo-genetik merujuk kepada kajian DNA purba yang diekstrak daripada spesimen ekofak dan bio-arkeologi seperti rangka manusia, gigi, tulang haiwan, dan sisa tumbuhan. Bidang ini telah berkembang pesat sejak dua dekad lalu dan memainkan peranan penting dalam memahami corak penghijrahan manusia prasejarah, evolusi biologi, proses domestikasi haiwan dan tumbuhan, serta sejarah penyakit, pemakanan dan adaptasi persekitaran masyarakat lampau. Dengan menggabungkan data genetik, arkeologi, linguistik dan kronologi, arkeogenetik membolehkan penyelidik merekonstruksi sejarah populasi manusia secara lebih menyeluruh dan empirikal.
Di peringkat global, bidang arkeogenetik telah diaplikasikan secara meluas dan berjaya diaplikasi konteks geografi dan migrasi manusia. Kajian di Melanesia dan Polinesia, misalnya, telah membantu menjelaskan interaksi kompleks antara penutur bahasa Austronesia dan populasi tempatan prasejarah, serta corak percampuran genetik yang berlaku semasa perkembangan populasi maritim pada zaman prasejarah (Bedford et al., 2018; Lipson et al., 2018). Di benua Amerika dan Afrika, analisis DNA purba telah berjaya merevolusi pemahaman tentang laluan migrasi awal manusia, dinamika populasi pemburu-pengumpul dan petani awal, serta perubahan struktur genetik akibat kolonisasi, wabak penyakit dan perubahan iklim (Yang et al., 2018; Bedford et al., 2018). Di Asia Tenggara pula, kajian arkeogenetik mula memberikan gambaran baharu tentang sejarah populasi rantau ini, khususnya berkaitan migrasi awal manusia moden dan interaksi antara kumpulan penutur Austro-asiatik dan Austronesia (Chambers & Edinur, 2021).
Walau bagaimanapun, aplikasi kajian arkeo-genetik di Semenanjung Malaysia masih amat terhad, terutamanya dalam konteks kajian populasi Orang Asli dan hubungannya dengan masyarakat prasejarah. Kekangan ini bukan sahaja berpunca daripada isu teknikal seperti pemeliharaan DNA dalam persekitaran tropika, tetapi juga faktor etika, perundangan, logistik serta keterbatasan kerjasama antara disiplin. Akibatnya, sejarah migrasi, asal-usul dan interaksi awal masyarakat Orang Asli masih banyak bergantung kepada data linguistik, etnografi dan genetik moden, yang mempunyai batasan yang tersendiri.
Orang Asli membentuk kira-kira 1% daripada jumlah populasi di Semenanjung Malaysia dan secara konvensional dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, iaitu Semang, Senoi dan Melayu Proto (Norhalifah et al., 2016). Pembahagian ini lazimnya berasaskan kriteria linguistik, budaya dan geografi. Orang Asli Semang dan Senoi secara umum bertutur dalam bahasa Austro-asiatik, manakala Orang Asli Proto Melayu tergolong dalam penutur bahasa Austronesia (Ahmad et al., 2021). Dari segi taburan geografi, kumpulan Semang kebanyakannya mendiami kawasan utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perak dan Kelantan, sementara kumpulan Senoi dan Melayu Proto masing-masing tertumpu di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka (Rajah 1).

Namun demikian, pembahagian ini tidak mencerminkan realiti bidang sejarah dan biologi yang bersifat lebih kompleks dan dinamik. Kajian linguistik dan etnografi menunjukkan bahawa telah berlaku peralihan bahasa dan budaya antara kumpulan Orang Asli sejak zaman prasejarah. Contohnya, Orang Asli Semelai kini bertutur dalam bahasa Austro-asiatik, berbeza dengan kumpulan Melayu Proto lain seperti Temuan, Jakun, Orang Kuala, Seletar dan Orang Kanaq yang menggunakan bahasa Austronesia (Ahmad et al., 2021). Keadaan ini mencerminkan proses peralihan bahasa (language shift) yang lazim berlaku dalam konteks interaksi jangka panjang antara komuniti berbeza, sama ada melalui perkahwinan campur, asimilasi budaya atau dominasi sosial.
Kajian genetik moden turut menyokong gambaran ini. Analisis genom menunjukkan wujudnya percampuran genetik yang ketara antara ketiga-tiga kumpulan Orang Asli, termasuk aliran genetik dua hala antara Semang, Senoi dan Melayu Proto (Deng et al., 2014). Percampuran ini merumitkan usaha untuk mengenal pasti ciri genetik “asal” atau unik bagi setiap kumpulan berdasarkan sampel DNA moden semata-mata. Oleh itu, interpretasi sejarah migrasi Orang Asli yang bergantung sepenuhnya kepada data genetik kontemporari yang berisiko dipengaruhi oleh proses demografi yang berlaku pada zaman moden
Dalam konteks ini, kajian arkeo-genetik berasaskan rangka manusia purba menawarkan satu pendekatan alternatif yang amat penting. Rangka manusia purba, khususnya dari zaman prasejarah dan awal Holosen, berpotensi mewakili populasi sebelum berlakunya percampuran genetik yang berlaku pada zaman moden. Dengan kata lain, DNA purba membolehkan penyelidik meneliti struktur genetik populasi lampau secara langsung, tanpa “gangguan” campuran DNA hasil perkembangan demografi moden. Apabila digabungkan dengan data pentarikhan radiokarbon, analisis isotop dan konteks arkeologi, arkeo-genetik dapat memberikan gambaran kronologi dan spatial yang lebih tepat tentang sejarah penempatan dan migrasi manusia.
Semenanjung Malaysia memiliki potensi yang besar dalam hal ini, memandangkan terdapat sejumlah rangka manusia prasejarah yang telah ditemui dan dipentarikhkan melalui kaedah radiokarbon. Antara tapak penting termasuk Gua Gunung Runtuh, Gua Teluk Kelawar dan Gua Harimau di Perak; Gua Cha dan Gua Peraling di Kelantan; Guar Kepah di Pulau Pinang; serta Gua Bewah di Terengganu (Narayanen et al., 2025). Tapak-tapak ini mewakili pelbagai fasa kronologi dan konteks budaya, daripada pemburu-pengumpul awal hingga masyarakat prasejarah yang lebih kompleks.
Kewujudan data arkeologi dan kronologi yang kukuh membuka ruang kepada aplikasi arkeogenetik secara sistematik di Semenanjung Malaysia. Melalui analisis DNA purba daripada rangka-rangka ini, penyelidik berpotensi untuk mengenal pasti kesinambungan atau perubahan genetik dari masa ke masa, menguji hipotesis berkaitan migrasi awal manusia moden ke Asia Tenggara, serta menilai hubungan biologi antara populasi prasejarah dan komuniti Orang Asli hari ini. Lebih penting lagi, pendekatan ini dapat membantu merungkai persoalan lama tentang asal usul dan interaksi awal antara penutur bahasa Austro-asiatik dan Austronesia di rantau ini, yang selama ini menjadi perdebatan utama dalam kajian prasejarah Asia Tenggara.
Secara keseluruhannya, penerapan arkeogenetik di Semenanjung Malaysia bukan sahaja berpotensi memperkaya pemahaman tentang sejarah Orang Asli, tetapi juga menyumbang kepada wacana umum mengenai migrasi manusia prasejarah. Namun, usaha ini perlu dilaksana dengan melibatkan pakar arkeologi, genetik, antropologi serta komuniti Orang Asli sendiri. Dengan pendekatan multidisiplin yang mantap, arkeo-genetik berpotensi menjadi satu pendekatan penting dalam membina semula sejarah migrasi awal Semenanjung Malaysia secara empirikal dan berasaskan bukti saintifik.
Kredit foto utama-antroholic
Rujukan
Ahmad, A.T., Musa, M., Zainun, N., Khaw, N.R., Edinur, H.A., Chambers, G.K., 2021. A multidisciplinary account of the Orang Asli in Peninsular Malaysia. In: Abdullah, M.T., Bartholomew, C.V., Mohammad, A. (Eds.), Resource Use and Sustainability of Orang Asli. Springer, Cham.
Bedford, S., Blust, R., Burley, D.V., Cox, M., Kirch, P.V., Matisoo-Smith, E., Naess, A., Pawley, A., Sand, C., Sheppard, P., 2018. Ancient DNA and its contribution to understanding the human history of the Pacific Islands. Archaeology in Oceania, 53, 205-219. https://doi.org/10.1002/arco.5165
Chambers, G.K., Edinur, H.A., 2021. Reconstruction of the Austronesian Diaspora in the era of genomics. Human Biology, 92(4), 247-263. doi: 10.13110/humanbiology.92.4.04.
Deng, L., Hoh, B.P., Lu, D., Saw, W.Y., Twee-Hee Ong, R., Kasturiratne, A., Janaka de Silva, H., Zilfalil, B.A., Kato, N., Wickremasinghe, A.R., Teo, Y.Y., Xu S., 2015. Dissecting the genetic structure and admixture of four geographical Malay populations. Scientific Reports, 5, 14375. doi: 10.1038/srep14375.
Lipson, M., Cheronet, O., Mallick, S., Rohland, N., Oxenham, M., Pietrusewsky, M., Pryce, T.O., Willis, A., Matsumura, H., Buckley, H., Domett, K., Nguyen, G.H., Trinh, H.H., Kyaw, A.A., Win, T.T., Pradier, B., Broomandkhoshbacht, N., Candilio, F., Changmai, P., Fernandes, D., Ferry, M., Gamarra, B., Harney, E., Kampuansai, J., Kutanan, W., Michel, M., Novak, M., Oppenheimer, J., Sirak, K., Stewardson, K., Zhang, Z., Flegontov, P., Pinhasi, R., Reich, D., 2018. Ancient genomes document multiple waves of migration in Southeast Asian prehistory. Science, 361(6397), 92-95. doi: 10.1126/science.aat3188.
Narayanen, S., Khaw, N.R., Edinur, H.A., 2025. A brief history of migration and settlement in the Malay Archipelago. In: Edinur, H.A., Abban, E.K., Lahiri D. (Eds), DNA in Helath, Identity and Ancestry. Academic Press, Cambridge, United States.
Norhalifah, H.K., Syaza, F.H., Chambers, G.K., Edinur, H.A., 2016. The genetic history of Peninsular Malaysia. Gene, 586(1), 129-35. doi: 10.1016/j.gene.2016.04.008.
Yang, M.A., Fu, Q., 2018. Insights into modern human prehistory using ancient genomes. Trends in Genetics, 34(3), 184-196. doi: 10.1016/j.tig.2017.11.008.




