Oleh: Dr. Mohd Hirzie Mohd Rodzhan
Pensyarah Kanan
Department of Computational and Theoretical Sciences
Kulliyyah of Science IIUM
Apabila disebut matematik, kebanyakan kita mungkin terbayangkan nombor, formula, persamaan dan graf. Perniagaan pula sering dikaitkan dengan modal, pelanggan, pemasaran, jualan dan keuntungan. Dua bidang ini kelihatan berbeza, tetapi sebenarnya mempunyai satu persamaan yang sangat penting iaitu kedua-duanya memerlukan keupayaan memahami masalah dan membuat keputusan yang baik.
Dalam dunia perniagaan yang semakin dipacu oleh data, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), matematik tidak lagi hanya berfungsi sebagai alat untuk mengira keuntungan atau kos. Matematik membantu kita mengenal pasti corak, mengukur perubahan, menganalisis hubungan, membuat ramalan dan mencari keputusan yang lebih optimum dalam keadaan yang mempunyai pelbagai kekangan.
Persoalannya, bagaimanakah matematik boleh membantu seseorang bergerak daripada sekadar mempunyai pengetahuan kepada menghasilkan sesuatu yang bernilai? Jawapannya bermula dengan satu perkara yang sangat asas dalam keusahawanan iaitu masalah. Sebelum wujudnya produk, perkhidmatan atau syarikat, biasanya terdapat satu masalah yang memerlukan penyelesaian.
Bermula dengan ‘Masalah’
Perniagaan yang mempunyai nilai biasanya bermula apabila seseorang menyedari wujudnya masalah yang belum diselesaikan dengan baik. Masalah itu mungkin kecil seperti kesukaran mengurus masa, atau besar seperti keperluan mendapatkan akses kepada pendidikan, kesihatan, kewangan dan pengangkutan yang lebih baik. Persoalan pertama seorang bakal usahawan bukanlah “Apa yang boleh saya jual?”. Tetapi “Masalah apakah yang benar-benar dihadapi oleh manusia?”
Matematik membantu kita melihat masalah dengan lebih tersusun. Sesuatu masalah yang pada mulanya kelihatan umum boleh dipecahkan kepada pembolehubah, ukuran dan hubungan tertentu. Kita boleh bertanya berapa ramai yang menghadapi masalah tersebut, berapa kerap ia berlaku, berapa besar kos yang ditanggung dan apakah faktor yang menyumbang kepada masalah itu. Dengan cara ini, masalah yang kabur mula menjadi sesuatu yang boleh diperhatikan dan dianalisis.
Apabila masalah dapat difahami dengan lebih jelas, ruang untuk mencipta penyelesaian juga menjadi lebih luas. Kita tidak lagi membina produk hanya kerana ia kelihatan menarik atau mengikuti trend semasa. Sebaliknya, kita membina sesuatu berdasarkan keperluan yang dikenalpasti. Inilah titik permulaan penting yang menghubungkan matematik dengan keusahawanan iaitu memahami masalah sebelum menghasilkan penyelesaian.
Matematik Mengajar Cara Berfikir
Matematik bukan sekadar kemahiran mendapatkan jawapan yang betul. Ia melatih seseorang untuk mengenal pasti maklumat yang penting, membuat andaian, melihat hubungan antara pembolehubah dan membina langkah penyelesaian secara sistematik. Cara berfikir ini amat berguna apabila seseorang berhadapan dengan masalah dunia sebenar yang biasanya tidak mempunyai satu jawapan yang mudah.
Dalam perniagaan, keputusan jarang dibuat dengan maklumat yang lengkap. Usahawan perlu mempertimbangkan harga, kos, permintaan, persaingan, masa, sumber dan risiko secara serentak. Pemikiran matematik membantu menyusun faktor-faktor tersebut supaya keputusan tidak hanya bergantung kepada andaian atau gerak hati. Ia membolehkan kita membandingkan pilihan, mengukur kesan dan menilai kemungkinan yang berbeza.
Lebih penting, matematik mengajar kita untuk bertanya soalan yang lebih baik. Daripada sekadar bertanya “Adakah produk ini bagus?”, kita boleh bertanya “Bagaimanakah kita mengukur keberkesanannya?” Daripada “Ramai orang akan membeli produk ini,” kita boleh bertanya “Apakah bukti yang menyokong andaian tersebut?” Perubahan daripada meneka kepada mengukur inilah yang menjadikan pemikiran matematik sangat bernilai dalam membina perniagaan.
Data menjadikan Masalah Lebih Jelas
Perniagaan moden menghasilkan dan menggunakan data dalam jumlah yang semakin besar. Data jualan, tingkah laku pelanggan, kos operasi, penggunaan aplikasi dan maklum balas pengguna semuanya boleh memberikan gambaran tentang keadaan sesuatu perniagaan. Namun, mempunyai banyak data tidak semestinya bermaksud kita memahami perniagaan dengan lebih baik. Data perlu ditafsirkan sebelum boleh digunakan untuk membuat keputusan.
Di sinilah matematik dan statistik memainkan peranan. Melalui analisis, kita boleh mengenal pasti trend, perubahan, hubungan dan corak yang mungkin tidak kelihatan secara terus. Sebuah perniagaan yang mendapati jualannya menurun, misalnya, tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa produknya sudah tidak diperlukan. Data boleh membantu mengenal pasti sama ada masalah sebenarnya berpunca daripada harga, masa promosi, lokasi, pelanggan atau faktor lain.
Keupayaan membaca data akhirnya membantu usahawan membuat keputusan berdasarkan bukti. Data tidak semestinya memberikan jawapan secara automatik, tetapi ia membantu mengecilkan ruang ketidakpastian. Dalam konteks ini, matematik menjadi jambatan antara data dan keputusan. Semakin kompleks sesuatu perniagaan, semakin penting keupayaan untuk memahami bukan sahaja apa yang berlaku, tetapi juga mengapa ia berlaku.
Membina Model untuk Memahami Dunia
Dunia sebenar terlalu kompleks untuk diterangkan sepenuhnya melalui satu persamaan. Namun, matematik membolehkan kita membina model yang mewakili aspek tertentu daripada sistem sebenar. Model membantu kita melihat hubungan antara faktor yang berbeza dan membolehkan sesuatu keadaan dianalisis tanpa perlu menunggu semua perkara berlaku di dunia sebenar.
Dalam perniagaan, model boleh digunakan untuk memahami permintaan, kos, inventori, pengeluaran, harga dan pelbagai proses lain. Sebagai contoh, sebuah syarikat mungkin ingin menentukan jumlah produk yang perlu dihasilkan supaya permintaan pelanggan dapat dipenuhi tanpa menyebabkan lebihan stok. Persoalan tersebut melibatkan pelbagai pemboleh ubah dan kekangan yang boleh diterjemahkan kepada model matematik.
Model juga membantu proses pengoptimuman, iaitu mencari pilihan yang paling sesuai berdasarkan objektif tertentu. Kita mungkin mahu memaksimumkan keuntungan, meminimumkan kos atau mengurangkan masa operasi. Walaupun model tidak mampu meramalkan masa depan dengan sempurna, ia memberikan satu kerangka untuk membuat keputusan secara lebih rasional. Matematik membolehkan kita menguji kemungkinan sebelum mengambil tindakan sebenar.
Apabila Matematik bertemu AI
Kecerdasan buatan membawa dimensi baharu kepada penggunaan matematik dalam perniagaan. Banyak sistem AI menggunakan konsep matematik dan statistik untuk mengenal pasti corak, membuat ramalan dan menghasilkan keputusan berdasarkan data. Keupayaan komputer memproses data dalam skala besar membolehkan analisis yang sebelum ini mengambil masa yang panjang dilakukan dengan lebih pantas.
Namun, AI bukanlah pengganti kepada pemikiran manusia. Sistem AI boleh membantu mengenal pasti corak dalam data, tetapi manusia masih perlu menentukan masalah yang ingin diselesaikan dan menilai sama ada hasil yang diberikan benar-benar masuk akal. Keputusan yang kelihatan tepat secara matematik tidak semestinya sesuai dari sudut manusia, etika atau keperluan sebenar pengguna.
Gabungan matematik dan AI membuka peluang besar kepada usahawan untuk membina produk dan perkhidmatan yang lebih pintar. Daripada sistem ramalan kepada aplikasi pembelajaran, daripada automasi operasi kepada analitik perniagaan, teknologi boleh mempercepatkan proses penciptaan nilai. Tetapi asasnya tetap sama iaitu teknologi yang baik bermula dengan masalah yang jelas dan penyelesaian yang bermakna.
Daripada Penyelesaian kepada Produk dan Perkhidmatan
Memahami masalah dan membina model belum mencukupi untuk menghasilkan perniagaan. Penyelesaian yang ditemui perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh digunakan oleh manusia. Ia mungkin berbentuk produk fizikal, aplikasi digital, sistem teknologi, platform atau peranti. Ia juga boleh berbentuk perkhidmatan seperti pendidikan, konsultasi, analitik, kewangan atau penyelesaian berasaskan AI.
Proses menghasilkan produk atau perkhidmatan memerlukan kita memahami keperluan pengguna dengan lebih mendalam. Apakah fungsi yang benar-benar diperlukan? Bagaimanakah pengguna akan menggunakannya? Berapakah kos untuk menghasilkannya? Apakah tahap prestasi yang diperlukan? Persoalan ini memerlukan gabungan pemikiran matematik, saintifik, teknologi dan reka bentuk supaya penyelesaian yang dibina bukan sahaja berfungsi, tetapi benar-benar berguna.
Pada tahap ini, matematik mula bergerak daripada dunia teori kepada dunia sebenar. Formula, data dan model digunakan untuk membantu menghasilkan sesuatu yang boleh disentuh, digunakan atau dialami oleh pelanggan. Matlamatnya bukan sekadar menyelesaikan persamaan, tetapi menggunakan pengetahuan untuk menghasilkan penyelesaian yang mempunyai nilai.
Produk yang Baik perlu Menyelesaikan Masalah
Tidak semua produk yang canggih akan berjaya sebagai perniagaan. Sesebuah produk mungkin mempunyai teknologi yang hebat, reka bentuk yang menarik atau ciri yang kompleks, tetapi tetap gagal sekiranya ia tidak menyelesaikan masalah yang penting kepada pengguna. Oleh itu, kejayaan produk bukan hanya bergantung kepada apa yang boleh dibina, tetapi kepada apa yang benar-benar diperlukan.
Di sinilah proses validasi menjadi penting. Sebelum melaburkan sumber yang besar, usahawan perlu menguji andaian mereka. Adakah pengguna benar-benar menghadapi masalah tersebut? Adakah mereka bersedia menggunakan penyelesaian yang dicadangkan? Adakah penyelesaian itu lebih baik daripada pilihan yang sedia ada? Data daripada pengguna sebenar boleh membantu menjawab persoalan ini.
Pendekatan ini sebenarnya sangat dekat dengan pemikiran saintifik. Kita membina hipotesis, menguji, mendapatkan data, menilai keputusan dan membuat penambahbaikan. Produk dan perkhidmatan kemudiannya berkembang melalui proses pembelajaran yang berterusan. Perniagaan yang baik bukan sekadar menghasilkan sesuatu, tetapi sentiasa belajar bagaimana menghasilkan sesuatu yang lebih bernilai.
Apabila Ilmu Menjadi Nilai
Ilmu mempunyai potensi untuk menghasilkan nilai apabila ia digunakan bagi menyelesaikan masalah. Seorang individu mungkin mempunyai pengetahuan matematik yang tinggi, kemahiran pengaturcaraan atau kepakaran dalam bidang sains. Namun, kepakaran tersebut menjadi lebih bernilai apabila dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang membantu orang lain.
Sebagai contoh, pengetahuan dalam analisis data boleh digunakan untuk membina sistem sokongan keputusan. Pengetahuan matematik boleh digunakan untuk membangunkan model ramalan. Pengetahuan sains boleh diterjemahkan kepada teknologi baharu. Kepakaran pendidikan pula boleh dibangunkan menjadi platform pembelajaran. Dalam setiap keadaan, ilmu menjadi asas kepada penciptaan produk atau perkhidmatan.
Inilah perubahan penting yang perlu difahami dalam ekonomi berasaskan pengetahuan. Aset seseorang bukan hanya wang atau mesin. Pengetahuan, kemahiran, pengalaman, data dan keupayaan menyelesaikan masalah juga merupakan aset. Apabila aset tersebut digabungkan dengan keusahawanan, ia boleh menjadi sumber kepada penciptaan nilai dan pembinaan perniagaan.
Mathpreneurship: Matematik untuk Mencipta Nilai
Daripada hubungan antara matematik dan keusahawanan ini muncul satu konsep yang boleh dikenali sebagai Mathpreneurship. Ia bukan bermaksud seseorang perlu menjadi ahli matematik untuk menjadi usahawan. Sebaliknya, Mathpreneurship menekankan penggunaan pemikiran matematik untuk memahami masalah, menganalisis maklumat, membina penyelesaian dan menghasilkan nilai.
Seorang mathpreneur melihat nombor bukan sekadar sebagai angka. Data menjadi sumber maklumat, corak menjadi petunjuk, model menjadi alat membuat keputusan dan pengoptimuman menjadi cara menggunakan sumber dengan lebih baik. Pemikiran tersebut kemudiannya diterjemahkan kepada produk atau perkhidmatan yang boleh memberikan manfaat kepada pengguna.
Dalam konteks ini, matematik bukan lagi hanya dipelajari untuk mendapatkan markah dalam peperiksaan. Matematik menjadi sebahagian daripada proses mencipta sesuatu yang baharu. Daripada memahami masalah, kepada membina penyelesaian, dan daripada penyelesaian kepada nilai. Inilah ruang di mana matematik bertemu dengan keusahawanan.
Membina Masa Depan Perniagaan
Masa depan perniagaan akan semakin dipengaruhi oleh data, AI, automasi dan teknologi. Namun, teknologi hanyalah alat. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana manusia menggunakan alat tersebut untuk memahami masalah dan menghasilkan penyelesaian yang benar-benar diperlukan. Di sinilah pemikiran matematik, saintifik dan keusahawanan akan terus mempunyai peranan.
Kita mungkin akan melihat lebih banyak perniagaan yang lahir daripada data, model matematik, penyelidikan saintifik dan teknologi AI. Produk dan perkhidmatan masa depan mungkin lebih diperibadikan, lebih cekap dan lebih responsif terhadap perubahan keperluan manusia. Mereka yang mampu menggabungkan ilmu dengan keupayaan mencipta nilai akan mempunyai peluang untuk membina perniagaan yang lebih berdaya tahan.
Akhirnya, matematik bukan sekadar membantu kita mengira berapa banyak keuntungan yang diperoleh selepas sesuatu perniagaan dibina. Matematik boleh membantu kita memahami bagaimana sesuatu perniagaan boleh dibina sejak awal dengan bermula daripada mengenalpasti masalah, dianalisis menggunakan data, dibentuk melalui model, diselesaikan melalui produk atau perkhidmatan dan akhirnya diterjemahkan kepada nilai.
Matematik bukan sekadar tentang mencari jawapan. Matematik membantu kita memahami masalah, membina penyelesaian dan mencipta nilai. Dan daripada nilai itulah, perniagaan masa depan boleh dibina.
Infografik Bagaimana Matematik Membina Masa Depan Perniagaan. Peranan matematik, data, model dan AI dalam membina penyelesaian, menghasilkan produk dan perkhidmatan serta mencipta nilai.





