Wednesday, October 28, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Gangguan Hormon Tiroid: Apa yang boleh dilihat dari Ujian Darah Anda?

Gangguan Hormon Tiroid: Apa yang boleh dilihat dari Ujian Darah Anda?

Editor by Editor
28/10/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Wan Nor Fazila Hafizan Wan Nik
Pakar Patologi Kimia dan Pensyarah Perubatan
Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia

Pernahkah anda berasa letih walaupun mendapat tidur yang mencukupi, mengalami perubahan berat badan tanpa sebab yang jelas, atau merasakan jantung berdegup lebih pantas daripada biasa? Gejala seperti ini boleh berpunca daripada pelbagai keadaan kesihatan, termasuk gangguan pada hormon tiroid.

Apakah Kelenjar Tiroid dan mengapa ia penting?

Kelenjar tiroid ialah kelenjar berbentuk seperti rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher, di bawah peti suara. Kelenjar tiroid mempengaruhi hampir semua proses metabolisma dalam badan melalui hormon yang dihasilkannya dan merupakan sebahagian daripada sistem endokrin.

Tiroid menghasilkan dua hormon utama, iaitu thyroxine (T4) dan triiodothyronine (T3). Hormon tiroid membantu badan menggunakan tenaga, mengekalkan suhu tubuh, mengawal fungsi jantung, otot serta sistem saraf. Hormon ini turut mempengaruhi berat badan, pergerakan usus, kitaran haid dan paras kolesterol dalam darah. Oleh itu, apabila kelenjar ini menghasilkan hormon secara berlebihan atau tidak mencukupi, pelbagai fungsi badan boleh terjejas.

Penghasilan hormon tiroid dikawal oleh satu sistem komunikasi antara otak dan kelenjar tiroid. Kelenjar pituitari, yang terletak di bahagian bawah otak, menghasilkan hormon perangsang tiroid atau thyroid-stimulating hormone (TSH), yang memberikan isyarat kepada kalenjar tiroid untuk menghasilkan hormon T4 dan T3. Sistem ini berfungsi seperti termostat penghawa dingin: apabila hormon tiroid tidak mencukupi, paras TSH lazimnya meningkat untuk merangsang penghasilan lebih banyak hormon; manakala apabila hormon tiroid berlebihan, paras TSH biasanya menurun. Mekanisma maklum balas ini membolehkan badan mengekalkan keseimbangan hormon yang diperlukan.

Penyakit dan gangguan hormon tiroid merangkumi pelbagai keadaan, daripada goiter (pembesaran kelenjar tiroid) yang tidak berbahaya serta tidak memerlukan rawatan, hingga kanser tiroid yang boleh mengancam nyawa. Masalah tiroid yang paling lazim melibatkan penghasilan hormon tiroid yang tidak normal. Penghasilan hormon tiroid yang berlebihan menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai hipertiroidisma, manakala penghasilan hormon yang tidak mencukupi menyebabkan hipotiroidisma. Walaupun gangguan ini boleh menyebabkan gejala yang tidak menyenangkan atau ketidakselesaan, kebanyakan masalah tiroid dapat dikawal dengan baik melalui diagnosis yang tepat dan rawatan yang sesuai.

Ujian Fungsi Tiroid (Thyroid Function Test, TFT) ialah ujian darah yang membantu doktor menilai fungsi kelenjar ini dan mengenal pasti kemungkinan gangguan paras hormon tiroid. Namun, apakah sebenarnya yang diukur melalui ujian ini, dan bagaimanakah kita memahami keputusan yang tertera pada laporan makmal?

Apakah Ujian yang terkandung dalam TFT?

Ujian fungsi tiroid biasanya melibatkan pengukuran paras hormon TSH, T4 dan T3.

1.Ujian TSH

TSH menjadi ujian pertama apabila doktor mengesyaki seseorang mengalami gangguan hormon tiroid kerana perubahan kecil dalam hormon tiroid boleh menyebabkan perubahan paras TSH yang ketara. Oleh itu, TSH bertindak seperti sistem amaran awal yang membantu mengesan perubahan paras hormon tiroid.

Secara umum, TSH yang tinggi boleh menunjukkan bahawa kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon yang mencukupi, manakala TSH yang rendah boleh menunjukkan penghasilan hormon tiroid yang berlebihan..

2. Ujian T4 dan T3

Pengukuran paras T4 bersama TSH biasanya memberikan gambaran yang lebih jelas tentang fungsi tiroid berbanding pengukuran jumlah T4 sahaja. Bagi ujian T3, ia membantu doktor mengesyaki tiroid terlalu aktif walaupun T4 masih normal. Walau bagaimanapun, ujian ini lazimnya tidak diperlukan untuk mengesan tiroid kurang aktif kerana paras T3 boleh kekal normal walaupun seseorang mengalami kekurangan hormon tiroid yang ketara.

Bagaimanakah keputusan TFT ditafsirkan?

Secara umum, TFT boleh membantu mengenal pasti dua keadaan paras hormon yang tidak normal iaitu hipertiroidisma dan hipotiroidisma.

Hipertiroidisma berlaku apabila hormon tiroid dihasilkan secara berlebihan dan tidak terkawal, dan menggangu pelbagai fungsi badan. Keputusan lazim menunjukkan TSH yang rendah serta T4 dan/atau T3 yang tinggi. Antara gejala yang boleh dialami ialah jantung berdebar-debar, tangan menggeletar, mudah berpeluh, tidak tahan panas dan penurunan berat badan tanpa sebab yang ketara.

Hipotiroidisma pula berlaku apabila kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan. Keadaan ini lazimnya dikaitkan dengan TSH yang tinggi dan T4 yang rendah. Individu yang mengalami hipotiroidisma mungkin berasa cepat letih, mudah berasa sejuk, mengalami sembelit, kulit kering atau pertambahan berat badan. Namun, gejala tersebut tidak khusus kepada penyakit tiroid dan boleh berlaku dalam keadaan kesihatan yang lain.

Keputusan TFT perlu ditafsirkan berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal. Penyakit serius, kehamilan dan pengambilan suplemen biotin boleh mempengaruhi keputusan ujian. Penting untuk difahami bahawa tidak semua keputusan di luar julat rujukan bermaksud seseorang mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan. Doktor perlu mempertimbangkan keseluruhan gambaran klinikal dan, jika perlu, mengulangi ujian sebelum membuat keputusan.

Rajah 1: Anatomi, kawalan penghasilan dan peranan hormon tiroid dalam badan. Proses ujian TFT dilakukan di makmal perubatan.

Siapakah yang perlu menjalani Ujian Fungsi Tiroid?

Doktor mungkin mencadangkan TFT bagi individu yang mempunyai gejala, pembesaran kelenjar tiroid, sejarah penyakit tiroid atau keadaan klinikal tertentu yang meningkatkan kemungkinan gangguan paras hormon tiroid. Bagi individu yang telah didiagnosis dengan penyakit tiroid, ujian susulan membantu doktor menilai sama ada fungsi hormon telah terkawal dan sama ada rawatan perlu disesuaikan. Kekerapan ujian bergantung pada keadaan pesakit, jenis rawatan dan kestabilan keputusan terdahulu.

Walau bagaimanapun, ujian tidak seharusnya dilakukan atau ditafsirkan tanpa mengambil kira tujuan klinikal. Doktor akan menentukan jenis ujian yang sesuai berdasarkan gejala, risiko dan maklumat kesihatan individu.

Ujian fungsi tiroid adalah penting untuk memahami bagaimana kelenjar tiroid berfungsi dan membantu mengesan gangguan paras hormon yang boleh mempengaruhi hampir seluruh fungsi badan. Pengukuran paras hormon TSH, T4 dan T3 membolehkan doktor menilai kemungkinan tiroid kurang aktif atau terlalu aktif serta menentukan langkah rawatan seterusnya.

Jika anda mempunyai gejala yang berpanjangan atau menerima keputusan TFT yang tidak normal, berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan tafsiran ujian yang tepat dan pelan rawatan yang sesuai. Memahami ujian ini merupakan langkah penting untuk menjaga kesihatan diri, tetapi keputusan rawatan hendaklah dibuat berdasarkan penilaian profesional.

Rujukan

  1. Kurian, M.E. and Kapoor, N. (2018). Interpretation of thyroid function tests. Current Medical Issues, 16(2), pp. 34–38. https://doi.org/10.4103/cmi.cmi_17_18.
  2. Sharma, V., Cheetham, T. and Wood, C. (2023). Understanding and interpreting thyroid function tests. Paediatrics and Child Health, 33(7), pp. 183–188. https://doi.org/10.1016/j.paed.2023.03.001.
  3. American Thyroid Association (2019). Thyroid Function Tests. Tersedia di: https://www.thyroid.org.
  4. National Endocrine and Metabolic Diseases Information Service. Thyroid Tests. National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, National Institutes of Health.Biodata Penulis

Nama: Dr Wan Nor Fazila Hafizan Wan Nik

Kelulusan akademik: Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS) UIAM & Sarjana Patologi (Patologi Kimia) MPath (Chemical Pathology) USM

Jawatan: Pakar Patologi Kimia dan Pensyarah Perubatan

Tempat bertugas: Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan

Bidang kepakaran: Kimia klinikal, endokrinologi dan pengurusan makmal perubatan. Aktif menjalankan penyelidikan terutamanya berkaitan biomarker dalam aspek endokrinologi. Turut terlibat dalam pengajaran pelajar perubatan prasiswazah dan pascasiswazah, latihan profesional dan pembangunan perkhidmatan diagnostik makmal. Turut memberikan ceramah dan pendidikan kesihatan kepada petugas kesihatan serta masyarakat mengenai kepentingan ujian makmal dalam pengesanan, diagnosis dan pemantauan penyakit.

Persatuan/pertubuhan profesional (ahli);

Akademi Perubatan Malaysia
Persatuan Ahli Biokimia Klinikal Malaysia
European Federation of Clinical Chemistry and Laboratory Medicine (EFLM) Academy

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Gangguan Hormon TiroidHipertiroidismakalenjar tiroidPakar Patologi KimiaPusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains MalaysiaUjian DarahWan Nor Fazila Hafizan Wan Nik
Previous Post

Kacip Fatimah dan Tongkat Ali-Warisan Herba, Kekayaan Biodiversiti Malaysia

Editor

Editor

Related Posts

Kacip Fatimah dan Tongkat Ali-Warisan Herba, Kekayaan Biodiversiti Malaysia
Alam Semulajadi

Kacip Fatimah dan Tongkat Ali-Warisan Herba, Kekayaan Biodiversiti Malaysia

2 hours ago
Analisis Urin sebagai Komponen Penting dalam Penilaian Kesihatan
Berita & Peristiwa

Analisis Urin sebagai Komponen Penting dalam Penilaian Kesihatan

3 hours ago
Ujian Troponin: Penanda Kecederaan Jantung
Berita & Peristiwa

Ujian Troponin: Penanda Kecederaan Jantung

3 hours ago
Pengukuhan Konkrit Polimer Sanga Timah-Potensi Bahan Kejuruteraan dan Tanggungjawab Terhadap Alam Sekitar
Berita & Peristiwa

Pengukuhan Konkrit Polimer Sanga Timah-Potensi Bahan Kejuruteraan dan Tanggungjawab Terhadap Alam Sekitar

3 hours ago

Kategori Produk

  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In