Penulis: Fatin Nadiah Sukhairi1 & Dr. Farah Fazwa Ariff2
1Pembantu Penyelidik Program Teknologi Bahan Tanaman, Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
2Pegawai Penyelidik Program Teknologi Bahan Tanaman, Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
KACIP FATIMAH
Nama saintifik: Labisia pumila (Blume) Fern.-Vill
Nama tempatan: Kacip Fatimah
Nama tempatan lain: Selusuh fatimah, akar fatimah, kunchi fatimah, meroyan batu
Famili: Myrsinaceae.
Pengenalan
Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian tumbuhan ubatan, khususnya yang terdapat di kawasan hutan tropika. Kacip fatimah dan tongkat ali merupakan dua tumbuhan ubatan yang mempunyai sejarah penggunaan tradisional yang panjang dalam masyarakat tempatan. Kedua-duanya mempunyai nilai penting dari sudut etnobotani, penyelidikan herba, pemuliharaan sumber genetik serta pembangunan produk herba.
Kegunaan Tradisional
Secara tradisinya, keseluruhan tumbuhan ini lazimnya direbus untuk mendapatkan air untuk dijadikan sebagai minuman. Kacip fatimah juga telah digunakan secara tradisi oleh kebanyakkan wanita Melayu sebagai ubat penjagaan sebelum dan selepas bersalin. Ia juga membantu memulih semula kekuatan tubuh, meningkatkan tenaga dan kecergasan, mengawal kitaran haid dan mengelakkan sakit serta mengurangkan gejala menopaus. (Zakaria et all 2021)
Taburan dan Habitat
Kacip fatimah merupakan tumbuhan herba yang berkaitan dengan hutan hujan tropika Asia Tenggara dan banyak dikaitkan dengan Malaysia. Ianya boleh ditemui di kawasan hutan tanah rendah hingga kawasan berbukit Tumbuhan ini sesuai hidup di kawasan teduh dan mempunyai kelembapan tinggi, serta kurang sesuai menerima cahaya matahari secara terus.

Morfologi
Kacip fatimah merupakan tumbuhan herba renek yang tumbuh rendah, berbeza daripada pokok berkayu yang mempunyai batang utama yang jelas. Pertumbuhannya yang rendah membolehkan kacip fatimah hidup di lantai hutan, terutamanya di kawasan yang terlindung daripada cahaya matahari secara langsung. Saiz dan bentuk tumbuhan boleh berbeza bergantung kepada keadaan habitat, umur tumbuhan serta variati.. Daun kacip fatimah merupakan daun tunggal, tersusun secara rapat pada pangkal tumbuhan, berbentuk lonjong dan hujung daun yang meruncing, permukaan daun biasanya licin dengan tekstur agak tebal. Saiz daun boleh berubah mengikut umur dan keadaan pertumbuhan.
Buah kacip fatimah berukuran kecil dan boleh berbentuk hampir bulat hingga bujur. Buah mengandungi biji yang berfungsi sebagai struktur pembiakan dan membolehkan tumbuhan menghasilkan generasi baharu.
Bunga kacip fatimah berukuran kecil dan warna bunga lazimnya berwarna putih, ungu atau merah keunguan, bergantung kepada variasi tumbuhan. (Malaysia Biodiversity Information System).
Batang kacip fatimah adalah pendek, kecil dan hampir tidak kelihatan kerana sebahagian besar tumbuhan terdiri daripada daun yang tersusun rapat di bahagian pangkal. Daun tumbuh daripada bahagian pangkal atau kawasan berhampiran permukaan tanah, menghasilkan rupa tumbuhan yang rendah dan padat.
Akar kacip fatimah mempunyai sistem yang berkembang pada bahagian bawah tumbuhan dan berfungsi untuk menyerap air, menyerap nutrien mineral daripada tanah dan menyokong pertumbuhan keseluruhan tumbuhan.

TONGKAT ALI
Nama saintifik: Eurycoma longifolia
Famili: Simaroubaceae.
Nama tempatan: Tongkat ali, pasak bumi, tongkat baginda, petala bumi, penawar pahit, lempedu pahit dan setunjang bumi.
Pengenalan
Tongkat ali merupakan salah satu tumbuhan herba terkenal di Malaysia dan Asia Tenggara. Tumbuhan daripada famili Simaroubaceae ini telah lama digunakan dalam perubatan tradisional khususnya pada bahagian akar. Tongkat ali tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan tropika dan merupakan antara tumbuhan ubatan yang mempunyai nilai ekonomi dan penyelidikan yang tinggi.
Kegunaan Tradisional
Penggunaan pokok tongkat ali tidak asing lagi dalam perubatan tradisional masyarakat tempatan. Bahagian akar merupakan bahagian yang paling terkenal dan biasanya digunakan dalam bentuk air rebusan. Antara kegunaannya adalah untuk meningkatkan kesihatan dalaman lelaki dan wanita, ramuan minyak urut,mengawal tekanan darah tinggi, menyokong kesihatan seksual lelaki, membantu meningkatkan daya focus, ketahanan fizikal, menguatkan sistem imun, mengawal hormon stress dan mempunyai potensi sebagai sumber bahan antioksidan dan antiradang semula jadi. (Norhaiza Mohamad, Maziah Mahmood and Hakiman Mansor, 2009)
Taburan dan Habitat
Tongkat ali mempunyai taburan yang agak luas di Asia Tenggara, iaitu dari selatan Myanmar di barat ke Filipina di Timur, Indocina di utara dan Sumatra, Semenanjung Malaysia dan Borneo di selatan. (Rajeev Bhat & A.A. Karim, 2010). Di Malaysia, tongkat ali merupakan pokok kecil yang biasa dijumpai di lapisan bawah kanopi utama, dari hutan pantai berpasir sehinggalah ke kawasan pergunungan sekitar 1000 m.

Morfologi Tumbuhan
Tongkat ali merupakan tumbuhan yang tumbuh dengan perlahan dan boleh mencapai ketinggian sekitar 8 meter. Pokok ini biasanya tumbuh secara menegak tanpa cabang dengan bahagian atas pokok membentuk berbentuk payung serta mempunyai tangkai daun berwarna perang kemerahan.
Bunga adalah berbentuk lanseolat sehingga ovat bujur, bewarna kuning keperangan ketika muda dan perang kemerahan setelah matang. (Malaysia Biodiversity Information System).
Buah berukuran kira-kira 10–20 mm panjang dan 5–12 mm lebar. Buahnya keras dan berbentuk bujur. Buah muda berwarna kuning kecoklatan, manakala buah yang masak berubah menjadi perang kemerahan.
Daun adalah daun majmuk, tersusun secara spiral dan berbentuk pinat genap, serta boleh mencapai panjang sehingga 1 meter. Daun rimbun dihujung batang bagaikan bunga manggar dan tersusun secara majmuk dan panjang boleh mencapai kira-kira 1 m.
Akar berwarna kuning pucat. Pokok yang tumbuh secara liar biasanya mempunyai akar tunjang sepanjang kira-kira 0.5–1.5 meter.
Warisan Pengetahuan Tradisional
Keistimewaan kacip fatimah dan tongkat ali bukan hanya terletak pada nilai tumbuhan itu sendiri, tetapi juga pada pengetahuan tradisional yang berkembang bersama penggunaannya. Pengetahuan tentang mengenal pasti tumbuhan, habitat, bahagian yang digunakan, kaedah penyediaan dan masa pengambilan telah diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Pengetahuan tradisional seperti ini merupakan sebahagian daripada warisan budaya negara. Ia menunjukkan hubungan rapat antara masyarakat dengan alam semula jadi serta kepentingan hutan sebagai sumber makanan, bahan ubatan dan pelbagai keperluan kehidupan.
Biodiversiti dan Potensi Ekonomi
Tumbuhan herba ini mempunyai potensi ekonomi melalui pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi. Industri herba boleh merangkumi aktiviti seperti pengeluaran bahan mentah, penanaman, penyelidikan, pemprosesan dan pembangunan produk bernilai tambah.
Namun begitu, pembangunan industri herba perlu dilaksanakan secara lestari. Pengambilan tumbuhan dari habitat semula jadi secara berlebihan boleh memberi tekanan kepada populasi tumbuhan. Oleh itu, usaha pembiakan, penanaman, pemuliharaan sumber genetik dan pembangunan bahan tanaman berkualiti amat penting untuk memastikan bekalan sumber herba dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Pemuliharaan dan Kelestarian
Kelestarian Kacip fatimah dan tongkat ali memerlukan kerjasama antara penyelidik, agensi kerajaan, pengusaha herba, komuniti tempatan dan masyarakat. Penyelidikan berkaitan pembiakan, agronomi, genetik, kandungan bioaktif dan pemprosesan boleh membantu meningkatkan pemahaman terhadap kedua-dua spesies ini. Selain itu, dokumentasi pengetahuan tradisional dan rekod biodiversiti juga penting supaya maklumat mengenai spesies, habitat dan kegunaannya dapat dipelihara.
Rujukan
Rajeev Bhat & A.A. Karim. (2010). Tongkat Ali (Eurycoma longifolia Jack): A review on its ethnobotany and pharmacological importance. Science Direct, 81(7), 669-679. https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0367326X10000845
Zakaria et al. (2021). A Review on Therapeutic Effects of Labisia Pumila on Female Reproductive Diseases. BioMed Research International, 2021, 9 pages. https://doi.org/10.1155/2021/9928199.
Norhaiza Mohamad, Maziah Mahmood and Hakiman Mansor. (2009). Antioxidative properties of leaf extracts of a popular Malaysian herb Labisia pumila. Journal of Medicinal Plants Research Vol. 3(4), pp. 217-223, April, 2009. http://www.academicjournals.org/JMPR
Malaysia Biodiversity Information System. (n.d.). Labisia pumila (Blume) Fern.-Vill. MyBIS. https://www.mybis.gov.my/sp/40403.
Malaysia Biodiversity Information System. (n.d.). Eurycoma longifolia Jack. MyBIS. https://www.mybis.gov.my/sp/45630.




