Monday, November 23, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Mengenali Penyakit Leukemia dalam Kalangan Kanak-Kanak: Mengapa Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa?

Mengenali Penyakit Leukemia dalam Kalangan Kanak-Kanak: Mengapa Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa?

Editor by Editor
23/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Nur Ilyia Syazwani Saidin1, Profesor Madya Dr. Wan Suriana Wan Ab Rahman2, Dr Siti Asmaa Mat Jusoh1
1Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia
2Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia

Bagi kebanyakan ibu bapa, melihat anak kecil yang aktif tiba-tiba kelihatan lesu, hilang selera makan, atau sering demam mungkin dianggap sebagai demam biasa yang akan kebah dalam beberapa hari. Namun, apabila gejala tersebut berlarutan dan disertai dengan tanda-tanda luar biasa seperti lebam tanpa sebab, hidung berdarah, ia mungkin petanda awal kepada penyakit berbahaya yang perlu diberi perhatian serius iaitu leukemia.

Sebagai kanser yang paling kerap menyerang kanak-kanak, merangkumi hampir satu pertiga daripada keseluruhan kes kanser pediatrik di peringkat global, perkataan “leukemia” sering kali mencetuskan rasa panik dan putus asa. Hakikatnya, kemajuan sains perubatan moden telah mengubah landskap penyakit ini. Hari ini, leukemia bukan lagi hukuman mati, terutamanya apabila ia dapat dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan tepat.

Apa Itu Leukemia? Memahami “Kilang” Darah Manusia

Untuk memahami leukemia, kita perlu melihat terlebih dahulu ke dalam tulang manusia. Di bahagian tengah tulang terdapat tisu lembut yang dikenali sebagai sumsum tulang. Ia berfungsi ibarat sebuah kilang utama yang menghasilkan tiga komponen darah penting iaitu sel darah merah, sel darah putih dan platelet. Sel darah merah berfungsi untuk mengangkut oksigen ke seluruh badan, sel darah putih berfungsi sebagai tentera yang melawan jangkitan kuman, dan platelet pula adalah agen yang membekukan darah apabila berlaku luka.

Leukemia ialah kanser darah yang bermula di dalam sumsum tulang. Leukemia berlaku apabila sel-sel darah putih yang belum matang mengalami mutasi genetik, lalu berkembang secara tidak terkawal dan menjadi sel abnormal yang dipanggil sel leukemia atau sel blas.

Masalah utama tercetus apabila sel-sel leukemia ini memenuhi ruang di dalam sumsum tulang, sekali gus menghalang penghasilan sel darah yang sihat. Akibatnya, tubuh kanak-kanak tersebut bukan sahaja dibanjiri sel darah putih yang cacat dan tidak mampu melawan kuman, malah turut mengalami kekurangan sel darah merah dan platelet yang kritikal.

Rajah 1 menunjukkan bagaimana penyakit leukemia terjadi

Jenis-jenis Leukemia Kanak-Kanak

Tidak seperti orang dewasa yang sering menghidap leukemia jenis kronik (berkembang perlahan), hampir kesemua kes leukemia dalam kalangan kanak-kanak adalah jenis akut, bermaksud penyakit ini berkembang dengan pantas dan memerlukan rawatan segera.

Terdapat dua jenis utama yang lazim ditemui:

  1. Leukemia Limfoblastik Akut (ALL): Merupakan jenis leukemia yang paling kerap berlaku, menyumbang sekitar 75 hingga 80 peratus daripada kes leukemia kanak-kanak. Ia terdiri daripada sel darah putih yang belum matang(limfoblas) dan paling biasa dikesan pada kanak-kanak berumur antara dua hingga lima tahun.
  2. Leukemia Mieloid Akut (AML): Merangkumi baki sebahagian besar kes. Ia bermula daripada sel myeloid yang belum matang (myeloblast) yang berkembang dengan cepat dan tidak terkawal dan menganggu penghasilan sel darah merah, sel darah putih normal dan platelet.

Mengenali Simptom Awal: Jangan Ambil Mudah Tanda Biasa

Cabaran terbesar dalam menangani leukemia kanak-kanak ialah gejala awalnya sering menyamai penyakit biasa seperti jangkitan virus (flu). Namun, ibu bapa boleh mengesan tanda luar biasa yang berpunca daripada kekurangan tiga komponen darah sihat seperti berikut:

  1. Kekurangan sel darah merah (Anemia): Anak kelihatan pucat (terutamanya pada tapak tangan dan bahagian dalam kelopak mata), cepat letih, lemah, tidak bermaya untuk bermain, atau mengadu sesak nafas.
  2. Kekurangan sel darah putih normal: Demam yang berpanjangan atau berulang tanpa punca jangkitan yang jelas, serta kerap mendapat jangkitan kuman yang sukar sembuh.
  3. Kesan kekurangan platelet: Mudah mendapat kesan lebam pada badan walaupun hanya terlanggar objek ringan, pendarahan hidung atau gusi yang kerap dan sukar berhenti, serta kemunculan bintik-bintik merah halus di bawah kulit yang dipanggil petechiae.
  4. Tanda-tanda lain: Sakit pada tulang atau sendi (kanak-kanak kecil mungkin enggan berjalan atau kerap minta didukung), bengkak pada kelenjar limfa di leher, ketiak, atau pangkal paha, hilang selera makan, susut berat badan, serta perut kelihatan buncit akibat pembengkakan organ hati atau limpa.
Rajah 2 menerangkan tanda-tanda utama leukemia yang dapat dikesan pada kanak kanak

Mengapa Pengesanan Awal Sangat Penting dan Bagaimana ia Dikesan?

Pengesanan awal merupakan kunci utama yang menentukan kejayaan rawatan. Apabila leukemia dikesan sebelum sel kanser sempat merebak secara meluas ke sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang) atau organ lain, tubuh kanak-kanak berada dalam keadaan yang lebih kuat untuk menerima rawatan. Pengesanan awal juga mengurangkan risiko komplikasi maut seperti jangkitan kuman yang teruk (sepsis) atau pendarahan dalaman sebelum rawatan dimulakan.

Sekiranya doktor mengesyaki leukemia, beberapa ujian diagnostik akan dijalankan di hospital:

  1. Ujian Darah Penuh (Full Blood Count – FBC): Ujian saringan pertama ini mengukur paras sel darah merah, sel darah putih, dan platelet.
  2. Ujian Filem Darah Periferi: Kehadiran sel blas di bawah mikroskop akan memberikan petunjuk kuat terhadap leukemia.
  3. Aspirasi dan Biopsi Sumsum Tulang: Ini merupakan ujian pengesahan paling tepat (gold standard). Doktor akan mengambil sedikit sampel cecair dan tisu sumsum tulang (biasanya dari tulang pinggul) di bawah bius setempat atau umum untuk mengenal pasti jenis leukemia secara spesifik.
  4. Ujian Genetik dan Molekul: Sampel sumsum tulang dianalisis untuk melihat perubahan kromosom pada sel kanser bagi menentukan tahap risiko pesakit dan merancang pelan rawatan yang paling sesuai.
  5. Pungsi Lumbar (Lumbar Puncture): Sedikit cecair serebrospinal dari tulang belakang diambil untuk memastikan sama ada sel leukemia telah merebak ke sistem saraf pusat.

Rawatan Moden yang Tersedia di Hospital

Sebaik sahaja diagnosis disahkan, pesakit akan dirujuk kepada pakar hematologi dan onkologi pediatrik. Rawatan leukemia memerlukan pendekatan menyeluruh yang biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun bagi memastikan setiap sel kanser dihapuskan sepenuhnya.

  1. Kemoterapi: Merupakan rawatan utama bagi leukemia kanak-kanak. Ubat-ubatan antikanser diberikan secara suntikan intravena, pil, atau terus ke dalam cecair tulang belakang dalam beberapa fasa (induksi, konsolidasi, dan penyelenggaraan) untuk memusnahkan sel leukemia dan mencegahnya daripada berulang.
  2. Terapi Sasaran (Targeted Therapy): Ubat pintar yang direka khusus untuk menyerang protein atau mutasi genetik tertentu pada sel kanser tanpa merosakkan sel normal secara meluas.
  3. Imunoterapi: Rawatan canggih (seperti terapi sel CAR-T) yang merangsang atau mengubah suai sistem imun pesakit sendiri supaya mampu mengenali dan memusnahkan sel leukemia.
  4. Pemindahan Sel Tunjang (Sumsum Tulang): Antara rawatan jangka masa Panjang, di mana sumsum tulang pesakit yang berpenyakit akan digantikan dengan sel tunjang yang sihat daripada penderma yang serasi.
  5. Terapi Sokongan: Sepanjang rawatan, transfusi sel darah merah dan platelet serta pemberian antibiotik diberikan secara berkala untuk melindungi pesakit sementara menunggu sumsum tulang mereka pulih.

Harapan dan Prognosis: Masa Depan yang Semakin Cerah

Berita paling melegakan bagi ibu bapa hari ini ialah prognosis atau ramalan peluang kesembuhan bagi leukemia kanak-kanak telah meningkat dengan begitu drastik hasil penyelidikan klinikal yang berterusan.

Bagi penghidap Leukemia Limfoblastik Akut (ALL), kadar kelangsungan hidup lima tahun kini mencecah 85 hingga 90 peratus, malah lebih tinggi bagi kumpulan yang berisiko rendah. Bagi Leukemia Mieloid Akut (AML) pula, kadar kelangsungan hidup berada pada paras sekitar 65 hingga 70 peratus. Sebahagian besar kanak-kanak yang berjaya melepasi tempoh rawatan ini mampu membesar seperti rakan sebaya mereka, bersekolah, dan menjalani kehidupan dewasa yang normal serta produktif.

Kesimpulannya, leukemia dalam kalangan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya perlu difahami dengan ilmu. Kepekaan ibu bapa dalam memerhatikan perubahan kecil pada kesihatan anak dan tindakan pantas mendapatkan pemeriksaan doktor mampu menjadi pemisah antara kerisauan dan kesembuhan.

Rujukan

  1. Hunger, S. P., & Mullighan, C. G. (2015). Acute Lymphoblastic Leukemia in Children. New England Journal of Medicine, 373(16), 1541–1552. https://doi.org/10.1056/NEJMra1400972
  2. Inaba, H., & Mullighan, C. G. (2020). Pediatric acute lymphoblastic leukemia. Haematologica, 105(11), 2524–2539. https://doi.org/10.3324/haematol.2020.247031
  3. Steliarova-Foucher, E., Colombet, M., Ries, L. A. G., Moreno, F., Dolya, A., Bray, F., Hesseling, P., Shin, H. Y., & Stiller, C. A. (2017). International incidence of childhood cancer, 2001–10: a population-based registry study. The Lancet Oncology, 18(6), 719–731. https://doi.org/10.1016/S1470-2045(17)30186-9
  4. Zwaan, C. M., Kolb, E. A., Reinhardt, D., Abrahamsson, J., Adachi, S., Aplenc, R., De Bont, E. S. J. M., De Moerloose, B., Dworzak, M., Gibson, B. E. S., Hasle, H., Leverger, G., Locatelli, F., Ragu, C., Ribeiro, R. C., Rizzari, C., Rubnitz, J. E., Smith, O. P., Sung, L., … Kaspers, G. J. L. (2015). Collaborative Efforts Driving Progress in Pediatric Acute Myeloid Leukemia. Journal of Clinical Oncology, 33(27), 2949–2962. https://doi.org/10.1200/JCO.2015.62.8289

Pengakuan Penggunaan Kecerdasan Buatan

Bahan grafik konsep ini dibangunkan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pemudahcaraan visual dan sintesis maklumat. Kandungan akhir telah disemak, dinilai, dan disahkan ketepatannya oleh penulis bagi menjamin integriti saintifik.

Biodata Penulis

Dr. Nur Ilyia Syazwani Saidin adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi di Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana Patologi (Hematologi) dan memiliki kepakaran di bidang hematologi dan bidang perubatan transfusi.

Professor Madya Dr. Wan Suriana Wan Ab Rahman adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana Patologi (Hematologi) memiliki kepakaran di bidang hematologi dan perubatan transfusi.

Dr. Siti Asmaa Mat Jusoh Dr. Siti Asmaa Mat Jusoh merupakan Pensyarah Universiti dan Penyelidik Utama di Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan. Berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Hematologi, beliau memiliki kepakaran khusus dalam genetik dan sitogenetik leukemia akut.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: darah manusiakanser darahLeukemialeukemia kanak-kanakNur Ilyia Syazwani Saidinpengesanan awal leukemia
Previous Post

Gigi Palsu Direka oleh AI: Mampukah Mesin Menggantikan Kepakaran Manusia?

Next Post

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

Editor

Editor

Related Posts

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari
Berita & Peristiwa

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

12 minutes ago
Gigi Palsu Direka oleh AI: Mampukah Mesin Menggantikan Kepakaran Manusia?
Berita & Peristiwa

Gigi Palsu Direka oleh AI: Mampukah Mesin Menggantikan Kepakaran Manusia?

28 minutes ago
Gigi Palsu: Penyelamat Senyuman dan Ancaman Tersembunyi Kesihatan Mulut
Berita & Peristiwa

Gigi Palsu: Penyelamat Senyuman dan Ancaman Tersembunyi Kesihatan Mulut

22 hours ago
Berkhatan Bukan Sekadar Tradisi: Menyingkap Sains, Kesihatan dan Teknologi Moden
Berita & Peristiwa

Berkhatan Bukan Sekadar Tradisi: Menyingkap Sains, Kesihatan dan Teknologi Moden

2 days ago
Next Post
Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In