Monday, November 30, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

HistologyBatik: Apabila Sains Anatomi Bertemu Seni Warisan

HistologyBatik: Apabila Sains Anatomi Bertemu Seni Warisan

Editor by Editor
29/11/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Penulis: Dr. Mohamad Syabil Ikhwan Mohd Amin1, Prof. Madya Dr. Zul Izhar Mohd Ismail1 & Dr. Indriati Dwi Rahayu2
1Pensyarah, Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
2Anatomy and Histology Department, Faculty of Medicine, Universitas Brawijaya

Apabila menyebut tentang anatomi, kebanyakan kita mungkin terbayangkan rangka manusia, organ dalaman atau otot yang dipelajari oleh pelajar perubatan. Namun, tahukah anda bahawa di sebalik struktur tubuh manusia yang dapat dilihat dengan mata kasar, tersembunyi pelbagai bentuk dan corak yang begitu unik apabila diperhatikan melalui mikroskop?

Secara ringkasnya, anatomi ialah bidang sains yang mengkaji struktur tubuh manusia. Histologi pula merupakan salah satu cabang ilmu anatomi yang mengkaji struktur halus tisu tubuh menggunakan mikroskop [1]. Melalui pemerhatian ini, kita dapat melihat pelbagai susunan sel dan tisu yang mempunyai bentuk serta keunikan tersendiri. Ada yang tersusun seperti gugusan bunga, ada yang menyerupai lingkaran, malah ada juga yang kelihatan seperti ranting pokok. Menariknya, struktur ini bukan sahaja menarik dari sudut sains, malah mempunyai keindahan tersendiri yang boleh menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan karya seni.

Gambar 1: Keratan rentas tulang yang menunjukkan susunan berbentuk bulatan (kiri) dan sel Purkinje pada tisu otak yang berbentuk cabang menyerupai ranting pokok (kanan). [Sumber: Wikimedia Commons]
Dalam kehidupan seharian pula, batik bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Malaysia. Daripada kain sarung dan baju kelawar hinggalah kepada pakaian moden, batik terus menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan budaya negara. Malah, pemakaian batik Malaysia turut diwajibkan kepada penjawat awam Persekutuan pada setiap hari Khamis sebagai salah satu usaha menyokong industri batik tempatan [2].

Namun, pernahkah kita terfikir bahawa corak batik juga boleh diilhamkan daripada struktur halus tubuh manusia? Daripada persoalan inilah, kita diperkenalkan kepada HistologyBatik, suatu pendekatan kreatif yang menggabungkan keindahan struktur mikroskopik dengan seni batik.

Batik Malaysia, Warisan Seni yang Terus Berkembang

Seni batik mempunyai tempat yang istimewa di hati masyarakat Malaysia, khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu yang terkenal dengan perusahaan batik sejak sekian lama. Keunikan batik tempatan dapat dilihat melalui kepelbagaian warna, teknik penghasilan dan coraknya yang banyak mengambil inspirasi daripada alam semula jadi. Motif bunga-bungaan, dedaunan dan tumbuh-tumbuhan sering menjadi pilihan pengusaha batik, dengan sentuhan kreativiti yang menjadikan setiap rekaan mempunyai identiti tersendiri [2].

Menariknya, penghasilan batik bukan sekadar melukis corak pada sehelai kain. Dalam teknik batik lukis, misalnya, artisan menggunakan alat yang dikenali sebagai canting untuk melakar corak menggunakan lilin cair. Lilin ini berfungsi sebagai bahan perintang yang menghalang warna daripada meresap ke bahagian tertentu pada kain. Selain batik lukis, terdapat juga teknik batik terap yang menggunakan blok bercorak untuk menghasilkan motif berulang. Kedua-dua teknik ini memerlukan kemahiran, ketelitian dan kreativiti bagi menghasilkan corak yang menarik. Keunikan proses inilah yang menjadikan setiap hasil batik mempunyai nilai seni tersendiri.

Gambar 2: Beberapa corak batik berasaskan haiwan dan tumbuhan yang dihasilkan oleh En Fathil, seorang artisan yang berasal daripada Kelantan menggunakan teknik canting dan lukisan tangan yang sangat terperinci. (Sumber: En Ahmad Fathil bin Othman atau dikenali sebagai Padil Osman, juga salah seorang peserta bengkel Histology Meets Heritage)

Seni batik bukan hanya terkenal di Malaysia, malah turut menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara jiran, khususnya Indonesia. Walaupun kedua-duanya berkongsi akar budaya serantau, batik Indonesia mempunyai tradisi motif yang kaya dengan makna dan perlambangan, termasuk corak yang berkaitan dengan sejarah, kepercayaan serta kehidupan masyarakat setempat.

Walaupun mempunyai gaya dan identiti yang tersendiri, seni batik di kedua-dua negara terus berkembang mengikut peredaran zaman. Daripada motif tradisional kepada rekaan kontemporari, kreativiti pengusaha batik seolah-olah tidak mempunyai batasan. Namun, bagaimana pula jika sumber inspirasi corak batik diperluaskan kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar? Bagaimana jika keindahan struktur tubuh manusia yang tersembunyi di bawah mikroskop turut dijadikan motif batik? Di sinilah ilmu histologi membuka satu lagi ruang kreativiti yang menarik untuk diterokai.

HistologyBatik: Keindahan Tersembunyi di Bawah Mikroskop

Bayangkan struktur sel dan tisu manusia yang biasanya hanya dilihat melalui mikroskop dijadikan corak pada sehelai kain batik. Inilah idea di sebalik HistologyBatik, atau batik berinspirasikan histologi. Melalui pendekatan ini, struktur tisu dan sel manusia dijadikan sumber inspirasi untuk menghasilkan motif yang bukan sahaja menarik dari sudut seni, malah mempunyai nilai saintifik.

Sebagai contoh, susunan folikel dalam kelenjar tiroid yang berbentuk bulat boleh diolah menjadi corak berulang, manakala sel saraf dengan cabangnya yang panjang boleh memberikan inspirasi kepada motif yang menyerupai ranting pokok. Begitu juga dengan struktur tubul ginjal yang mempunyai susunan dan bentuk tersendiri. Keunikan struktur ini boleh diterjemahkan kepada pelbagai corak batik tanpa menghilangkan ciri asas tisu yang menjadi sumber inspirasinya.

Gambar 3: Struktur kelenjar tiroid yang terdiri daripada susunan bulatan berulang menjadi inspirasi kepada penghasilan motif batik. Gambar di sebelah kiri menunjukkan struktur kelenjar tiroid di bawah mikroskop, manakala gambar di sebelah kanan menunjukkan ilustrasi corak yang diolah daripada struktur tersebut. [Sumber: Ilustrasi dijana menggunakan ChatGPT (OpenAI, 2026)]
Gambar 4: Gambar di sebelah kiri menunjukkan sel Purkinje, iaitu sejenis sel saraf yang terdapat pada lapisan luar otak (korteks serebrum), yang dilihat di bawah mikroskop. Cabang-cabang halus sel ini menyerupai ranting pokok dan menjadi inspirasi kepada penghasilan motif batik seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi di sebelah kanan. [Sumber: Ilustrasi dijana menggunakan ChatGPT (OpenAI, 2026)]
Namun, HistologyBatik bukan sekadar memindahkan imej daripada mikroskop ke atas kain. Penghasilan motif memerlukan gabungan pemahaman saintifik dan kreativiti seni supaya ciri penting sesuatu tisu masih dapat dikenal pasti, walaupun bentuk dan warnanya telah diolah.

Apa yang menjadikan HistologyBatik lebih menarik ialah potensinya untuk memperkenalkan ilmu anatomi kepada masyarakat melalui medium yang dekat dengan kehidupan seharian. Siapa sangka, sehelai kain batik yang dipakai ke pejabat atau majlis rasmi suatu hari nanti mungkin mempunyai corak yang diilhamkan daripada struktur tubuh manusia sendiri?

Jalinan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia dan Universitas Brawijaya: Apabila Sains dan Seni Bertemu

Idea menggabungkan histologi dengan seni batik bukanlah sesuatu yang baharu di Indonesia. Namun, pendekatan ini mendapat nafas baharu apabila Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Perubatan, Universitas Brawijaya (UB), Indonesia, menerusi program Histology Meets Heritage pada Julai 2026 [3].

Kerjasama yang bermula dengan beberapa siri perbincangan secara dalam talian akhirnya membawa kepada penganjuran sebuah bengkel pada 27 Julai 2026, bertempat di Muzium Anatomi, Kampus Kesihatan USM, Kelantan. Program ini menghimpunkan seramai 21 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar, penggiat seni dan artisan batik daripada pelbagai latar belakang [4,5].

Gambar 5: Barisan penganjur bersama peserta bengkel Histology Meets Heritage yang terdiri daripada pensyarah, pelajar, artisan dan pengusaha batik dari negeri Kelantan.

Apa yang menarik, bengkel ini bukan sekadar sesi perkongsian ilmu, tetapi turut menjadi ruang pertemuan antara dua dunia yang berbeza. Para pensyarah dan pelajar anatomi berkongsi pengetahuan tentang struktur mikroskopik tubuh manusia, manakala penggiat seni dan artisan batik menyumbangkan idea serta kepakaran dalam menghasilkan motif yang menarik dan sesuai diterjemahkan ke atas kain. Daripada perbincangan inilah, peserta mula meneroka bagaimana susunan sel dan tisu yang lazimnya dilihat di bawah mikroskop boleh diolah menjadi corak batik yang unik.

Gambar 6: Sesi perbincangan dan pertukaran idea antara pensyarah, pelajar dan artisan batik dalam usaha menghasilkan corak kreatif yang menggabungkan elemen sains dan seni warisan batik.

Melalui sesi perbincangan dan pertukaran idea sepanjang bengkel, para peserta, khususnya artisan batik Kelantan, berjaya menghasilkan beberapa lakaran awal motif batik yang diilhamkan daripada struktur histologi. Lakaran yang dihasilkan di atas kertas ini memperlihatkan bagaimana bentuk, susunan dan corak mikroskopik tisu tubuh manusia dapat diolah secara kreatif dengan menggabungkan elemen seni batik tradisional, tanpa mengabaikan identiti warisan tempatan. Walaupun masih pada peringkat awal, hasil ini membuktikan potensi kerjasama antara ahli anatomi, pelajar dan artisan batik dalam meneroka idea baharu ke arah penghasilan motif batik yang bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah turut membawa unsur sains dan pendidikan.

Gambar 7: Dua lakaran awal motif batik yang dihasilkan oleh artisan Kelantan semasa bengkel Histology Meets Heritage. Kedua-dua lakaran menggabungkan inspirasi daripada struktur histologi dengan elemen seni batik tradisional, sekali gus memperlihatkan hasil kreativiti dan kerjasama antara bidang sains dan seni. [Kejelasan garisan dan resolusi imej telah dipertingkatkan menggunakan ChatGPT (OpenAI, 2026), dengan mengekalkan reka bentuk asal]
Kerjasama ini memperlihatkan bahawa ilmu anatomi tidak semestinya terhad kepada bilik kuliah atau makmal. Dengan penglibatan pelbagai pihak, pengetahuan saintifik boleh diterjemahkan kepada sesuatu yang lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada idea baharu dalam penghasilan tekstil tempatan.

Potensi Baharu dalam Pendidikan, Penyelidikan dan Industri Kreatif

Di sebalik keunikan coraknya, HistologyBatik sebenarnya mempunyai potensi yang lebih luas daripada sekadar menghasilkan sehelai kain batik yang cantik. Dalam bidang pendidikan, misalnya, pendekatan ini boleh digunakan untuk memperkenalkan ilmu histologi dengan cara yang lebih kreatif dan menarik. Bayangkan pelajar bukan sahaja mempelajari struktur tisu melalui mikroskop, tetapi turut berpeluang menghasilkan motif batik berdasarkan struktur yang mereka pelajari. Aktiviti seperti ini berpotensi menggalakkan pemerhatian yang lebih teliti, di samping menjadikan pembelajaran anatomi lebih menyeronokkan.

Dari sudut penyelidikan pula, HistologyBatik membuka ruang kepada pelbagai kajian yang menggabungkan kepakaran sains, seni dan reka bentuk. Antaranya termasuklah kajian tentang keberkesanan pendekatan kreatif dalam pendidikan anatomi, pembangunan motif berasaskan struktur histologi serta penerimaan masyarakat terhadap produk batik yang mempunyai identiti saintifik. Potensi ini juga boleh diterokai bersama pengusaha batik bagi menghasilkan reka bentuk yang sesuai untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Bagi industri kreatif, HistologyBatik menawarkan satu lagi sumber inspirasi kepada pengusaha batik untuk mempelbagaikan corak sedia ada. Jika selama ini alam semula jadi menjadi antara sumber utama ilham penghasilan batik, kini keindahan dunia mikroskopik turut boleh diterokai. Siapa tahu, suatu hari nanti motif sel saraf, tisu kulit atau struktur ginjal mungkin menjadi pilihan dalam koleksi batik kontemporari Malaysia?

Membawa Ilmu dari Makmal kepada Masyarakat

Ilmu anatomi yang selama ini lebih sinonim dengan bidang perubatan sebenarnya boleh menjadi sumber inspirasi kepada penghasilan karya seni yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Melalui HistologyBatik, keindahan struktur tubuh manusia yang tersembunyi di bawah mikroskop kini berpotensi diterjemahkan kepada motif batik yang unik, sekali gus memperlihatkan bahawa sains dan seni boleh saling melengkapi.

Pendekatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan anatomi, malah berpotensi menyumbang kepada perkembangan industri kreatif tempatan. Dengan gabungan kepakaran ahli anatomi, pereka dan artisan batik, pelbagai motif baharu boleh diteroka tanpa mengetepikan identiti serta keunikan warisan batik Malaysia.

Sehubungan itu, Universiti Sains Malaysia melalui Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, mengalu-alukan kerjasama daripada artisan, pereka dan pengusaha batik tempatan yang berminat untuk meneroka penghasilan corak batik berinspirasikan histologi. Semoga usaha ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inovasi yang menghubungkan ilmu sains dengan warisan seni negara.

Daripada mikroskop kepada sehelai kain batik, siapa tahu keindahan tubuh manusia mungkin menjadi inspirasi kepada corak batik pilihan masyarakat suatu hari nanti?

Rujukan:

[1] Betts, J. G., et al. (2022). Anatomy and Physiology 2e. OpenStax, Rice University. https://openstax.org/details/books/anatomy-and-physiology-2e

[2] Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. (t.t.). Koleksi Kraf. Muzium Kraf Malaysia. https://mycraftmuseum.com/koleksi-kraf/

[3] Prasetya UB. (2026, 28 Julai). UB dan USM dorong pembelajaran STEAM dan kolaborasi budaya Indonesia-Malaysia. Universitas Brawijaya. https://prasetya.ub.ac.id/ub-dan-usm-dorong-pembelajaran-steam-dan-kolaborasi-budaya-indonesia-malaysia/?utm_source=chatgpt.com

[4] Faizah Md Nawi. (2026, July 29). ‘Histology meets heritage’ gabungkan sains dan warisan budaya serumpun. News USM Kampus Kesihatan. https://news.kk.usm.my/aktiviti/lensa-peristiwa/%E2%80%98histology-meets-heritage%E2%80%99-gabungkan-sains-dan-warisan-budaya-serumpun.html

[5] Nurdiyanto, W. (2026). Histology Meets Heritage, kolaborasi FK UB dan USM padukan sains histologi dengan warisan budaya. TIMES Indonesia. https://timesindonesia.co.id/pendidikan/600896/histology-meets-heritage-kolaborasi-fk-ub-dan-usm-padukan-sains-histologi-dengan-warisan-budaya?utm_source=chatgpt.com

Biodata pengarang:

  1. Mohamad Syabil Ikhwan Mohd Amin merupakan pensyarah di Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. Beliau merupakan graduan Sarjana Sains (Anatomi Klinikal) dari USM dan terlibat secara aktif dalam pengajaran anatomi kepada pelajar perubatan serta pelajar program Sarjana Perubatan dalam bidang kepakaran pembedahan. Selain bidang pengajaran, beliau turut menjalankan penyelidikan yang memfokuskan kepada kesihatan lelaki dan potensi bahan semula jadi dalam bidang kesihatan.
  2. Profesor Madya Dr. Zul Izhar Mohd Ismail merupakan pensyarah di Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. Beliau aktif dalam pengajaran anatomi kepada pelajar program perubatan serta pelajar program Sarjana Perubatan dalam bidang pembedahan. Beliau juga merupakan seorang penyelidik berpengalaman dengan kepakaran dalam bidang neuroanatomi, anatomi pengimejan dan pendidikan anatomi.
  3. Indriati Dwi Rahayu merupakan pensyarah Histologi di Fakulti Perubatan, Universitas Brawijaya, Indonesia, sejak tahun 2005. Beliau juga merupakan graduan Fakulti Perubatan universiti yang sama. Selain aktif dalam bidang pengajaran, beliau mempunyai minat mendalam terhadap seni reka bentuk batik berinspirasikan histologi. Minat tersebut telah membawa kepada penglibatan beliau sebagai salah seorang penyumbang buku “Batik Histologi: Ekspresi Culturepreneurship Kedokteran”. Beliau turut aktif dalam aktiviti khidmat masyarakat yang berkaitan dengan seni batik histologi.

 

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: HistologyBatikMohamad Syabil Ikhwan Mohd Aminseni batik
Previous Post

Nanas “Makan” Lidah Kita? Sains di Sebalik Rasa Pedih Selepas Menikmati Nanas

Next Post

Karat di Bawah Permukaan: Ancaman Tersembunyi Terhadap Ekosistem Marin

Editor

Editor

Related Posts

Sumpahan Dimensi dalam Data
Berita & Peristiwa

Sumpahan Dimensi dalam Data

4 hours ago
Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan
Berita & Peristiwa

Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan

4 hours ago
Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas
Berita & Peristiwa

Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas

4 hours ago
Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?
Alam Semulajadi

Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?

5 hours ago
Next Post
Karat di Bawah Permukaan: Ancaman Tersembunyi Terhadap Ekosistem Marin

Karat di Bawah Permukaan: Ancaman Tersembunyi Terhadap Ekosistem Marin

Kategori Produk

  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In