23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Thursday, October 9, 2025
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Garis Diagonal pada Cuping Telinga -Petunjuk Risiko Masalah Saluran Darah Jantung?

Garis Diagonal pada Cuping Telinga -Petunjuk Risiko Masalah Saluran Darah Jantung?

Editor by Editor
09/10/2025
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Wan Mohammad Hafiz bin Wan Razali 
Pensyarah Perubatan,
Jabatan Patologi Forensik
Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 

Pernahkah anda perasan mengenai satu garis diagonal atau serong pada cuping telinga seseorang? Ramai menganggapnya hanya kedutan biasa, tanda penuaan atau kesan pemakaian anting-anting. Namun begitu, apa yang mengejutkan ialah tanda ini bukan hanya muncul dalam kalangan warga emas, malah juga pada pesakit muda yang disahkan mempunyai saluran darah jantung tersumbat. Kebanyakan daripada mereka tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit jantung. Dari sinilah timbul persoalan mungkinkah cuping telinga kita sebenarnya memberi ‘amaran awal’ tentang keadaan jantung?

Fenomena ini pertama kali diperhatikan oleh Dr. Sanders T. Frank, seorang doktor di Amerika Syarikat pada tahun 1973. Dalam satu laporan ringkas di New England Journal of Medicine, beliau melaporkan bahawa ramai pesakit serangan jantung mempunyai garis diagonal di cuping telinga, menjulur dari bahagian depan ke bawah lobul telinga (Rajah 1). Sejak itu, tanda ini juga dikenali sebagai Frank’s sign oleh kerana penemuan oleh Dr. Frank. Selepas penemuan tersebut, penyelidik mula menyedari bahawa garis diagonal pada cuping telinga mungkin menjadi petunjuk kepada penyakit jantung koronari iaitu penyumbatan saluran darah jantung yang merupakan punca utama kematian mengejut di seluruh dunia (Rajah 2).

Rajah 1. Foto klinikal menunjukkan garis diagonal pada cuping telinga. (Sumber: Bashirah et al., Relationship Between Frank’s Sign and Cardiovascular Disease: An Autopsy-Based Study)
Rajah 2. Ilustrasi menunjukkan saluran darah jantung yang normal (atas) dan saluran yang tersumbat akibat pengumpulan plak lemak (bawah), punca utama penyakit jantung koronari. (Sumber: BruceBlaus, CC BY-SA 4.0, melalui Wikimedia Commons)

Dalam pelbagai kajian, penyelidik berpendapat bahawa cuping telinga mempunyai salur darah halus yang sangat kecil dan sensitif terhadap gangguan aliran darah. Apabila aliran darah terganggu, bekalan oksigen ke tisu kulit berkurang lalu menyebabkan serat kulit kehilangan keanjalan. Lama-kelamaan, terbentuklah kedutan atau garis kekal pada kawasan tersebut. Proses ini menyerupai apa yang berlaku pada saluran darah jantung apabila ia mula mengeras dan tersumbat oleh plak kolesterol.

Banyak kajian di seluruh dunia telah meneliti kaitan antara garis diagonal pada cuping telinga dengan penyakit jantung. Sebahagian besar kajian hospital mendapati lebih 80% pesakit yang disahkan menghidap penyakit jantung turut mempunyai garis ini pada satu atau kedua-dua belah telinga. Kajian di Sweden oleh Dr. Erik Edston, melalui pemeriksaan bedah siasat terhadap lebih 500 mayat, menunjukkan hubungan yang sangat kuat antara garis cuping telinga dan penyakit arteri koronari. Menariknya, dalam kalangan mangsa di bawah umur 40 tahun, tanda ini menjadi petunjuk yang sangat tepat — kira-kira 8 daripada 10 kes benar-benar mempunyai penyakit jantung koronari. Kajian lain dalam kalangan pesakit yang menjalani imbasan angiografi koronari turut mendapati mereka yang mempunyai garis ini lebih berisiko mengalami penyumbatan saluran koronari berbanding mereka yang tidak memilikinya.

Namun begitu, para pakar menegaskan bahawa hubungan ini tidak bermaksud sebab dan akibat secara langsung. Tidak semua orang yang mempunyai garis pada cuping telinga menghidap penyakit jantung, dan tidak semua pesakit jantung mempunyai garis tersebut. Walau bagaimanapun, statistik keseluruhan menunjukkan bahawa kehadiran garis diagonal ini wajar diberi perhatian sebagai tanda amaran awal.

Menariknya, bagi pesakit diabetes, tanda ini sering kali tidak begitu ketara atau sukar diperhatikan, kemungkinan disebabkan oleh perubahan pada peredaran darah kulit akibat penyakit itu sendiri. Selain itu, bagi individu yang pernah memakai subang, terutamanya dalam tempoh lama, parut atau penebalan kulit di sekitar lubang subang boleh menimbulkan kesan garis palsu (false positive). Hal ini penting kerana ia boleh menyebabkan salah tafsir, terutamanya jika hanya sebelah cuping telinga menunjukkan garis yang menyerupai kedutan. Oleh itu, pemerhatian perlu dibuat dengan berhati-hati serta mengambil kira sejarah individu tersebut.

Dari sudut kajian dermatologi, garis diagonal pada cuping telinga termasuk dalam senarai tanda kulit yang menggambarkan keadaan dalaman tubuh. Contohnya seperti xanthelasma (tompok kolesterol di kelopak mata) atau perubahan pada kuku, tanda ini mungkin berpunca daripada gangguan saluran darah halus di kulit. Penyelidik berpendapat bahawa pemeriksaan menyeluruh termasuk memeriksa cuping telinga boleh membantu mengenal pasti masalah jantung tersembunyi.

Bagi pakar jantung, pandangan mereka lebih berhati-hati. Garis diagonal tidak dianggap bukti diagnostik yang kukuh, tetapi cukup untuk dijadikan isyarat amaran awal. Jika seorang pesakit menunjukkan garis cuping telinga yang jelas, doktor biasanya akan menasihatkan pemeriksaan tambahan seperti ujian tekanan jantung, imbasan kalsium koronari, atau sekurang-kurangnya pemeriksaan kolesterol dan gula darah. Ia bukan tanda pasti, tetapi cukup untuk kita lebih berwaspada terhadap kesihatan jantung.

Dalam bidang patologi forensik, pemerhatian ini juga digunakan semasa bedah siasat kematian mengejut. Kajian-kajian bedah siasat menunjukkan bahawa garis diagonal pada cuping telinga kerap dijumpai pada mangsa yang meninggal akibat masalah saluran koronari tersumbat. Dalam sesetengah kajian, tanda ini mempunyai ketepatan sehingga 80% dalam membantu mengenal pasti kematian berpunca daripada masalah jantung. Kajian bedah siasat terkini di sebuah pusat pengajian di Malaysia juga menunjukkan dapatan yang hampir sama, di mana garis diagonal pada cuping telinga diperhatikan dalam 77.1% kes yang mempunyai penyumbatan kritikal oleh plak kolesterol di dalam saluran koronari, berbanding hanya 22.9% dalam kes tanpa penyumbatan oleh kolesterol. Perbezaan ini menggambarkan betapa kuatnya hubungan antara kehadiran tanda ini dengan penyakit jantung koronari, dan betapa pentingnya ia dijadikan petunjuk sokongan ketika menentukan punca kematian sewaktu proses bedah siasat.

Risiko penyakit jantung dan kemunculan garis ini meningkat seiring pertambahan usia. Namun yang membimbangkan ialah apabila garis ini muncul pada usia muda, kerana ia mungkin menandakan penuaan pramatang saluran darah. Faktor genetik juga memainkan peranan kerana ada keluarga yang menunjukkan kecenderungan sama, terutamanya jika mereka mempunyai kolesterol tinggi keturunan.

Selain faktor genetik, gaya hidup moden turut memberi kesan besar. Merokok, kurang bersenam, pengambilan diet tinggi lemak tepu, dan tekanan kronik semuanya mempercepatkan kerosakan saluran darah. Sebaliknya, amalan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan, bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tidur mencukupi, dan mengawal tekanan emosi boleh membantu melambatkan proses ini dan bukan sahaja pada saluran darah jantung tetapi juga sistem vaskular lain.

Kehadiran garis diagonal pada cuping telinga tidak bermaksud seseorang pasti menghidap penyakit jantung, namun ia juga tidak wajar diabaikan. Anggaplah ia sebagai peringatan kecil daripada tubuh. Jika anda mempunyai tanda ini, terutamanya bersama faktor risiko lain seperti berat badan berlebihan, kolesterol tinggi atau sejarah keluarga, ambillah langkah berjaga-jaga dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut seperti tekanan darah dan paras kolesterol. Langkah kecil seperti berhenti merokok, makan secara sihat dan bersenam secara berkala boleh mengurangkan risiko secara ketara.

Garis diagonal pada cuping telinga mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia mengingatkan kita bahawa tubuh manusia sering memberi isyarat awal tentang kesihatan dalaman. Cuping telinga bukan sekadar hiasan tetapi ia mungkin cermin kecil yang memantulkan keadaan jantung kita. Jadi, jika anda perasan ada garis serong pada cuping telinga, jangan panik tetapi jadikan ia sebab untuk lebih prihatin terhadap kesihatan jantung. Kadang-kadang, petunjuk besar datang daripada perkara yang paling kecil.

Kredit foto utama-betterhearingdotorg

Rujukan:

  1. Frank ST. Aural sign of coronary-artery disease. N Engl J Med. 1973; 289(6):327–328. doi:10.1056/NEJM197308092890622
  2. Edston E. The earlobe crease, coronary artery disease, and sudden cardiac death: an autopsy study of 520 individuals. Am J Forensic Med Pathol. 2006; 27(2):129–133. doi:10.1097/01.paf.0000221067.73173.d7
  3. Lucenteforte E, Romoli M, Zagli G, et al. Ear lobe crease as a marker of coronary artery disease: A meta-analysis. Int J Cardiol. 2015; 175(1):171-5. doi: 10.1016/j.ijcard.2014.04.025
  4. Gao J, Dou J, Yang H, et al. Clinical Value of the Diagonal Earlobe Crease in Patients with Chest Pain for Diagnosing Coronary Heart Disease. Int J Gen Med. 2024; 17:1557–1569. doi: 10.2147/IJGM.S454888
  5. Davis TM, Balme M, Jackson D, et al. The diagonal ear lobe crease (Frank’s sign) is not associated with coronary artery disease or retinopathy in type 2 diabetes: The Fremantle Diabetes Study. Aust N Z J Med. 2000; 30(5):573–577. doi:10.1111/j.1445-5994.2000.tb00858.x
  6. Elawad OA, Albashir AAD. Frank’s sign: dermatological marker for coronary artery disease. Oxford Med Case Rep. 2021; 2021(9):omab089. doi:10.1093/omcr/omab089
  7. Bashirah N, et al. Relationship Between Frank’s Sign and Cardiovascular Disease: An Autopsy-Based Study. Cureus. 2025; 17(9): e91756. doi:10.7759/cureus.91756

Biodata Pengarang

Dr. Wan Mohammad Hafiz bin Wan Razali merupakan Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga Pakar Patologi Forensik di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam.
Aktif dalam penyelidikan berkaitan patologi forensik dan masalah kardiovaskular.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: cuping telingaFakulti Perubatan UiTMkesihatan jantungpatologi forensikWan Mohammad Hafiz bin Wan Razali
ShareTweetShare
Previous Post

Kepentingan Pengeluaran Silaj Tempatan: Rumput Napier (pennisetum purpureum) sebagai Kunci Kelestarian Industri Ternakan

Editor

Editor

Related Posts

Kepentingan Pengeluaran Silaj Tempatan: Rumput Napier (pennisetum purpureum) sebagai Kunci Kelestarian Industri Ternakan
Alam Semulajadi

Kepentingan Pengeluaran Silaj Tempatan: Rumput Napier (pennisetum purpureum) sebagai Kunci Kelestarian Industri Ternakan

2 days ago
Program Pendidikan Khas Integrasi dan Pemuliharaan Alam Sekitar: Menutup Jurang Inklusiviti dalam Kelestarian
Berita & Peristiwa

Program Pendidikan Khas Integrasi dan Pemuliharaan Alam Sekitar: Menutup Jurang Inklusiviti dalam Kelestarian

2 days ago
Bolehkah Gempa Bumi diramal?
Alam Semulajadi

Bolehkah Gempa Bumi diramal?

2 days ago
VIDEO: Sejarah Ringkas Komputer Kuantum
Berita & Peristiwa

VIDEO: Sejarah Ringkas Komputer Kuantum

1 week ago

Kategori Produk

  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
  • Careers
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Events
    • Featured
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
  • Careers

Copyright @2025 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In