Penulis: Dr. Muhammad Zikri bin Ab Aziz
Pensyarah Perubatan
Jabatan Perubatan Masyarakat. Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia (USM)
Apabila membincangkan isu kesihatan, satu fakta yang sering disebut tetapi jarang dibincangkan secara mendalam ialah perbezaan jangka hayat antara lelaki dan wanita. Di Malaysia, lelaki secara konsisten didapati mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding wanita. Fenomena ini bukan sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan gabungan faktor biologi, gaya hidup, persekitaran sosial dan tingkah laku kesihatan yang berbeza antara jantina.
Dari sudut biologi, perbezaan hormon, genetik dan sistem imun memberikan kelebihan kelangsungan hidup kepada wanita. Namun, faktor biologi ini sering diperkuat oleh corak kehidupan dan persekitaran yang dilalui oleh lelaki sejak usia muda hingga dewasa. Justeru, kesihatan lelaki semakin mendapat perhatian dalam bidang kesihatan awam kerana implikasinya bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada keluarga, produktiviti tenaga kerja dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Perbezaan Jangka Hayat: Apa yang Berlaku kepada Lelaki?
Data demografi Malaysia menunjukkan bahawa lelaki hidup beberapa tahun lebih singkat berbanding wanita. Fenomena ini bukan unik kepada Malaysia, malah turut diperhatikan di kebanyakan negara di dunia. Walau bagaimanapun, faktor penyumbang kepada perbezaan ini berbeza mengikut konteks sosial, ekonomi, dan budaya sesebuah negara.
Dalam kalangan lelaki, kematian pramatang banyak disumbangkan oleh penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, strok dan komplikasi diabetes. Penyakit ini lazimnya berkembang secara senyap dan hanya dikesan apabila sudah berada pada tahap serius. Selain itu, lelaki juga lebih terdedah kepada kematian akibat kemalangan, kecederaan pekerjaan dan tingkah laku berisiko. Gabungan risiko kesihatan fizikal dan sosial ini akhirnya menyumbang kepada jurang jangka hayat antara lelaki dan wanita.
Apa yang Didedahkan oleh NHMS 2023?
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 memberi gambaran terkini tentang tahap kesihatan rakyat Malaysia, termasuk lelaki. Dapatan tinjauan menunjukkan bahawa lelaki secara amnya mempunyai profil risiko kesihatan yang lebih tinggi berbanding wanita.
Antara dapatan penting ialah penyebab yang lebih tinggi bagi faktor risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan lelaki, termasuk tabiat merokok, penggunaan rokok elektronik, pengambilan alkohol, berat badan berlebihan, serta corak pemakanan yang kurang sihat. Lelaki juga didapati lebih cenderung mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes yang tidak disedari, mencerminkan kadar saringan kesihatan yang rendah dalam kalangan mereka.
Keadaan ini membimbangkan kerana penyakit tidak berjangkit merupakan penyumbang utama kepada beban penyakit dan kematian pramatang di Malaysia. Tanpa pengesanan awal dan perubahan gaya hidup, risiko komplikasi jangka panjang menjadi lebih tinggi.

Kesihatan Mental Lelaki: Isu Senyap yang Berbahaya
Kesihatan mental lelaki sering menjadi isu yang tersembunyi. Walaupun gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan dilaporkan lebih tinggi dalam kalangan wanita, lelaki menunjukkan corak yang berbeza. Lelaki lebih cenderung menyembunyikan simptom tekanan emosi dan jarang mendapatkan bantuan profesional.
Dalam konteks yang lebih membimbangkan, kadar kematian akibat bunuh diri dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita. Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun lelaki mungkin kurang melaporkan masalah emosi, kesan yang dialami boleh menjadi lebih serius. Stigma terhadap kesihatan mental, norma maskuliniti dan tanggapan bahawa lelaki perlu sentiasa “kuat” sering menjadi penghalang utama untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Mati Pucuk (Erectile Disfunction): Isu Kesihatan Lelaki yang Sering Disalahfaham
Mati pucuk (erectile dysfunction (ED)) sering dianggap sebagai isu peribadi atau semata-mata berkait dengan penuaan. Namun, dapatan daripada NHMS 2019 menunjukkan bahawa ED adalah isu kesihatan awam yang signifikan di Malaysia.
Tinjauan NHMS 2019 mendapati bahawa sekitar satu pertiga lelaki dewasa mengalami ED pada tahap sederhana hingga teruk. Risiko ED meningkat dengan pertambahan usia, tetapi turut berkait rapat dengan penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti, gaya hidup tidak aktif dan tabiat merokok.
Lebih penting lagi, ED bukan sekadar masalah seksual. Ia sering menjadi petunjuk awal kepada penyakit kardiovaskular kerana berkongsi faktor risiko dan mekanisme penyakit yang sama. Oleh itu, ED boleh dianggap sebagai satu “isyarat awal” kepada masalah kesihatan yang lebih serius jika tidak ditangani.
Faktor yang Mempengaruhi Kesihatan dan Kesejahteraan Lelaki
Kesihatan lelaki dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkait, bukan sekadar pilihan individu.
i- Faktor Sosioekonomi dan Pendidikan
Lelaki dengan tahap pendidikan dan pendapatan yang lebih rendah cenderung mempunyai status kesihatan yang lebih buruk. Akses kepada maklumat kesihatan, peluang pekerjaan yang selamat dan gaya hidup sihat sering bergantung kepada kedudukan sosioekonomi.
ii- Norma Maskuliniti
Norma sosial yang mengaitkan kelelakian dengan ketahanan fizikal dan emosi menyebabkan ramai lelaki mengabaikan simptom awal penyakit dan menangguhkan rawatan. Sikap “tahan sahaja” ini akhirnya memudaratkan kesihatan jangka panjang.
iii- Pekerjaan dan Tekanan Hidup
Ramai lelaki bekerja dalam sektor berisiko tinggi seperti pembinaan, perkilangan dan perladangan. Tekanan kerja, waktu kerja yang panjang dan pendedahan kepada bahaya fizikal meningkatkan risiko kecederaan dan penyakit kronik.
iv- Gaya Hidup
Tabiat merokok, kurang bersenam, tidur tidak mencukupi dan pemakanan tidak seimbang memberi kesan langsung kepada kesihatan lelaki. Corak gaya hidup ini sering bermula sejak usia muda dan berterusan hingga dewasa.
Ke Arah Pemahaman Kesihatan Lelaki yang Lebih Menyeluruh
Kesihatan lelaki tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks sosial dan budaya. Usaha meningkatkan kesihatan lelaki memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan, pendidikan kesihatan dan perubahan norma sosial.
Dengan meningkatkan kesedaran tentang risiko kesihatan lelaki, menggalakkan pemeriksaan kesihatan awal dan mengurangkan stigma terhadap isu seperti kesihatan mental dan disfungsi erektil, jurang jangka hayat antara lelaki dan wanita berpotensi untuk dirapatkan. Kesihatan lelaki bukan hanya isu individu lelaki, tetapi cerminan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Rujukan:
- Institute for Public Health (IKU). (2023). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-Communicable Diseases and Healthcare Demand. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Institute for Public Health (IKU). (2019). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). (2025). Clinical Practice Guidelines: Management of Erectile Dysfunction. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia.
- World Health Organization (WHO). (2018). Men’s Health and Well-being in the WHO European Region. Copenhagen: WHO Regional Office for Europe.




