Oleh: Hamdan Hj. Abu
Pao palembangensis ialah spesies ikan buntal air tawar yang sama rupa seperti ikan buntal air masin. Di negara-negara Asia Tenggara, ikan buntal ini merupakan spesies terawal yang ditemui di Malaysia, Indonesia, Laos dan Thailand. Palembangensis yang hidup dalam air tawar tergolong dalam genus Pao yang kitaran hidupnya selama sepuluh hingga 15 tahun.
Ada sumber yang menyebut, nama khusus itu adalah gabungan perkataan Palembang iaitu ibu kota wilayah Sumatera Selatan, Indonesia dan ensis dari bahasa Latin bermaksud “berasal dari”, yang merujuk lokasi ikan buntal itu ditemui. Nama sebelum nama asalnya ialah Tetraodon palembangensis yang telah diubah sebagai Pao palembangensis pada 2013 bagi membezakan spesies air tawar dan air masin.
Ikan buntal yang hidup dalam air masin dikenali dengan nama Tetraodon nigroviridis atau nama lainnya ialah ikan buntal gigi kupang. Ia merupakan sejenis ikan dalam keluarga Tetraodontidae yang berekor bulat.
Sekurang-kurangnya terdapat lebih daripada 25 jenis atau spesies ikan buntal air tawar. Ikan buntal air tawar hidup di sungai yang airnya beralkali bersuhu antara 24-28 Celsius dengan aliran arus yang perlahan. Pao palembangensis boleh membesar sehingga 19.4 sentimeter dengan kedua-dua jantina mempunyai saiz badan yang serupa kecuali yang jantan mempunyai bonggol belakang yang lebih besar.
Spesies palembangensis ini juga dikenali dengan nama-nama tempatan yang lain seperti Puffer Bungkuk, Puffer Palembang, Puffer Naga dan Puffer Naga Bermata Merah. Di seluruh dunia terdapat lebih daripada 120 spesies ikan buntal dari famili Tetraodontidae yang sebahagian besarnya hidup di perairan air masin, sungai, air payau dan air tawar.
Ikan Buntal Terbesar
Ikan buntal yang ditemui di Sungai Zaire atau Sungai Congo di Afrika adalah spesies air tawar. Ia disifatkan sebagai ikan buntal air tawar yang terbesar di dunia berukuran kira-kira 66 sentimeter. Sungai Zaire adalah sungai yang paling dalam di dunia dengan kedalamannya melebih 230 meter. Manakala ikan buntal yang ditemui di India merupakan yang terkecil sebesar 2.54 sentimeter sahaja.
Dalam berbagai spesies ikan buntal tersebut, sifatnya juga berbeza-beza. Disebabkan habitatnya lebih aktif pada waktu malam, ia menjadi agresif dan menyerang hidupan akuatik yang sedang tidur. Terdapat juga spesies yang pandai membuat sarang atau tempat tinggal di dasar sungai yang berpasir. Spesies tersebut antaranya White-spotted puffer dan Masked puffer membuat sarang berbentuk bulatan seluas kira-kira tiga meter keliling. Sarang itu bertujuan menarik perhatian ikan buntal betina untuk bertelur di sarang itu.
Penyelidik Pelawat, Unit Penyelidikan Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar (ENCORe) Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Mohd Ilham Norhakim bin Lokman yang melakukan penyelidikan hidupan air bersama kumpulannya berkata, Pao palembangensis ialah ikan buntal asli yang hidup di Malaysia.
“Cara mudah untuk menangkap ikan buntal ialah dengan meletakkan bubu berumpan pada waktu malam,” kata Mohd Ilham.
Beliau yang aktif menjalankan penyelidikan hidupan akuatik sejak beberapa tahun lalu menambah, ikan buntal tersebut dapat ditemui dalam persekitaran air tawar atau air payau (air berakali) terutama di persekitaran Sungai Pahang.
Selain itu, Pao palembangensis boleh juga ditemui di Perak di samping Green Pufferfish atau ikan buntal gigi hijau yang boleh ditemui di beberapa tempat di Selangor.
Megandungi Toksin
Terdapat spesies ikan buntal yang mengandungi toksin neurotoksin tetrodotoxin (TTx) di badannya. Ikan buntal boleh mengembangkan badannya sehingga tiga kali ganda saiznya yang sebenar. Bila terancam oleh pemangsa, ia mengembangkan badannya untuk mempertahankan diri.
Tetrodotoxin ialah racun yang sangat kuat yang ditemui terutamanya dalam hati, kelenjar kelamin, kulit dan usus sesetengah ikan buntal. Juga terdapat pada ikan buntal globefish dan toadfish serta beberapa spesies amfibia, sotong dan kerang-kerangan.
Racun Tetrodotoxin boleh mengganggu saraf dan otot serta menyekat saluran natrium. Ia mengakibatkan kelemahan dan kelumpuhan otot yang cepat, termasuk menyebabkan saluran pernafasan tersekat dan boleh menyebabkan kematian. Sebab itu, dilarang memakan ikan buntal melainkan jika mengetahui cara membuang racunnya. Bagaimanapun, pakar mengingatkan bahawa Tetrodotoxin ialah toksin yang boleh menyebabkan maut yang sangat tahan haba. Toksin itu tidak terhapus dengan suhu didih ketika memasaknya atau diletakkan dalam peti sejuk beku.
Jika termakan walau satu hingga dua miligram racun Tetrodotoksin, sudah boleh mengakibatkan maut. Oleh itu, peminat ikan buntal perlu lebih berhati-hati jika memakan ikan itu dan mengenyah toksinnya terlebih dahulu dengan cara yang betul. Daripada kebanyakan jenis ikan buntal, spesies Takifugu memiliki racun yang lebih berbahaya.
Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 58 kes keracunan ikan buntal membabitkan 18 kematian dilaporkan sejak 1985 hingga Mac 2023 lalu. Disebabkan ikan buntal mempunyai toksin yang sangat bahaya, larangan menjualnya sudah ditetapkan dengan jelas di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 dan Seksyen 13 Akta Makanan 1983.
Memelihara Ikan Buntal
Ikan buntal air tawar ini biasanya dipanggil Puffer bungkuk atau puffer naga. Dalam sektor komersial, Pao palembangensis dibiakkan sebagai ikan hiasan yang dipelihara di dalam akuarium kerana warna dan corak kulitnya yang cantik. Ikan perut bulat berbintik dan berwarna kecoklatan itu mempunyai kepala yang memanjang. Secara umumnya adalah lebih baik hanya memelihara seekor ikan buntal sahaja seperti spesies puffer dalam sebuah akuarium kerana sifatnya yang agresif melainkan jika akuarium itu sangat luas. Memelihara beberapa ekor ikan buntal dalam satu tempat menyebabkan ikan tersebut menjadi agresif dan menyerang satu sama lain.
Jika lebih seekor ikan buntal dipelihara dalam sebuah akuarium yang besar, elok diletakkan objek-objek seperti kayu berlubang, batu atau cangkerang di dalam akuarium. Tumbuhan akuatik seperti Limnophila sessiliflora dan pasir halus setebal kira-kira lima sentimeter juga boleh diletakkan di dalam akuarium. Objek-objek tersebut akan berfungsi sebagai tempat ikan-ikan tersebut berlindung atau mengasingkan diri daripada serangan.
Selain memastikan parameter air yang bersesuaian seperti pH antara 6.5 hingga 7.5 dan suhu antara 24 hingga 28 Celsius, keluasan akuarium juga penting bagi keselesaan ikan buntal yang dipelihara. Untuk seekor ikan buntal, saiz akuarium hendaklah sekurang-kurangnya berkapasiti 112 liter atau 80 sm panjang, 35 sm lebar dan 40 sm tinggi.
Pakar mencadangkan keluasan minimum akuarium atau tangki untuk memelihara ikan buntal seperti berikut:
- 112 liter untuk seekor, 200 liter untuk sepasang, 250 liter untuk tiga ekor, 300 liter untuk empat ekor, 350 liter untuk lima ekor, 400 liter untuk enam ekor
Diet Ikan Buntal
Ikan buntal ialah haiwan pemakan daging atau karnivor. Sebagai haiwan yang memakan daging, ikan buntal mempunyai banyak gigi yang tajam. Kegemarannya ialah memakan hidupan bercangkerang atau krustasea kecil seperti siput, kerang atau ketam kecil. Malah, ikan buntal memakan spesiesnya sendiri dan hidupan akuatik lain.
Penternak ikan buntal mengamalkan kaedah memberi makan pada nisbah 40 peratus ikan dan 60 peratus serangga atau cacing. Kekerapan memberi makan sebanyak tiga kali seminggu untuk ikan buntal yang dipelihara sudah memadai.
Disebabkan ikan buntal dijadikan ikan peliharaan atau hiasan, harganya berbeza di pasaran bergantung pada jenis dan permintaan. Seekor ikan buntal Fahaka boleh dijual kira-kira RM30.00 hingga ratusan ringgit seekor. Selain dijual di kedai ikan peliharaan, ikan buntal juga diniagakan secara dalam talian. Ikan buntal yang dijual di pasar untuk dimakan pula antara RM15 hingga RM18 sekilogram. Sekiranya ikan itu dibersihkan oleh penjual, harganya juga meningkat.
Semakan dalam talian, harga ikan buntal hiasan di Indonesia serendah Rp20,000 dan sehingga Rp1,000.000 atau lebih bersamaan kira-kira RM5.00 sehingga RM300.00 seekor.
Nota: Kredit: Gambar-gambar ikan buntal dengan izin eNBE, Jawa Barat Indonesia. Keizinan diperoleh menerusi emel






