Penulis: Nur Nabilah Zulkifly dan Dr. Nor Atika Md Ashar
Fakulti Pergigian
Universiti Kebangsaan Malaysia
Apabila perkataan forensik disebut, kebanyakan orang akan membayangkan adegan drama jenayah, detektif yang sibuk mencari petunjuk, kesan cap jari, atau mesin makmal yang menganalisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Adegan-adegan ini hanya menggambarkan sebahagian daripada tugas sebenar pakar forensik. Di sebalik adegan kejar-mengejar suspek yang penuh debaran, terdapat satu aspek yang kurang diberikan tekanan dalam lensa kamera, tetapi amat penting, iaitu proses pengecaman mayat. Pengecaman identiti bukan sekadar tugas teknikal, bukan sekadar formaliti, sebaliknya ia merupakan usaha kemanusian dan kunci untuk merungkai misteri sesuatu kes jenayah atau bencana, memberi keadilan kepada mangsa, serta menenangkan keluarga yang menanti jawapan.
Pada dasarnya, pengecaman identiti mangsa ialah cabang sains yang cuba untuk menjawab satu persoalan penting – siapakah insan di sebalik bukti yang ditemukan?
Tanpa pengesahan identiti yang tepat, penyiasatan boleh terhenti, keadilan sukar ditegakkan, dan keluarga mangsa terus terperangkap dalam ketidakpastian.
Setiap manusia adalah unik. Dari corak cap jari hingga lilitan halus heliks DNA, tiada istilah dua orang manusia yang benar-benar serupa. Dalam bidang pergigian, keunikan ini dimanfaatkan oleh pakar odontologi forensik untuk membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain. Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) telah mengenal pasti tiga kaedah utama dalam pengecaman identiti – cap jari, asid deoksiribonukleik (DNA), dan rekod pergigian. Walaupun cap jari dan DNA lebih dikenali ramai bagi tujuan pengecaman identiti, bukti odontologi tidak kurang pentingnya di mahkamah dan rumah mayat.
Rekod pergigian mengandungi pelbagai maklumat penting. Bentuk gigi, jenis tampalan, alatan seperti gigi palsu dan pendakap gigi, bahkan kesan haus pada permukaan gigi juga berpotensi untuk mendedahkan identiti seseorang. Rekod pergigian antemortem (rekod yang didapati semasa hayat seseorang melalui temu janji mereka dengan doktor gigi) boleh membantu pengesahan identiti, umur, serta jantina individu semasa bedah siasat dengan melihat kepada maklumat pergigian mereka.
Walaupun bidang odontologi forensik tertumpu pada gigi, pemeriksaan yang dilakukan sebenarnya turut melibatkan struktur lain pada kawasan muka. Ini dapat diteroka melalui imej radiograf yang diambil sebagai sebahagian proses penyiasatan klinik bagi doktor gigi merumuskan diagnosis yang tepat. Meskipun kawasan muka mengandungi pelbagai petunjuk yang berpotensi menyokong proses pengecaman identiti, penggunaannya masih belum dimaksimumkan dalam amalan forensik. Antara struktur yang sering terlepas pandang, tetapi sebenarnya menyimpan nilai pengecaman yang tinggi, ialah sinus maksilari.
Dalam masyarakat kita, sinus lebih dikenali dalam konteks gejala yang mendatangkan ketidakselesaan, sakit pipi ketika demam selesema, hidung tersumbat, atau rasa berdenyut ketika resdung (sinusitis). Sinus maksilari ialah sepasang rongga berbentuk piramid yang terletak dalam tulang pipi, di sisi hidung dan di atas rahang atas. Dalam kes tertentu, akar gigi geraham atas (upper molars) berhubung rapat dengan rongga sinus maksilari dan boleh memasuki sehingga ke dalam rongga sinus. Walaupun sinus sering dikaitkan dengan ketidakselesaan akibat radang, ruang berisi udara ini sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai ‘kunci’ dalam sains forensik. Dengan ciri anatominya yang unik bagi setiap individu serta ketahanannya selepas kematian, sinus maksilari membuka peluang luas untuk dimanfaatkan dalam proses pengecaman identiti.
Sinus maksilari mula terbentuk sebelum kelahiran, sekitar minggu ke-17 umur janin terbentuk. Sinus ini telah ditemukan pada radiograf (X-ray) kanak-kanak seawal umur enam tahun. Sinus maksilari berfungsi mengurangkan tekanan dalam tengkorak, sekali gus menguatkan bunyi semasa pertuturan dan menghangatkan udara yang disedut. Dalam kajian forensik, kepentingan sinus maksilari jauh lebih menarik kerana setiap struktur mempunyai keunikannya yang tersendiri. Saiz, bentuk, ciri-ciri dalaman, bahkan sekecil-kecil variasi anatomi semuanya berbeza mengikut individu, seperti cap jari.
Para penyelidik perubatan dan sains forensik di seluruh dunia sudah mula mengkaji kepentingan struktur sinus maksilari. Kajian di Mesir, India, Iraq, dan Brazil telah membuktikan bahawa tinggi, lebar, panjang, serta isi padu sinus maksilari berbeza bukan sahaja mengikut individu, malah berlainan mengikut jantina dan populasi. Dalam suatu kajian di India pada tahun 2016, ukuran yang diambil telah membolehkan para penyelidik membuat pengesahan jantina dengan ketepatan melebihi lapan puluh peratus. Kajian lain dalam populasi yang sama pula berjaya mencapai kadar ketepatan seratus peratus dalam mengenal pasti jantina perempuan.
Selain penentuan jantina, sinus juga berpotensi untuk menganggarkan usia. Apabila manusia membesar, sesetengah struktur dalam badan mengalami corak perubahan yang boleh diramal. Penyelidikan di Iran, India, dan Poland telah menemukan perubahan ketara yang boleh diukur pada struktur sinus yang berkaitan dengan umur. Penemuan seperti ini sangat bernilai dalam kes tertentu, contohnya apabila penunjuk lain seperti gigi atau tulang sudah tiada atau rosak. Walau bagaimanapun, kajian terhadap sinus masih sedikit di rantau Asia, termasuk Malaysia.
Walaupun sinus digambarkan berbentuk piramid dalam buku teks, terdapat kepelbagaian dari segi bentuknya. Antara bentuk yang telah dikenal pasti melalui kajian termasuklah bentuk segi empat, segi tiga, dan bentuk sayap. Ciri-ciri dalaman seperti septum mungkin tampil separa atau penuh, dengan perbezaan dari segi kedudukan dan bilangan yang berlainan mengikut individu. Lapisan mukosa sinus juga memiliki corak ala kerang (scalloped pattern) dengan saiz, lokasi, dan susunan yang unik. Perincian halus ini yang terlihat pada imej radiograf boleh dibandingkan sebagaimana pakar forensik membandingkan carta gigi.
Selain keunikan struktur yang tersendiri, sinus maksilari juga terletak berhampiran dengan struktur penting yang lain seperti lelangit, salur darah, dan saraf. Meskipun hal ini sering dikaji dari sudut kepentingannya dalam pembedahan, kedudukan sinus maksilari juga mempunyai nilai tersendiri sebagai penanda anatomi dalam pengecaman identiti.
Terdahulu, pengecaman berasaskan sinus rata-rata bergantung pada imej radiograf dua dimensi yang hanya merakamkan dimensi asas dengan perincian yang terhad. Landskap pengecaman forensik telah mengalami perubahan apabila tomografi berkomputer pancaran kon (cone beam computed tomography, CBCT) diperkenalkan kepada dunia pergigian pada tahun 1997. CBCT mampu menjana imej tiga dimensi beresolusi tinggi bahagian rahang dan struktur yang berhampiran, pada dos radiasi yang lebih rendah berbanding dengan imbasan CT, di samping kosnya yang lebih rendah. Teknologi ini membolehkan pakar forensik mendapatkan ukuran linear yang lebih tepat, data volumetrik, serta perincian anatomi yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Malaysia mempunyai sejarah pengecaman berasaskan sinus yang tersendiri. Selepas tragedi kondominium Highland Towers pada tahun 1993 akibat tanah runtuh, identiti beberapa orang mangsa telah berjaya dikenal pasti dengan bantuan analisis sinus menggunakan imej radiograf dua dimensi. Analisis tersebut dilakukan lebih daripada tiga puluh tahun sebelum kewujudan teknik pengimejan moden. Dengan alat yang lebih canggih, potensi pengecaman telah mengalami penambahbaikan yang ketara.
Walau bagaimanapun, meskipun potensinya tidak dapat dinafikan, penggunaan sinus dalam pengecaman forensik masih kurang memberangsangkan. Dunia sentiasa berdepan bencana besar, perpindahan merentas sempadan, dan penyiasatan orang yang hilang. Oleh hal yang demikian, lebih banyak penanda forensik diperlukan. Sinus maksilari berpotensi untuk menjadi pengecam forensik yang bernilai.
Bagi meneroka potensi ini, penyelidikan yang lebih meluas diperlukan, terutamanya di Malaysia dan negara-negara jiran. Kajian kepelbagaian anatomi merentas populasi, penambahbaikan teknik, serta pembangunan pangkalan data sebagai rujukan berpotensi untuk menjadikan rongga ini sebagai ‘alat’ pengecaman forensik yang bernilai. Dengan pelaburan dalam penyelidikan dan teknologi, sinus maksilari mampu menjawab persoalan keluarga mangsa, memperjuangkan keadilan di mahkamah, serta menjadi suara untuk yang tidak lagi bernyawa.
Di sebalik tulang maksilari, ada penanda senyap iaitu sinus maksilari yang mampu menyingkap identiti individu dalam kes forensik. Dan setiap kali wujudnya rasa tekanan atau sakit di bahagian wajah, tersirat di dalamnya sebuah struktur anatomi unik yang suatu hari nanti mungkin menjadi kunci dalam merungkai misteri identiti manusia.
Foto-wiki