SHARE
Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin

Baru-baru ini, Azizulhasni Awang telah mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai jaguh dunia pada acara kierin setelah tidak berputus asa mencuba selama 10 tahun.

Pada masa akan datang, dijangka basikal bakal berkomunikasi sesama mereka. Teknologi komunikasi ini dikenali sebagai Objek Rangkaian Internet (ORI), ataupun Internet of Things (IoT). Basikal dipilih kerana penulis terlibat dalam pembangunan prototaip komunikasi penderia (sensor) bagi pemantauan prestasi pelumba basikal, di bawah kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Institut Sukan Negara.

Untuk membenarkan basikal berkomunikasi, ketidaksempurnaan wujud pada saluran komunikasi tanpa wayar perlu difahami. Antaranya ialah kesan halaju basikal dan kualiti penerimaan isyarat di dalam dua lokasi velodrome berbeza; atas padang (terbuka) dan di dalam bangunan (tertutup).

Di dalam komunikasi tanpa wayar, pemancaran kuasa berkadar songsang dengan jarak. Maka, semakin jauh penderia dengan penerima, semakin tinggi kehilangan kuasa disebabkan kelemahan perambatan gelombang. Untuk velodrome tertutup, prestasi bertambah teruk dengan kehadiran pelbagai objek. Sebagai contoh, dinding akan memantulkan gelombang, lantas melemahkan perambatan isyarat. Selain daripada pantulan, kesan serakan (scattering) dan pelbagai laluan (multipath) turut memburukkan prestasi pemancaran.

Penulis bersama pelajar PhD ketika ujian lapangan di velodrome Cheras. Prototaip rangkaian penderia dapat dilihat pada pedal dan kerangka belakang basikal.

Prestasi pemancaran penderia didapati tidak terjejas pada halaju 60 km/jam, iaitu halaju purata Pocket Rocketman dalam disiplin keirin.

Pengetahuan ini membantu penyelidik untuk meneruskan pembangunan prototaip bagi membenarkan komunikasi di antara penderia basikal pada kelajuan tinggi dalam keadaan wujudnya ketidaksempurnaan pada saluran tanpa wayar.

Rujukan
[1] Sadik Kamel Gharghan, Rosdiadee Nordin, Mahamod Ismail, Jamal Abd. Ali, “Accurate Wireless Sensor Localization Technique based on Hybrid PSO-ANN Algorithm for Indoor and Outdoor Track Cycling”, IEEE Sensors Journal, 16(2): 529-541 http://ieeexplore.ieee.org/xpl/articleDetails.jsp?arnumber=7283547

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge