Wednesday, October 28, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Kontroversi Navier–Stokes: Adakah Kerakusan Syarikat AI Membunuh Ekosistem Matematik?

Kontroversi Navier–Stokes: Adakah Kerakusan Syarikat AI Membunuh Ekosistem Matematik?

Editor by Editor
28/10/2026
in Berita & Peristiwa, Bicara Saintis, Matematik
0 0
0

Oleh: Lukhman Abdul Taib, PhD
Penyelidik Matematik Bebas

Pada pagi 8 September 2026, gergasi kecerdasan buatan (AI) OpenAI mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan masalah Navier–Stokes—salah satu masalah matematik yang paling sukar dan teragung dalam era moden. Namun, tidak seperti kejayaan saintifik yang diraikan dengan sorakan kejayaan, pengumuman ini disambut dengan dingin, penuh sangsi, dan kemarahan oleh komuniti matematik antarabangsa.

Hal ini disebabkan, hanya 12 jam sebelum kenyataan OpenAI dikeluarkan, Dr. Trsitan Buckmaster—profesor matematik di Courant Institute, NYU—telah memuat naik satu kenyataan yang menggoncang dunia akademia. Kenyataan beliau mendedahkan suatu kontroversi keutamaan (priority dispute) yang memperlihatkan isu pelanggaran etika dan pencerobohan data oleh syarikat teknologi berskala besar. Peristiwa ini bukan sahaja mencetuskan perselisihan ilmiah, malah membuka krisis kewujudan berkenaan masa depan disiplin matematik itu sendiri.

Apakah Masalah Navier–Stokes dan Mengapa Ia Sangat Penting?

Persamaan Navier–Stokes merupakan sekumpulan persamaan pembezaan separa yang menjelaskan bagaimana bendalir—cecair dan gas—bergerak dalam alam fizikal. Berasaskan hukum gerakan kedua Newton, persamaan ini memodelkan bendalir sebagai suatu medium yang selanjar (continuous medium) tanpa perlu mengira pergerakan setiap molekul secara berasingan. Persamaan ini menjadi tiang utama kepada bidang fizik, meteorologi, dan kejuruteraan. Daripada reka bentuk aerodinamik pesawat, aliran darah dalam pembuluh manusia, sehinggalah kepada ramalan cuaca, persamaan Navier–Stokes menjadi kunci utama.

Rajah 1: Persamaan Navier–Stokes.

Meskipun saintis menggunakan kaedah berangka (numerical methods) dan simulasi komputer untuk memodelkan pergerakan bendalir, ahli matematik belum berjaya menemui penyelesaian analitik yang tepat bagi persamaan ini. Persoalan asas yang belum terjawab selama puluhan tahun ialah: “Adakah wujud rumus matematik yang menjamin penyelesaian bagi persamaan ini sentiasa stabil dan teratur?” Persoalan inilah yang melahirkan masalah kewujudan dan kelicinan Navier–Stokes (Navier–Stokes existence and smoothness problem), yang disenaraikan oleh Clay Mathematics Institute sebagai salah satu daripada Tujuh Masalah Hadiah Milenium. Orang yang berjaya menyelesaikan mana-mana Masalah Hadiah Milenium ini akan dianugerahkan hadiah wang berjumlah USD 1 juta.

Secara ringkasnya, masalah ini menanyakan: adakah aliran bendalir yang bermula secara licin akan kekal licin selama-lamanya, atau mungkinkah ia membentuk kesingularan (singularity)—suatu keadaan luar biasa di mana halaju menjadi tak terhingga atau berlakunya “letupan” (blowup) pada bendalir dalam tempoh masa yang terhingga? Dalam dunia sebenar, halaju cecair atau udara tidak mungkin menjadi tidak terhingga. Oleh sebab itu, ahli matematik ingin mengetahui sama ada persamaan Navier–Stokes sentiasa menghasilkan penyelesaian yang teratur atau kesingularan boleh berlaku.

Ramai ahli matematik memilih jalan untuk membuktikan kewujudan letupan masa terhingga dalam menyelesaikan masalah Navier–Stokes. Usaha ini mengalami kemajuan pesat pada tahun 2023 apabila Dr. Diego Córdoba (ICMAT) dan Dr. Luis Martínez-Zoroa (CUNEF University) memperkenalkan pendekatan baharu menerusi pembinaan model geometrik yang mendalam. Pendekatan inilah yang kemudiannya membuka jalan baharu kepada penyelidik lain untuk menerokai masalah Hadiah Milenium ini.

Kronologi Pertikaian Keutamaan dan Keretakan Etika

Bermula September 2025, Dr. Tristan Buckmaster (Courant Institute, NYU) telah menjalinkan kerjasama peribadi dengan Dr. Levent Alpöge (syarikat AI Anthropic). Mereka ingin membuktikan kewujudan letupan dalam beberapa persamaan bendalir yang berkaitan, termasuklah persamaan Euler 3-matra bagi bendalir tak termampat dengan kehadiran daya luar yang licin. Mereka menjangkakan, menggunakan pendekatan Dr. Córdoba dan Dr. Martínez-Zoroa dalam kajian mereka dapat memberikan kemajuan yang signifikan dalam menyelesaikan masalah Navier–Stokes.

Dengan memanfaatkan model bahasa besar (LLM) seperti Claude dan OpenAI Codex, Dr. Buckmaster dan Dr. Alpöge berjaya memperoleh pembuktian bagi kewujudan letupan pada 15 Ogos 2026. Pembuktian tersebut ditentusahkan secara formal menggunakan bahasa semakan pembukti teorem interaktif, Lean, pada 22 Ogos. Atas dasar ketelitian ilmiah, Dr. Buckmaster dan Dr. Alpöge mengambil keputusan untuk tidak tergesa-gesa mengumumkan hasil kajian mereka. Mereka berhasrat untuk menyusun dan menulis hasil kajian itu dalam bentuk naskhah manuskrip yang kemas, konseptual, dan mudah difahami oleh komuniti manusia.

Namun begitu, dinamik penyelidikan ini berubah secara mendadak menjelang penghujung Ogos. Khabar angin mula bertiup kencang dalam kalangan komuniti teknologi dan akademia bahawa salah satu Masalah Hadiah Milenium berjaya diselesaikan. Berdasarkan khabar angin tersebut dan juga maklumat dalaman, pada 1 September, OpenAI menggerakkan 10,000 ejen AI untuk memproses pengiraan secara berskala besar. Selama 88 jam tanpa henti, dengan penggunaan lebih kurang 300 bilion token output serta kos tenaga elektrik yang mencecah jutaan dolar, sistem AI mereka diarahkan untuk memetakan pembuktian kewujudan letupan bagi persamaan Navier–Stokes 3-matra.

Isu menjadi semakin hangat apabila timbul dakwaan bahawa draf penulisan dan data perbualan penyelidikan Dr. Buckmaster dan Dr. Alpöge yang dimasukkan ke dalam platform OpenAI Codex telah diakses atau digunakan untuk melatih model dalaman OpenAI. Apabila Dr. Buckmaster cuba mendapatkan kepastian dan meminta penjelasan, siri pertemuan dan percakapan telefon bersama Dr. Sébastien Bubeck—wakil pihak OpenAI—tidak menemui jalan penyelesaian yang harmoni. Pihak OpenAI didakwa menawarkan kompromi yang menyisihkan peranan asal Dr. Alpöge demi memastikan pengumuman komersial syarikat dapat diteruskan. Pilihan yang berunsur tekanan ini ditolak keras oleh Dr. Buckmaster demi mempertahankan integriti sains dan hak cipta intelektual, yang akhirnya mendorong beliau membuat pendedahan terbuka kepada umum 12 jam sebelum OpenAI menghebahkan pengumuman mereka.

Rajah 2: (Dari kiri) Dr. Tristan Buckmaster, Dr. Levant Alpöge, Dr. Sébastien Bubeck.

Reaksi Komuniti Matematik dan Kebangkitan Penentangan

Pengumuman kejayaan OpenAI pada 8 September bukannya membawa lembaran baharu yang diraikan, sebaliknya mencetuskan gelombang bantahan daripada komuniti matematik antarabangsa. Tindakan syarikat teknologi yang didakwa mengambil data pengguna tanpa kebenaran yang sah, membelakangkan rujukan akademik, dan mengabaikan pengiktirafan rakan usaha sama telah diselar oleh pakar-pakar akademik terkemuka dari pelbagai universiti antarabangsa.

Ahli-ahli matematik menegaskan, etika asas dalam sains bukan sekadar mendapatkan jawapan akhir, tetapi melibatkan ketelusan proses, kebertanggungjawapan hujah, serta pengiktirafan yang saksama terhadap sumbangan intelek manusia. Lebih-lebih lagi, persaingan ini telah mencetuskan kebimbangan bahawa syarikat-syarikat AI gergasi berupaya merampas hasil kajian yang sedang dibangunkan oleh penyelidik universiti semata-mata untuk dijadikan penanda aras pemasaran komersial.

Sebelum kontroversi ini tercetus, sebenarnya telah wujud perbezaan pandangan dalam kalangan komuniti matematik mengenai peranan AI dalam penyelidikan. Terdapat kumpulan yang bersikap pragmatik, dipimpin oleh tokoh seperti Dr. Terence Tao (UCLA), yang melihat AI sebagai alat pembantu yang berkuasa mempercepatkan tugasan pengiraan teknikal. Walau bagaimanapun, Dr. Tao secara tegas menyatakan, sekiranya seseorang ahli matematik tidak dapat menjelaskan atau memahami hujah matematik yang dihasilkan oleh AI, maka hasil kajian tersebut dianggap tidak lengkap dan tidak wajar diterbitkan.

Pada satu spektrum yang lain, terdapat kumpulan yang menentang penglibatan AI secara menyeluruh, seperti yang diperjuangkan oleh Dr. Max Weinreich (CUNY Baruch College). Beliau menyifatkan penggunaan AI secara membuta tuli sebagai tindakan anti-intelektual yang memintas proses pemikiran kritis manusia dan memisahkan pembuktian daripada kefahaman konseptual.

Sebagai tindak balas terhadap perkembangan AI yang tidak terkawal ini, sekumpulan ahli akademik antarabangsa telah merangka dan menandatangani Deklarasi Leiden (Leiden Declaration on Artificial Intelligence and Mathematics) pada 2 Jun. Deklarasi ini menggariskan lima nilai hakiki disiplin matematik yang wajib dilindungi:

  1. memastikan setiap hujah dibina atas landasan logik yang kukuh dan bebas ralat;
  2. mengutamakan kefahaman manusia terhadap struktur matematik, bukannya sekadar output mekanikal;
  3. setiap pembuktian haruslah ditentusahkan secara bebas tanpa bergantung penuh kepada perisian proprietari atau sistem tertutup;
  4. proses semakan setara (peer review) mesti kekal sebagai medan penilaian ilmiah yang berwibawa;
  5. pengiktirafan dan kebertanggungjawapan saintifik mesti kekal di tangan pengarang manusia secara mutlak.

Penentangan terhadap kerakusan OpenAI tiba ke kemuncaknya pada 11 September, apabila seramai 24 orang penerima Fields Medal seperti Dr. Terence Tao, Dr. Peter Scholze, Dr. Cédric Villani, dan Dr. James Maynard, bersama lebih 8000 ahli akademik menandatangani surat terbuka bertajuk A Severe Misalignment of AI in Mathematics. Surat ini mengecam tindakan syarikat AI yang memperalatkan masalah matematik terbuka sebagai alat pengiklanan.

Mereka menegaskan, matlamat utama matematik bukanlah sekadar perlumbaan menghasilkan jawapan akhir, tetapi penemuan konsep, idea, dan kerangka pemikiran baharu yang memperluaskan ufuk pengetahuan manusia. Pengumuman tergesa-gesa tanpa manuskrip yang diperhalusi diyakini boleh memutuskan rantaian pemindahan ilmu antara generasi penyelidik.

Tindakan Pelepasan Pukal dan Pencemaran Akademik

Keraguan komuniti matematik terhadap pendekatan syarikat AI terbukti berasas apabila pada 6 Oktober, OpenAI bertindak menerbitkan 722 naskhah manuskrip pracetak secara serentak di repositori GitHub. Longgokan manuskrip (proof dump) itu didakwa telah menyelesaikan atau membawa kemajuan separa kepada 372 masalah matematik terbuka dalam bidang aljabar, geometri, dan sains komputer teoritikal. Longgokan manuskrip ini dihasilkan menerusi pengujian model dalaman ChatGPT Pro ke atas ribuan masalah, dengan purata masa pemikiran automatik sekitar 3 jam bagi setiap masalah. Di antara manuskrip yang telah menarik perhatian komuniti matematik ialah masalah hipotesis kuasi-Riemann, suatu versi santai bagi hipotesis Riemann.

Rajah 3: Proof dump oleh pihak OpenAI pada 6 Oktober.

Meskipun angka penemuan yang dihebahkan kelihatan memukau, semakan terperinci oleh penyemak bebas mendapati pelbagai kecacatan struktur yang amat serius. Manuskrip yang dijana didapati tidak kemas, berbelit-belit, dan dipenuhi dengan hujah yang sukar difahami atau langsung tidak berciri ilmiah. Beberapa pakar menyifatkan himpunan kertas kerja tersebut sebagai slop. Tidak lama selepas pelepasan tersebut dibuat, OpenAI terpaksa menarik balik beberapa manuskrip serta membuat pembetulan ke atas belasan manuskrip yang lain akibat kesilapan fakta dan logik yang ketara.

Lebih menakutkan, daripada ratusan manuskrip yang dilepaskan, hanya sebahagian kecil yang diformalkan ke dalam bahasa semakan komputer Lean. Walau bagaimanapun, pemformalan Lean juga didapati tidak menjamin keabsahan hujah. Beberapa pemformalan dikesan mengandungi helah kod yang menghasilkan status “terbukti” secara mudah tetapi disokong oleh hujah bahasa tabii yang salah.

Tindakan melepaskan ratusan draf secara serentak ini telah menimbulkan gangguan emosi dan krisis dalam kalangan penyelidik moden. Ramai ahli matematik, terutama dalam kalangan anak muda, berasa usaha kajian mereka selama berbelas-belas tahun seperti dinafikan sekelip mata oleh “dakwaan” tergesa-gesa syarikat AI. Sistem semakan setara akademik pula hampir lumpuh akibat terpaksa menyaring lambakan draf yang tidak berkualiti.

Melangkah ke Era Math 2.0

Pertikaian keutamaan masalah Navier–Stokes dan krisis pelepasan longgokan pembuktian oleh OpenAI menjadi titik peralihan bersejarah buat dunia sains, terutamanya matematik. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh disiplin matematik hari ini bukanlah mengenai sejauh mana mesin berupaya menjana langkah pembuktian, tetapi mengenai keperluan mendesak untuk menstabilkan semula etika, ketelusan, dan kedudukan pemikiran manusia dalam pembentukan ekosistem matematik baharu, yang disebut oleh Dr. Terence Tao sebagai “Math 2.0.”

Seperti yang telah ditekankan dalam Deklarasi Leiden dan surat terbuka para penerima Fields Medal, matlamat komersial syarikat AI yang mengejar penanda aras pantas tidak boleh dibiarkan merosakkan nilai hakiki penyelidikan ilmiah. Ketelusan dalam mendedahkan penggunaan alat automatik, perlindungan hak cipta terhadap draf kajian peribadi, serta penegasan bahawa hak kepengarangan kekal milik manusia merupakan syarat etika mutlak yang tidak boleh diberi kompromi. Tanpa tadbir urus etika yang ketat, pengeluaran pembuktian yang tergesa-gesa berisiko memutuskan rantaian pemindahan ilmu dan merosakkan ekosistem bimbingan generasi penyelidik baharu.

Namun, dalam masa yang sama, disiplin matematik kini sedang melangkah keluar daripada era “kenadiran pembuktian” (proof scarcity) menuju ke era “limpahan pembuktian” (proof abundance) kesan daripada kemasukan AI dalam penyelidikan. Dalam era baharu ini, penyelesaian masalah secara mekanikal semata-mata tidak lagi menjadi puncak pencapaian. Sebaliknya, matlamat teras Math 2.0 adalah untuk mengalih fokus daripada persaingan menghasilkan teorem kepada usaha pencernaan pembuktian (proof digestion), penulisan eksposisi yang jelas, dan penterjemahan visi matematik ke dalam kerangka teori yang bermakna. Cabaran sebenar bukan sekadar keupayaan AI dalam menghasilkan pembuktian atau memberikan penyelesaian, tetapi bagaimana caranya untuk memastikan pembuktian atau penyelesaian itu benar, sah, dan boleh ditentusah.

Ahli-ahli matematik di dunia Barat kini sedang menghadapi kesan kemasukan AI terhadap bidang matematik, bahkan mereka aktif menyumbangkan idea dan cadangan. Namun, apakah persediaan ahli-ahli matematik di Malaysia dalam mendepaninya, dalam keadaan AI sudah pun digunakan untuk membantu tugasan penyelidikan dan pembelajaran seperti sorotan kajian? Penulis berpandangan, institusi-institusi pengajian tinggi, para penyelidik, agensi pendanaan, dan penggubal polisi sewajarnya  mula memberikan perhatian kepada cabaran-cabaran yang mungkin timbul dalam memasuki era Math 2.0, meskipun isu ini belum mendapat perhatian yang meluas di Malaysia.

Para pensyarah dan pelajar pascasiswazah yang tidak menguasai kefahaman matematik dengan baik akan mengalami kesukaran untuk mengenal pasti ralat yang dijana oleh AI. Institusi-institusi pengajian tinggi mungkin akan berdepan dengan cabaran akses yang tidak sekata kepada model AI yang lebih maju, perisian yang khusus, dan infrastruktur penentusahan pembuktian. Dunia akademia pula bakal berdepan dengan isu etika dan integriti di mana, misalnya, cadangan penyelidikan yang telah dihantar akan disalahguna atau dicuri ideanya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan AI. Semua ini merupakan beberapa contoh senario yang bakal dihadapi apabila Malaysia mula terkena tempias era Math 2.0. Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi ini, tetapi perlu membangunkan kepakaran untuk memanfaatkannya secara kreatif dan bertanggungjawab.

Penulis menyimpulkan, ekosistem Math 2.0 yang sejati bukanlah satu persekitaran di mana pemikiran manusia digantikan oleh algoritma. Sebaliknya, ia merupakan kerangka kerja di mana AI dimanfaatkan secara beretika untuk meluaskan ufuk kefahaman manusia. Dengan mengutamakan integriti, ketelusan, dan kedalaman visi intelek manusia, komuniti akademia bukan sahaja dapat mempertahankan autonomi penyelidikan daripada cengkaman korporat, malah memastikan matematik kekal sebagai sebuah disiplin ilmu yang bermakna dan berjiwa.

Penghargaan: Penulis berterima kasih kepada Dr. Ahmad Syahid A. Fawzal dan Dr. Nazri Halif kerana sudi membaca dan memberi maklum balas untuk memperbaiki rencana ini.

Rujukan:

  1. OpenAI. On the Navier–Stokes Millennium Prize Problem. https://openai.com/index/navier-stokes-solution/.
  2. T. Buckmaster. Today, Levent Alpöge and I have made public three results. https://cims.nyu.edu/~tristanb/statement.pdf.
  3. Clay Mathematics Institute. The Millennium Prize Problems. https://www.claymath.org/millennium-problems/.
  4. Wikipedia. Navier–Stokes priority controversy. https://en.wikipedia.org/wiki/Navier%E2%80%93Stokes_priority_controversy.
  5. C. Zhao. OpenAI breakthrough triggers ‘existential crisis’ in math. Science, https://www.science.org/content/article/openai-breakthrough-triggers-existential-crisis-math.
  6. T. Tao. Mathematics in the Age of AI. https://arxiv.org/abs/2608.16753v1.
  7. M. Weinreich. The crisis of AI-generated mathematics. https://arxiv.org/abs/2608.02859v1.
  8. OpenAI. Sharing AI progress in mathematics. https://openai.com/index/sharing-ai-progress-in-mathematics/.
  9. P. Hall and J. Howlett. The most exciting claims from OpenAI’s heap of new proofs. Scientific American, https://www.scientificamerican.com/article/the-most-exciting-claims-from-openais-heap-of-new-proofs/.
  10. T. Howarth. OpenAI just changed math forever. Exactly how, no one yet knows. Science, https://www.science.org/content/article/openai-just-changed-math-forever-exactly-how-no-one-yet-knows.
  11. S. Roberts. ‘Breathtaking,’ ‘Devastating’: Mathematics Reels After New OpenAI Release. The New York Times, https://www.nytimes.com/2026/10/08/science/mathematicians-respond-openai-release.html.
  12. T. Tao. Math 2.0. https://teorth.github.io/tao-web/slides/math-2-0-caltech-2026.pdf.
Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Hadiah Milleniumkaedah berangka (numerical methods)Kecerdasan Buatan (AI)Komuniti Matematik antarabangsaKontroversi Navier–StokesLukhman Abdul TaibOpenAI
Previous Post

Jerebu, Kelapa Sawit dan Masa Depan yang Kita Pilih

Editor

Editor

Related Posts

Jerebu, Kelapa Sawit dan Masa Depan yang Kita Pilih
Alam Semulajadi

Jerebu, Kelapa Sawit dan Masa Depan yang Kita Pilih

2 days ago
Meneroka Rahsia Penuaan Sel: Mengapa dan Bagaimana Sel Kita Menjadi Tua?
Berita & Peristiwa

Meneroka Rahsia Penuaan Sel: Mengapa dan Bagaimana Sel Kita Menjadi Tua?

2 days ago
Pendakap Gigi Estetik: Sejauh Manakah Keberkesanannya?
Berita & Peristiwa

Pendakap Gigi Estetik: Sejauh Manakah Keberkesanannya?

2 days ago
Celastrol: Sebatian Semula Jadi yang Membuka Laluan Baharu dalam Penyelidikan Obesiti
Alam Semulajadi

Celastrol: Sebatian Semula Jadi yang Membuka Laluan Baharu dalam Penyelidikan Obesiti

5 days ago

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In