SHARE
KUALA LUMPUR: Laporan ‘The World In 2050’ oleh firma antarabangasa Pricewaterhouse Coopers (PWC) menggambarkan Malaysia bakal mencapai nilai pendapatan per kapita sebanyak 69,100 Dolar Amerika (USD).
Nilai ini adalah jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini seperti Thailand (USD 44,600), Vietnam (USD 28,200) dan Filipina (USD 22,500).
Hal ini tidak mungkin akan dapat dicapai tanpa perancangan perkembangan ekonomi selari dengan perkembangan semasa demi memenuhi hukum penawaran dan permintaan yang menjadi asas ekonomi sepanjang zaman.
Tiga industri yang dijangka bakal kekal relevan pada era 2050 adalah pembuatan, kesihatan dan makanan.
Apa yang menarik adalah ketiga-tiga industri ini dijangka akan terus beradaptasi untuk berevolusi, dimajukan dengan aplikasi sains dan teknologi secara menyeluruh bermula proses pengeluaran, penggunaan hinggalah amalan kitar semula.
Kenal Pasti Teknologi
Menyedari hal ini, Malaysia melalui inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengambil tanggungjawab untuk memacu perkembangan ekonomi negara melalui industri berasaskan teknologi dan sains.
Langkah proaktif kementerian memperkenal Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) sejak 2015 telah berjaya mengenal pasti beberapa projek yang berpotensi diketengahkan seperti aplikasi ‘Mobile My Ikan’ yang mengintegrasikan maklumat lokasi penangkapan ikan dengan cuaca laut.
Turut dikenal pasti adalah Projek Peningkatan Hasil Padi menggunakan pakej teknologi Agensi Nuklear Malaysia yang telah pun dibawa ke peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
Sekiranya diluluskan EPU, projek-projek ini akan dikembangkan penggunaannya ke seluruh negara untuk dimanfaatkan seluruh rakyat.
Ini antara bukti bahawa MOSTI mengambil serius langkah-langkah untuk mengkomersialkan teknologi tempatan ke tahap yang lebih tinggi demi memperbaiki kehidupan individu, komuniti dan masyarakat melalui penggunaan teknologi.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya 71 produk hasil penyelidikan oleh penyelidik tempatan telah berjaya dikomersialkan melalui geran TechnoFund yang disediakan MOSTI.
Pencapaian itu adalah melebihi jumlah sasaran asal iaitu 60 produk. Tahun 2016 turut dijadikan sebagai ‘Tahun Pengkomersialan Malaysia’, satu insiatif besama MOSTI dan Kementerian Kewangan.
Serius Bangunkan Bioteknologi
Industri berasaskan bioteknologi juga mendapat perhatian serius MOSTI. Menterinya YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau baru-baru ini menegaskan keperluan peruntukan yang lebih besar untuk membangunakan sektor bioteknologi melibatkan perubatan herba tradisional.
Tegas beliau, negara ini mempunyai pakar penyelidik namun masih ketiadaan infrastruktur yang mencukupi bagi menjalankan kajian saintifik untuk sektor ini.
Sehingga hari ini Malaysia mempunyai 286 syarikat berstatus Bionexus dan kesemuanya dijangka bakal memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi negara melihat kepada trend aktiviti pengkomersialan yang semakin rancak.
Syarikat dengan status ini diberikan insentif kewangan, termasuk pengecualian cukai daripada 100 peratus pendapatan berkanun bagi tempoh 10 tahun pertama di mana pendapatan berkanun layak menerima pengurangan bagi perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan.
“Tumpuan akan terus diberikan dalam mengukuhkan perkongsian antara sektor awam dan swasta serta memberi khidmat nasihat termasuk sokongan perniagaan dalam bidang-bidang pembiayaan, pengkomersialan, keusahawanan, kawal selia dan modal insan bagi pembangunan berterusan dalam perniagaan berasaskan bio,” kata beliau dalam majlis pembukaan Pameran Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2017 pada 11 September lalu.
Syarikat berstatus BioNexus tempatan dijangka menyumbang sehingga 1.5 peratus daripada KDNK bernilai RM2.1 billion menjelang tahun 2025 berbanding sekarang pada kadar 0.97 peratus.
Daripada 286 syarikat ini, 37 daripadanya telah berjaya menembusi pasaran global di rantau Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.
Dapatkan Maklumat di Ekspo NICE 2017
Sebagai langkah merancakkan lagi gerakan mempromosi aktiviti ekonomi berteraskan sains dan teknologi kepada masyarakat umum, MOSTI akan menganjurkan ‘National Innovation and Creative Economy Expo 2017’ pada 12 hingga 16 Oktober ini.
Ekspo berteraskan sains, teknologi dan inovasi terbesar negara ini akan berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Pusat Sains Negara dan Planeterium Negara. Ekspo ini melibatkan 15 kementerian dan jabatan kerajaan serta 25 agensi di bawah MOSTI selain 39 rakan strategik.
Dengan tema ‘Negaraku Berinovasi’ antara program utama terkait dengan pembangunan ekonomi dan perniagaan berasaskan sains dan teknologi adalah KL Startup Forum (KL’17 SU), program ‘Future Job’ dan ‘Journey to Malaysia 2050’.
KL’17 SU bakal dipenuhi dengan rantaian acara membincangkan topik-topik menarik terkait pembangunan perniagaan dengan konsep ‘start up’ yang semakin digemari golongan muda hari ini oleh panel-panel berpengalaman.
Melalui ‘Future Job’ pengunjung bakal didedahkan dengan jenis-jenis pekerjaan baharu yang bakal wujud pada masa hadapan. Kebanyakan daripadanya belum pernah pun diketahui, apatah lagi dikenali potensinya oleh masyarakat hari ini.
Statistik menunjukkan 65 peratus pelajar sekolah hari ini bakal terlibat dalam sektor pekerjaan yang masih belum wujud dalam kitaran ekonomi hari ini.
‘Journey to Malaysia 2050’ pula akan memberi gambaran besar visi yang bakal dicapai negara untuk bukan sahaja menjadi negara maju menjelang tahun 2050 tetapi turut menjadi antara terbaik di dunia dunia dalam bidang teknologi, ekonomi dan kebajikan masyarakat.
Maklumat lanjut program-program sepanjang NICE 2017 boleh didapati di laman sesawang www.niceexpo.mosti.gov.my atau laman Facebook ekspo di www.facebook.com/mostiniceexpo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge