Penulis: Dr. Norazlina Mat Nawi¹, Prof. Madya Dr. Mohammad Khairul Azhar bin Abdul Razab²
¹Pakar Perubatan Nuklear/Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
²Pensyarah Kanan,Program Sinaran Perubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
Perubatan nuklear merupakan satu cabang dalam bidang perubatan moden yang menggunakan bahan radioaktif bertenaga rendah dan separuh hayat yang pendek untuk tujuan diagnosis dan rawatan penyakit. Dengan kemajuan teknologi dan penyelidikan, perubatan nuklear kini memainkan peranan yang semakin penting dalam penjagaan kesihatan sejagat. Perubatan nuklear menggunakan radioisotop yang dikenali sebagai radiopengesan untuk melihat secara langsung aktiviti di dalam organ seperti jantung, tiroid, otak, buah pinggang dan tulang (in vivo imaging). Pancaran sinar gama dari radioisotop yang tersebar di dalam tisu atau organ mempunyai kekuatan tenaga yang unik dan mampu dikesan oleh pengesan pada mesin kamera gama seperti SPECT/CT (Single Photon Emission Computed Tomography/Computed Tomography) sebelum diproses menjadi isyarat elektronik. Isyarat ini kemudiannya akan diproses oleh komputer untuk proses pembentukan imej sintigrafi dengan mengambilkira asal usul pancaran tersebut dari dalam organ dan tisu menggunakan perisian berasaskan algoritma khas. Pada masa kini, aplikasi radionuklid bersifat theragnostic, iaitu untuk tujuan diagnostik dan pada masa sama juga digunakan untuk rawatan sel kanser semakin popular. Contohnya, dalam kes penyakit tiroid, bahan radioaktif iodin-131 digunakan untuk mengenal pasti fungsi kelenjar tiroid melalui pengesanan pancaran sinar gama dan juga sebagai terapi bagi kanser tiroid melalui interaksi pancaran zarah beta pada sel tisu. Selain itu, ujian imejan sintigrafi dual foton menggunakan modaliti seperti mesin PET-CT (Positron Emission Tomography-Computed Tomography) juga mampu mengesan kanser pada peringkat awal dan membantu dalam perancangan rawatan secara lebih tepat.
Kelebihan utama perubatan nuklear ialah kemampuannya untuk mengesan penyakit pada peringkat awal berasaskan imejan molekul tisu secara spesifik semasa proses pembentukan imej sintigrafi. Oleh itu, rawatan boleh dimulakan lebih awal, sekaligus meningkatkan kadar kejayaan rawatan. Di samping itu, kaedah ini selalunya bersifat tidak invasif dan ketidakselesaan kepada pesakit adalah minimum
Kanser payudara kekal sebagai penyebab utama kematian dalam kalangan wanita di Malaysia dan dunia. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kadar pesakit kanser payudara semakin meningkat dengan nisbah seorang daripada 23 wanita berisiko menghidap penyakit ini. Malangnya, hampir separuh daripada pesakit hanya mendapatkan rawatan ketika kanser telah berada pada tahap tiga atau empat, seterusnya mengurangkan peluang pemulihan mereka.
Nodus limfa sentinel merujuk kepada nodus limfa pertama yang menerima saluran limfa daripada tumor. Sekiranya kanser mula merebak, nodus ini adalah lokasi pertama sel kanser berkumpul sebelum merebak ke bahagian badan yang lain. Oleh itu, mengenal pasti nodus limfa sentinel lebih awal secara tepat adalah amat penting dalam menentukan tahap kanser serta membantu pakar perubatan merancang rawatan yang lebih efektif.Pemetaan Nodus Limfa Sentinel kanser payudara menggunakan teknologi SPECT/CT (Single Photon Emission Computed Tomography/Computed Tomography) dan gamma probe merupakan satu revolusi dalam bidang perubatan moden. Prosedur pengesanan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan rawatan, malah mampu mentransformasikan teknologi perubatan secara inovatif. Dengan integrasi SPECT/CT dan gamma probe, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini menyediakan rawatan kanser payudara yang lebih efisien. Pendekatan ini membuka ruang kepada rawatan yang lebih personal dan berkesan, selari dengan dasar negara ke arah kepersisan perubatan.
.
Unit Perubatan Nuklear di HPUSM adalah satu-satunya pusat rujukan di Pantai Timur yang dilengkapi dengan fasiliti serta kepakaran dalam bidang ini. Teknologi perubatan nuklear memerlukan kos yang tinggi untuk penubuhan dan penyelenggaraan, selain memerlukan kepakaran khusus bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan rawatan.
Teknologi SPECT/CT dan Gamma Probe
Single Photon Emission Computed Tomography/Computed Tomography (SPECT/CT) adalah gabungan teknologi pengimejan fungsional (SPECT) dan anatomi (CT). Dalam pemetaan nodus limfa sentinel, pesakit akan disuntik dengan bahan radioaktif Tc-99m nanocolloid yang bergerak ke nodus limfa sentinel. Aktiviti sel kanser adalah lebih tinggi berbanding sel sihat dan lebih cenderung untuk memerangkap radiopengesan seperti Tc-99m nanocolloid. Kamera gama SPECT/CT mengesan pancaran sinar gama dari bahan radioaktif Tc-99m dan menghasilkan imej tiga dimensi berkontras tinggi melalui pengkelasan isyarat elektronik yang diproses oleh komputer bagi membantu pakar mengenal pasti lokasi nodus dengan lebih tepat. Setelah lokasi nodus limfa sentinel dikenal pasti melalui ujian sintigrafi SPECT/CT, gamma probe akan digunakan semasa pembedahan (intraoperative) untuk mengesan sinar gama yang dipancarkan oleh nodus tersebut secara langsung. Gamma probe yang biasanya menggunakan pengesan jenis keadaan pepejal berteknologi tinggi (Cadmium Zinc Telluride [CZT]) mampu mengesan pancaran sinar gama dengan lebih sensitif dan membantu pakar bedah menentukan lokasi tepat nodus yang terjejas, bagi membolehkan pembedahan dijalankan secara lebih spesifik dan mengurangkan risiko kerosakan pada tisu sihat.
Kelebihan Teknologi Perubatan Nuklear
Penggunaan SPECT/CT dan gamma probe dalam rawatan kanser payudara memberikan pelbagai kelebihan, antaranya:
- Ketepatan tinggi – Mengurangkan risiko keputusan negatif palsu dengan pengesanan nodus limfa sentinel yang lebih tepat.
- Mengurangkan prosedur pembedahan yang tidak perlu – Hanya nodus yang berpotensi terjejas akan dikeluarkan, mengurangkan trauma kepada pesakit.
- Mempercepatkan pemulihan pesakit – Prosedur yang lebih minimal invasif mempercepatkan proses pemulihan.
- Mengurangkan risiko komplikasi – Mengelakkan masalah seperti pembengkakan atau limfedema akibat pengeluaran nodus limfa yang berlebihan.
Diagnosis awal dan pemetaan nodus limfa sentinel yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan rawatan yang terbaik bagi pesakit serta mengelakkan komplikasi yang tidak diingini. Perkhidmatan pemetaan nodus limfa sentinel di HPUSM telah beroperasi sejak tahun 2019 melalui kerjasama antara tiga jabatan utama iaitu Unit Perubatan Nuklear, Jabatan Pembedahan, dan Jabatan Patologi. Jika keputusan biopsi mendapati nodus tersebut positif untuk sel kanser, pesakit akan menjalani pembedahan lanjut bagi membuang nodus limfa lain di bawah ketiak. Sebaliknya, jika keputusan adalah negatif, pesakit tidak perlu menjalani pembedahan tambahan, seterusnya mengurangkan risiko komplikasi.
Sejak pengoperasiannya, lebih daripada 30 pesakit telah dirawat dengan prosedur ini di HPUSM. Prognosis bagi setiap kes menunjukkan hasil yang sangat baik, memberikan harapan tinggi kepada pesakit serta meningkatkan jangka hayat mereka. Inovasi prosedur ini bukan sahaja membantu dalam rawatan kanser payudara, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan, membolehkan pendekatan rawatan yang lebih tepat, selamat, dan berkesan. Dengan kejayaan teknologi pemetaan nodus limfa sentinel ini, HPUSM terus komited dalam meningkatkan perkhidmatan rawatan kanser payudara, memastikan setiap pesakit mendapat peluang rawatan terbaik untuk kualiti hidup yang lebih sempurna..




