Oleh: Hamdan Hj. Abu
Pokok jeremin atau nama botaninya Pelargonium radula merupakan tanaman hiasan. Pokok daripada keluarga Geraniaceae ini terdapat dalam beberapa jenis, antaranya Pelargonium citrosum dan Pelargonium crispum. Tumbuhan ini dikatakan bukan tumbuhan asal dari negara ini, sebaliknya berasal dari Afrika Selatan. Nama-nama lain yang dikaitkan dengan pokok jeremin ialah, Geranium, pokok halau nyamuk atau pokok jari lima yang dijadikan tanaman hiasan di halaman rumah. Sesetengah khalayak mempercayai tumbuhan ini secara biologinya menjadi alternatif bahan kimia untuk menghindar nyamuk.
Seperti kebanyakan tumbuhan Geranium yang lain, daun pokok jeremin mengeluarkan sejenis bau yang kuat. Bau yang terkeluar itu tidak disukai nyamuk dan beberapa jenis serangga. Daun tumbuhan daripada keluarga Geraniaceae mengeluarkan aroma Citronella jika daunnya bergoyang atau ditiup angin.
Ada sumber mengatakan pokok jeremin digunakan secara sintetik untuk membuat ubat nyamuk. Antara bahan dalam ubat nyamuk ialah serbuk Pyrethrin yang diambil daripada tumbuh-tumbuhan tertentu seperti pokok Chrysanthemum cinerariifolium. Sebab itu asapnya tidak disukai nyamuk. Kegunaan pokok jeremin seperti juga pokok Zodia (Evodia suaveolens Scheff) yang mempunyai linalool digunakan dalam beberapa produk seperti sabun dan losen antaranya untuk menjauhkan gigitan nyamuk dan serangga lain.
Serbuk Pyrethrin dari tumbuhan-tumbuhan itu juga digunakan dalam produk tertentu untuk mengawal nyamuk, kutu, lalat, rama-rama, semut dan serangga perosak tertentu. Turut digunakan dalam kandungan ubat nyamuk ialah Allethrin, Esbiothrin, Butylated hydroxytoluene, serta bahan kimia buatan manusia Piretroid dan Dicarboxamide synergist (MGK-264).
Pokok Hiasan
Pokok jeremin mudah ditanam dan boleh hidup subur dengan penjagaan yang minima sebagai pokok hiasan. Tumbuhan ini juga mudah dibiakkan dengan cara keratan batang. Cara penjagaan tumbuhan ini ialah dengan meletakkannya di tempat redup, di bawah pokok-pokok di halaman atau di dalam rumah kerana ia tidak perlu didedahkan secara terus kepada sinaran matahari yang terik. Ia sesuai ditanam di dalam pasu atau di atas tanah dan boleh membesar sehingga ketinggian kira-kira satu meter.
Menggunakan baja kompleks yang mengandungi fosfor dapat membantu tumbesaran pokok dengan lebih cepat. Memadai menyiramnya sekali sehari jika diletakkan di bawah tempat yang teduh. Berdasarkan maklumat pengusaha nurseri, jangka hayat tumbuhan ini antara enam hingga sembilan bulan.
Daun pokok jeremin berbentuk seperti jari dan tapak tangan berwarna hijau sebelum layu. Jika ada tanda-tanda menunjukkan daunnya kekuningan lebih awal atau lambat membesar, ia menunjukkan pokok itu kekurangan nutrien. Oleh itu, rawatlah pokok itu dengan membaja atau menambah tanah bakar dan seumpamanya.
Jika suka bagi tujuan menghalau nyamuk, letakkan dua tiga batang pokok jeremin yang ditanam di dalam pasu di dalam rumah. Sekali sekala ia perlu diletakkan di luar rumah untuk beberapa jam bagi menerima cahaya matahari.
Di pasaran, anak pokok jeremin di dalam pasu atau bekas poly dijual antara RM8.00 hingga RM16.00 sebatang di nurseri pokok atau secara dalam talian.
Pengusaha Nurseri Melur di Kota Tinggi, Johor, Noraida Arifin berkata, “jika hanya sebatang atau dua pokok Jeremin mungkin kurang berkesan untuk menghalau nyamuk”. Beliau mencadangkan juga menanam pokok Zodia atau Ulam makwan (Artemisia scoparia) kerana kesannya lebih bagus lagi. (Rujuk: 4)
Pokok ulam makwan yang biasanya di tanaman seperti pagar secara tidak langsung berfungsi mencegah serangga perosak tanaman dan nyamuk di sekelilingnya secara semula jadi. Ia mengeluarkan bau yang sangat kuat yang tidak digemari oleh kebanyakan serangga dan nyamuk.
Noraida yang telah mengusahakan nurseri di Kota Tinggi dan Tumpat, Kelantan sejak kira-kira 10 tahun lalu berkata, untuk menggalakkan percambahan ranting, pokok-pokok tersebut boleh dipangkas dan boleh juga dibiakkan.
Ulam makwan mempunyai sedikit rasa pijar jika mengunyah pucuknya sebagai ulam. Dalam perubatan tradisional Cina, ulam makwan adalah herba penting dan banyak kegunaannya.
Mengawal Demam Denggi
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bertarikh 12 Oktober 2020, Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan ketika itu, Dr. Hjh. Norlela Ariffin, dilaporkan telah menyarankan agar pokok jeremin (Pelargonium radula) ditanam sebagai kaedah alternatif mengawal populasi nyamuk, khususnya nyamuk Aedes yang menjadi punca penularan denggi.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kempen penanaman pokok jeremin di kawasan kediaman dan komuniti sebagai pendekatan mesra alam yang boleh disertai oleh penduduk secara aktif.
Di seluruh negara, demam denggi merupakan satu ancaman yang boleh menyebabkan maut. Walaupun berbagai tindakan telah dilakukan namun, kes denggi semakin meningkat disebabkan pelbagai faktor yang menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. Berdasarkan maklumat media, sepanjang tahun 2023 sebanyak 123,133 kes denggi telah dilaporkan berbanding 66,102 kes pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 86.3 peratus. Sebanyak 100 kematian direkodkan pada 2023 berbanding 56 kes pada tahun sebelumnya.
Dalam usaha membanteras demam denggi dan juga malaria, mengapa tidak rakyat Malaysia menanam pokok-pokok menghalau nyamuk di halaman rumah mereka sebagai satu langkah alternatif bagi membendung nyamuk aedes. Ia juga satu kaedah yang bagus berbanding menggunakan cecair penyembur aerosol atau berkimia di samping menjadikan tumbuhan itu sebagai tanaman hiasan yang mencantikkan halaman rumah.
Menggunakan penyembur aerosol dan lingkaran ubat nyamuk secara berlebihan juga tidak baik kepada kesihatan dan persekitaran. Sebagai perbandingan, membakar satu lingkaran ubat nyamuk sepanjang malam bersamaan dengan membakar 51 batang rokok. Asap ubat nyamuk mengeluarkan bahan Octachlorodipropyl ether serta Bischloromethyl ether yang tidak bagus pada paru-paru manusia.
Kajian Keselamatan Air Minuman
Sementara itu, pokok halau nyamuk juga telah digunakan dalam kajian keselamatan air minuman oleh sekumpulan penyelidik sebuah universiti tempatan (rujuk 1). Dalam kajian itu sejumlah 60 spesies tumbuh-tumbuhan digunakan antaranya Plectranthus amboinicus, Lantana camara dan Pelargonium radula atau jeremin untuk mengesan kandungan logam. Daun pokok itu yang dirawat dengan larutan merkuri (Hg) telah menunjukkan beberapa perubahan morfologi yang ketara.
Para penyelidik berkenaan pada tahun 2013 mendapati Pelargonium radula yang digunakan sebagai bio-indikator Hg mendapati ia memberikan perubahan morfologi yang paling cepat dan ketara sepanjang empat jam pemerhatian dilakukan. Penemuan itu menunjukkan bahawa tumbuhan itu boleh digunakan untuk bio-pemantauan Hg dalam air minuman.
Pokok jeremin secara tradisi dikatakan boleh juga mengubat penyakit kulit dan gatal-gatal. Daunnya dikisar bersama beras dan disapu pada kulit anggota badan yang gatal.
Begitu juga dengan daun lidah buaya yang digunakan sejak ribuan tahun silam untuk rawatan kesuburan rambut, rawatan kulit dan luka. Manakala
serai wangi diproses untuk membuat losen dan ubat sapu kulit. Bunga tahi ayam pula diekstrak untuk kegunaan perubatan antaranya untuk dijadikan ubat radang, campak, asma dan darah tinggi di samping menjauhkan nyamuk.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyenaraikan lapan jenis pokok, selain jeremin yang dipercayai tidak disukai atau boleh menghalau nyamuk. Pokok-pokok itu antaranya, daun lidah buaya (Aloe Barbadensis), bunga tahi ayam (Lantana camara), bunga selasih (Ocimum basilicum) dan lain-lain seperti jadual 1. Tumbuh-tumbuhan ini lazimnya ditanam sebagai pokok-pokok hiasan di halaman rumah. Manakala masyarakat zaman dahulu ada yang menggunakannya sebagai ubat-ubatan.
Laman sesawang Jabatan Perhutanan Malaysia juga menyenaraikan serai wangi (Cymbopogan nardus) antara tumbuhan yang tidak disukai nyamuk. Serai wangi berasal dari India dan Sri Lanka dan banyak ditanam oleh penduduk kampung termasuk di Malaysia.
Bagaimanapun satu penyelidikan yang dibuat oleh penyelidik University of Guelph, Kanada mendapati Pelargonium Citrosum tidak begitu berkesan. Sebaliknya, penyelidik tersebut mencadangkan menanam rumput serai atau Cymbopogon citratus/Cymbopogon cnardus kerana bau minyak yang terkandung di dalamnya terbukti tidak disukai nyamuk atau serangga lain.
Jadual 1: Tumbuh-tumbuhan Yang Boleh Menghalau Nyamuk
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (Rujuk: 2)






Rujukan:
- https://journals.utm.my/jurnalteknologi/article/view/6699#:~:text=In%20the%20present%20study%2C%20Pelargonium%20radula%20was%20chosen,Hg%20biomonitoring%20for%20the%20safety%20of%20drinking%20water.
- https://idengue.mysa.gov.my/content/kaedah_alternatif.pdf
- https://animhosnan.blogspot.com/2019/04/pokok-jeremin-halau-nyamok.html
- https://www.melur.com/direktori-tumbuhan/jeremin/?srsltid=AfmBOook0qr-2Cf6s9n8eHpZvCXkpc0oq49UTZgf8iD43SrMsraHtsEt
- https://people.utm.my/nhidayah/2022/12/31/7-jenis-pokok-halau-nyamuk-yang-mudah-ditanam-di-rumah/
- https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/01/106853/mujarab-halau-nyamuk
- https://siakapkeli.my/2022/05/31/nyamuk-banyak-di-rumah-guna-7-tanaman-ini-untuk-halau-nyamuk
- https://www.facebook.com/dunpinang/videos/sidang-dewan-undangan-negeri-pulau-pinang/645740199430812/)